HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Februari 2015

Terpaksa mengemis Ananda Krishnan, tindakan 1MDB memalukan

tony_pua

  Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Tindakan 1MDB ‘mengemis’ kepada jutawan Ananda Krishnan untuk membayar hutang tertunggak bukan sahaja memalukan, malah menunjukkan syarikat itu memang menghadapi masalah kewangan serius.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, langkah terdesak tersebut juga membuktikan bahawa tidak ada institusi pinjaman kini bersedia untuk memberi sebarang pinjaman kepada 1MDB berikutan skandal kewangan mereka.

“Tindakan 1MDB serta kerajaan terpaksa tunduk dan bergantung kepada hubungan baik dengan Ananda untuk menyelesaikan hutang adalah sangat memalukan.

“Bukankah 1MDB sebelum ini mendakwa pelaburan kontroversi mereka di Kepulauan Cayman berjumlah RM3.9 bilion sudah ditebus?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

The Edge Financial Daily semalam melaporkan Ananda bersetuju meminjamkan sehingga RM2 bilion kepada 1MDB sebagai bantuan menyelesaikan hutang syarikat dengan Maybank Bhd dan RHB Bank Bhd yang perlu dijelaskan akhir bulan ini.

Pinjaman RM2 bilion akan diperoleh selepas Ananda menyuntik wang ke dalam Powertek Investment Holdings Sdn Bhd (PIH).

Namun, langkah itu akan memberikan Ananda pegangan majoriti terhadap PIH dan menyebabkan 1MDB kehilangan kawalan kepada PIH, sebuah prospek yang tidak dapat dipertahankan dari segi politik.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP menambah, ia turut akan memberi kelebihan kepada Ananda sekaligus menjadikan 1MDB sebagai tebusan selepas ini. – Roketkini.com

[VIDEO & GAMBAR] Pemain Bola Sepak Jerman Danny Blum, Peluk Islam

KELAB GREENBOC



 

Seperti ada sesuatu tolak saya masuk masjid’

PEMAIN bola sepak dari Jerman Danny Blum, 24, telah mengisytiharkan dirinya memeluk agama Islam selepas ‘menemui sesuatu yang baharu’.

Memetik laporan OnIslam.net, Danny berkata, agama baharu anutannya itu (Islam) memberi harapan dan kekuatan terhadapnnya.

“Kadangkala hati dan perasaan tidak menentu dan saya pun tidak faham dengan diri saya ketika itu…hingga saya kenal Islam. Islam beri harapan dan kekuatan, solat menenangkan jiwa saya,” katanya.

Jelas Danny, antara keinginannya untuk memeluk Islam tercetus apabila beliau terfikir akan hidup di dunia ini yang tiada arah tujuan.

“Tinggal dalam kemewahan, setiap hujung minggu boleh bercuti, tiada tanggungjawab untuk apa pun dan apa yang akan terjadi ?,” katanya.

Danny menyertai FC Nürnberg Bavaria pada Julai lalu.

Pasukan itu bermain di Divisyen Dua bola sepak profesional di Jerman, Bundesliga.

Tidak lama selepas menyertai pasukan itu, dia mengalami kecederaan lutut dan terpaksa berehat selama enam bulan.

Jelas Danny, ketika melawat masjid, ada sesuatu yang menolaknya untuk mengetahui tentang isinya.

"Saya telah melawat masjid, dan saya terus berdebar-debar. Saya rasa ada sesuatu yang ingin saya tahu,” ujarnya.

Semenjak itu, dia berdoa lima kali sehari dan makan makanan halal. Lantas memberitahu ibu bapanya tentang keputusannya untuk memeluk Islam.

"Mereka adalah orang Kristian yang taat. Tetapi tidak lama lagi mereka berkata yang saya perlu berbuat demikian jika saya percaya bahawa ia adalah betul," katanya.

"Islam adalah agama yang aman. Iman saya mengatakan: tidak pernah memaksa sesiapa untuk melakukan apa yang dia tidak mahu. Jika anda berfikir, ia perlu datang secara sukarela dari hati! "
ujarnya

Jerman dianggarkan terdapat hampir 4 juta umat Islam, termasuk 220,000 di Berlin. -SH


LIHAT VIDEO DI SINI



'Sayangnya bertompok-tompok, bencinya merata-rata', bagaimana hendak mencari kedamaian

Saya sudah lama hendak memberikan komen tentang keyakinan pihak pembangkang yang merasakan kemenangan undi popular sebanyak 52 peratus dalam pilihanraya yang lalu akan kekal dan masih membanggakan dan berharap mereka akan dapat mendiami Putrajaya sebaga pihak yang bakal memerintah negara. ‘Optimism’ itu baik sebenarnya tetapi adakah ia kekal jika kita dengar dan lihat apa yang sedang berlaku di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat misalnya.

Keadaan sebelum pilihanraya yang lepas kita merasakan seolah-olah UMNO dan BN itu tidak akan mencapai kemenangan lagi kecuali di beberapa tempat dan kawasan yang menjadi kubu kuat UMNO itu. Tetapi akhirnya Pakatan Rakyat tidak juga mendapat kepercayaan untuk mentadbir walaupun ada pemimpin dalam Pakatan Rakyat berkeyakinan untuk memenangi sebanyak 125 kerusi dari 222 keruasi kesemuanya dalam Dewan Parlimen Malaysia.

Mereka berkeyakinan penuh untuk mara ke Putrajaya dan mentadbir negara ini dengan baik seperti yang mereka mengakui berkemampuan untuk menunjukan perbezaan berbanding dengan BN. Ada pemimpin yang telah memberikan amaran yang mereka akan memerangi salah laku yang dilakukan oleh pemimpin BN yang dikatakan akan tewas dan duduk dipetak pembangkang saki baki yang masih memenangi kerusi masing-masing.

Yang mereka berjaya hanyalah memenangi undi popular sebanyak 52 peratus dan itulah yang mereka jajakan untuk memberikan keyakinan setidak-tidaknya kepada diri mereka sendiri yang mereka kali ini kan terus berjaya memenangi lebih banyak kerusi. Mempunyai keyakinan dan bersikap positif itu baik sebenarnya tetapi biarlah keyakinan itu dilandaskan kepada hakikat yang realistik yang kita sedang berada di dalamnya sekarang. Saya sendiri cuba untuk memberikan keyakinan kepada diri saya sendiri yang kali ini pembangkang akan mengambil giliran untuk memerintah negara.

Tetapi usaha saya untuk memberikan keyakinan itu tidak pernah berjaya kerana saya sentiasa bertanya kembali dimanakah letaknya harapan untuk menambah kerusi atau mengekalkan peratusan undi popular itu jika tidak dapat menambahnya?

Dalam keadaan PAS, PKR dan DAP dalam keadaan begitu rapat sebelum pilihanraya yang lalu Pakatan Rakyat tidak dapat menguasai kerajaan, bagaimana kita hendak meyakinkan diri kita yang keadaan itu akan kekal dengan pergeseran yang begitu ketara yang berlaku di antara parti-parti Pakatan Rakyat. Semasa tidak ada pergaduhan di antara PAS dengan DAP dahulu kita masih tertinggal walaupuin dapat mengurangkan majoriti kemenangan BN itu.

Hubungan di antara PAS dan DAP begitu akrab khususnya di antara pemimpin-pemimpin parti-parti itu semasa itu. Ada yang beranggapan rapatnya DAP dan PAS ibarat dua orang yang ‘bertambat bulu’, bak kata orang-orang tua dahulu. Tetapi semuanya sudah menjadi sejarah dan sehingga hari ini keadaan semakin buruk yang berlaku di antara kedua-dua parti itu.

Pergeseran di antara parti-parti ini tidak boleh dianggap sebagai pergolakan yang mudah diselesaikan kerana ia membabitkan isu dan perjuangan pokok bagi kedua-dua parti itu. Pergeseran ‘intra-parti’ dalam Pakatan Rakyat begitu ketara dalam isu undang-undang hudud dan pilihanraya kerajaan tempatan.

Apakah keajaiban yang akan berlaku untuk meyakinkan diri kita yang Pakatan akan mendapat undi popular yang lebih tinggi dan seterusnya menguasai kerajaan Persekutuan itu?

Bagi saya dengan kenyataan PAS dan DAP sehari dua ini membayangkan yang cita-cita untuk memenangi Putrajaya melalui persepakatan yang terlalu longgar di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu tidak akan membawa mereka kemana-mana dan impian untuk ke Putrajaya itu hanyalah mimpi di siang hari sahaja.

Terutamanya DAP dan PKR, parti-parti ini hanya akan merasakan sebahagian dari kuasa persekutuan itu jika parti-parti ini membuat penyatuan dikalangan pemimpin-pemimpin yang berkebolehan umntuk membawa setiap pemimpin yang berjiwa besar dikalangan semua kaum duduk semeja dan berunding serta memulakan negara dan politik baru. Sememangnya sudah menjadi kenyataan perubahan perlu berlaku tetapi dengan keadaan Pakatan Rakyat pada hari ini perubahan itu tidak akan membawa apa-apa kejayaan. Itu adalah kenyataan dan hakikatnya yang ada pada hari ini.

Negara perlukan ‘overhaul’ yang serius dan semua sistem politik dan parti-parti yang bermain politik negara ini perlu di ‘cannibalized’ dan membina politik itu kembali dari mula. Apa yang ada Dan wujud hari ini tidak lagi ‘sustainable’ dan ia tidak memberikan faedah kepada parti-parti yang ada terutamanya kepada parti-parti DAP dan PKR.

Perubahan poltik perlu berlaku secara 'structural' bagi kita berada dalam situasi dan ‘ambience’ yang baru yang boleh membawa penyatuan semua kaum yang berpanjangan. Pemimpin-pemimpin parti-parti politik lebih-lebih lagi parti yang berkuasa telah mengabaikan negara dan rakyat, mungkin kerana terlalu lama berkuasa dan mengambil segala-gala ‘for granted’ dan tidak menumpukan usaha dan tindakan mereka kepada membawa kepada ‘ultimate’ kita iaitu ‘national unity’.

Pemimpin-pemimpin politik baik dari kerjaan mahu pun dari pembangkang tidak lagi berjiwa besar malahan hampir semua dari mereka berjiwa fakir dan memainkan peranan dalam politik kotor yang tidak ada tolok bandingnya.

Politik yang berpijak keatas bumi yang nyata sudah tidak nampak berlaku lagi. Dari kedua-dua belah pihak politik dimainkan secara kotor dan sarat dengan tiga elemen beracun, iaitu ‘greed, anger and foolishness’ dan ini tentunya adalah elemen-elemen yang ‘devilish’ yang akhirnya akan menghancurkan sistem politik dan perjuangan negara itu sendiri.

Semuanya akan hancur baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang kerana jika ketiga-tiga elemen ini masih tidak dapat dibuangkan dari diri pemimpin-pemimpin kita keadaan akan terus jadi seperti yang kita alami sekarang dan ia akan secara deras akan menghancurkan budaya dan politik negara yang telah di bina oleh ‘founding fathers’ negara kita. Semuanya ‘chauvinistic’ baik dari kaum Cina mahu pun dari kaum Melayu dan kaum-kaum lain yang ada di negara ini.

Pemimpin-pemimpin kaum dan agama semuanya lemah dan mereka terpaksa menjadi pejuang perkauman atau agama untuk mendapatkan sokongan dari puak, bangsa dan mereka dari agama mereka.

Kita dalam kekontangan kepimpinan yang berjiwa besar kerana politik telah di ‘hijacked’ oleh mereka yang lemah yang keliru dan tidak memahami kenapa mereka menjadi pemimpin kerajaan mahu pun pembangkang sekarang ini.

Semuanya mengaku menyayangi semua bangsa dan rakyat berbilang kaum, tetapi mereka yang sama juga yang mempunyai sifat ‘sayangnya bertompok-tompok, bencinya merata-rata’. Telunjuk mereka lurus tetapi kelengkeng mereka berkait-kait.

Guna WhatsApp banteras jenayah


Hashim dan Tengku Zaihan (kanan) memakaikan jaket pada operator parkir kenderaan pelancong Pulau Perhentian di Kuala Besut, semalam. Hashim dan Tengku Zaihan (kanan) memakaikan jaket pada operator parkir kenderaan pelancong Pulau Perhentian di Kuala Besut, semalam.
 
 
KUALA BESUT - Polis Terengganu akan menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai langkah untuk membanteras jenayah.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Datuk Hashim Abd Jalil berkata, setiap daerah akan mewujudkan kumpulan WhatsApp masing-masing terdiri daripada pegawai dan anggota polis, serta komuniti terlibat.

“Setakat ini, kita sudah mempunyai kumpulan WhatsApp Satu Polis Satu JKKK, Satu Polis Satu Sekolah dan 1 Polis 1 Masjid.

“Sekarang akan diwujudkan pula kumpulan WhatsApp polis dan peniaga kecil dan diikuti kumpulan polis serta ketua jabatan di setiap daerah,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan dan Dialog Timbalan Ketua Polis Negeri Terengganu bersama JKKK dan Imam Dun Kuala Besut di Dewan Terbuka Dataran Kuala Besut, semalam.

Hadir sama, Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman; Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Negeri, Superintendan Noor Zainy Mohd Nor dan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah.

Menurut Hashim, aplikasi berkenaan terbukti berkesan apabila berita tersebar hanya dalambeberapa minit, selain boleh dilengkapkan dengan gambar dan tempat spesifik.

Katanya, kemudahan itu membolehkan komuniti yang berada dalam kumpulan WhatsApp tersebut menyalurkan maklumat dengan cepat agar dapat diambil tindakan segera.

“Misalnya jika berlaku kecurian lembu, mangsa atau pengadu boleh memasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp itu, manakala polis boleh ambil tindakan terus seperti mengadakan sekatan jalan raya dan menjalankan pemeriksaan.

“Admin setiap kumpulan media sosial ini terdiri daripada pegawai polis dilantik dan dikenal pasti ketua polis daerah masing-masing,” katanya yang turut turun padang ke Pasar Tani Kuala Besut sebelum menghadiri program berkenaan.

Kelmarin, Hisham turut melawat Pondok Polis Pulau Perhentian dan pihaknya berusaha memanjangkan kepada pihak atasan untuk menaik taraf pondok tersebut sebagai Balai Polis Pulau Perhentian bagi memastikan keanggotaan di situ bertambah.

Malah, Tengku Zaihan turut menyuarakan harapan penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik selaras dengan hasrat menjadikan Kuala Besut khususnya Pulau Perhentian sebagai Gerbang Pelancongan Antarabangsa.

Sementara itu, Hashim berpuas hati dengan perkembangan kes rogol di daerah ini yang menunjukkan penurunan mendadak, hasil pelbagai usaha dilakukan polis dengan kerjasama pejabat pendidikan daerah.

“Tahun lalu, Besut mencatatkan kes rogol tertinggi, tetapi menurun dan tidak ada kes setakat ini (tahun ini). Marang sekarang mencatatkan bilangan kes tertinggi dan polis sedang berusaha untuk menanganinya dengan pelbagai kaedah,” katanya.

IGP: Kita tak akan tahu motif bunuh Altantuya

MALAYSIAKINI


 


Nampaknya Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut menyertai barisan panjang mereka yang masih tercari-cari motif di sebalik pembunuhan ngeri Altantuya Shaariibuu.

Beliau menyentuh isu itu dalam respon kepada penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang semalam menyifatkan pembunuhan bekas kekasihnya itu sebagai kerja "anggota polis jahat".
                     
Razak Baginda (kiri), yang dibebaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya, menyokong hujahnya dengan memetik kes-kes kematian dalam tahanan polis dalam temu bual eksklusif dengan The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, Khalid menegaskan bahawa walaupun "elemen jahat" wujud dalam semua organisasi, tetapi tidak semua kes kematian dalam tahanan disebabkan oleh keganasan polis.

"Hanya satu atau dua kes (di mana polis menyebabkan kematian itu). Ini berlaku di mana-mana. Jadi kenyataannya secara menyeluruh itu tidak boleh diterima," katanya kepada Malaysiakini.

Khalid merujuk kepada banyak kes di mana laporan bedah siasat mendedahkan tahanan meninggal dunia akibat penyakit.

Bagi kes pembunuhan Altantuya, Khalid berkata, proses perbicaraan mahkamah yang panjang, berakhir dengan keputusan itu bahawa wanita itu telah dibunuh oleh dua anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, yang telah pun dipecat dari pasukan itu.

"Tetapi ramai pemerhati berkata, mahkamah tidak menentukan motif dalam kes berkaitan Altantuya itu.

"Oleh itu, saya rasa kita tidak akan tahu mengapa 'polis jahat' itu bertindak seperti itu," katanya.

Dalam keputusan 2012, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa motif pembunuhan itu adalah "tidak penting" dengan kes tersebut.
      
Bagaimanapun, Khalid menegaskan bahawa kenyataan beliau itu bukan untuk mempertahankan anggotanya yang melanggar undang-undang, kerana kata beliau, pihaknya tidak akan bertolak ansur mengenainya.

Mitos tentang saiz alat sulit lelaki

MALAYSIAKINI


Dua orang pengkaji seks dari laman The Daily Dot, EJ Dickson dan Nico Lang merampaikan tujuh fakta dan mitos tentang saiz alat sulit lelaki.

Saiz besar? Tak sanggup

Lang berpendapat, alat sulit lelaki yang sebesar sembilan inci adalah ibarat kereta berperisai.

Namun beliau sendiri tidak sanggup membuat hubungan seks dengan individu seperti itu, katanya.

"Ia cantik untuk dilihat, tetapi jika ada lelaki memikirkan yang mereka boleh memarkirnya di garaj saya, dia gila," katanya dengan berkias.

Katanya, lelaki yang memiliki "kereta perisai besar" tidak semestinya mampu mengendalikan alat tersebut dengan baik.

Wanita suka saiz sesuai

Menurut Lang, kajian Australian National University menunjukkan wanita lebih menyukai saiz alat sulit lelaki yang sesuai mengikut ketinggian badan.

Lelaki rendah dengan alat sulit yang besar dan panjang dianggap tidak menarik oleh sekumpulan wanita yang menjadi subjek kajian itu, katanya.

Tidak perlu saiz besar

Pengkaji itu menyebut, fantasi ke atas saiz yang besar berpunca daripada pengaruh pornografi.

Menurut mereka, fantasi tidak perlu menjadi realiti kerana ia ibarat mengharapkan semua wanita adalah seksi.

Harapan terlalu tinggi

Wanita akan kecewa jika berharap agar lelaki yang mempunyai alat sulit besar mempunyai prestasi luar biasa di ranjang.

Seks bukan hanya untuk penetrasi

Menurut mereka, hanya 25 peratus wanita mampu mencapai orgasme menerusi rangsangan faraj.

Justeru, wanita kebiasaannya memerlukan rangsangan lain untuk memperolehi rangsangan di luar faraj.

Saiz besar akan menyakitkan

Bukan semua perempuan mahu mengadakan hubungan badan dengan lelaki yang beralat sulit besar.

Mereka memberi amaran, ia akan menyebabkan golongan wanita akan berasa sakit.

Pilihan berkurangan

Kajian menunjukkan saiz purata alat sulit apabila tegang adalah di antara 5.1 dan 5.9 inci.

Golongan wanita akan hilang peluang untuk bertemu lebih ramai lelaki jika mengkhususkan untuk mengadakan hubungan badan dengan pasangan yang mempunyai alat sulit bersaiz sembilan inci ke atas sahaja.

Isteri PM India terima layanan 'kelas kedua'

MALAYSIAKINI



 
 
 
Kunjungan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke India minggu menimbulkan tumpuan ke atas kehidupan misteri isteri perdana menteri tuan rumah.

Tanda tanya mengenai kehidupan Jashodaben itu timbul kerana Jashodaben Chimanlal Modi tidak kelihatan di perarakan Hari Republik India.

Siasatan oleh agensi berita Reuters kemudiannya mendapati, Jashodaben Chimanlal Modi semakin kecewa dengan layanan "kelas kedua" yang diterimanya.

Jashodaben dan anggota keluarganya malah terpaksa menyediakan keperluan untuk pengawal keselamatan yang disediakan untuknya.

“Saya dikelilingi lima orang pengawal keselamatan pada setiap masa.

Sudah banyak kali keluarga saya atau saya sendiri terpakasa memasak untuk mereka, kakak ipar saya terpaksa kemas tempat tidur mereka.

“Ini sangat menjengkelkan,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Perarakan besar sempena Hari Republik India itu dihadiri Obama bersama isteri, Michelle Obama.

Status perkahwinan Perdana Menteri India, Narenda Modi tidak diketahui umum sehinggalah beliau mengakuinya pada April lalu.

Modi bagaimanapun meneruskan kehidupan seperti seorang bujang, lapor agensi itu.

Menurut laporan itu, kedua-duanya mendirikan rumah tangga ketika baru belasan tahun. Jashodabe berusia 17 tahun dan Modi, 18 tahun pada masa itu.

Tiga tahun kemudian, Modi menjauhkan diri dari isterinya dan menumpukan perhatian pada sebagai pekerja kempen parti Rashtriya Swayamsevak Sangh, sebuah parti nasionalis Hindu, dan menyertai politik.

Jashodaben menjadi guru sekolah dan kedua-duanya tidak menuntut penceraian dan tidak berkahwin semula.

Beliau kali terakhir bercakap dengan Modi pada tahun 1987.
 

Kisah di sebalik sebilah rotan


*AYAH saya bernasib baik. Dia sepatutnya antara orang terawal dihukum penjara kerana merotan betis dan punggung saya. Sebenarnya rotan sepanjang setengah depa itu menjadi peraturan dan hukum-hakam dalam rumah.

Kalau saya membaca muqaddam tersilap dengung, kena rotan, zappp! Balik rumah – selepas melastik burung – melebihi waktu maghrib, rotan lagi. Jika liat bangun subuh atau malas buat kerja sekolah, zappp lagi.

Sekiranya cikgu merotan saya sebab buat bising dalam darjah, jangan mengadu pada ayah. Kalau mengadu, ayah tidak menyebelahi anaknya, sebaliknya dia akan menambah satu lagi rotan di punggung saya.

Kalau ketika itu merotan anak menjadi satu kesalahan jenayah, pasti ayah saya dan beribu-ribu lagi ibu bapa di seluruh negara akan dipenjarakan. Mungkin penjara kita dipenuhi banduan rotan.

*LEBIH setengah abad lalu merotan adalah perkara biasa, bukan sahaja di kampung saya malah di seluruh negara. Setiap rumah ada rotan, setiap bilik darjah ada rotan, dan di bilik guru besar rotannya lebih besar dan lebih panjang.

Rumah tok ketua ada rotan, rumah tok siak ada rotan. Hatta tok mudim yang kerjanya hanya menggunakan pisau pun ada rotan. Guru dan ustaz yang mengajar anak-anak mengaji al-Quran awal-awal sudah diberi kebenaran merotan.

Pada hari pertama menyerahkan anak kepada cikgu sekolah atau guru mengaji, ibu bapa berkata: “Saya serahkan anak saya pada cikgu, ustaz. Kalau dia degil cikgu rotanlah mana yang patut, asal jangan sampai patah riuk...”

Hari ini rotan lebih banyak digantung sebagai penghias tiang. Guru, guru besar, hatta pengetua tidak lagi merotan murid kecuali untuk kes-kes tertentu.

Dan sehari dua ini menteri kata merotan anak boleh menjadi kesalahan jenayah. Maka hebohlah ‘satu Malaya’.

*KESIAN saya pada Datuk Seri Rohani Abdul Karim. Belum apa-apa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu sudah dihentam berbagai-bagai pihak. Semuanya gara-gara kenyataan beliau bahawa merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah di negara ini.

Cadangan tersebut akan dilaksanakan jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.

Maka riuh-rendahlah seluruh negara. Ada yang kata cadangan menteri itu tidak sesuai di tempat kita. Ada yang menempelak, kita jangan terikut-ikut negara luar yang terlalu liberal. Ada yang kata undang-undang itu tidak menepati hukum Islam, sebab Islam menggalakkan orang merotan anak.

Tetapi ada pula bijak pandai agama kata, Islam tidak menuntut ibu bapa merotan anak. Semua orang berhujah berkobar-kobar, padahal undang-undang belum pun ke parlimen. Dulu, kini dan selamanya, rotan memang pencetus semangat.

*ROTAN atau tidak? Kalau tanya saya, boleh rotan asal jangan sampai cedera teruk. Ayah dan cikgu saya dulu-dulu selalu merotan punggung, betis, tapak tangan saya. Tetapi tidak pernah cedera. Kalau tidak dirotan, saya mungkin jadi cempiang @ penyangak.

Kalau merotan hingga lebam dan patah-riuk, rujuk sahaja pada undang-undang sedia ada. Peruntukan sedia ada telah pun menjadikan perbuatan merotan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau mental sebagai suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Pendek kata tidak perlu buat atau pinda undang-undang baharu. Kuatkuasakan sahaja undang-undang yang ada sekarang. Masalah kita selama ini ialah kita suka sangat buat undang-undang, tetapi tidak dikuatkuasakan.

*AKHIR kalam, saya bersama seluruh rakyat Malaysia bersimpati dan berkongsi kesedihan di atas tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH370 yang telah diisytiharkan kemalangan. Seperti yang diumumkan kerajaan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat tersebut dianggap telah terkorban.

Tentu sekali setelah menunggu dalam debar dan penuh tanda tanya selama kira-kira setahun, ini adalah pengumuman paling menyedihkan bagi keluarga terdekat, sanak-saudara dan sahabat handai mereka yang terkorban. Semoga yang ditinggalkan akan meneruskan hidup penuh kesabaran. Seluruh rakyat berdukacita atas nahas ini.


'Sukar buktikan karya seni hina Agong'

MALAYSIAKINI


 


Tiga lukisan oleh pelukis tempatan Vincent Leong yang mempamerkan sisi belakang Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri dalam pameran di Singapura bulan lepas, secara amalan dan budaya adalah penghinaan, kata Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu berkata: "Dari segi budaya, memang betul ia menghina. Tetapi dari segi perundangan, memang susah untuk dibuktikan ia penghinaan.

"Tetapi daripada pandangan rakyat, ia tidak patut berlaku dan juga tidak boleh diterima dengan melihat bahagian belakang tersebut. Sebagai rakyat, soalan besar, kenapa wajah depan tidak tertera. Pelbagai tafsiran boleh dibuat," katanya ketika diminta mengulas perkara itu.

Beliau ditemui selepas memberi syarahan bertajuk 'Setakat mana Perlembagaan melindungi kedudukan Raja dan masa depan bangsa Melayu' pada siri ceramah Persatuan Sejarah Melayu di Wisma Sejarah di Kuala Lumpur hari ini.

Lukisan itu dipamerkan di pameran seni Art Stage Singapore 2015 pada 22 hingga 25 Jan lepas di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands, Singapura.

Karya Leong itu didakwa oleh pelbagai pihak bukan sahaja menghina institusi diraja malah dilihat bermotif menjatuhkan agama Islam.- Bernama

PKR Johor minta Zahid perjelas projek IPK

MALAYSIAKINI



 
 
 
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberi masa sehingga Rabu depan untuk menjelaskan mengenai projek pembinaan ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Johor bernilai RM103 juta yang terbengkalai sejak 2010.

ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah dan Pengarah Strategi AMK, Akmal Nasir berkata mereka akan mengemukakan pendedahan baru jika Zahid tidak membuat penjelasan dalam tempoh itu.

"Berdasarkan lawatan kami ke tapak projek, projek pembinaan tambahan ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Johor yang terletak di bandar Johor Bahru yang bermula sejak tahun 2010 masih terbangkalai," kata mereka dalam satu kenyataan.

Menurut mereka, perkara itu dibangkitkan di dewan undangan negeri Johor dan pengumuman dibuat yang projek itu sepatutnya siap  pada Julai 2013.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof pada Jun lalu dilaporkan berkata kontraktor asal ditamatkan perkhidmatan kerana masalah kewangan dan kualiti kerja.

Menurut Puah dan Akmal lagi, perkara tersebut menarik perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu.

"Malangnya PAC dan SPRM juga masih gagal untuk membentangkan sebarang maklumat berkenaan hasil siasatan mereka atau sekurang-kurangnya memberikan penjelasan mengapa projek pembinaan IPK Johor lewat dan sehingga kini masih terbengkalai," kenyataan mereka dipetik.

Puah dan Akmal menggesa Zahid sebagai menteri berkenaan menjawab soalan-soalan berikut:

1. Siapakah kontraktor yang bertanggungjawab yang menyebabkan projek ini gagal dan apakah kriteria pemilihan kontraktor?

2. Apakah status terkini pembinaan? Bilakah projek ini dijangka akan siap?

3. Apakah tindakan yang dikenakan dan akan dikenakan kepada kontraktor tersebut yang gagal memenuhi syarat kontrak iaitu menyiapkan projek menjelang Julai 2013?

4. Adakah terdapat projek-projek pembinaan untuk kontinjen polis di tempat lain yang turut mengalami kelewatan atau terbengkalai?

5. Apakah kesan kelewatan projek ini terhadap tugasan dan kelancaran kontinjen polis Johor?

"Jika gagal memberi respon atau jawapan yang memuaskan sebelum Rabu ini, kami tiada pilihan melainkan untuk tampil dengan pendedahan yang berikutnya," kata mereka lagi.