HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 September 2009

Selangor tidak rombak Selcat

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Tata cara serta keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) kekal di sebalik keputusan Pas negeri semalam menyokong desakan Datuk Dr. Hassan Ali supaya jawatankuasa itu ditambah baik.

Perkara itu diputuskan selepas perbincangan hampir dua jam melibatkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Antara yang hadir pada perbincangan itu termasuk Hassan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Teng Chang Khim, pegawai daerah, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli-ahli Parlimen di Selangor.

Bercakap kepada pemberita, Abdul Khalid menegaskan, Selcat akan tetap diteruskan secara terbuka seperti biasa manakala pegawai kerajaan boleh dipanggil memberi keterangan jika perlu.

"Tidak ada rombakan sebaliknya ia akan diteruskan seperti yang diputuskan dalam sidang Dewan sebelum ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini malam ini.

Baru-baru ini, Hassan secara terbuka mengkritik prosedur Selcat yang menyoal Pegawai Daerah negeri ini berhubung perbelanjaan peruntukan tahunan wakil rakyat pada sesi pendengaran awam jawatankuasa itu pada 8 hingga 14 September lalu.

Malah, Hassan yang merupakan Pesuruhjaya Pas negeri menyatakan prosedur siasatan yang diamalkan oleh Selcat itu tidak sesuai dan seolah-olah cuba mengaibkan pegawai kerajaan terbabit.

Dalam pada itu, Abdul Khalid memberitahu, sebarang perubahan terhadap Selcat selepas ini perlu dibincangkan dan dibahaskan pada sidang DUN jika perlu.

Malah, beliau mengingatkan sebarang perbincangan mengenai Selcat tidak perlu melibatkan pihak luar.

Sementara itu, Hassan yang yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan kemudahan Awam negeri ketika ditemui enggan mengulas lanjut hasil keputusan mesyuarat berkenaan.

''Saya bersetuju dengan keputusan mesyuarat tadi," katanya ringkas.

Penternak bawa lembu, kambing bantah Kerajaan Negeri Selangor

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - "Kalau lembu pun tak boleh jaga, bagaimana nak jaga rakyat".
Itu luahan kira-kira 100 penternak lembu di Selangor yang geram dan marah kepada kerajaan negeri kerana masih gagal membantu dua penternak yang mengalami kerugian ekoran kejadian empangan pecah di Lembah Sungai Tua Ulu Yam pada 24 September lalu.

Sebagai tanda tidak puas hati, mereka berhimpun secara aman sambil membawa 40 ekor lembu dan kambing di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada pukul 1.30 tengah hari ini.

Perhimpunan itu juga bertujuan menyerahkan memorandum yang mengandungi bantahan serta cadangan Persatuan Penternak Ruminan Negeri Selangor berhubung perkara itu kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pengerusi persatuan itu, Samad Kassim ketika ditemui berkata, mereka kecewa kerana kerajaan negeri langsung tidak ambil tahu rintihan dua penternak berkenaan.

''Paling dikesalkan apabila tiada seorang pun wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas atau wakil kerajaan negeri menjenguk kawasan tersebut apatah lagi menyalurkan bantuan selepas lima hari kejadian berlaku.

''Sebaliknya penternak dipersalahkan dengan mendakwa ladang ternakan itu dibina secara haram sedangkan ia mempunyai permit serta membayar cukai kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS)," dakwanya.

Kejadian empangan pecah itu menyebabkan hampir 300 ekor lembu dan kambing terperangkap dan mati apabila kandang haiwan ternakan itu dinaiki air yang dipenuhi timbunan sampah.

Samad berkata, persatuan itu menuntut Menteri Besar mencari jalan membantu golongan penternak memandangkan mereka antara golongan yang menyumbang kepada sumber makanan di Selangor.

Menurutnya, sejak insiden tersebut berlaku hanya pegawai daripada Jabatan Veterinar dan kontraktor datang ke ladang itu untuk melakukan kerja-kerja mengepam air.

Beliau berkata, kerajaan negeri patut memikirkan cara untuk membantu para penternak dan bukannya menuding jari menyalahkan mereka kerana ia bercanggah dengan konsep kerajaan berkebajikan yang dilaungkan mereka.

''Sekiranya kerajaan negeri enggan membantu, kita akan hantar lembu-lembu ini ke setiap rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor," tegasnya mengenai tujuan membawa haiwan itu ke bangunan SUK.

Setelah menunggu lama, Samad dibenarkan menyerahkan memorandum berkenaan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad kira-kira pukul 2.30 petang.

Beliau berkata, satu memorandum juga akan diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi tujuan yang sama.

Sementara itu, Exco Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari yang mengadakan pertemuan dengan Samad dan beberapa orang penternak di pejabatnya di Bangunan SUK petang ini memberi jaminan akan menyelesaikan masalah di ladang ternakan terlibat.

Katanya, dua ladang yang terjejas itu akan dibersihkan dan bahan binaan akan disediakan untuk membina semula kandang haiwan berkenaan.

Jelasnya, kerajaan negeri sedang mencari kawasan berkeluasan kira-kira 80 hektar bagi menempatkan semula ladang ternakan yang mengalami masalah pemilikan tanah.

Pada 28 Ogos lalu, kira-kira 200 penduduk Seksyen 23 Shah Alam mengadakan demonstrasi secara aman dan turut mengarak kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai membantah cadangan pembinaan kuil.

Jangan ambil amah PATI bekerja

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Majikan kepada pembantu rumah Indonesia digesa supaya tidak mengambil amah yang berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja di Malaysia.

Konsul Penerangan, Sosio dan Budaya Kedutaan Besar Indonesia, Widyarka Ryananta berkata, sekiranya hal tersebut dipatuhi, maka tidak akan wujud lambakan PATI yang beria-ia mahu bekerja sebagai amah di negara ini.

"Keadaan ini umpama teori pembekalan dan permintaan (supply and demand) dalam ekonomi di mana terdapat permintaan yang tinggi daripada majikan-majikan di Malaysia.

"Sedangkan pada masa sama, 'pembekalan' amah Indonesia ke Malaysia berkurangan berikutan pembekuan penghantaran amah sejak Jun lalu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia, Khairudin Harahap yang beranggapan, Malaysia bakal berdepan dengan masalah kebanjiran PATI yang serius sekiranya tindakan pembekuan sementara amah Indonesia ke negara ini tidak segera dihapuskan.

Pembekuan amah yang dikuatkuasakan Indonesia pada 25 Jun lalu bertujuan menilai semula penempatan dan perlindungan amah Indonesia di Malaysia berikutan banyak aduan pekerja negara itu didera.

Walaupun begitu, Indonesia hanya akan membenarkan rakyatnya masuk ke negara ini sebagai amah selepas Akta Kerja 1955 selesai dipinda oleh kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu, Widyarka menjelaskan, cadangan Indonesia mengenai kenaikan gaji minimum amah adalah sebanyak RM600 sebulan dan bukannya RM800 seperti yang digembar-gemburkan di media.

"Kenaikan gaji yang dicadang adalah atas dasar persefahaman antara amah dan majikan selepas berkhidmat selama dua tahun untuk memperbaharui tempoh perkhidmatan.

"Ini disebabkan selepas tempoh dua tahun, amah tidak lagi terikat kepada perjanjian yang ditandatangani bersama agensi, sebaliknya berurusan secara terus dengan kedutaan di sini," katanya.

Tambahnya, cadangan gaji minimum RM800 sebulan adalah melibatkan pekerja sektor binaan dan tidak melibatkan amah Indonesia.

Sementara itu, Widyarka berkata, pihaknya sentiasa berusaha mencapai situasi menang-menang dalam memberikan perlindungan yang sama kepada majikan dan juga amah.

"Meskipun dikatakan peratusan amah yang mendapat layanan buruk majikan terlalu kecil (0.1%), tetapi pelanggaran hak asasi manusia tetap berlaku sekiranya ia melibatkan hanya seorang amah," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menerima laporan daripada 140 amah yang lari dari rumah majikan kerana dilayan buruk, terdapat juga beberapa kes melibatkan gangguan seksual.

"Di kedutaan, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membela kebajikan amah-amah Indonesia di Malaysia.

"Cadangan untuk menaikkan gaji minimum bulanan RM600 adalah wajar kerana gaji mereka secara relatifnya adalah rendah berbanding yang bekerja di Singapura, Hong Kong dan Taiwan," katanya.

Beliau berkata, tiada perbezaan 'gred' antara amah-amah yang dihantar ke Malaysia mahupun ke negara-negara Asia yang lain.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai media Indonesia yang sentiasa mensensasikan sesuatu isu, beliau menyifatkan, kebebasan media adalah tiang kepada demokrasi yang diamalkan Indonesia.

Isnin, 28 September 2009

Jangkitan rasuah bila berkuasa: PAS pun akan jadi macam Umno?

Apakah nasib yang sama akan menimpa PAS apabila mereka berkuasa? Kalau tidak dibendung dari awal, kemungkinan PAS akan menerima nasib yang sama seperti Umno.

Oleh MOHAMAD SABU


Walaupun kerajaan Barisan Nasional telah berusaha dengan pelbagai cara untuk menghapuskan dan mengurangkan amalan rasuah di Malaysia, tetapi umum melihat amalan rasuah semakin menjadi-jadi. Kenyataan terbaru dari Transparency International (TI) menunjukkan bahawa amalan rasuah di Malaysia bertambah teruk.

Badan Pencegah Rasuah (BPR), yang diwujudkan semenjak zaman Tunku Abd Rahman, sudah dinaikkan taraf menjadi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Dengan bertaraf suruhanjaya, maka kuasa SPRM amat luas dibandingkan dengan kuasa semasa bertaraf BPR; kuasa 'badan' dibandingkan dengan kuasa 'suruhanjaya'.

Kita mengucapkan tahniah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di atas keberanian beliau memperluaskan kuasa pihak yang ingin mencegah rasuah.

Ukuran indeks rasuah dikeluarkan setiap tahun oleh TI. Negara-negara Barat masih jauh mendahului negara-negara umat Islam dalam indeks rasuah. Kebanyakan negara Barat mencapai angka 8.0 ke atas dalam indeks rasuah yang meletakkan angka 10 sebagai bersih rasuah.

Malaysia dan Dubai masih di bawah 6.0, manakala negara-negara umat Islam yang lain berada di bawah 4.0.

Umat Islam sepatutnya merasa malu dengan situasi rasuah di negara mereka. Selalu para ustaz bila bersyarah hal Islam akan mengeluarkan hadis nabi kita, Muhammad s.a.w. bahawa Islam itu tinggi dan tida ada yang lebih tinggi daripada Islam.

Sebagai penganut Islam, saya amat akui kemuliaan hadis tersebut, tetapi dalam praktik harian kenapa orang Islam amat kuat mengamalkan rasuah?

Reformasi menyeluruh hendaklah dilakukan terhadap umat Islam supaya agama yang mulia dianut oleh orang yang mulia.

Selalunya berlaku dan dapat dilihat bagaimana pengumpulan kekayaan mendadak kepada orang politik apabila mereka mendapat dan menikmati kekuasaan. Antara rasuah, hadiah, saguhati, sedekah, infak kadang kala bercampur aduk. Pemberi dan penerima "rasuah" boleh mencipta pelbagai istilah untuk dilihat bersih walaupun akhirnya ia tetap kotor.

Seolah-olah orang politik mesti kaya atau dilihat kaya. Untuk memenuhi tuntutan rakyat, maka orang politik terpaksa atau dipaksa menderma. Untuk mendapatkan wang tentulah melalui derma-derma dari kapitalis-kapitalis perniagaan. Derma dari rakyat sudah dianggap tidak popular.

Pemimpin politik dan tokoh perniagaan mesti berkedudukan tinggi dalam masyarakat. Justeru, gelaran seperti Tun, Tan Sri, Dato' Seri, Dato' mesti diburu. Kalau gelaran tidak dapat diperolehi secara biasa, maka pembelian gelaran diusahakan.

Di peringkat awal penubuhan Umno, ahli-ahli dan pemimpinnya menderma dan berkorban untuk perjuangan parti. Umno tidak ada wang di tahun-tahun 40-an,50-an, dan 60-an tetapi parti mereka amat kuat. Sekarang Umno menuju kehancuran kerana pemimpin mereka banyak wang.

Apakah nasib yang sama akan menimpa PAS apabila mereka berkuasa? Kalau tidak dibendung dari awal, kemungkinan PAS akan menerima nasib yang sama seperti Umno.

Semua kerajaan atau empayar Islam ranap kerana rasuah dan kehidupan mewah para pemimpin, sama ada bergelar khalifah, amir atau maharaja. Apabila unsur Firaun, Haman dan Qarun melanda kerajaan Islam, maka rakyat meluat dan memberontak terhadap kerajaan, seterusnya memudahkan Barat masuk dan menjajah dunia Islam.

Umat Islam mesti bersedia mengikut contoh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai uswatun hasanah. Kehidupan baginda amat sederhana sebagai ketua negara, dan ini mesti diteladani. Penghormatan kepada Islam akan timbul secara spontan, dan seterusnya rakyat menerima Islam di atas
kemuliaan pengamal agama tersebut.

Umat Islam mesti melakukan proses reformasi, terutama untuk membanteras rasuah, secara bersungguh-sungguh. Jangan jadikan orang lain sebagai contoh utama, selain daripada Nabi kita Muhammad s.a.w.

Wajar sekali kita merenung teguran Abu Zar al-Ghifari r.a. kepada Muawiyah r.a: "Kalau kamu membina istana yang besar dengan wang sendiri, ia membazir dan pembaziran adalah amalan syaitan. Tetapi kalau kamu membina istana besar dengan wang rakyat, ia adalah haram."

Perangilah rasuah sama ada terhadap pemberi atau penerima. Muliakanlah Islam melalui reformasi sosial secara bersungguh-sungguh.

Siapa Pengerusi BN sebenarnya?

Oleh jinbukitridan


Mutakhir ini kebanyakan rakyat kian keliru tambah celaru apabila melihat Tun Mahathir lebih banyak membuat kenyataan berkenaan pilihanraya berbanding Najib dan Muhyidin! Akhbar pula seakan mengekori ke mana saja mantan PM ini pergi untuk mendapat ‘amanat’.

Mengapa Najib dan Muhyidin kelihatan agak terkebelakang berbanding Mahathir? Ada pendapat mengatakan mereka telahpun mendapat pengajaran daripada beberapa siri Pilihanraya Kecil yang lalu justeru kali ini mereka lebih berhati-hati untuk membuat kenyataan.

Manakan tidak dengan kuasa memerintah ditangan ditambah pula dengan monopoli jentera kerajaan mereka masih juga belum berjaya meyakinkan rakyat untuk kembali kepangkuan mereka.
Bagi Tun barangkali mula merasakan gagasan yang diasaskannya iaitu wawasan 2020 semakin kabur pencapaiannya jika keadaan politik yang tidak memihak BN ini berterusan. Lalu sebagai ahli UMNO yang berpengalaman barangkali beliau mengambil serius pilihanraya kecil kali ini terutamanya isu calon yang bersih ,kununnya. Malah menurutnya jika beliau menjadi Isa Samad beliau tidak akan menerima pencalonan untuk bertanding sebaliknya akan berhempas pulas untuk memastikan penggantinya menang di Bagan Pinang . Kita fikir agaknya itulah perkara terakhir yang akan berlaku kepada umno. Tidakkah Tun sedar kerana calon dan berebut kuasa di kalangan merekalah keadaan politik di Terengganu sehingga kini tidak stabil? Berpuak-puak dan berjuak-juak! Juga kerana pangkatlah ada insan yang tertangkap rasuah dalam pemilihan Agong umno yang lalu? Apakah mereka ini bersih sehingga masih diberi amanah untuk memerintah?

Pada kita sepatutnya Tun membuka jalan seluas-luasnya kepada Najib untuk membuat keputusan. Barangkali Najib juga ada Syura dan Istikharahnya!? Mengapa di zaman Tun menjadi PM tidak ada ahli umno yang menentang penarikan balik bantuan ke Sekolah Agama Rakyat dan perlaksanaan PPSMI? Barangkali waktu itu mereka menghormati Tun sebagai ketua walaupun langkah itu mundur dua tapak ke belakang mereka tetap ‘menjaga hati’ Tun. Dan kini tibalah giliran Tun untuk patuh dan menghormati apa jua keputusan yang dibuat Pengerusi BN yang baru walaupun pada pandangan peribadi beliau kurang sesuai.

Kenyataan awal Tun di media hanya akan mengundang serba-salah di kalangan 'syura' umno untuk membuat keputusan. Umno Teluk Kemang mahukan Isa sementara Tun awal lagi sudah membantah agaknya apakah yang bermain di fikiran Tok Jib? Ditelan mati emak diluah mati bapak!

Apa yang ingin dihairankan. Isa Samad atau sesiapa jua yang bakal menjadi calon tetap akan ditentang oleh Pas dan PR. Bukan batang tubuh Isa yang menjadi musuh tapi dasar umno yang tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat. Pemimpin mereka hidup senang-lenang sementara rakyat kebanyakan ada yang tak makan. Mereka lebih pandai memutar retorik dan istilah dari bekerja untuk rakyat.

Tiga jenis hukuman dalam Umno

Zainal Yusof
(ANALISIS)


UTUSAN Malaysia hari ini, Isnin 2009, September 28 di ruangan SUARA BLOG memetik beberapa pendapat melalui blog-blog berikut azlishukri.blogspot.com, c-bok.blogspot.com, perfectwater75.blogspot.com dan umnobahagiancheras.blogspot.com.

Rata-rata memberi cadangan, kecuali blog umno bahagian cheras mahu menyampaikan mesej supaya 'jangan memilih' bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon BN di DUN Bagan Pinang.

Esok, 29 September 2009, calon Umno bakal diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Kesemua hujah itu baik-baik belaka, walaupun Utusan Malaysia (Lukman Ismail lukman@utusan.com.myAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya ) menyebut pandangan ini sebagai polemik tetapi ia sebenarnya pendapat 'sebelah pihak' sahaja tanpa memberi kesempatan kepada Mohd Isa yang pernah menang kerusi Naib Presiden Umno mempertahankan dirinya sendiri.

Dalam Umno, memang tepat kata pepatah Melayu, 'kalau pokok sudah tumbang, kura-kura pun ingin memanjat'. Dalam politik Umno, membela mereka yang teraniaya memang bukan tradisi dan sesiapa yang 'terkena', tanggunglah sendiri.

Mohd Isa pun tidak berhasrat meminta bantuan sesiapa untuk membela dirinya. Kepada Allah dia berserah kerana bagi Mohd Isa, kesetiaan dirinya kepada Umno tidak ada tolok bandingnya. Jika orang lain 'terkena' macam mana dia kena, mungkin orang itu akan melompat macam kera kena belacan.

Memetik satu ucapan Mohd Isa ketika berkempen di pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir, Pasir Mas... "Kalau nak kira marah kepada parti, sayalah orang yang boleh marah. Saya kehilangan jawatan Naib Presiden, Ketua Bahagian, Ketua Cawangan dan Menteri Wilayah Persekutuan tetapi Datuk Ibrahim Ali (yang bertanding sebagai calon Bebas ketika itu) hanya kehilangan jawatan Ketua Bahagian."

Dia mahu memberitahu pengundi-pengundi di Permatang Pasir (Pasir Mas), jika diambil kira apa yang Datuk Ibrahim Ali 'kerugian' pun tidak sama dengan apa yang beliau 'rugi' angkara mereka yang 'cemburu' dengan kemenangannya sebagai Naib Presiden No 1, dengan undi 1,507 dalam pemilihan tahun 2004.

Image(Gambar:Isa dan anaknya Najib (berbaju puteh kanan sekali) semasa majlis pengebumian jenazah Allahyarham Azman...menjadi mangsa serangan bertalu-talu)

Itulah sebabnya, kalau sesiapa yang masih ingat ketika 'perbicaraan' yang dijalankan oleh Lembaga Disiplin Umno terhadap Mohd Isa, 'target' mereka hanya mahu mengenakan Mohd Isa dan dalam masa yang sama melepaskan orang-orang lain walaupun ada aduan dibuat terhadap orang lain.

Malah, Setiausaha Agung Umno ketika itu, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad cepat-cepat mengumumkan "pintu aduan politik wang sudah ditutup" sebaik sahaja Mohd Isa 'dimasukkan ke dalam perangkap'. Sudahkah Umno kini bersih dari politik wang apabila Mohd Isa sudah dihukum?

Soalan ini saya harapkan dapat dijawab oleh Dr. Mahathir, Dr. Mohd Poad Zarkashi dan Datuk Saifuddin Abdullah yang ghairah mahu bercakap juga dalam isu 'pemilihan Mohd Isa sebagai calon di DUN Bagan Pinang'.

Dalam Umno, ada orang yang kena 'tangkap' terlibat dengan politik wang, digugurkan dari semua jawatan. Orang itu ialah Mohd Isa. Ada pula, yang 'ditangkap' kerana kononnya didakwa terlibat dengan politik wang, dihukum dengan hukuman tidak boleh bertanding dalam pemilihan parti tetapi kemudiannya dilantik menjadi Ahli MT dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, tanpa menjejaskan kedudukan sebagai Ketua Menteri. Orang ini ialah YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Ada pula yang diputuskan sebagai bersalah tetapi diberi amaran dan dibenarkan bertanding. Orang ini ialah YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Satu pertanyaan yang ingin saya lontarkan kepada semua penulis blog yang terlibat menulis mengenai Mohd Isa supaya tidak dipilih menjadi calon dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang ? kenapa mereka bersetuju Mohd Isa dihukum dua kali dengan satu kesalahan yang mungkin memang dia lakukan dan mungkin juga bukan dia lakukan, melainkan fitnah semata-mata?

Bukankah lebih baik, hukuman terhadap Mohd Isa dijatuhkan mengantung keahliannya untuk seumur hidup ? atau memecatnya! Ahli-ahli Umno di Bahagian Teluk Kemang mungkin terkeliru memilih semula Mohd Isa menjadi Ketua Umno Bahagian dalam pemilihan yang baru lalu, kerana mungkin mereka merasakan Mohd Isa sudah 'bersih' apabila selesai menjalani hukuman.

Malangnya, Mohd Isa rupa-rupanya 'masih ada satu lagi hukuman' menanti, iaitu hukuman cemburu kepada kebolehan dan kemampuan beliau menjadi seorang ahli parti yang setia dan berhemah.

Tulisan saya ini bukan mahu membela Mohd Isa. Samada Mohd Isa terpilih menjadi calon atau tidak, ia bukan urusan saya tetapi, berulang-ulang menyerang Mohd Isa, terutama oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dua orang Timbalan Menteri (yang masih belum bersumpah yang mereka bersih dari politik wang) seolah-olah 'menghina' Mohd Isa juga adalah sesuatu yang salah di sisi Perlembagaan Umno.

Tahun ini, sebulan dua lagi, akan ada pindaan Perlembagaan Umno. Tambahlah satu klausa di dalam perlembagaan itu, sesiapa yang terlibat dan dibuktikan bersalah kerana politik wang, hendaklah dihukum gantung keahlian seumur hidup atau sepanjang hayat dan dilarang sama sekali dipilih menjadi calon dalam pilihan raya kecil atau pilihan raya umum.

Hujah kononnya jika Umno Bahagian Teluk Kemang seolah-olah tidak mempunyai pemimpin pelapis jika masih mahukan Mohd Isa dicalonkan semula sebenarnya hujah paling lemah dalam banyak-banyak hujah politik yang pernah saya jumpa setakat ini.

Malang bagi Umno, walaupun mempunyai penulis yang simpati kepada parti terbesar orang-orang Melayu ini, namun mereka tidak cukup berkaliber untuk berhujah. Jika dalam DAP, orang yang duduk di atas kerusi roda, tidak boleh lagi bersalaman dengan pengundi dan menjalankan aktiviti bergotong royong masih boleh terus dicalonkan dan dipilih menjadi wakil rakyat, tetapi dalam Umno, ia akan menjadi bahan cercaan.

Dalam DAP, walaupun ada bekas banduan dicalonkan dan menang, tiada siapa yang mahu menyebut kisah kenapa dia merengkok di Penjara Kajang kerana 'perjuangan' orang itu mungkin mereka anggap sebagai perjuangan seorang wira.

Dalam Umno, mereka yang berucap di pentas pembangkang, mereka yang menubuhkan parti lain dan berusaha menumbangkan Umno, boleh dimaafkan begitu sahaja tetapi orang yang bekerja keras mempertahankan Umno hingga Dr. Mahathir boleh kekal menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, dihina sesuka hati seolah-olah Mohd Isa lah orang yang bertanggungjawab menjahamkan Umno selama ini.

Selama 22 tahun Mohd Isa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, pernahkah beliau membawa prestasi Umno (BN) di Negeri Sembilan seperti apa yang berlaku seperti dalam PRU 12 yang lalu?

Datuk Shahrir Abdul Samad yang mengosongkan kerusi di Parlimen Johor Bahru dalam tahun 1988, bertanding semula menggunakan lambang Bebas (Kunci), berjaya mengalahkan calon BN (Umno) dengan majoriti 12,613 undi boleh diterima semula menjadi Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, menang bertanding Majlis Tertinggi (MT), dilantik menjadi Menteri dan pernah dilantik menjadi Ahli MT, seolah-olah perbuatan Shahrir itu 'mulia' dan tidak pula kedengaran cakap-cakap yang mengatakan "jika Umno Bahagian Johor Bahru masih mencalonkan Shahrir bererti Umno Bahagian Johor Bahru ketandusan pemimpin pelapis."

Memetik kata-kata Dr. Mahathir yang terlalu rajin memberikan nasihat walaupun tidak diminta (nasihat ini berguna jika nasihat itu diminta), "Jika saya jadi Isa (Tan Sri Mohd Isa) saya akan desak parti supaya tidak mencalonkan saya." Jika Mohd Isa pula menjadi Dr. Mahathir (barangkali), Isa akan menolak untuk bercakap atau memberikan nasihat ketika yang tidak ada siapa mahu mendengar nasihat itu dan tahukah Dr. Mahathir, cakap-cakapnya itu telah merosakkan Umno walaupun dia tentunya tidak mahu mengakui bahawa dia sekarang sudah menjadi makhluk perosak.

Ada yang berkata, pemilihan Mohd Isa membuktikan bahawa tidak mahu memberi peluang kepada generasi baru terajui Umno (Shahrir Samad - Utusan Malaysia muka surat 15, September 28, 09) - mengambarkan dalam Umno, orang tua sudah tidak berguna.

Bolehkah Dr. Mahathir mengesahkan kepada umum bahawa anaknya, Datuk Muhkriz yang bertanding tetapi tewas dalam pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda Umno bersih dari gejala politik wang? Jika Dr. Mahathir boleh mengesahkannya, carilah anaknya, atau anak-anak besannya yang ada di Negeri Sembilan supaya dipilih menjadi calon di DUN Bagan Pinang.

Ketika Dr. Mahathir dan Shahrir Abd Samad sudah senada, sehayun dan selenggang, Umno mungkin sudah kembali kuat dan orang-orang lama seperti Mohd Isa bolehlah memilih langkah sendiri untuk terus berkecimpung dalam politik.

Jika Mohd Isa bersikap seperti Ibrahim Ali, memilih bertanding atas tiket pembangkang dalam PRU 12 yang lalu, saya yakin Negeri Sembilan juga senasib dengan Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Namun, kesetiaan Mohd Isa kepada parti dibayar dengan penghinaan begini rupa oleh Dr. Mahathir, Dr. Mohd Poad Zarkashi dan Datuk Saifuddin Abdullah kerana 'setia' sudah tidak mahu dinilai dalam perjuangan baru Umno di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak! _

Teng dakwa Hasan Ali berbohong

Rahmah Ghazali


Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Kim menuduhkan exco negeri yang juga pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Ali berbohong.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Shah Alam hari ini, Teng berkata, Hasan telah dilaporkan mendakwa beliau telah menuduh pegawai daerah Klang, Bakhtiar Hussin sebagai "tidak cekap" dan "tidak layak".

Teng mendakwa, Hasan kini berbohong lagi untuk menutup pembohongan pertamanya.

Sebelum ini, Hasan meminta supaya dirombak Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) yang dipengerusikan oleh Teng.

Teng yang juga ADUN Sungai Pinang berkata beliau bimbang tindak tanduk Hasan itu boleh menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.

Hasan dikritik rakan-rakannya dalam Pakatan selepas beliau mengkritik siasatan awam Selcat yang didakwanya telah 'memalukan' pegawai kerajaan.

Selcat mengadakan siasatan tersebut untuk menyiasat bagaimana wakil rakyat BN membelanjakan peruntukan tahunan RM500,000 dalam masa dua bulan sebelum pilihanraya umum pada Mac tahun lalu.

Isu Selcat: Hasan Ali perlu tegas menyatakan pendiriannya yang Islamik, kata Dr Asri

Oleh ZIEMAN


PETALING JAYA: Kritikan Pesuruhjaya PAS Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali terhadap tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) turut mendapat reaksi dari mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin.

“Saya berpendapat YB Dato Dr Hasan Ali mestilah terus bertegas menyatakan sikap yang telus dan pendiriannya yang Islamik walaupun mungkin bertentangan dengan Kerajaan Negeri. Itu sebagai tanggungjawab ‘hisbah’ atau membetulkan perjalanan pemerintahan," jelas beliau pagi tadi.

Menurut Dr Asri, kerajaan-kerajaan yang baru diberi mandat oleh rakyat jangan dibiarkan merasa begitu 'complacent' dan berani untuk buat apa sahaja yang akhirnya penyakit-penyakit lama dalam politik dulu akan diwarisi oleh kerajaan-kerajaan yang baru.

"PAS sebagai parti yang selama ini melaungkan slogan Islam tidak boleh tenggelam dalam permainan politik sehingga melupai prinsip-prinsip yang pernah dinyatakan," kata tokoh agama yang terkenal dengan kelantangannya menyuarakan pendapat dan tidak berpihak pada mana-mana parti politik.

Kata Dr Asri lagi, jika selama ini PAS lantang mengkritik Kerajaan BN, apakah wajar untuk PAS membisukan apabila melihat kecacatan yang nyata dalam kerajaan yang dikongsinya dengan orang lain.

"Selama PAS menyatakan prinsipnya dan sikapnya yang Islamik, maka PAS akan dianggap berpendirian dan tidak hanyut dalam permainan politik semata,” jelas Dr Asri.

Sebelum ini, Hasan mempertahankan kritikannya terhadap tatacara Selcat dan menyifatkan kritikan itu sebagai satu tindakan wajar.

"Adakah salah bagi seorang Exco untuk mencadangkan kepada Selcat agar mempertingkatkan kecekapan, keberkesanan imejnya dan penerimaan oleh publik," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan PAS Selangor baru-baru ini.

Pendirian Hassan yang terus-terusan mempertikaikan isu Selcat telah mencetuskan polemik baru dan mendapat rekasi pelbagai dari beberapa pihak.

Namun, PAS pusat yang akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini, tidak bercadang untuk mengambil tindakan disiplin ke atas Dr Hassan. Sebaliknya, pucuk kepimpinan parti itu hanya mendapatkan penjelasan lanjut daripada Hasan iaitu Exco kanan Kerajaan Negeri Selangor.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa juga berpendapat usul supaya Hasan harus dikenakan tindakan cuma perbezaan pandangan yang wujud di kalangan pemimpin negeri dan pusat.

"Ianya bukan menunjukkan ada usaha mahu menjatuhkan beliau. Saya tidak melihat kepada keperluan sampai ke peringkat itu kerana bagi saya Datuk Hasan memberikan pandangan beliau tentang perlunya prosedur Selcat diperbaiki. Bagi saya memberikan pandangan sebegitu tidaklah sampai perlu diambil tindakan disiplin," jelas Nasharudin.

PAS Selangor juga bersetuju bahawa jika Selcat menerima pandangan Hasan, ia boleh berfungsi dengan lebih baik.

Mafrel mahu SPR kaji pemberian status undi pos

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula status pengundi pos di kalangan anggota tentera dan polis supaya lebih relevan dengan perkembangan semasa.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata sudah tiba masanya SPR meneliti pemberian status undi pos terutamanya dikalangan anggota keselamatan berkenaan kerana keperluannya sudah berbeza sejak ia diperkenalkan.

"Kami akan mencadangkan kepada SPR supaya undi pos dikaji semula terutamanya pemberian status kepada anggota tentera dan juga polis.

"Kalau dulu memang benar anggota tentera bekerja di sempadan, sukar untuk mereka membuang undi seperti pengundi biasa.

"Tapi kini situasinya sudah agak berubah kerana kebanyakkan mereka hanya berada di kem masing-masing dan mereka mempunyai kesempatan untuk keluar mengundi pada hari pengundian," katanya kepada mStar Online.

Tambah beliau, SPR perlu menimbangkan mengenai perkara tersebut bagi memastikan ketelusan undi pos.

"Undi pos agak kritikal terutamanya bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang nanti.

"Jadi langkah mengkaji pemberian status kepada anggota keselamatan yang benar-benar sedang berkhidmat di luar kawasan perlu dipertimbangkan... manakala bagi anggota (keselamatan) lain yang tidak menghadapi kesukaran untuk keluar mengundi seperti biasa, kelayakan (status undi pos) mereka perlu ditarik," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang akan bermula 3 sehingga 11 Oktober ini menyaksikan jumlah pengundi undi pos sebanyak 4,604 orang dari 13,664 pemilih berdaftar.

Sehubungan dengan itu Syed Ibrahim berkata, Mafrel berhasrat untuk mengadakan perjumpaan dengan pihak SPR bagi membincangkan mengenai cadangan tersebut dalam masa terdekat.

"Kita bercadang untuk bersemuka dengan SPR bagi membincangkan mengenai banyak perkara yang berkaitan bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar.

"Malah kita juga ingin mengemukakan permohonan kepada SPR supaya Mafrel diberikan kebenaran untuk memantau proses perjalanan undi pos... pemantauan itu bukan sahaja semasa pembuangan undi tapi perlu kepada keseluruhan prosesnya," katanya.

Pengundi kecewa Ibrahim Ali khianati amanah

Mohd Nor Yahya


KOTA BHARU : Tanpa lambang bulan sudah pasti Datuk Ibrahim Ali tidak akan merasai kedudukan seperti sekarang, sebagai anggota parlimen Pasir Mas, namun beliau melupakan segala-galanya dan 'menggigit tangan yang menyuapkannya makanan'.

Ini kerana sokongan padu penyokong PAS dan Pakatan Rakyat membolehkan merasai kembali jawatan itu selepas menang di atas tiket Semangat 46 pada 1990.

Namun Ibrahim melupakan segala jasa dan keringat ahli dan penyokong PAS yang bekerja keras memenangkannya pada pilihan raya umum ke-12 Mac 2008. Kata orang tua-tua, ibarat kacang sudah lupakan kulit.

Pengundi di Pasir Mas ketika ditemui menyokong penuh saranan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Ibrahim meletak jawatan kerana telah mengkhianati amanah rakyat.

Pesara kerajaan, Mohamad Osman, 67 dari Kampung Kasa berkata, hanya pemimpin yang tiada maruah sahaja sanggup mempertahankan kedudukannya biar pun dicemuh seluruh pengundi.

"Tindakan Ibrahim sekarang seolah-olah membunuh karier politik sendiri. Selepas ini siapa lagi yang mempercayai pemimpin seperti itu," katanya di sini.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan hari ini sekali lagi mengulangi pendiriannya supaya Ibrahim menggosongkan kerusi parlimen Pasir Mas memandangkan sikap dan tindak tanduknya bertentangan dengan perjuangan PAS.

"Saya akan terus mendesaknya melepaskan jawatan wakil rakyat di Pasir Mas kerana dia bertanding atas tiket PAS. Namun kini menentang menentang dasar PAS dan kerajaan negeri.

"Wakil Rakyat macam ni orang tak boleh terima sebab tak ada pendirian dan prinsip perjuangan," katanya ketika ditemui media di majlis Hari Raya Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV hari ini.

Ekoran desakan Tuan Guru Nik Aziz sebelum ini, Ibrahim mahu Menteri Besar Kelantan itu meletak jawatan dengan dakwaan gagal membawa kemajuan dan pembangunan di negeri ini.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, rakyat di Pasir Mas telah meluahkan rasa kecewa kerana anggota parlimen yang mereka pilih telah menggadai prinsip perjuangan.

Ibrahim merupakan bekas Ketua Bahagian Umno Pasir Mas telah dilucut keahlian seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum 2004. Manakala pada pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir pada 2005 sekali lagi beliau bertanding di tiket Bebas namun hilang deposit.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, setiap PAS kawasan ditugas menyediakan juadah antaranya nasi dagang, satay, lemang, Roti jala, martabak, kuih muih dan minuman.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh pimpinan PAS kawasan yang sanggup menyediakan pelbagai juadah.

"Ini melambangkan perpaduan ahli di peringkat akar umbi begitu kukuh dan sanggup bekerja dalam menghadapi pelbagai cabaran," katanya. _