HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Januari 2022

Speaker Johor nafi terima surat permohonan bubar DUN

 BERNAMA

Menurut Suhaizan Kaiat, laporan sebuah laman sesawang mengenai pembubaran DUN Johor adalah tidak benar.

Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak menerima sebarang surat permohonan pembubaran DUN, bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.

Perkara itu disahkan oleh Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat hari ini, selepas tular di media sosial susulan sebuah laman sesawang mendakwa beliau sudah mendapat surat tersebut, sekali gus menyatakan PRN bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Tidak, makluman portal itu tidak benar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, sebuah laman sesawang mendakwa Menteri Besar Johor Hasni Mohammad, telah menghantar surat permohonan pembubaran DUN kepada Pejabat Speaker DUN Johor semalam.

Khabar angin mengenai PRN akan datang bertiup kencang, berikutan kematian Adun Kempas Osman Sapian bulan lepas menjadikan kerajaan pimpinan Umno hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.

Pada masa ini, DUN Johor diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi yang merangkumi Umno (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

Tiada ulasan: