HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 April 2016

Ustaz ‘moden’ diperlukan di Malaysia, bukan Sarawak sahaja

 
Wan Ji berkata, agamawan perlu mempunyai sikap selagi ada pandangan yang mengatakan tidak haram, pandangan tersebut wajar dikemukakan sama.


juanda-wan-ji


PETALING JAYA : Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin berkata, ciri-ciri ustaz ‘moden’ yang disifatkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem pada bekas mufti dan calon BN, Dr Juanda Jaya diperlukan bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di Semenanjung tanah air.

Semalam, ketika ditanya FMT, Adenan berkata Juanda dipilih kerana beliau memiliki ciri-ciri ustaz yang dimahukan di Sarawak, iaitu seorang agamawan yang tidak berfikiran sempit, tidak berlagak alim, berpandangan luas, dan ‘liberal’.

Wan Ji bersetuju ciri-ciri yang disebut Adenan itu ciri-ciri yang penting dalam budaya beragama di negara seperti Malaysia, terutama dalam kerangka politik.

Bagaimanapun, Wan Ji menganggap terma ‘liberal’ yang digunakan Adenan sebagai kurang tepat, dan lebih gemar terma ‘keterbukaan’ dan tidak mudah hendak mengharamkan sesuatu perkara.

“Pada saya, tafsiran agama yang bersifat keterbukaan itu perlu di Malaysia sebenarnya,” katanya ketika dihubungi FMT.

“Berfikiran terbuka sebenarnya penting dalam budaya beragama di Malaysia bukan sahaja di Sarawak, bahkan Semenanjung.”

Mengulas lanjut, Wan Ji berkata, agamawan perlu mempunyai sikap selagi ada pandangan yang mengatakan tidak haram, pandangan tersebut wajar dikemukakan sama.

“Bukan semata-mata terikat dengan pendapat yang mudah mengatakan haram sahaja,” tegas Wan Ji.
Beliau akui kepada FMT bahawa beliau tidak arif dengan suasana di Sarawak dan cara masyarakatnya beragama.

Bagaimanapun, menurut Wan Ji, ciri-ciri yang disebut Adenan itu perlu untuk menerapkan budaya beragama yang bersendikan kebijaksanaan dan toleransi.

Memberi contoh, Wan Ji membidas sikap menghalang sebarang aliran pemikiran keagamaan, seperti menghalang aliran Syiah dan aliran Salafi.

“Kita perlu meletakkan kepercayaan bahawa rakyat Malaysia bijak,” jelas Wan Ji.

“Semua aliran perlu diberi ruang bersuara. Biarkan rakyat Malaysia memanfaatkan kebijaksanaan mereka untuk menilai perbezaan semua aliran pemikiran itu.”

Dalam pada itu, ketika ditanya pandangannya mengenai seorang calon bercirikan ustaz moden bertanding atas tiket BN, Wan Ji berkata:

“Saya secara peribadi tidak bersetujulah Dr Juanda bertanding atas tiket BN,” kata Ketua Biro Pemantapan Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu.

“Beliau sewajarnya menggunakan saluran Pakatan Harapan, bukan Barisan Nasional untuk membawa pemikiran sebegitu.”

Ada implikasi isytihar Bukit Merah kawasan bencana, darurat

 
Antara implikasinya adalah kewangan terutamanya bayaran pampasan kepada petani-petani.


zahid-bukit-merah


PUTRAJAYA: Kawasan bencana atau berada dalam keadaan darurat belum boleh diisytiharkan di Bukit Merah, Perak yang terjejas ekoran cuaca panas dan kering.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan perlu meneliti aspek perundangan dan kewangan berkaitan terlebih dahulu.

Beliau mengesahkan Putrajaya telah menerima permohonan daripada kerajaan Perak untuk mengisytiharkan Bukit Merah sebagai kawasan bencana atau dalam keadaan darurat.

“Pihak Persekutuan memikirkan bahawa beberapa langkah harus dilakukan terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah, bukan setakat mengisytiharkan darurat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat, di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

“Harus dilihat implikasi kewangan terutamanya bayaran pampasan kepada petani-petani.”

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata penyelesaian segera perlu dilakukan kerana petani berdepan kesukaran mendapat bekalan air untuk penanaman padi.

Mengambil maklum seruan itu, Ahmad Zahid berkata jawatankuasa hari ini turut membincangkan langkah dan kaedah mengatasi keadaan di Bukit Merah.

“Beberapa kaedah telah dicadangkan termasuk pemasangan paip air ke Tasik Merah, mendalamkan dan meninggikan kawasan di Tasik Merah tetapi kos terlalu tinggi.

“Itu beberapa alternatif yang akan diperbincangkan secara halus oleh Jawatankuasa teknikal dan tindakan segera akan diambil,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, jawatankuasa teknikal itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sementara itu, pihak jawatankuasa turut dimaklumkan bahawa simpanan air di tujuh daripada 41 empangan berada di tahap membimbangkan.

Empangan berkenaan ialah Gemencheh, Negeri Sembilan; Timah Tasoh, Perlis; Bukit Merah,Perak dan empat kawasan di Johor iaitu Lebam, Congok, Layang dan Labong.

“Beberapa langkah segera kita telah lakukan iaitu melalui khidmat nasihat teknikal telah bersetuju untuk memastikan air di kawasan pengairan mesti dibantu oleh pam-pam bergerak dan dibantu oleh sumber sungai, kolam tasik dan air bawah tanah,” ujar beliau.

EAIC tidak sepatutnya bincang kes di luar mahkamah – KPN

 
Kenyataan EAIC telah melahirkan tanggapan bahawa PDRM gagal mengambil tindakan terhadap keempat-empat anggota yang terlibat.


khalid-eiac


PETALING JAYA : Ketua Polis Negara menyatakan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Yaacob Md Sam tidak sepatutnya membincangkan kes kematian tahanan dalam lokap, N Dharmendran, di luar mahkamah.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, perbincangan di luar mahkamah boleh mendatangkan prejudis dan subjudis terhadap kes tersebut.

“Kenyataan Datuk Ahmad Yaacob Md Sam telah melahirkan tanggapan bahawa PDRM gagal mengambil tindakan terhadap keempat-empat anggota yang terbabit.

“Datuk Yaacob Md Sam sedia maklum bahawa kes terhadap keempat-empat anggota polis yang dituduh terlibat di dalam kematian mangsa tersebut akan disambung bicara pada 24 hingga 24 Mei 2016, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Yaacob dalam sidang medianya di Putrajaya menyatakan anggota polis yang menyoal siasat Dharmendran dalam lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bertanggungjawab terhadap kematian tahanan itu dalam lokap pada 21 Mei 2013.

Dharmendran ditahan pada 11 Mei 2013, atas dakwaan cuba membunuh membabitkan senjata api.
Pada 26 Februari 2016, Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur memerintahkan Inspektor S Hare Krishnan, 42; Sarjan Jaffri Jaafar, 46; Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 47; dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 34, membela diri atas pertuduhan membunuh Dharmendran, selepas mengetepikan pembebasan mereka oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Khalid dalam masa yang sama turut menegaskan bahawa polis tidak pernah melindungi mana-mana pegawai atau anggotanya yang terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah.

“Malah dari peringkat awal lagi siasatan terhadap mereka telah dijalankan dengan menyeluruh, rapi dan telus.

“Berpandukan hasil siasatan ini, Peguam Negara telah mengarahkan agar keempat-empat tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

“Susulan itu, mereka telah dituduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Jun 2013,” jelasnya.

Khamis, 28 April 2016

1MDB Hormati Sepenuhnya Autoriti Dan Keputusan BNM

MSTAR ONLINE


 
 
KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menyatakan ia menghormati sepenuhnya autoriti dan keputusan Bank Negara Malaysia yang mengesahkan penamatan siasatan ke atas IMDB dan pengenaan kompaun pentadbiran kerana kegagalan mematuhi arahan tertentu.

"1MDB menghormati sepenuhnya kuasa dan keputusan BNM dalam perkara ini.Pembayaran kompaun itu akan dibuat pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan," kata syarikat milik kerajaan itu dalam satu kenyataan, Khamis.

Terdahulu, BNM mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Ini termasuk mengkehendaki 1MDB menghantar balik wang yang dikirim ke luar negara berikutan pembatalan tiga kelulusan yang diberikan oleh BNM kepada 1MDB masing-masing pada 2009, 2010 dan 2011, kata BNM dalam satu kenyataan.

Bank pusat itu berkata 1MDB juga gagal mengemukakan bukti dan dokumen yang ditetapkan oleh BNM untuk memberikan alasan yang kukuh berhubung ketidakupayaan untuk mematuhi sepenuhnya arahan penghantaran balik itu.

1MDB diberikan tempoh sehingga 30 Mei, 2016 untuk membayar kompaun tersebut.




Pelaksanaan undang-undang poligami perlu diperketat

SINAR HARIAN


nikah
- Gambar Hiasan


PASIR MAS - Pelaksanaan undang-undang perkahwinan yang membabitkan poligami di negara ini perlu dikaji semula berikutan banyak penyelewengan berlaku dalam kehidupan pengamal perkahwinan itu.

Exco Perhubungan Persatuan Peguam Muslim Malaysia Prof Madya Noor Awang Hamat berkata konflik yang timbul hasil perkahwinan kedua atau seterusnya, sering menyebabkan masyarakat memberi tanggapan negatif terhadap amalan poligami.

"Mungkin peraturan sedia ada perlu lebih diperketat atau disyaratkan dengan pelbagai peraturan seperti yang dijana dalam al-Quran dan hadis," katanya kepada Bernama pada Seminar Literasi Undang-Undang di Dewan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Mas di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pembangunan Wanita Negeri Kelantan Nur Laila Matlin.

Noor Awang berkata kesedaran orang ramai untuk memahami hak dan kewajipan bagi pasangan yang mengamalkan poligami terutamanya yang membabitkan keadilan dari segi nafkah dan urusan kehidupan seharian semua isteri dan anak-anak mereka.

"Dalam konteks Malaysia hari ini, saya melihat perlunya membina keluarga bahagia dahulu sebelum berhasrat membina sebuah keluarga baharu yang lain.

"Mereka yang ingin berpoligami perlulah menilai kemampuan diri sendiri terlebih dahuku kerana ia sunah dan tidak salah di sisi agama," katanya.

Dalam pada itu, Noor Awang berkata perkahwinan di Thailand mungkin menjadi penyelesaian bagi kes tertentu seperti pasangan terlanjur, perkahwinan tidak dipersetujui keluarga atau wali serta poligami.

Namun, katanya pasangan yang berkahwin di Thailand perlu segera mengesahkan perkahwinan mereka bagi menjamin hak pasangan terutama isteri terbela jika berlaku sesuatu dalam perkahwinan. - Bernama


21 ditahan dalam majlis anugerah ‘Datuk Naning’

 21 ditahan dalam majlis anugerah ‘Datuk Naning’
Ramli (tengah) menunjukkan antara yang dirampas. - Foto Sinar Harian 
 
 
MELAKA - Seramai 21 individu ditahan dalam satu penganjuran majlis penganugerahan pingat dan darjah kebesaran 'Datuk Naning' di sebuah resort di Alor Gajah di sini kelmarin.

Op Naning yang dilakukan kira- kira jam 11.30 malam itu diketuai Ketua Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim bersama pegawai polis dari Alor Gajah dan Ibuprjabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ramli Din berkata, seramai 47 individu menerima pingat dan darjah kebesaran, namun 21 yang berjaya ditahan ketika makan malam sebaik selesai majlis penganugerahan.

Kes disiasat mengikut seksyen 419 kanun keseksaan kerana menipu secara penyamaran.

Baja Dacing, agihan wang antara aduan p'raya

MALAYSIAKINI





Pengagihan baja organik Cap Dacing, pengagihan bantuan kerajaan oleh calon dan gesaan tindakan kepada guru yang didakwa menyokong pembangkang antara aduan pilihan raya Sarawak yang diterima BERSIH.

Gabungan pilihan raya bebas dan adil itu menyenaraikan dakwaan-dakwaan itu yang diterimanya daripada pemantau dan orang awam sejak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 26 April.

Menurut BERSIH, pengedaran baja Cap Dacing itu berlaku di DUN Jepak di sebuah rumah panjang sebelum hari penamaan calon pada 25 April.

BERSIH juga membangkitkan pengagihan bantuan pelajar miskin PSTF RM200 kepada 270 keluarga oleh calon BN Dudong Tiong Thai King di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Thian Hua, Sibu Jaya.



Sementara di DUN Simanggang pula, BERSIH menerima aduan yang mendakwa sebuah parti politik kerajaan menulis surat kepada Jabatan Pendidikan bagi menggesa tindakan terhadap guru yang didakwa menyokong pembangkang.

“Tetapi dua guru tersebut telah menafikan penglibatan mereka dalam kempen tersebut.

"Ini bertentangan dengan kebebasan berkempen seorang individu,” menurut BERSIH.

Dalam kenyataan jawatankuasa pemandunya, BERSIH berkata maklumat diterima mereka menunjukkan terdapat pelanggaran peraturan dalam Akta Pilihan Raya.

BERSIH dakwa SPR 'diam sepanjang masa'


Wartawan kerumun istana, Razif di Putrajaya

Shakira Buang  




Sekumpulan kecil wartawan hari ini masih berkumpul di hadapan pintu masuk istana hinggap Terengganu di Kuala Lumpur meskipun terdapat laporan kemelut politik di Terengganu selesai.

Ini selepas Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman dilapor mengadap Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum mesyuarat exco semalam.

Sejak semalam terdapat khabar angin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadap sultan Terengganu, yang menggugurkan kesemua gelaran Ahmad Razif Jumaat lepas.

Bagaimanapun, ketika laporan ini ditulis, belum jelas sama ada pertemuan itu akan menjadi kenyataan.

Malaysiakini difahamkan kakitangan istana itu juga tidak dimaklumkan jika terdapat pertemuan hari ini.

"Saya baru lepas semak dengan pihak istana bahawa tidak ada sebarang pertemuan dibuat hari ini,” kata sumber kepada Malaysiakini.

Setakat petang ini, anggota trafik juga, katanya, tidak diarahkan mengawal lalu-lintas.

Najib semalam sibuk dengan kempen BN untuk pilihan raya kecil Sarawak yang akan diadakan pada 7 Mei ini.

Pelucutan gelaran Razif minggu lepas menimbulkan persoalan pertukaran menteri besar akan berlaku.

The Star Online bagaimanapun hari ini mendakwa kemelut politik di Terengganu selesai selepas Razif dilapor mengadap Sultan Mizan semalam.

BN tidak mempunyai majoriti selesa di Dewan Undangan Negeri kerana hanya mempunyai kelebihan dua kerusi berbanding pembangkang.

Sementara itu, exco kerajaan Selangor memuat naik sekeping gambar beliau dan Razif dalam sebuah acara di Putrajaya pagi ini.

“Pagi ini menghadiri Mesyuarat Majlis Tanah Negara di Putrajaya mewakili MB. Orang sebelah masih tenang,” katanya.

Bank Negara denda 1MDB atas salah laku kewangan

MALAYSIAKINI




Bank Negara Malaysia hari ini mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB kerana tidak mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kompaun itu dikeluarkan selepas mendapat persetujuan daripada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Apandi Ali.

"Ini termasuk keperluan untuk 1MDB untuk membawa pulang wang yang diremitkan di luar negara berikutan pembatalan tiga kebenaran yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia kepada 1MDB pada tahun 2009, 2010 dan 2011.

"1MDB juga telah gagal mengemukakan bukti dan dokumentasi yang ditetapkan oleh Bank Negara untuk mewajarkan kegagalan untuk mematuhi sepenuhnya dengan arahan membawa pulang wang itu.

“1MDB telah diberikan sehingga 30 Mei 2016 untuk membayar kompaun," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh bank pusat itu hari.

Menurut kenyataan itu, sebaik sahaja pembayaran kompaun diselesaikan oleh 1MDB, ia menandakan tamatnya siasatan oleh Bank Negara berhubung pelbagai insiden yang menyaksikan firma pelaburan negara itu melanggar kaedah dan peraturan bank pusat.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan jumlah kompaun yang perlu dijelaskan oleh 1MDB.

PAN: Kenapa baru sekarang PAS bersedia untuk PRN Terengganu?

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) mempersoalkan pendirian PAS yang seolah-olah 'membuat pusingan U' apabila kini menyatakan bersedia untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam menangani kemelut politik di Terengganu.    
 
Pengerusi PAN Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, bagi menyelesaikan kemelut Menteri Besar, PAS sepatutnya bertindak lebih awal iaitu semasa usul undi tidak percaya dahulu yang dibawa oleh Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
 
"Malangnya ada pihak tertentu menemplak cadangan saya supaya PRN di adakan. Sebenarnya usul undi tidak percaya itu di benarkan mengikut perlembagaan. Hari ini pihak yang sama mencadangkan pilihan raya negeri juga diadakan.
 
"Situasi sekarang adalah diantara Istana dan Menteri Besar dan bukan dari tindakan mana-mana ahli di dalam Dewan Undangan Negeri. Kerusi di Dewan Negeri komposisi  17-15 masih berpihak kepada BN. Apa yang berkemungkinan besar berlaku adalah pertukaran Menteri Besar yang juga masih dari BN.
 
"Persoalan nya kenapa baru sekarang ketua pembangkang bersiap sedia konon nya untuk menghadapi pilihanraya Negeri ? Adakah sekadar menumpang di atas isu masalah pihak lain.  Melainkan Umno Terengganu bergolak hebat semula itu lah situasi semasa. Kita perlu objektif dalam isu ini dan jangan emosi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Terdahulu, PAS Terengganu memilih menyerahkan mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan selepas berlaku krisis antara Sultan Terengganu dengan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.
 
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat baru-baru ini berkata, PAS tidak akan mencampuri urusan dalaman Umno tetapi berpendirian jalan terbaik menyelesaikan krisis dengan mengadakan pilihan raya negeri.
 
Ini kerana, katanya, pelantikan Menteri Besar baharu menggantikan Ahmad Razif tidak mampu menyelesaikan masalah kerana Barisan Nasional (BN) tetap memerintah negeri itu.
 
Dalam pada itu, Kamarul menyelar PAS yang hanya berpeluk tubuh dan sekadar menjadi pemerhati di dalam kemelut melanda Terengganu sehingga menjadi parah kembali.
 
"Dari segi "serius" atau parahnya situasi, keadaan semasa undi tidak percaya dahulu lagi parah kerana dari segi teorinya Datuk Ahmad Said yang membawa usul tersebut telah berada di luar atau "terkeluar" dari kerajaan kerana menentang parti.
 
"Jadi kedudukan kerusi secara teori menjadi 16-16 dan susah untuk kerajaan berfungsi. Itulah sebabnya saya hairan kenapa ketua pembangkang tidak terus mendesak untuk pilihan raya negeri di adakan. 
Keadaan bergelora tetapi mereka hanya berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati dan situasi telah berlalu menjadi kembali tenang sementara,"ujarnya.
 
Sebelum ini, PAS dilihat menjarakkan diri daripada krisis yang melanda Umno-BN Terengganu.
 
Kerajaan Umno BN di negeri itu sebelum ini hampir tumbang selepas Ahmad yang juga ADUN Kijal mengusulkan undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif pada sidang DUN negeri itu awal Mac lalu.
 
Bagaimanapun, usul itu ditolak Speaker DUN, Datuk Mohd Zuber Embong.
 
PAS ketika itu digesa parti-parti pembangkang agar bertindak dan menggambilalih kerajaan negeri.
 
Namun, PAS enggan berbuat demikian dan bersikap berkecuali dalam isu itu.