SAYAP baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Srikandi Muda mengambil langkah proaktif menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir sebagai inisiatif ‘terapi minda’.
Sumbangan berbentuk peralatan elektronik itu diberikan kepada mangsa di negeri-negeri yang terjejas teruk bencana banjir iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
Program diketuai Ketua Srikandi Muda Bersatu, Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor yang juga Pengerusi Program dan 10 Exco sayap itu bersama-sama ahli di negeri terlibat telah diadakan pada hujung minggu lalu.
Exco Srikandi Muda, Diana Manoga berkata, buat permulaan, Srikandi Muda memilih untuk menyampaikan sumbangan berbentuk mesin basuh dengan akan ditambah kepada peralatan elektronik lain termasuk periuk nasi dan cerek elektrik.
“Program ini adalah inisiatif daripada Srikandi Muda Bersatu di mana kita sampaikan sumbangan berbentuk peralatan elektronik seperti mesin basuh di negeri yang terlibat banjir.
“Minggu lalu, kita telah sampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Negeri Sembilan dan Selangor.
“Bagi Pahang, buat masa ini, kita masih menunggu tarikh sesuai untuk pergi kerana memikirkan keadaan di sana masih agak teruk tetapi perancangan kami adalah untuk ke sana hujung minggu ini,” katanya kepada UtusanTV.
Mengulas lanjut, Diana berkata, Srikandi Muda lebih memilih untuk memberi bantuan dari sudut ‘terapi minda’ kepada mangsa banjir dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang benar-benar memerlukan.
Menurut beliau, bantuan sedemikian sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mangsa banjir untuk membeli sendiri peralatan elektronik baharu.
“Kami memang sangat hargai bantuan yang diberikan orang ramai terutama yang sanggup turun membantu membersihkan rumah, tetapi kami lebih melihat kepada pasca banjir.
“Bagaimana kami mahu memudahkan urusan mangsa banjir dan kami yakin bantuan adhoc seperti peralatan elektronik ini dapat meringankan beban dan membantu mengurangkan sedikit kerisauan mereka,” jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan