KUALA LUMPUR – Desakan UMNO supaya kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibuat bukan kerana tujuan politik.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia dibuat semata-mata keperluan semasa rakyat.
“Pelbagai tohmahan dilempar terhadap UMNO disebabkan permintaan parti ini supaya rakyat yang memerlukan dibenarkan membuat pengeluaran wang akaun KWSP.
“Permintaan itu dituduh oleh seorang menteri kanan sebagai menghasut, manakala pemimpin pembangkang menuduh UMNO mahu menghancurkan KWSP.
“Fahamilah permintaan itu bukan permintaan politik UMNO, tetapi semata-mata berlandaskan permohonan dan keperluan semasa rakyat.
“Sila baca komen rakyat Malaysia di media sosial berhubung perkara itu. Apakah UMNO menyuarakan permintaan rakyat dikatakan sebagai politik?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, kewajaran permintaan itu juga sudah banyak kali diperjelaskan malah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki paling lantang menerangkannya.
“Maka tidak benar UMNO dituduh mahu mengambil kesempatan sedangkan jika permintaan itu dipenuhi, menteri bertanggungjawab juga mengaut pujian.
“Jika dibahas tentang mainan politik dalam perkara ini, menteri berkaitan juga boleh dikaitkan dengan motif politik seperti yang banyak pihak andaikan,” katanya.
UMNO, katanya, sebagai parti politik milik rakyat telah menyampaikan kehendak rakyat, namun ianya keputusan sebuah kerajaan campuran bersetuju atau menidakkan.
“Bagi parti politik keramat agama, bangsa dan negara akan terus sedaya upaya berusaha membantu rakyat dengan apa sahaja saluran atau sumber yang ada.
“Keazaman UMNO untuk menjamin dan memperjuangkan kesejahteraan hidup rakyat tidak pernah terhenti kerana itulah kesalasilahan parti ini.
“Namun yang pasti keadaan adalah lebih mudah jika UMNO masih menjadi
teras kerajaan, justeru jadikan segala yang disaksikan sebagai pedoman
masa depan,” katanya.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan