Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Queen Elizabeth II
SAMBUTAN Jubli Intan sempena 60 tahun pemerintahan Queen Elizabeth II
yang menaiki tahta sejak 1952 akan berlangsung UK beberapa hari lagi.
Dikatakan beberapa negara yang masih mendaulatkan Monarki British itu
seperti Australia, Canada, New Zealand dan lain-lain akan turut
menyambutnya. Di UK, sambutan kelihatan agak besar. Masih nampak
perasaan sayang rakyat pada Ratu.
Bangga
Saya sendiri merasakan, jika saya rakyat British yang asal, tentu saya
juga akan berbangga dengan sumbangan yang pernah diberikan oleh keluarga
diraja British itu. Di samping pelbagai sudut yang dikritik, British
pernah menjadi empayar yang begitu hebat dan luas sehingga disebut ‘The
Sun never sets on The British Empire’. Sebahagian kekayaan dan
kemakmuran yang dirasai oleh rakyat British hari ini adalah hasil usaha
‘penjajahan’ yang dilakukan oleh keluarga diraja British.
Sama ada secara langsung ataupun tidak. Di sudut itu, keluarga diraja
British memang menyumbang untuk negaranya. Ia bukan keluarga diraja yang
hanya menghisap hasil rakyat dan meminta mereka disanjung tanpa satu
catatan sejarah yang boleh dibanggakan. Mereka menjajah, ya! itu suatu
yang negatfve bagi kita yang dijajah. Namun, untuk negaranya mereka
telah membawa kekayaan pulang hasil ‘perahan’ negara lain. Maka,
Keluarga Diraja British ada keluarga yang berjasa dan mencatatkan
sejarah.
Sekalipun sebagai penjajah. Mereka bukan keluarga diraja yang menjemput
penjajah sehingga sanggup menyerah tanah dan rakyat untuk kepentingan
diri, tetapi mereka menakluki negara lain dan membawa hasilnya ke
Britain kembali.
Kritikan
Pun begitu sambutan Jubli Intan yang akan berlangsung itu tidak sunyi
dari kritikan. Akhbar dan orang ramai ada yang memprotes sambutan
tersebut sebagai membazir wang negara dalam keadaan ekonomi Eropah yang
tidak stabil sekarang. Ada yang membuat undian pendapat apakah sambutan
itu membazir ataupun tidak. Ada pula yang mengira kos kerugian cuti
disebabkan sambutan tersebut.
Hasrat Ratu untuk mendapat hadiah sebuah Yacht (kapal persiaran)
daripada kerajaan sempena Jubli ini pun telah ditolak apabila survey
menunjukkan 64 peratus rakyat tidak bersetuju.
Demikian ramai juga yang mengkritik sambutan Jubli ini disebabkan
antara jemputan Queen ialah raja-raja yang dianggap tidak demokratik dan
zalim dari pelbagai negara. Kritikan ditujukan kepada Queen sebagai
tidak sensitive dengan isu kemanusiaan.
Apapun, kami di sini akan dapat cuti. Segala kritikan dan sokongan
kepada Queen adalah asam garam kehidupan mereka di sini yang menghormati
hak rakyat dalam bersuara. Setuju ataupun tidak satu hal.
Namun memberikan ruang rakyat bersuara adalah tanda pemerintah yang
demokratik dan menghormati rakyat. Rakyat tidak dianggap derhaka hanya
dengan memberikan pendapat yang berbeza.
Hanya kelompok ‘jakun’ yang cuba hidup dalam dalam kalangan manusia
berakal sahaja yang menganggap memberi pendapat itu satu jenayah,
sekalipun ia tidak diikuti dengan aktiviti yang mengancam dan merosakkan
keselamatan rakyat. Ya, sudah pasti ada peraturan dan adabnya dalam
setiap perkara.
Namun hak bersuara tidak boleh dinafikan. Kita patut ‘tabik’ kepada
Monarki British di ‘sudut itu’. Mungkin perkembangan politik British
juga tidak memberikan mereka pilihan melainkan demikian. Saya rasa
itulah salah satu sebab Monarki British itu masih disayangi dan rakyat
merasakan mereka patut terus berada di situ.
Isu Malaysia
Saya terlambat ikuti perkembangan isu di Malaysia. Saya dimaklumkan
bahawa ada isu tentang istana tertentu membida number kereta sehingga
lebih RM 500,000. Saya juga dimaklumkan bahawa ada yang telah kritik isu
ini. Saya tidak tahu pendetilan isu tersebut. Saya tidak tahu siapa
yang patut dipersoalkan.
Cuma, apabila ada yang bertanya dalam Twitter, saya jawab secara umum
bahawa ‘JIKA’ golongan istana tidak boleh dipertikaikan bererti rakyat
telah mempertuhankan mereka. Ini kerana hanya Tuhan sahaja yang tidak
boleh dipertikaikan oleh manusia. Saya 'twit' hal itu secara umum tanpa
ditujukan khusus kepada sesiapa. Ada yang cuba menjadikan 'twit' itu
khusus kepada isu berkenaan.
Sebenarnya tidak. Ada pula yang menyunting rakaman ucapan saya dalam
isu lain yang dah lama semasa saya masih di Malaysia, lalu dikaitkan
dengan isu berkenaan. Itu pun tidak betul. Saya tidak tujukan kepada
peribadi, tetapi kaedah yang umum.
Saya juga setuju, menegur pemerintah ataupun raja dalam isu peribadi
memerlukan bahasa yang sesuai dan berkesan. Kritikan hendak membina.
Namun hak menegur tetap ada.
Saya mungkin tidak bersetuju dengan isi sesuatu kritikan. Bahkan saya
mungkin menentang pengkritik itu sendiri dalam isu-isu yang lain. Namun,
saya berpegang bahawa seseorang rakyat itu selagi dia menggunakan
bahasa yang wajar dan hujah yang betul, tidak wajar untuk dia dihukum
kerana mengkritik. Mana-mana pihak yang menghalang orang mengkritik
golongan bangsawan sekalipun dengan bahasa yang betul, adalah golongan
feudal yang tidak wajar menguasai politik masa kini.
Adakah sesiapa dalam kalangan pemerintah kita yang lebih mulia, hebat
dan gagah dari Saidina ‘Umar bin al-Khattab?! Beliau pernah ditegur,
namun beliau tidak menghukum pengkritiknya. Khalifah Umar bin al-Khattab
suatu hari pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu
beliau naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai manusia dengarlah!”
Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar”.
Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: Engkau berikan
kamI semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai”. Kata
‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar memanggil anaknya
Abd Allah. Kata Umar: Aku menyerumu dengan nama ALLAH, bukankah pakaian
yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku”.
Jawabnya: Ya!. Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn
Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).
Tiada hukuman pun sedangkan itu ‘Umar bin al-Khattab. Apakah kita
merasakan bahawa ada pihak yang lebih mulia dari Nabi s.a.w dan para
al-khulafa ar-Rasyidin. Nabi s.a.w sendiri pernah dipersoalkan beberapa
tindakan baginda seperti tentang isi perjanjian Hudaibiyyah yang baginda
meterai. Baginda tidak menghukum pengkritik. Sedangkan baginda seorang
nabi. Siapakah yang merasakan lebih mulia dari baginda?!
Ulama
Ulama mestilah bersikap seperti tokoh ilmuwan agung mazhab al-Shafi’i
iaitu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H). Saya telah petik kisah beliau
dalam artikel saya semasa saya masih menjadi Mufti Perlis. Saya ketika
itu mengkritik kenaikan harga barang. Artikel itu disiarkan oleh akhbar
Utusan (Mingguan Malaysia). Saya petik kisah al-Imam al-Nawawi r.h
(631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk
memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk
digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar.
Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman
musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad. Namun
ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan
fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap
tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu
untuk kepentingan negara juga.
Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong?
Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak
mempunyai harta. Kemudian ALLAH memberikan kurniaan kepadamu lalu
diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu
hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas.
Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka
memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga
hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha
perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah
tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan
untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu.
Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri
kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani
al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).
Inilah tokoh Mazhab al-Shafi’i yang sangat hebat dari segi ilmu dan
akhlak. Di Malaysia, ada yang fanatik mazhab. Pantang dengar orang tidak
berpegang dengan mazhab Shafi’i yang ‘dia faham’, terus hendak diadukan
kepada sultan dan raja. Malang sekali, sikap dan budi tokoh-tokoh
mazhab itu tidak diteladani.
Kita tidak meminta pemerintah supaya jadi seperti ‘Umar bin ‘Abd
al-‘Aziz. Kita minta jangan buat sesuatu yang menimbul persoalan dan
kegelisahan rakyat. Kita ingin sayangkan pemerintah kita dengan ikhlas.
Pihak istana akan lebih dihormati dan disayangi jika mereka mengikut
perkembangan dan perasaan rakyat.
Hari ini dunia terbuka. Memaksa orang suka hanya membakar rasa
kebencian. Namun, akhlak yang baik, teladan yang bagus dan kehidupan
yang jujur akan menjadikan sesebuah institusi itu bertambah dekat di
hati dan jiwa rakyat.
* Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis dan kini felo Pusat Pengajian Islam Oxford