HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Januari 2022

Tiada kesal dan sesal, Zahid akui peranan Presiden Umno amat besar

MALAYSIA POST

Tiada kesal dan sesal, Zahid akui peranan Presiden Umno amat besar

PERANAN institusi Presiden Umno amat besar dalam memimpin dan menjaga perjalanan parti, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini mengetuai parti terbesar Melayu itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Presiden Umno bukan sahaja perlu memastikan asas penubuhan parti demi agama, bangsa dan negara terus dipertahan, malah kekal relevan dan kembali diyakini.

Beliau berkata, Presiden Umno juga perlu memastikan parti terus berpihak kepada rakyat di setiap masa dan tempat, selain menentukan ia kekal menjadi milik lebih 3.3 juta ahlinya.

“Menjadi Presiden Umno perlu teguh dan berani menghadapi segala rintangan dan cabaran. Selaku Presiden Umno perlu terus berpegang kepada kebenaran dalam keadaan apa sekali pun.

“Jika Presiden Umno terpesong daripada itu walau sekelumit cuma, maka lenyaplah jati diri Umno. Dengan demikian menjadi Presiden Umno sarat dengan tanggungjawab serta pengorbanan.

“Namun segala pengorbanan itu berbaloi kerana perjuangan Umno bermakna perjuangan untuk rakyat. Perjuangan untuk Umno juga bermaksud perjuangan demi masa depan agama, bangsa dan negara.

“Tiada kesal dan sesal walau betapa keras harga yang terpaksa dibayar demi memastikan Umno terus utuh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid berkata, nukilan ini tercatat tatkala beliau mengenangkan begitu banyak kisah suka dan duka menjadi Presiden Umno.

“Semoga Allah SWT terus memberi kekuatan dan keazaman untuk diri mengabadikan perjuangan ini,” katanya lagi. – Malaysiapost

Tiada ulasan: