HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 November 2017

Hafiz, pesakit kanser otak tahap 4, meninggal dunia

MALAYSIAKINI



Pesakit kanser otak tahap empat, Muhammad Hafizudin Alias, 11, yang kisahnya mendapat perhatian sebelum ini kerana menyimpan impian menaiki kereta BMW, meninggal dunia di rumahnya, Kampung Baru, Sungai Lalang, di Sungai Petani semalam.

Sukarelawan, yang sering membantu kanak-kanak itu, Nor Hashimah Abu Hassan, 31, ketika dihubungi Bernama, berkata, Muhammad Hafizudin atau lebih mesra dengan panggilan Hafiz, menghembuskan nafas terakhir di hadapan ibu bapa dan anggota keluarganya pada jam 3.55 petang tadi.

"Saya juga berkesempatan menatap wajahnya sebelum dia menutup mata, kerana memang kebetulan berada bersama keluarga terbabit.

Anggota keluarganya. kata beliau, memaklumkan bahawa jenazah Hafiz dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, Pokok Sena hari ini.

Anak ketiga daripada empat beradik kepada pasangan Alias Saleh, 43, dan Husna Naut, 43, itu disahkan menghidap kanser otak pada Januari 2013, namun terlantar sejak lebih sebulan lalu dan hanya mampu makan dan minum menerusi tiub khas.

Bernama sebelum ini melaporkan Hafiz berhasrat menaiki kereta mewah, BMW berwarna putih, dan hasrat itu tertunai pada Sabtu lalu apabila Sime Darby Auto Bavaria mengambil inisiatif memenuhi hasrat itu, dengan membawanya bersiar-siar menaiki kereta BMW i8.- Bernama

Imigresen tubuh pasukan khas siasat penemuan RM13.04 juta di Sabah

MALAYSIAKINI



Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat penemuan wang tunai RM13.04 juta di Sabah semalam.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata pasukan itu akan menyelaraskan siasatan dengan JIM Sabah untuk memastikan semua aspek diteliti.

"Wang ini telah dijumpai ketika pihak JIM Sabah melakukan 'Ops Gegar' di sebuah hotel di Kota Kinabalu yang pada mulanya hanya menahan 21 individu tetapi turut menjumpai wang tunai RM11.88 juta di situ.

“Siasatan lanjut menemukan RM1.16 juta lagi di pangsapuri milik seorang daripada yang ditahan, tidak jauh dari lokasi serbuan,” katanya pada sidang media selepas Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai Imigresen Gred KP19 Siri 4/2017 di Akademi Imigresen Malaysia, dekat Port Dickson hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata operasi tersebut turut menyaksikan 17 wanita Filipina berusia lingkungan belasan tahun hingga 30-an ditahan, dipercayai mangsa sindiket pelacuran yang didalangi tiga lelaki tempatan.

Beliau berkata selain Akta Imigresen, kes terbabit turut melibatkan Kanun Prosedur Jenayah serta Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.- Bernama

Saya Terasa Juga, Saya Keturunan Bugis – Sultan Johor

 
 


JOHOR BAHRU: “Saya terasa juga. Saya keturunan Bugis, Sultan Selangor keturunan Bugis, Rakyat Johor banyak keturunan Bugis. Asal usul saya pun dari Riau Lingga. Banyak Bugis. Apa rasa orang Bugis,” titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Baginda bertitah, orang Bugis adalah pelaut dan menjaga laluan yang berkepentingan dan tidak memusnahkan kapal yang melalui Selat Melaka.

Sultan Ibrahim mengulas ucapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang melabel masyarakat Bugis sebagai lanun.

Titah baginda, kenyataan seperti itu dilihat mahu memecah belah kaum dan membenci sesama kaum yang sepatutnya saling menghormati.

“Cuba saya kata orang Cina perompak. Terasa tak semua Cina? India pembunuh? Terasa orang India. Ini yang saya kata balik semula memecahbelahkan. Membuatkan kaum sesama kaum membenci. Kita sepatutnya mesti saling menghormati antara satu sama lain.

Bangunkan negeri bersama

“Bukan satu kaum sahaja bangunkan negeri Johor, semua kaum bersatu membangunkan Johor.
Semua memainkan peranan,” titah baginda pada pertemuan bersama Kumpulan Media Prima sempena Hari Keputeraan baginda ke-59, di Istana Pasir Pelangi, dekat sini.

Baginda mahu rakyat negeri ini tanpa mengira kaum mesti bersatu padu walau apa pun terjadi kerana jika rakyat mula berpecah belah semua, maka Johor tidak akan maju dan mereka sendiri yang akan rugi.

“Keturunan Melayu, keturunan India, Cina semua adalah bangsa Johor. Bila saya sebut jika kita sudah berpecah, bukan orang Melayu saja yang berpecah, India berpecah, Cina pun berpecah, maknanya bangsa Johor berpecah.

“Kalau semua bersatu menyokong pentadbiran kerajaan Johor, saya rasa tak ada masalah di Johor. Kalau Johor hendak maju dengarlah nasihat saya.

Mahu rakyat terus bersatu

“Itu yang saya kata dari dahulu, hadiah yang paling istimewa sekali kalau rakyat hendak bagi kepada saya… saya hendak rakyat kita bersatu. Tidak ada lain yang saya minta,” titah baginda.

Mengenai pemimpin Melayu, baginda mahu semua bermuafakat yang membawa banyak keberkatan kerana tanpa muafakat akan menyebabkan perpecahan sehingga tiada keberkatan.

Sebelum ini pada 3 November lalu, Sultan Selangor menerusi kenyataan dikeluarkan Dewan Diraja negeri, murka dan kecewa dengan ucapan Dr Mahathir pada perhimpunan di Petaling Jaya, 14 Oktober lalu.

Baginda menyifatkan petikan ucapan itu cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong keturunan Bugis, selain amat keterlaluan hingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara – BH

LIHAT VIDEO DI SINI

Pemimpin pembangkang Melayu Johor sedia duduk berbincang dengan Umno

MALAYSIAKINI



Pemimpin pembangkang Melayu Johor bersedia untuk mengetepikan perbezaan antara mereka dan Umno, dan duduk bersama untuk membincangkan isu-isu mengenai kepentingan orang Melayu.

Ini adalah selaras dengan saranan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya mereka berbuat sedemikian dengan berlapang dada.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Shaharuddin Md Salleh; Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin; dan Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim, semuanya menyatakan kesediaan mereka untuk duduk bersama bagi mengadakan perbincangan itu.

"Kami tiada masalah, kami sedia sahut saranan Tuanku Sultan," kata Abdullah ketika ditanya sama ada beliau bersedia duduk bersama Umno dan parti serpihan PAS, AMANAH.

Begitu juga dengan Shaharuddin yang berkata BERSATU sedia berbincang dengan semua parti, NGO dan kumpulan berkepentingan lain.

Bagi Salahuddin, perbincangan seperti itu akan membuka peluang kepada para pemimpin untuk membincangkan isu-isu negara tanpa dipengaruhi oleh politik.

"Kita banyak kali cuba bersama bincang isu negara tetapi kadang-kadang jadi isu politik yang melampau. Itu satu budaya yang tidak patut kita amalkan," kata pemimpin AMANAH itu.

Bagi Hassan, yang terbuka terhadap perbincangan seumpama itu, percaya ia bukan sekadar isu perpaduan orang Melayu sahaja.

"Negara kita berbilang kaum. Maknanya bukan isu perpaduan Melayu sahaja. Tetapi perpaduan untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Dalam satu kenyataan sempena hari keputeraan baginda ke-59, Sultan Ibrahim melahirkan rasa kebimbangan baginda terhadap kemelut yang menghantui orang Melayu pada masa ini dan menasihati semua pemimpin Melayu untuk bersama berbincang masalah bangsa dengan cara bermuafakat dan berlapang dada.

Baginda bertitah sebagai raja yang telah berjanji dan berikrar untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam maka baginda tidak akan membiarkan krisis perebutan kuasa antara pemimpin Melayu terus berlaku hingga membuatkan orang Melayu berpecah belah dan menjadi lemah.

Bahasa Melayu perlu jadi bahasa rasmi ASEAN - Rais Yatim

MALAYSIAKINI



Bahasa Melayu yang ditutur oleh lebih 300 juta orang atau separuh daripada penduduk di rantau Asia Tenggara perlu menjadi bahasa rasmi ASEAN, kata Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim hari ini.

Menurutnya, Bahasa Melayu perlu digunakan sebagai bahasa diplomatik dan komunikasi rasmi oleh anggota-anggota ASEAN, selari dengan kedudukannya sebagai bahasa induk di rantau Asia Tenggara.

“Bahasa induk di wilayah Asia Tenggara ini adalah bahasa Melayu tetapi sayangnya bahasa Melayu tidak diletakkan ditempatnya, yakni tidak digunakan sebagai bahasa diplomatik dan komunikasi rasmi pada majlis dan acara rasmi ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada forum Pertemuan Dunia Melayu 2017 anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Thailand di Bangkok hari ini.

Rais berkata, pemimpin ASEAN yang menggunakan bahasa Melayu perlu memainkan peranan dengan mengangkat agenda bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi iaitu diperingkat serantau.

Menurutnya, usaha memperkasa Bahasa Melayu di peringkat serantau juga selaras dengan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar Bahasa Melayu dijadikan bahasa ASEAN pada tahun 2050.

Katanya, pada 1987 dalam satu mesyuarat mengenai budaya di peringkat ASEAN di Jakarta, Malaysia dan Indonesia telah memperkenalkan usaha meletakkan bahasa Melayu/bahasa Indonesia sebagai bahasa pilihan dalam ucapan dan diplomasi pertubuhan serantau itu.

Bagaimanapun, sejak 1987 usaha itu tidak diperkembangkan.

Menurut Rais, usaha memartabat Bahasa Melayu ke kedudukan yang setaraf dengan statusnya sebagai bahasa induk rantau ini adalah sesuatu yang lojik kerana jika tidak dilakukan, Bahasa Inggeris akan menjadi bahasa rasmi rantau ini.

Beliau juga berkata bangsa Melayu akan menjadi nominal jika Bahasa Melayu tidak diletak pada status dan kedudukan sepatutnya di peringkat serantau dan ASEAN.

Beliau berkata, GAPENA dan DMDI mempunyai peranan penting dalam mewujudkan jalinan kerjasama serantau untuk memperkuatkan usaha bagi meningkatkan martabat dan status Bahasa Melayu ke tahap sepatutnya.

Rais juga mahukan Majlis Bahasa Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura menjadi batu loncatan untuk menjalin kerjasama serantau dan bukan sekadar membincangkan perkara-perkara berkenaan istilah.

Yang turut hadir pada majlis itu adalah Ketua 1 GAPENA Datuk Zainal Abidin Borhan dan Presiden DMDI Thailand, Wan Muhamad Nor Matha yang juga bekas Speaker Parlimen Thailand.

Nazri: Usul kekal presiden, timb presiden Umno akan dibawa

MALAYSIAKINI



Dalam pilihan raya parti akan datang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan dikekalkan sebagai presiden Umno dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan presiden, kata anggota majlis tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz.

Nazri yang merupakan ketua Umno Bahagian Padang Rengas memberitahu The Star bahawa Umno bahagiannya akan mengusulkan dalam perhimpunan agung Umno akan datang agar kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan

Menurut laporan akhbar hari ini, tindakan itu dibuat bagi memastikan tiada gangguan menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

“Ini merupakan resolusi yang diutarakan bahagian saya dan kami mahu ia dibahas dan diluluskan dalam perhimpunan agung Umno.

“Ini bagi memastikan tiada perpecahan terjadi dalam parti,” katanya dilapor sebagai berkata dalam sebuah wawancara baru-baru ini.

Menurut Nazri mempertandingkan dua jawatan tertinggi itu hanya akan mengganggu dan menjejaskan tumpuan anggota Umno terhadap pilihan raya.

The Star turut melaporkan Nazri berkata bahawa Zahid merupakan pewaris sah jawatan timbalan presiden kerana beliau merupakan timbalan perdana menteri ketika ini.

Jawatan timbalan presiden Umno telah dikosongkan sejak Datuk Seri Muhyiddin Yassin dipecat ekoran kritikannnya terhadap skandal 1MDB dengan Zahid menggalas tugas-tugas itu sebagai pemangku.

Usul serupa agar dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan turut dibentangkan pada pilihan raya parti itu Oktober 2013 lalu yang menyaksikan Najib kekal sebagai presiden parti.

Sementara itu, berkenaan kerjaya politiknya, Nazri berkata beliau tidak mempunyai rancangan untuk bertanding jawatan naib presiden.

Nazri menambah, beliau sedia meninggalkan politik bila-bila masa dan akan patuh sekiranya Najib memberi arahan.

“Jika beliau (Najib) kata sudah sampai waktunya untuk saya pergi, maka jujur, saya dengan besar hati akan pergi. Beliau kawan saya dan saya sudah menyokongnya selama 40 tahun.

“Jadi jika saya berhenti, Najib yang perlu meminta saya berhenti.

“Bagi saya, saya cuma menunggu dan saya betul-betul mahu berhenti,” katanya.

Jumaat, 24 November 2017

Serangan Tun M Terhadap Anwar Jejas Sokongan Pakatan Harapan





SHAH ALAM: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkenaan kes liwat Ketua Umum PKR itu hanya akan menjejaskan kerjasama mereka di dalam Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata situasi itu ‘tidak baik’ untuk gagasan pembangkang itu di kala sedang bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

“Bukan setakat menjejaskan sokongan terhadap PKR, malah akan menyebabkan PKR sendiri sukar menyokong Dr Mahathir dan calon-calon PPBM.

“Sebelum ini saya pernah sebut antara Dr Mahathir dan Anwar hanya indah di permukaannya sahaja sedangkan yang di dalamnya masih lagi terdapat pelbagai pertikaian, kecelaruan, dendam mendalam,” katanya kepada Antarapos, hari ini.

Kamarul berkata demikian sebagai respon terhadap dialog ‘town hall’ bersama anak muda di Petaling Jaya, dua malam lalu di mana Dr Mahathir diajukan pelbagai soalan daripada peserta berhubung pegangannya terhadap dakwaan Anwar sebagai peliwat.

Pengerusi PH itu bagaimanapun menjawab kesemua soalan berkaitan perkara itu secara samar malah mendakwa dirinya tidak terlibat dengan tindakan polis yang menyiasat kegiatan salah laku seks Anwar pada tahun 1998.

Bagaimanapun ketika sidang media selepas sesi dialog itu tamat, Dr Mahathir menjelaskan beberapa perlakuan seks luar tabie yang didakwa dilakukan Anwar.

Dr Mahathir berkata dirinya tidak dapat menerima seorang peliwat menjadi pemimpin negara, selepas dirinya mengetahui Anwar bukan sahaja meliwat bahkan turut ‘melancapi’ mangsanya.

“Mencerminkan bahawa Dr Mahathir sekadar mahu menggunakan Anwar untuk kepentingan politiknya. Sedangkan pada masa yang sama tidakkah beliau tidak tahu apabila beliau mengatakan begitu ini akan menjejaskan sokongan rakyat.

“Selepas ini saya rasa akan ada lagi kenyataan lagi akan keluar dan akan menjejaskan peluang PH,” kata Kamarul lagi.

Kenyataan Dr Mahathir pada Selasa malam itu turut mengundang reaksi bekas ahli seumur hidup PKR, Badrul Hisham Shaharin yang mendakwa Dr Mahathir sengaja menggunakan sesi dialog itu untuk terus menghina Anwar.

Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa hubungan baik bekas perdana menteri itu dengan Anwar pada ketika ini sekadar untuk menyelamatkan dirinya dan ahli keluarga.

Kamarul dalam pada itu berpendapat sikap Dr Mahathir yang kerap mengitar hal Anwar dengan kegiatan seks luar tabie itu akan mengurangkan sokongan orang ramai terhadap dirinya, malah menjejaskan rasa hormat di kalangan pemimpin-pemimpin PH.

“Beliau adalah Pengerusi PH, sepatutnya pengerusi kena menasihati orang lain. Namun apabila pengerusi perlu dinasihati pemimpin-pemimpin lain, maka kena letak jawatanlah. Kerana tidak ada lagi aura sebagai pengerusi,” ujarnya – AP

APA FAEDAHNYA DIUNGKIT SEJARAH SILAM TUN MAHATHIR?

 shahbudindotcom


Sejak kebelakangan ini seperti wujud suatu keghairahan yang makin menjadi-jadi untuk mengungkit semula sejarah silam kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu dengan dua topik utama yang kerap menjadi perhatian iaitu penahanan di bawah ISA dan kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim.

Jika UMNO atau mana-mana pihak yang pro kepada Najib Razak menimbulkannya tentu saja ia mudah difahami maksud serta tujuannya, tetapi malangnya perkara tersebut dibangkitkan  oleh mereka dalam Pakatan Harapan sendiri atau di majlis-majlis  yang dianjurkannya.

Apa tujuan dan faedahnya?

Bukan tidak boleh menyoal atau membangkitkannya, tetapi episod itu sepatutnya sudah lama berlalu. Malah, sebelum ini, Tun Mahathir sendiri sudah acap kali bercakap atau menjelaskan mengenainya, termasuk memberi pengakuan sedia dipersalahkan dan menerima hukuman jika ia dianggap suatu kesalahan yang pernah dilakukannya.

Namun seperti yang kerapkali diulang oleh beliau, bahkan konsistennya tidak pernah berubah, menjatuhkan Najib adalah keutamaan dan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Selepas semua itu selesai,  buatlah apa saja demi untuk menyelamatkan negara ini. Berulang kali juga Tun Mahathir mengingatkan, selagi Najib tidak disingkirkan, tiada apa perubahan pun mampu dilakukan selepas ini.

Demikianlah tingginya komitmen Tun Mahathir demi perubahan, menyelamatkan negara serta menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Jika sebelum ini semua orang bercakap mengenai Najib yang dianggap merosakkan negara dan perlunya beliau dijatuhkan, apakah dengan mengungkitkan sejarah silam kepimpinan Tun Mahathir itu dapat lebih membantu usaha tersebut?

Sebaliknya, tidakkah dengan berbuat demikian akan memberi keselesaan secara tidak langsung kepada Najib?

Kita seharusnya sedar, oleh kerana Anwar masih di penjara, Tun Mahathir adalah satu-satunya tokoh yang paling sesuai untuk mengetuai pakatan parti-parti pembangkang ketika ini serta dianggap mampu menumbangkan Najib?

Adakah sesiapa tokoh lain selain beliau?

Oleh itu, selain Tun Mahathir sendiri sudah diterima sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, fokus seharusnya ditumpukan seratus-seratus untuk melemahkan dan seterusnya menumbangkan Najib, UMNO serta BN. Ia tidak harus berganjak walau sedikit pun.

Tidak perlu diungkit atau diperbesar-besarkan lagi sebarang perkara silam mengenai kepimpinan Tun Mahathir yang dahulu itu.

Tidak cukupkah lagi pengakuan beliau yang sedia dipersalahkan dan dihadapkan kepada sebarang penyiasatan selepas Najib dijatuhkan nanti?

Lebih dari itu, dalam kes ISA, sebahagian mereka yang pernah ditahan dahulu seperti Lim Kit Siang, Mat Sabu, Azmin Ali dan ramai lagi sudah pun bersama dalam Pakatan Harapan ketika ini. 

Mereka juga telah memberi pengakuan untuk tidak menjadikan episod itu sebagai halangan yang berpanjangan sehingga boleh menjejaskan usaha menumbangkan Najib dan menyelamatkan Malaysia, malah menyifatkan kebobrokan era Najib lebih besar serta mendesak untuk diakhiri berbanding menoleh ke belakang.

Dalam kes liwat Anwar pula, tidakkah Tun Mahathir bukan saja sudah berbaik-baik dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu, malah mempunyai hubungan lebih erat dengan Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah dan seluruh keluarga Anwar sekarang ini.

Jadi, untuk apa diungkit dan diperbesarkan lagi semua sejarah masa lalu itu?

Semua pihak dalam Pakatan Harapan, tidak kira siapa, berjawatan besar dan kecil atau pendokong saja, jika benar yang ingin melihat Najib, UMNO dan BN dapat ditumbangkan, jangan sesekali lari daripada fokus dan terlalu kerap menoleh ke belakang.

Pelari pecut terhandal sekali pun tidak mungkin dapat memenangi apa-apa pingat jika asyik menoleh ke belakang ketika berlari.

Musuh Pakatan Harapan dan seluruh rakyat ialah masa depan negara yang lebih menakutkan jika Najib, UMNO dan BN kekal berkuasa,  bukannya sejarah silam Tun Mahathir. 

 

Bekas MB: Bas percuma bukan jaminan menang PRU14





Bekas Menteri Besar Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata segala kejayaan dan kemajuan di Selangor adalah hasil daripada titik peluh Umno sehingga negeri itu berjaya mendapat gelaran negeri maju pada 2005.

Menurutnya, Pakatan Harapan (HARAPAN) hanya menyambung kemajuan yang ada tanpa melakukan apa-apa usaha membangunkan Selangor.
 
“Pembangkang, tak perform di Selangor. Dia tak buat apa pun sejak kita isytiharkan Selangor negeri maju. Dia perintah Selangor 2008 sampai 2017 dia tak buat apa. Cuba namakan saya (pembangunan yang pembangkang buat).

 “Hospital siapa buat, jalan raya siapa buat, fasiliti siapa buat, semua hasil dari BN yang dimegahkan-megahkan oleh Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali).

“Macam lembu punya susu sapi dapat nama,” katanya kepada pemberita pada sidang media menjelang Perhimpunan Agung Umno di Pejabat Umno Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Kata Muhammad, Azmin cuma memberikan beberapa kemudahan termasuk bas percuma namun ini bukanlah jaminan untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

 
“Apa yang awak buat apa, beri bas percuma, peduli sikit-sikit bagi orang pergi hospital. Tak ada negara dalam dunia menang PRU kerana sediakan bas. Tapi di Selangor ni kadang-kadang orang tertipu,” katanya.

 Pada 2005, Selangor dimasyhurkan sebagai Negeri Maju berdasarkan petunjuk yang dibangunkan oleh Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) yang dilantik oleh International Institute for Management Development (IMD) Switzerland dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Namun di sebalik pencapaian itu, pada Pilihan Raya Umum Ke-12 2008, BN Selangor tumbang dibadai tsunami politik pembangkang.

Pada 2008 pemerintahan Selangor bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat dengan Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi menteri besar dan kemudiannya digantikan dengan Azmin.

 
Mengulas lanjut, Muhammad berkata meskipun BN telah melakukan yang terbaik untuk Selangor dengan menyediakan semua kemudahan, namun dengan adanya media sosial, pembangkang boleh ‘menjentik’ sehingga pemimpin jatuh.

“PRU2008 selepas kita cemerlang tiba-tiba kita kalah. Kita dah lakukan yang terbaik. Kamu lihat Selangor kita ada pelabuhan, lapangan terbang, Putrajaya, LRT, macam mana boleh kalah pada 2008.

“Pelik juga, negeri mundur, tak cukup fasiliti, air pun tak ada, rumah panjang tapi BN menang. Negeri yang cukup lengkap kalah.

“Maknanya sistem nilai. Sekarang dah ada media sosial jadi nak cari pemimpin jangan angkuh, jika tidak mereka jentik. Barangkali 2008 banyak orang jentik. Tapi mereka (rakyat) sedang marah, kalau satu orang jentik tak apa. Kalau 500,000 orang jentik matilah dia,” katanya.

Bagi merampas kembali Selangor daripada pembangkang, beberapa menteri besar, termasuk Muhammad, Tan Sri Khir Toyo dan Tan Sri Abu Hassan Omar berikrar akan membantu BN menawan semula negeri itu.

Strategi Najib, jangan tolak jangan lulus…diam sahaja – Dr Mahathir

THE MALAYSIAN TIMES


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan (PH) tahu awal-awal lagi jika permintaan dibuat untuk berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri, maka permintaan itu tidak akan dijawab, sama seperti surat dari PH untuk mengetahui keputusan permohonan kelulusan bagi perlembagaan PH dan simbolnya.

“Ini adalah strategi Kerajaan Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) apabila berhadapan dengan tuntutan hak parti lawan yang ditakuti olehnya, jangan tolak dan jangan lulus. Diam sahaja.

“Tidak menjawab boleh ditafsir dengan bermacam tafsiran yang tidak mendedahkan Najib kepada dakwaan menyalahguna kuasa dengan tidak melulus.

“Tidak menjawab mungkin disebabkan tidak menerima, atau terima tetapi tidak menolak, atau tidak dapat memutus untuk menolak atau melulus kerana sebab-sebab tertentu, atau sedang dipertimbang.

“Jika PH seperti biasa menghantar surat bertanya tentang kedudukan permohonan, sekali lagi jangan jawab,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir yang merupakan pengerusi PH berkata dengan cara ini berbulan-bulan berlalu tanpa PH mengetahui lulus atau tidak perlembagaannya dan simbol.

“Persiapan untuk PRU tidak boleh dibuat oleh PH. Persiapan mengambil masa yang panjang,
sekurang-kurangnya tiga bulan. Selain dari membuat sepanduk dan bendera dengan logo/simbol yang diluluskan, penentuan kerusi dan calon juga mengambil masa. Simbol yang diguna di kertas undi amat penting.

“Pengundi perlu kenal simbol ini semasa mengundi. Jika tidak dikenali sekian lama sukar bagi pengundi mengundi PH. Mungkin simbol lain yang akan dipangkah.

“Oleh itu melambatkan kelulusan perlembagaan PH dan simbolnya adalah cara menyalahguna kuasa Kerajaan untuk BN memenangi Pilihan Raya.

“Selepas lima bulan berlalu tanpa jawapan dari Kerajaan, PH membuat keputusan untuk jumpa Menteri Dalam Negeri. Jika permohonan dibuat untuk maksud ini sudah tentu jawapan tidak akan diberi. Berbulan lagi akan berlalu dan semakin dekatlah Pilihan Raya, semakin pendeklah masa untuk PH membuat persiapan.

“Oleh itu PH memutus untuk tidak meminta atau memberitahu tarikh rombongan PH akan berjumpa Menteri. Kesempatan untuk Menteri menghilang diri tidak dapat dilakukan.

“Tetapi Kementerian dapat maklumat tentang perancangan PH. Maka hilanglah Menteri.

“Inilah yang berlaku pada Isnin, 20 November.

“Sekarang diketahui bahawa ada masalah dengan DAP dan PPBM. Tetapi maklumat diberi secara lisan. Tidak ada surat rasmi. Tanpa jawapan rasmi pembetulan tidak dapat dibuat. Maka terpaksa tunggu lagi.

“Masa berlalu. Pilihan raya semakin dekat. Tanpa kelulusan rasmi persiapan tidak dapat dibuat.
Tunggulah. Kerajaan tidak tolak. Tidak bermakna Kerajaan tidak lulus. Hanya tidak jawab,” katanya.