KUALA TERENGGANU -
[DIKEMASKINI] Pas yakin parti itu dilindungi ALLAH SWT kerana keikhlasan dalam memartabatkan Islam di negara ini.
Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Wan Azhar
Wan Ahmad berkata, walaupun timbul isu yang memperlihatkan seolah-olah
ahli Pas sendiri tidak ikhlas dengan parti itu sehingga timbul isu
mengenai usaha menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan
kepimpinan ulama, beliau yakin mereka yang tidak jujur itu akan
meninggalkan Pas.
Beliau berkata, pernah ada sejarah mereka yang tidak istiqamah dengan
parti itu mengambil keputusan meninggalkan Pas dan ada juga yang dipecat
keahlian.
“Masing-masing apabila isi borang ahli Pas, dia berbai’ah secara
umumnya iaitu Pas ada dasar, matlamat dan kepimpinan. Kepimpinan dalam
Pas adalah bersama dengan parti yang lain.. dalam Pas kita ada akhlak
walak (patuh) dan tsiqah (keyakinan),” katanya, semalam.
[ARTIKEL BERKAITAN: 'Ada golongan barua dalam Pas']
Beliau berkata, isu bai’ah menjadi disiplin yang kuat dalam parti Islam
dan yakin ALLAH akan pelihara parti itu daripada mereka yang tidak
jujur.
Katanya sebagai mengulas dakwaan Pemuda Pas Kuantan berhubung komplot
terancang melibatkan beberapa pemimpin kanan Pas untuk menjatuhkan Abdul
Hadi serta beberapa ulama dalam parti itu.
Ketuanya, Fadhli Ibrahim mendakwa, komplot itu dipercayai menguasai
lebih separuh daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sehingga
berupaya mensabotaj keputusan parti dan menjadikan Abdul Hadi seperti
boneka.
Sementara itu, mengulas rakaman audio yang didakwa mengandungi ucapan
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu bagi menjatuhkan kepimpinan presiden
parti yang tersebar di laman sosial baru-baru ini, Wan Azhar
menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan.
Wan Azhar yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Besut berkata, Mohamad
telahpun memberi kenyataan kepada Pas Pusat dan percaya ia sedang
diambil tindakan oleh kepimpinan.
Beliau menjelaskan, melalui beberapa perkara terutama melibatkan
dalaman Pas yang timbul sejak belakangan ini, ia turut menimbulkan
kebimbangan kepada pihaknya.
“Kebimbangan itu ada, ditambah pula apabila ia digembar-gemburkan tanpa
kenyataan dan tindakan daripada kepimpinan. Bagaimanapun kita percaya,
ada pendekatan yang sedang dilakukan di peringkat pusat yang tidak
didedah kepada peringkat bawah,” katanya.