HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 November 2017

Kegiatan kongsi gelap di sekolah perlu dibendung segera, kata MP DAP



Bertindak segera, kata Sivakumar.


Kegiatan kongsi gelap di sekolah didakwa semakin tenat dan perlu pembetulan segera, kata Timbalan Setiausaha Agung DAP, V Sivakumar.

Katanya, kebelakangan ini, isu kegiatan kongsi gelap di kalangan pelajar-pelajar sekolah menjadi semakin ketara.

“Sewaktu perbahasan Bajet 2018 di peringkat Jawatankuasa, saya telah membangkitkan isu penglibatan pelajar-pelajar sekolah dalam kegiatan kongsi gelap,” kata ahli parlimen Batu Gajah itu dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sering didengari bahawa sekolah menengah menjadi sasaran kumpulan kongsi gelap untuk merekrut anak buah yang baru.

Pelajar-pelajar, katanya, dipukau dengan pelbagai pemberian mewah dan wang ringgit yang lumayan.

“Tetapi, saya tidak nampak inisiatif yang serius untuk membendung masalah ini,” katanya bimbang.
Pergaduhan diantara kumpulan-kumpulan kongsi gelap dan kes-kes buli amat kerap berlaku di sekolah-sekolah menengah, katanya.

“Saya telah meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah kes kongsi gelap yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah.

“Apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri terhadap pelajar-pelajar yang ditangkap terlibat dengan kegiatan kongsi gelap?

“Apakah langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh kerajaan untuk menghindar pelajar-pelajar sekolah terlibat dalam kumpulan-kumpulan kongsi gelap?” soal beliau.

Beliau berpendapat bahawa Kementerian Pendidikan harus menjalankan satu kajian terperinci mengenai isu penglibatan pelajar-pelajar dalam kongsi gelap.

Ini adalah penting untuk menyelamatkan anak-anak kita daripada gejala negatif yang boleh merosakkan masa hadapan mereka, katanya.

“Penglibatan dalam kumpulan kongsi gelap ini akan mendorong mereka melakukan jenayah seperti mengedar dadah, mencuri, membunuh dan sebagainya,” katanya.

Walaupun faktor persekitaran boleh dianggap sebagai penyebab utama kegiatan kongsi gelap, peranan ibubapa dan guru-guru sekolah juga tidak boleh dipandang ringan.

“Ibubapa harus memerhati segala tindak tanduk dan kegiatan anak-anak mereka. Disamping itu, perubahan perwatakan anak-anak harus sentiasa diawasi.

“Guru-guru sekolah juga harus mengenal pasti dan bertindak tegas terhadap murid-murid yang mempunyai sifat atau perwatakan jahat dan luar biasa,” katanya yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Perak itu.

Pentadbir sekolah, katanya, harus memastikan pihak luar terutamanya anggota kumpulan kongsi gelap tidak memasuki kawasan sekolah dan persekitarannya.

Antaranya dengan melarang pelajar-pelajar sekolah mengadakan hubungan komunikasi dengan anasir-anasir jahat di luar.

Pihak polis juga, katanya, harus mengadakan rondaan yang kerap di kawasan persekitaran sekolah untuk memastikan keselamatan pelajar-pelajar.

Ini juga boleh mencegah pelajar-pelajar daripada pengaruh kongsi gelap.

“Kementerian Pendidikan dengan kerjasama polis harus memastikan anak-anak kita di sekolah selamat daripada dipengaruhi oleh kongsi gelap,” kata beliau.

'Saya hidup berfoya-foya sebelum dapat hidayah masuk Umno'

MALAYSIAKINI
 


Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengakui pernah hidup berfoya-foya sebelum mendapat hidayah untuk berkhidmat dengan Umno.

Justeru itu, Tengku Adnan memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak mengelirukan rakyat mengenai dirinya.

Tengku Adnan berkata sekitar tahun 1980-an beliau merupakan seorang ahli perniagaan dan tersenarai antara individu terkaya di Malaysia sehingga berita mengenainya dilaporkan oleh majalah pelaburan.

"Sebab itu pembangkang cakap bukan-bukan. Saya marah. Tak tahu siapa saya, jangan cakap.

"Jangan kelirukan rakyat tentang saya. Apa yang berlaku pada saya hari ini saya bersyukur kepada Allah,” kata Tengku Adnan dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Nadi Negara di PWTC hari ini.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan bagaimanapun tidak menjelaskan secara khusus bentuk kekeliruan yang dibuat oleh pembangkang terhadapnya.

Ku Nan juga menceritakan mengenai gaya hidupnya sebelum mendapat hidayah daripada Allah sehinggalah menyertai Umno.

“Dahulu, saya hidup berfoya-foya sana-sini, kapal terbang sendiri, kapal layar ada, semua ada. Nak makan di mana? Hong Kong? Singapura?

“Tapi Allah sayang saya. Pada akhir 1998, saya teringat dipanggil jadi Setiausaha Kerja Umno. Saya beritahu presiden saya, yang saya akan berkhidmat selama enam bulan, kemudian mahu kembali ke dunia korporat.

"Tetapi dari November 1998 sampai ke hari ini saya jadi begini (terlibat dalam Umno),” katanya.
Katanya lagi, beliau turut ditawarkan untuk bertanding namun beliau enggan berbuat demikian kerana niat asalnya hanyalah untuk berkhidmat kepada Umno.

Bagaimanapun, menurut Ku Nan, beliau akhirnya memutuskan untuk juga untuk bertanding demi kepentingan parti.

Anggota Parlimen Putrajaya itu turut melahirkan kekesalan kepada anggota Umno yang terlalu inginkan jawatan berbanding berkhidmat kepada rakyat.

“Banyak ahli Umno sekarang yang kadangkala hendak sangat jawatan, hendak jadi wakil rakyat, saya tak faham,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI


Kanak-kanak maut terjun bangunan selepas merajuk dimarahi ibu

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: Angkara dimarahi ibu, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun maut selepas nekad terjun dari rumahnya di tingkat sembilan di sebuah apartment di Taman Tampoi Indah, Jumaat lalu.
 
Timbalan Pesuruhjaya OCPD Johor Baru Utara, Mohd Taib Ahmad berkata mangsa maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
 
The Star melaporkan kanak-kanak itu terlebih dahulu mengurungkan dirinya di dalam bilik selepas dimarahi ibunya kerana membuat bising.
 
"Siasatan awal mendapati setelah ditegur ibunya, mangsa mengunci diri di dalam biliknya sebelum terjun melalui tingkap apartmen di Jalan Skudai Lama di sini.
 
"Dipercayai pertengkaran telah mendorong berlakunya insiden itu dan ibunya tidak menyangka anaknya akan bertindak sedemikian rupa,” tambahnya.
 
Polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut sementara menunggu siasatan.
 
 

Kerajaan akan sekat fahaman ekstremisme, ateis

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA TERENGGANU: Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) akan menyekat apa sahaja bentuk esktremisme atau pelampau agama supaya ia tidak memberi mudarat kepada rakyat dan negara.
 
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata Malaysia akan menjadikan asas agama Islam yang berorientasikan kepelbagaian kaum dan agama di negara ini, sekaligus menterjemahkan keunikannya.
 
Justeru itu, jelas beliau, sifat unik di sebuah negara majmuk seperti Malaysia perlu dihargai memandangkan Islam di negara ini tidak jumud, regit, radikal serta ekstrem sebaliknya ia bersifat 
wasatiyyah berasaskan al-Quran.

 
“Ia tidak sekali-kali beri ruang kepada sebarang bentuk melampau dalam agama. Sama ada sifat radikal atau liberal, asas ini harus dibina oleh Yadim sebagai sebuah pertubuhan dakwah untuk 
melahirkan masyarakat khususnya generasi muda yang berpemikiran tasawur Islam dan ilmu Islam berpaksikan akidah,” katanya.
 
Asyraf berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Sahabat Yadim 2017 di Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak dekat sini hari ini.
 
 

Kenapa baru sekarang Hindraf muncul? soal penganalisis

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic


SHAH ALAM: Parti Hindraf dipertikai berikutan hanya 'muncul kembali' beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan.

Penganalisis politik, Dr Jeneri Amir berkata rakyat, khususnya pengundi kaum India akan bertanya mengapa Hindraf begitu senyap dan tidak seperti parti politik lain yang sentiasa 'ada' untuk membela pengikutnya.

"Orang akan mempertikaikan mengapa penggemblengan terhadap usaha, isu dan sebagainya ini hanya berbangkit pada bulan-bulan terakhir pilihan raya, sedangkan dulu (PRRU13) momentumnya begitu kuat dan sekarang lembik dan lembab?

"Hindraf pada kali ini sudah kehilangan 'gigi', gerakannya kini sudah kehilangan 'gigi' dan ini akan memberi kesan dari segi pola pengundian, peratusan pola pengundian yang tidak lagi menyokong BN," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Jeniri berkata tidak mustahil penyertaan Hindraf ke dalam PH akan menyebabkan pengundi India mengalihkan sokongan kepada seteru politik gagasan itu.

"Jadi ini secara langsung akan memberi kesan kepada pengundi India yang akan belot kepada pembangkang," katanya lagi.

Hindraf atau Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu adalah pergerakan kaum India yang terkenal dengan protes besar-besaran beberapa bulan sebelum PRU 2008.

Protes itu seterusnya menjadi pencetus kepada peralihan sokongan politik pengundi berbangsa India kepada pembangkang, yang menyaksikan BN tewas di kerusi dengan penduduk kaum India yang ramai.

Bagaimanapun, Hindraf di bawah P. Waythamoorthy mengalihkan sokongan kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak selepas persefahaman dengan BN pada kempen PRU 2013.

Waythamoorthy turut dilantik sebagai senator dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri namun meletak jawatan kurang setahun selepas itu kerana mendakwa BN gagal menunaikan janji membantu masyarakat India.

Pada Ogos tahun ini pula, Hindraf mengumumkan mahu bekerjasama dengan PH bagi membantu gagasan pembangkang itu mendapatkan sokongan kaum India di luar bandar dan separa bandar dan menolak Umno-BN dalam PRU14.

"Hindraf dulu dan Hindraf sekarang adalah dua Hindraf yang berlainan dari segi kesannya dan juga dari segi kepimpinannya yang secara langsung akan memberi kesan terhadap pengundian yang tidak lagi memihak kepada BN.

"Kalau dulu rasa tidak puas hati itu begitu menyeluruh dan berupaya untuk dibangkitkan dengan banyaknya tunjuk perasaan, demonstrasi jalanan dilakukan Hindraf, tetapi sekarang kita lihat tidak berlaku sedemikian," kata Jeniri.

Bagaimanapun setakat Oktober, PH memaklumkan ia belum lagi menerima permohonan rasmi Hindraf untuk bekerjasama.

Hadi: Arab Saudi dan Mesir kawan Zionis

MALAYSIAKINI



Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelar negara Teluk termasuk Arab Saudi sebagai sekutu Zionis selepas Kesatuan Ulamak Muslimin Sedunia (IUMS) yang beliau adalah naib presidennya disenaraikan sebagai pengganas.

Abdul Hadi berkata, tidak mengejutkan apabila IUMS disenaraikan sebagai pengganas oleh Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain kerana negara-negara itu menjalinkan hubungan dengan Israel.

“Negara yang mengeluarkan senarai pengganas ini telah mengamalkan politik peneutralan hubungan dengan Israel dan negara-negara dalam rangkaian Mason-Zionis Antarabangsa.

“Pendekatan politik sebegini sebenarnya ibarat kapal yang berlayar sesat di lautan samudera yang luas.

“Mereka tidak mempunyai jati diri untuk membuat keputusan secara bebas berpandukan nilai-nilai mulia walaupun sudah lama melalui zaman-zaman kegelapan dan penindasan yang sepatutnya menjadi pengajaran kepada mereka, “ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khamis lalu empat negara Teluk itu dilaporkan melabelkan IUMS, Majlis Islam Antarabangsa “Massaaa”, dan 11 individu dalam senarai pengganas.

IUMS merupakan kumpulan berpangkalan di Qatar yang diasaskan ahli akademik Yusuf al-Qaradawi. Empat negara Teluk itu kini mempunyai perselisihan dengan Qatar dan telah memutuskan hubungan dengan negara itu.

Dalam kenayataannya, Hadi berkata empat negara itu lebih percaya kepada Zionis berbanding Allah dan Islam.

“Bangsa Arab asalnya menjadi mulia kerana Islam akan tetapi kini bakal hancur dengan kejahatan mereka sendiri yang mengiktiraf rejim Zionis serta mengabaikan Palestin dan kesuciannya.

“Mereka didorong rasa percaya dan kagum kepada penguasa-penguasa Yahudi Zionis melebihi kepercayaan kepada Allah, Islam dan umat Islam,” katanya.

Ketua Polis Mohamad Fuzi Harun berkata Malaysia tidak bimbang dengan kaitan Hadi dengan IUMS.

“Tiada ancaman daripada penglibatannya (Hadi) dengan kumpulan itu,” katanya dipetik sebagai berkata dalam The Star.

'Kerana dasar Umno kamu dapat masuk universiti'

MALAYSIAKINI
 


Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan anak-anak Melayu supaya merenung diri dengan mengingat kembali jasa-jasa Umno kepada mereka.
Menurut Tengku Adnan anak-anak Melayu perlu menghargai jasa Umno dalam menyediakan peluang pendidikan.

"Saya pun pernah jadi pelajar, (tetapi) kerana dasar Umno yang kamu dapat masuk universiti. Kalau tak dapat masuk universiti di Malaysia, kita hantar ke luar negara, (tapi bila) balik negara tunjuk pandai marah kepada Umno.

“Apa salah Umno? Balik nanti renung siapa saya, siapa ibu-bapa saya, bagaimana saya jadi macam ini. Renungkan kerana kita sudah lupa kerana kita orang Islam tetapi tak bersyukur apa yang kita ada,” kata Tengku Adnan dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Nadi Negara di PWTC hari ini.

Majlis Anugerah Nadi Negara 2017 yang diadakan untuk menghargai pencapaian mahasiswa itu turut dihadiri Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata pembangkang pada hari ini sering menabur fitnah mendakwa kerajaan Umno-BN gagal mentadbir negara dan melaksanakan dasar dengan baik.

"Saya cakap begini kerana saya lihat keadaan negara sejak kebelakangan ini, apatah lagi kita undi pembangkang yang tidak ada 'tamakninah' (henti-henti).

"Pembangkang sengaja hendak memecah-belahkan negara dan pembangkang sengaja hendak lihat negara hancur," katanya.

Tengku Adnan juga bertegas kuasa Umno perlu dikekalkan supaya kepentingan kaum Melayu dan hak-hak keistimewaan terus dipertahankan.

Malah katanya Umno telah membuktikan keupayaannya mempertahankan hak dan keistimewaan kaum Melayu selama mentadbir negara ini.

"Kita bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna namun percayalah dengan kepimpinan yang ada pada hari ini, di bawah Datuk Seri Najib Razak beliau sedia untuk mengubah dan memperbetulkan," katanya.

Tengku Adnan berkata kerajaan sudah memberikan pendidikan kepada seluruh mahasiswa dan tidak adil sekiranya kumpulan itu memaki hamun kerajaan selepas tamat belajar.

“Saya minta anak-anak jangan pergi masuk universiti untuk dapat sijil sahaja kemudian kerja, bila dah kerja maki kerajaan.

“Kita didik anda, beri pelajaran, degree, diploma, tidak menjanjikan anda kerja tapi sebagai kerajaan kita bertanggungjawab cuba memudahkan pelajar-pelajar kita di institusi kerajaan dan GLC,” katanya.


Kuok: Penjahat Cina 'musnahkan' Asia Tenggara

MALAYSIAKINI
 


Hartawan Robert Kuok percaya bahawa walaupun kaum Cina umumnya membantu membangunkan Asia Tenggara, terdapat di kalangan 'mereka yang jahat' telah merosakkan bahagian rantau ini.

Usahawan yang berpangkalan di Hong Kong itu mengatakan bahawa perkara itu disebabkan kepimpinan yang lemah dan kurangnya institusi-institusi pengawasan yang kuat.

"Orang Cina yang baik telah membantu membina Indonesia, Malaysia, Thailand dan Filipina serta menjadikan negara-negara ini seperti yang ada hari ini.

"Tetapi ada juga Cina jahat dan tidak berhati perut, yang pada akhirnya telah menghancurkan banyak bahagian Asia Tenggara.

"Kenapa orang-orang ini dibenarkan memusnahkannya? Ini kerana kepimpinan yang lemah," kata Kuok dalam petikan memoirnya yang disiar di South China Morning Post (SCMP) hari ini.

Kuok berkata beliau pernah memberikan amaran mengenai "penjahat Cina" dan keperluan menubuhkan institusi pengawasan yang kuat di Jakarta semasa presiden Suharto.

Menurut Kuok, beliau pada mulanya memohon Jakarta menggunakan kepakaran usahawan Cina untuk membangunkan ekonomi Indonesia.

Bagaimanapun, beliau berkata sesetengah usahawan Cina ini boleh menjadi "penjahat yang sangat besar" dan oleh itu penting bagi kerajaan memiliki badan pengawasan yang kuat.

"Apa yang saya katakan ialah dalam ekonomi laissez-faire, anda mesti benarkan perniagaan
berkembang dengan bebas, tapi pada masa yang sama anda mesti mempunyai badan pemantauan yang sangat terlatih dan berdisplin.

"Di mana terdapat penyelewengan dan jenayah yang dilakukan, anda mesti turun dengan cepat dan memberikan hukuman yang keras kepada penjahat ini.

"Anda harus menunjukkan contoh kepada mereka supaya orang Cina yang jujur ​​akan membantu negara anda dan orang-orang yang tidak jujur ​​dihalang," katanya di Jakarta ketika mengadakan pertemuan dengan pemimpin dari berbagai negara Asia Tenggara.

Namun Kuok berkata nasihatnya tidak diendahkan, bukan hanya di Indonesia tetapi juga di kebanyakan negara lain di Asia Tenggara.

Sebagai perbandingan, beliau berkata Singapura bagaimanapun dapat menangani perkara itu di bawah pentadbiran bekas perdana menterinya, Lee Kuan Yew.

"Dengan unsur-unsur tidak baik dapat dikawal, lihat apa yang telah dicapai oleh Singapura dengan memanfaatkan tenaga orang Cina di seberang laut," kata Kuok.

ADUN PAS Kedah sertai BERSATU

MALAYSIAKINI




Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah dari PAS hari ini mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Amiruddin yang juga ketua pembangkang DUN Kedah mengumumkan perkara itu pada sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Beliau berkata, keputusannya itu kerana merasakan BN hanya dapat dihadapi melalui gabungan pembangkang yang erat seperti yang dibuktikan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12 dan ke-13.

"Saya berpandangan kita harus menghadapi PRU akan datang dalam keadaan padu dan kukuh seperti itu untuk berhadapan BN.

"Yang penting kita berada dalam kesepakatan yang padu dan ini saya lihat dapat dicapai dalam Pakatan Harapan (HARAPAN)," katanya.

Justeru selepas perbincangan dengan pihak terdekat, beliau berkata memutuskan untuk bersama HARAPAN melalui BERSATU.

Amiruddin adalah pengganti allayarham Datuk Fadzil Noor di DUN Anak Bukit, selepas menang dalam pilihan raya kecil di sana pada 2002 berikutan kematian bekas presiden PAS itu.

Sidang media turut dihadiri Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Ketua BERSATU Kedah, dan pimpinan negeri.

Amiruddin berkata, beliau pernah berjumpa dengan pesuruhjaya PAS Kedah untuk memastikan sama ada masih wujud kemungkinan PAS bekerjasama dengan HARAPAN.

Katanya, beliau mendapat pengesahan bahawa kerjasama itu "hampir mustahil" untuk berlaku.

Sebelum ini, Amiruddin dilihat sebagai antara pemimpin PAS yang cenderung terhadap parti serpihannya, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Malah, beliau juga hadir pada konvensyen tahunan AMANAH di Kedah pada bulan lalu, bersama-sama seorang lagi wakil rakyat PAS yang 'mesra' HARAPAN, Datuk Mahfuz Omar.

Ketika ditanya mengapa beliau memilih untuk memilih BERSATU dan bukannya AMANAH, secara berseloroh Amiruddin berkata beliau adalah pengecualian dalam soal itu.

"Saya tak tahu kalau keluar PAS mesti masuk AMANAH. Kalau benar pun, pasti ada pengecualian, maka saya adalah pengecualian (untuk tanggapan itu).

Dengan penyertaan itu, HARAPAN kini memiliki sembilan ADUN di Kedah dan PAS pula tinggal tujuh.

Namun, PAS masih parti pembangkang yang mempunyai bilangan ADUN paling ramai di negeri itu. BN selaku kerajaan negeri pula memiliki 20 ADUN.

KJ: BN kena dekati pengundi muda

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang, kesemua parti-parti komponen itu perlu mendekati pengundi muda.
 
Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata ramai pengundi muda pada hari ini masih tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
 
“Kita selaku Pemuda BN perlu memainkan peranan masing-masing mendekati secara bersemuka dan memahami harapan serta kebimbangan mereka tentang peningkatan kos sara hidup, inflasi dan sebagainya.
 
“Pada pandangan saya mereka belum berkeputusan menyokong, tiada kesetiaan terhadap mana-mana parti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda myPPP di Wisma Felcra, hari ini.
 
Turut hadir Ketua Pemuda myPPP Sathiah Sudakaran, Naib Presiden Kanan myPPP Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz serta barisan kepimpinan Pemuda myPPP.
 
Dalam ucapan perasmian, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata semua sayap Pemuda BN perlu memainkan peranan dan bekerjasama untuk memastikan rakyat tidak mempunyai persepsi negatif terhadap BN sebagai parti yang jauh daripada rakyat.
 
Beliau juga mahu Pemuda BN bekerja keras dan memastikan rakyat tidak sewenang-wenangnya terpedaya dengan janji pembangkang yang bersifat populis.
 
“PRU kali ini sangat kritikal dan mencabar untuk BN mempertahankan rekod kemenangan demi masa depan dan saya yakin rakyat dapat memberi mandat dengan mempertimbangkan rekod pencapaian BN selama ini,” katanya.