HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Januari 2022

SPRM dah macam ahli politik – PH

MALAYSIA TODAY

Majlis Pakatan Harapan (PH) menyifatkan tindakan tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyokong Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki sudah menyerupai tingkah laku ahli politik dalam parti politik dan bukan lagi sebagai agensi kerajaan terhormat.

(Utusan) – Dalam satu kenyataan, Majlis PH berkata, sokongan mereka terhadap Azam dan menuduh ia sebagai dendam politik sama seperti bercakap kepada diri sendiri ketika SPRM turut melakukan tindakan sama.

“Kalau begitu, suatu siasatan dijalankan secara mendadak oleh SPRM ke atas Suruhanjaya Sekuriti (SC) tatkala sedang menyiasat perdagangan saham secara proksi oleh Azam, di mana ramai telah pun dihukum sebelum ini, juga boleh disifatkan sebagai tekanan untuk motif dendam politik.

“Sebagai penjawat awam, ketiga-tiga pegawai kanan ini patut tahu kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap ketua pesuruhjaya dan mengandungi tuduhan serius yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Oleh itu, pegawai-pegawai kanan ini perlu membuat laporan polis dan biarkan mereka menyiasat secara terbuka keranan sememangnya SPRM tidak akan menyiasat Azam secara bebas dan profesional, sebaliknya akan ‘membersihkan’ nama beliau,” katanya.

Kenyataan bersama itu melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Sabtu lalu, tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM iaitu Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya (Bahagian Operasi), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali (Pencegahan) dan Datuk Junipah Wandi (Pengurusan dan Profesionalisme) menyokong Azam dan berpendirian tohmahan serta serangan dibuat bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.

Semalam, Abu Zahar pula mendakwa enam ahli Lembaga Penasihat Pencegahan (LPPR) yang ‘menjauhkan diri’ daripada kenyataan media dibuat beliau pada Rabu lalu berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Azam mengadakan mesyuarat dalam kalangan mereka tanpa memaklumkannya.

Enam ahli LPPR berkenaan Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Baru-baru ini, Azam yakin dan menegaskan tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak memiliki kepentingan serta pemilikan saham dalam mana-mana syarikat. Beliau antara lain tidak melihatnya sebagai isu apabila membenarkan adiknya, Nasir Baki, menggunakan akaun Azam membeli saham.

Mengulas lanjut, Majlis PH menggesa kerajaan supaya ‘merehatkan’ Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Borhan Dolah termasuk Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar sehingga siasatan selesai.

Ia berikutan Borhan didakwa enggan bertindak menyiasat Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki mengenai kes pemilikan saham di beberapa saham syarikat dan membenarkan adiknya, Nasir Baki, menggunakan akaun saham berkenaan.

“Perlu ada pimpinan baharu yang bersih, profesional dan bebas untuk mengetuai LPPR dan PPPR SPRM supaya kewibawaan, integriti dan kredibiliti SPRM dipulihkan semula.

“Jelas SPRM atau badan penasihat SPRM tidak boleh melakukan siasatan terhadap ketua pesuruhjayanya sendiri dan siasatan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM amat diperlukan,” katanya.

Tiada ulasan: