HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Disember 2017

Hampir 4 juta undi pos akan jadi talian hayat BN?

DETIK DAILY

 
Oleh Nurul Izzah Anwar

 BELUM selesai kontroversi kemasukan pengundi pos di kerusi-kerusi sasaran menteri sebelum kem siap, kita kini dikejutkan dengan kenyataan media Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kategori skim anggota keselamatan dan kesihatan sebagai pengundi pos pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Semuanya memberi isyarat seolah-olah akan berlaku permainan kotor melibatkan SPR dalam PRU kali ini.

Persoalannya, adakah mereka yang berdaftar sebagai anggota sukarelawan polis (PVR), seperti anggota Rela boleh dikategorikan sukarelawan polis layak mendaftar untuk undi pos? Begitu juga status polis bantuan, kor kadet, simpanan pesara polis - adakah semuanya tersenarai sebagai pengundi pos?

Menurut data terkini, jumlah anggota tetap pegawai rela adalah seramai 1,100 orang, walhal sukarelawan Rela hampir 3.05 juta orang.

Banyak pihak meragui, apakah pada saat akhir sebelum PRU-14 kelak, SPR bersedia menyatakan jumlah terkini bagi keseluruhan kategori undi pos, termasuk yang difikir layak?

Hal ini kerana, langkah tidak popular ini akan mengakibatkan banyak pihak menganggap SPR seperti pengadil yang berat sebelah, iaitu akan menyelamatkan kerajaan kleptokrasi Umno/BN dengan menggunakan undi pos sebagai talian hayat akhir dalam PRU ke14.

Pertama, keraguan amat jelas apabila pendaftaran pengundi pos dalam kategori petugas dan pasukan keselamatan dilakukan secara hendap dan tidak telus.

SOP yang tempang ini turut memberi laluan kepada kerajaan BN menggunakan kuasa untuk memindah pengundi ke kawasan pilihan raya yang mahu BN menangi di saat-saat akhir.

Lebih-lebih lagi, apabila senarai pengundi pos tidak diwartakan awal sebelum pilihan raya umum dan calon juga tidak menerima maklumat tentang pengundi pos.

Malahan, menteri yang mempunyai kuasa dalam pendaftaran anggota Rela, mempunyai ruang untuk mendaftar undi pos anggota Rela ke kawasan Dun atau parlimen yang mereka mahukan tanpa justifikasi yang jelas.

Sebelum ini pun, kita menyaksikan terdapat beberapa kes pengundi dipindahkan pada saat akhir. Kebanyakan pengundi ini tidak hadir ke JPN, SPR dan pejabat Pos untuk menukar alamat dalam cip Mykad mereka.

Bahkan, tersebar juga maklumat yang menyatakan bahawa terdapat perpindahan pengundi dari parlimen Bagan ke Dun Telok Ayer Tawar, Seberang Jaya dan Sungai Bakap tanpa pengundi ini hadir di JPN dan SPR untuk menukar alamat mengundi.

Pihak SPR perlu sedar bahawa rakyat terkesan dengan memanipulasi pilihan raya menerusi pendaftaran pengundi pos dan pemindahan pengundi ini. Malaysia merupakan negara berdaulat dan demokratik - manipulasi pilihanraya sebegini bertentangan dengan prinsip kenegaraan serta perlembagaan negara.

Buktinya, semasa PRU 13 lepas, BN memperoleh 133 daripada 222 kerusi dengan kemenangan majoriti tipis hampir 30 kerusi melalui undi pos.

Bermakna, andai tidak wujud undi pos dan undi awal, pakatan pembangkang berupaya memenangi 30 kerusi tambahan daripada 89 kerusi asalnya, seterusnya mendapat kerusi majoriti Parlimen dengan 119 kerusi.

Kedua, untuk memastikan pilihan raya telus, SPR perlu membuat pengiraan undi awal pada hari pengiraan undi biasa berlangsung.

Sebuah badan antarabangsa yang memantau proses pilihan raya, ACE Knowledge Network menegaskan bahawa pengiraan undi terbaik bermula apabila semua peti undi ditutup. Perkara ini berbeza dengan amalan pilihan raya di Malaysia - peti undi awal disimpan di dalam lokap polis sehingga tarikh asal pilihan raya.

ACE turut menyatakan jarak masa pengiraan undi yang panjang di antara undi awal dan undi kertas boleh mendorong ke arah penipuan pilihan raya.

Perkara ini dilaksanakan di banyak negara seperti Australia, Bangladesh, Ivory Coast, Rwanda, Tanzania, Georgia, Senegal, Mexico, Cameroon dan Georgia yang akan mengira undi sejurus peti undi ditutup. Langkah ini mempercepatkan penubuhan kerajaan bagi menguruskan pentadbiran negara.

Berbeza dengan negara yang mengamalkan kiraan undi lewat seperti Honduras. Realitinya, negara tersebut menghadapi krisis pemerintah akibat proses pilihan raya yang dimanipulasikan.

Justeru, SPR perlu mengikut pengamalan negara yang berjaya dalam mengurus pilihan raya. Malahan, disarankan agar SPR untuk mengamalkan pilihan raya yang telus dan adil.

Saya menyeru rakyat Malaysia bersama-sama mempertahankan ketelusan pilihanraya; iaitu dengan mendesak agar SPR menggunakan mekanisma pemantauan terperinci pada setiap peti undi pada hari pengundian awal dan pos. Ini kerana, setiap undi adalah suara dan aspirasi rakyat. – 27 Disember, 2017.

* Nurul Izzah Anwar adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya PKR.
 
 

Surat Mahfuz Kepada Setiausaha Agung Parti Islam Semalaysia (Pas)

DETIK DAILY

 
 
Dato' Hj Mahfuz Hj Omar
No 11 Taman Al Walid
Jalan Langgar
05460 Alor Setar
Kedah
_______________________________

Yb Dato' Takiyuddin Haji Hassan
Setiausaha Agung Parti Islam Semalaysia (Pas)
No 318A,Jalan Raja Laut
50350 Kuala Lumpur.                                                          31 Disember 2017
                                                                                             12 Rabiulakhir 1439H

Assalamualaikum Wrt. Wbt,

Tuan,

Per: PEMBERHENTIAN MENGANGGOTAI PARTI ISLAM SeMALAYSIA (PAS)

Merujuk perkara diatas,saya Mahfuz Bin Omar nombor kad pengenalan 570825-02-6067 dan ahli Pas yang bernombor  0166398 (ahli bagi Pas Kawasan Pokok Sena) dengan ini memaklumkan untuk tindakan pihak tuan,berasaskan kepada peruntukan Perlembagaan Pas Fasal 15 (2) dengan ini berhenti dari menganggotai Pas berkuatkuasa  jam 11.59 malam hari ini 31 Desember 2017.

Pemberhentian saya sebagai ahli Pas yang saya sertai selama 34 tahun sejak 12 Mac 1984 adalah ekoran dari tindak tanduk tidak sihat kepimpinan tertinggi Pas dalam menguruskan hal hal yang berkaitan dengan perjuangan Islam. Antaranya pengurusan RUU 355 yang dinyatakan oleh Pas sebagai nyawa Pas tetapi akhirnya dilihat memperalatkan RUU 355 untuk kepentingan politik semata-mata. Sikap berkecuali Pas dalam isu Bajet beberapa tahun mutakhir ini dan yang terakir pendirian berkecuali Pas di Parlimen dalam pengundian Bajet 2018 dilihat sebagai satu pengkhianatan pada kesusahan,kesengsaraan dan penderitaan rakyat dari bajet yang mencekek kehidupan rakyat.

Begitu juga pendirian Pas yang hanya menyasarkan untuk menang 40 kerusi Parlimen sahaja pada pru14 nanti adalah menunjukan ketidaksediaan Pas untuk mengambil alih urusan pemerintahan negara dari pemerintah klaptokrat Umno Bn. 

Sedangkan rata rata ahli Pas di akar umbi mahukan peralihan kuasa pemerintahan berlaku pada pru14 akan datang untuk keluar dari beban kos sara hidup dan menyelamatkan negara dari klaptokrat Umno Bn yang menjadi sebahagian dari tuntutan Islam. Kini Pas sedang bertindak memencilkan diri dari rakyat terbanyak dalam mendepani arus perdana politik negara yang tak perlu saya huraikan satu persatu disini.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas segala pengalaman dan tunjuk ajar sepanjang saya berada dalam organisasi Pas.Saya juga memohon jutaan kemaafan dan keampunan atas segala kesilapan serta kekurangan sumbangan dan pengorbanan yang saya berikan sepanjang menjadi ahli Pas.

Moga Allah SWT akan meneguhkan lagi Istiqamah saya bersama Islam walaupun selepas berhenti dari menjadi ahli Pas dan didoakan ikatan silaturrahim persahabatan dan ukhwah Islamiah sesama kita kekal teguh walaupun saya tidak lagi menjadi ahli Pas.

Sekian,
Terima Kasih.

#IstiqamahBersamaIslam
#BinaSemulaMalaysia
#SelamatkanMalaysia

Yang Benar,
Dato' Haji Mahfuz Bin Haji Omar 
 
 

Lelaki mengamuk pukul anak majikan, bakar kereta rakan kerana gaji lambat

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SIBU: Berang gaji lambat dibayar, seorang lelaki berusia awal 30-an bertindak kasar dengan memukul anak majikannya dan rakan sekerja.
 
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zailani Amit berkata lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu juga turut membakar kereta rakan sekerjanya itu selepas bertindak cuba mententeramkan suspek.
 
Kejadian berlaku pada Sabtu, jam 3.50 petang di hadapan sebuah restoran di Jalan Aman, di sini.
 
Zailani berkata ketika kejadian tiga pekerja binaan itu sedang menanti bayaran gaji oleh majikan.
 
Bagaimanapun, suspek dikatakan berang selepas dimaklumkan oleh anak majikannya yang berusia 24 tahun mengenai kelewatan pihak syarikat membayar gaji kepada pekerja untuk bulan ini.
 
Seorang rakan suspek yang berusia 35 tahun cuba menenangkan suspek, namun dia terus mengamuk dengan memukul isteri rakannya itu dan anak majikannya.
 
Dia juga turut membakar kereta Perodua Kancil milik rakannya sebelum melarikan diri.
 
Tujuh anggota balai Bomba dan Penyelamat Sibu diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua, Tahir Tuah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
 
Kenderaan terbabit terbakar hampir 85 peratus dan nilai kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan mencecah RM12,000.
 
Kes masih disiasat dan polis sudah mengenalpasti identiti suspek dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan.
 
 

Husam wujudkan pakatan PAN - Umno di Kelantan?


BULAN lalu, seorang rakan memaklumkan kononnya Naib Presiden PAN, Dato' Husam Musa, telah mendapat restu daripada seorang pemimpin veteran Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk menjadi Menteri Besar Kelantan yang baru selepas PRU 14. 
 
Berita ini bagaimanapun tidak saya pandang serius kerana kesukaran untuk memikirkan logik bagaimana Tengku Razaleigh, yang bukan pun menjawat jawatan Pengerusi Umno Kelantan, boleh mempengaruhi Umno Kelantan untuk menyokong Dato' Husam.
 
Pada masa yang sama, dakwaan bahawa wujudnya kerjasama antara PAS dan Umno di Kelantan di dalam PRU 14, selain ditepis berkali-kali oleh Pengerusi Umno Kelantan, Dato' Seri Mustapha Mohamed, turut dinafikan oleh para pemimpin PAS Kelantan.
 
Di dalam menafikan kerjasama antara PAS dan Umno di Kelantan di dalam PRU 14 ini, kerap kali pula para pemimpin PAS Kelantan menyebut bahawa PAN dan Umno-lah yang sebenarnya sedang berpakat untuk menjatuhkan PAS di Kelantan di dalam PRU 14.
 
Malam kelmarin, 28 Disember, Dato' Husam, yang merupakan bekas Ahli EXCO Kanan Kerajaan Negeri Kelantan, hadir sebagai tetamu di dalam majlis “Bicara Anak Kelantan” anjuran portal berita Sokmo.Net di Dewan Kayangan, Hotel Crystal Lodge, Kota Bharu.
 
Moderator di dalam majlis ini ialah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad, yang bertindak keluar dari PKR untuk menyertai Umno pada 22 April 2010, tiga hari sebelum hari pengundian PRK Hulu Selangor.
 
Desas-desus yang berlegar kuat di kalangan orang ramai ialah portal berita Sokmo.Net ini mendapat pembiayaan daripada Umno Kelantan dan ini diperkuatkan lagi dengan paparan pelbagai gambar dan aktiviti Dato' Seri Mustapha di dalam laman portal berita ini.
 
Penyertaan Dato' Husam di dalam majlis anjuran portal berita yang dikaitkan dengan Umno Kelantan dan yang dimoderatorkan oleh aktivis Umno Kelantan menguatkan lagi dakwaan wujudnya pakatan antara PAN dan Umno untuk menjatuhkan PAS di Kelantan.
 
Persepsi orang ramai adalah bahawa Dato' Husam dan Umno Kelantan saling cuba mempergunakan di antara satu sama lain bagi membolehkan kritikan-kritikan keras terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dapat disuarakan dengan lebih berkesan dan lebih meluas.
 
Itulah yang kelihatan berlaku pada malam tadi di mana Dato' Husam telah membuat pelbagai pendedahan mengenai pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan di samping mendorong moderator mengemukakan tuntutan tertentu terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.
 
Malah, Dato' Husam juga telah menyerahkan dokumen Kerajaan Negeri Kelantan yang didakwa ditandatangani oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob, membabitkan Jambatan Kedua Sdn Bhd kepada moderator “sebagai akuan dan saksi bahawa (beliau) ada dokumen ini”.
 
Menariknya, ketika ditanya oleh moderator yang kelihatan bimbang kemungkinan dokumen ini melanggari Akta Rahsia Rasmi, “Tidak OSA ni dih?”, Dato' Husam telah menjawab, “Tak apalah OSA pun, berjuang kan, kalau kena jel sekali dengan moderator masuk”.
 
Lebih dari itu, Dato' Husam juga kelihatan cuba memberi gambaran bahawa Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin oleh Dato' Ahmad pada waktu ini lebih teruk berbanding Kerajaan Negeri Kelantan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Mohamed Yaacob dulu.
 
Antara lain, kata Dato' Husam: “KELKON yang dulunya ditinggalkan oleh Tan Sri Mohamed Yaacob ada cash, kalau tak silap saya ada dalam fixed deposit KELKON hampir RM60 juta kalau tak silap saya, tetapi pada hari ini KELKON sudah tidak wujud”.
 
Tambah Datuk Husam lagi: “KPK (Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd) semasa Tan Sri Mohamed Yaacob (ada) beratus orang pekerja, hari ini ada lapan orang sahaja pekerja KPK, jadi bermakna rakyat Kelantan anak muda telah dinafikan peluang kerja.”
 
Kesimpulannya, majlis malam kelmarin kelihatan menepis terus dakwaan wujudnya kerjasama antara PAS dan Umno di Kelantan sebaliknya menguatkan lagi dakwaan wujudnya pakatan antara PAN dan Umno untuk menjatuhkan PAS di Kelantan di dalam PRU 14.
 
Bagaimanapun, sama ada Umno mendapat laba daripada majlis ini adalah soal lain pula kerana beberapa kali juga Dato' Husam kelihatan turut membedal Umno, termasuk dengan menyebut “orang marah kor PAS tapi marah kor Umno tu berat lagi pada marah kor PAS”. - HARAKAHDAILY

Mahathir jangan berlepas diri daripada pembantaian Memali

DR RIDUAN MOHD NOR





MAHATHIR tetap Mahathir, jika anda mengkaji dengan mendalam biografinya dengan objektif, maka anda melihat tampang hitam dan putih ini bukan terlalu sukar untuk dibedakan. Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri negara ini, dalam kepesatan pembangunan yang berlaku tetapi rejimnya menyubur rasa takut rakyat untuk bersuara melalui undang-undang drakonian.

Penyalahgunaan kuasa dengan timbunan skandal besar bersalut KKN negara dibungkus rapi dengan program dan slogan muluk-muluk seperti Penerapan Nilai-Nilai Islam, slogan "Bersih,cekap dan amanah", kepimpinan melalui teladan dan pelbagai slogan yang meloyakan. Sangat paradoks!.

Beliau tetap beliau, tiada yang berubah walau disintuk limau oleh penyokong PH dan anak muda kail sejengkal yang tidak merasai keperihan di zaman Dr Mahathir. Bagi saya, dia adalah liabiliti dalam gerakan oposisi untuk menjatuhkan BN. Dilihat tidak harmoni dengan istana, pihak keselamatan negara, agamawan apabila memimpin oposisi, bahkan di zaman beliau di merak kuasa, beliau bermusuh dengan semua Timbalan Perdana Menteri dan pantang ditegur!

Kelmarin, onarnya terserlah lagi dengan tuduhan tajam terhadap PAS dan pihak yang tidak menyokong beliau, ucapan beliau pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama PPBM di Ideal Convention Center, Shah Alam. Muntahan maafnya di perhimpunan kelmarin hanya sekadar strategi politik dan opera sebuah kegilaan kuasa yang tak pernah diredam. Dalam maaf itu, kesumat dendam dihamburkan tanpa segan silu dengan fitnah:

(1) Memfitnah PAS “dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS (termasuk Mufti-Mufti dan Raja-Raja) adalah kafir”.

(2) Memfitnah “Ibrahim Libya merancang untuk kononnya mengguna pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan”.

(3) Memfitnah “pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir”.

(4) Memfitnah mufti-mufti dengan mendakwa bahawa mereka, bukan beliau, bertanggungjawab ke atas berlakunya Peristiwa Memali.

Pada tahun 1984, berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan Pemuda PAS di bawah ISA, antaranya Ustaz Abu bakar Chik, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara. Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia.

UMNO Kedah semakin gelisah dengan populariti almarhum yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah di mana sahaja beliau dijemput.

Dalam perhimpunan agung UMNO pada tahun 1985, sekali lagi wakil UMNO Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan UMNO di Kedah. Pada tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam pilihan raya kecil Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut, Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini, apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang sedang melanda .

Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985 berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot ceritanya hampir sama dengan peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa. Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz Ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat, manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juneid mengisytiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada.

Dr Mahathir dalam usaha mensucikan diri, sekali lagi menyalahkan apa yang dinamakan 'Amanat Haji Hadi' sebagai pemicu kepada tragedi pembantaian kejam 19 November 1985, bahkan diseret sekali pihak mufti-mufti untuk memikul beban kesalahan beliau. Suruhanjaya Siasatan Diraja wajib membuka kembali siasatan dan membersihkan nama-nama mangsa tragedi berdarah ini. Keadilan mestilah diberikan kepada seluruh mangsa serta membayar pampasan yang seadilnya kepada mangsa yang terlibat. Seret pelaku jenayah ini ke muka pengadilan semoga tragedi ini tak akan berulang lagi di tanah leluhur ini. – HARAKAHDAILY 

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

 

Penduduk Kampung Baru Seberang Takir bersiap hadapi fenomena ombak besar

 
Penduduk Kampung Baru Seberang Takir bersiap hadapi fenomena ombak besar



Penduduk Kampung Baru Seberang Takir, Kuala Nerus mula melakukan persiapan bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka bermula hari ini hingga 3 Januari depan.

Tinjauan Bernama di kampung berkenaan sehingga jam 7 petang mendapati penduduk sudah mula membina benteng pasir di hadapan rumah mereka untuk menghalang air pantai dari masuk ke rumah mereka.

Jarah Pik, 88, berkata keluarganya telah mula membina benteng pasir sepanjang 20 meter bagi menghalang air dari masuk ke rumah mereka sejak semalam.

“Kami anak-beranak terutamanya yang lelaki mula membuat benteng ini sejak pukul 8 malam semalam hingga sekarang, mujur kami semua tinggal berdekatan jadi sekarang kami sudah siapkan hampir 80 benteng pasir di sepanjang tebing rumah untuk persediaan berlakunya ombak besar.

“Kami sebenarnya perlukan guni dalam jumlah yang banyak dan berharap ada pihak tertentu mampu membekalkan lagi guni pasir untuk bina benteng ini.

“Memang kami selalu buat bila tiba musim tengkujuh ini sebab ini cara yang mudah untuk perlindungan, malam-malam memang kami tidur tak lena kerana terfikirkan ombak besar yang akan datang.

Tapi syukur tahun ini tidak seteruk tahun lalu walaupun rumah cucu saya dimasuki air pantai sehingga ke bilik,” kata wanita itu kepada Bernama di sini.

Lebih 50 rumah penduduk di kawasan berkenaan berisiko untuk dilanda ombak besar kerana jarak yang agak dekat dengan pantai Seberang Takir.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran angin kencang Timur Laut yang dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Timur Johor bermula 30 Disember hingga 3 Januari 2018.

MetMalaysia meramalkan angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter berbahaya kepada bot kecil dan sebarang sukan air.

Sementara itu, pasangan adik-beradik Rahimah Sulong, 37, dan Nor Fatehah, 30 pula turut merasa risau terhadap fenomena berkenaan meskipun ia telah dilalui sejak mereka kecil lagi.

Menurut Rahimah, kadangkala timbul rasa malas untuk membersihkan kawasan bawah rumahnya ketika fenomena air besar ini kerana akan dipenuhi sampah sarap yang dibawa oleh air laut hingga ke rumahnya.

“Air kadangkala mencecah hingga ke tangga rumah dan sampah sarap juga banyak. Minggu lalu juga beberapa atap rumah penduduk di sini termasuk rumah saya turut diterbangkan angin yang kuat. Sekarang kami paku dan ikat atap berkenaan dan ada juga yang diganti baru.

“Dokumen-dokumen penting semua kami sudah simpan sebab kita tidak tahu apa yang akan jadi nanti. Minggu lepas tiga malam ombak besar datang begitu juga dua minggu lalu berserta air pantai, katanya.

Katanya, fenomena air pasang besar saban tahun juga telah menyebabkan jarak pantai dengan rumahnya semakin dekat iaitu hanya 100 meter berbanding 300 meter dahulu.

“Saya dengar kerajaan negeri akan menambak kawasan depan rumah saya ini. Alhamdulillah memang kami berasa lega kerana tidak perlu lagi berdepan dengan masalah yang sama tiap kali datangnya musim tengkujuh,” katanya.

Kerajaan ‘kitar semula’ daftar pemilih kononnya dilupuskan SPR, dakwa Abdul Rashid



Kerajaan ‘kitar semula’ daftar pemilih kononnya dilupuskan SPR, dakwa Abdul Rashid



Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, SPR terpaksa ‘kitar semula’ daftar pemilih tahun 1994 dan 2004 yang dikatakan telah dilupuskan semata-mata terpaksa bersekongkol dengan kerajaan untuk memenangkan Barisan Nasional (BN).

“Sebenarnya kerajaan kitar semula daftar pemilih yang dikatakan telah dipadamkan itu untuk menghadapi PRU14 nanti.

“Saya adalah pengerusi SPR dahulu, saya tidak pernah lakukan (memadamkan data).

“Hakim dan SPR pakat dengan kerajaan secara terang menolak afidavit rayuan kerajaan Selangor,” ujarnya ketika ucapan pengulungan pada Mesyuarat Agung Pertama parti itu semalam.

Rashid yang merupakan pengerusi SPR dari 2000 hingga 2008 dan pernah dilantik Setiausaha SPR dari 1979 hingga 1995.

Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika berucap pada Mesyuarat Agung Pertama Bersatu di Shah Alam semalam.

Beliau berkata, amat perlu Pakatan Harapan menerima cadangan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendesak kerajaan membawa pemerhati daripada agensi PPB dan Sekretariat Komenwel pada PRU14 akan datang.

Beliau yakin dalam tempoh terdekat ini kerajaan akan menyasarkan daftar pengundi khususnya di Selangor untuk merampas semula negeri itu di bawah pakatan pembangkang dengan kitar semula 326,272 daftar pemilih yang dikatakan SPR sudah dilupuskan itu.

“Tunggulah dalam tempoh sebulan ini akan dijalankan sasaran mereka di Selangor kerana negeri ini kaya.

“Apapun yang akan dilakukan Najib sekarang kita mesti mempertahan pilihan raya dan perlu membuat beberapa desakan terhadap kerajaan,” ujarnya.

Beliau mencadangkan agar undi Pos tidak lagi disimpan di markas tentera atau dilokap balai untuk tempoh pengiraan undi sebagaimana kebiasaan dilaksanakan oleh SPR.

“Tidak ada satu peti undi awal (undi pos) dibenarkan disimpan di markas tentera dan di lokap balai kerana ia tidak dijamin selamat kerana peti undi itu akan ditukar.

“Di bawah pemantauan agensi seperti Komenwel Skretariat di bawah PBB mereka akan menjadi pemerhati dan pemantau dalam PRU14 kali ini yang dikatakan satu pilihan raya yang cukup genting akan diadakan.

“Keunikannya kerana pemimpin yang dia (Najib) tahu sudah tersedia tempat di Sungai Buluh jika PRU kali ini partinya kalah.

“Kita akan minta peti undi ini di simpan di dewan-dewan daerah diseluruh negara, orang kita akan jaga di waktu malam.

“Kita tidak boleh benarkan penipuan ini berlarutan.Cukuplah.Najib dilindungi undang-undang kerana ramai yang sedia membantunya untuk menidakkan apa yang Najib lakukan, hakim lebih mendengar di sebelah sana (kerajaan).

“Kesian SPR kena ‘jilat-jilat’ untuk hidup kerana nak mengembangkan sayap Najib.

“Sebanyak empat pilihan raya saya kendalikan di bawah Tun Dr Mahathir…tanyalah Tun yang masih ada lagi ni, pernahkah dia suruh saya tipu?

“Tak payah nak tipu tuan-tuan jika kerajaan itu adil dan saksama kepada rakyat. Sebanyak 3juta majoriti kerajaan menang kerana pada masa itu negara membangun rakyat tak perlu khuatir.

“Hari ini nak jumpa Pengerusi SPR pun susah,” ujarnya.

Abdul Rashid bercakap sedemikian di hadapan 983 perwakilan susulan Kerajaan negeri dalam saman yang difailkan tahun lepas mendakwa SPR menyalahi Perlembagaan Persekutuan dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Kerajaan negeri dan SPR ke Mahkamah Rayuan untuk membuat rayuan berhubung satu permohonan penzahiran, termasuk maklumat mengenai 136,272 pengundi.

Mahkamah Rayuan, pada 20 Julai lalu, membenarkan rayuan SPR yang suruhanjaya tidak perlu memberikan kod lokaliti dan nama 136,272 pengundi dalam persempadanan semula 1994 dan 2003 kepada kerajaan negeri.

Di Mahkamah Rayuan, peguam kerajaan Amarjeet Singh memberitahu para hakim data SPR yang diminta kerajaan negeri itu sudah dilupuskan kerana jabatan kerajaan tidak menyimpan rekod selepas 7 tahun.

Sepanjang berkhidmat dengan SPR, Abdul Rashid berkata beliau menyelia 3 persempadanan semula, termasuk pada 1994 dan 2003.

Selaku setiausaha dan pengerusi dari 1979 hingga 1995 , beliau tidak pernah memberi kelulusan, dan tidak sedar ada permohonan untuk melupuskan alamat pengundi.

Fokus reformasi bukan hanya calon PM – Fahmi

KEADILAN DAILY

FENG0266-01_fahmi_fadzil_20160107_620_413_100


Media dan orang ramai diminta agar memberikan masa kepada Pakatan Harapan dalam perbincangan tentang calon perdana menteri gabungan pembangkang.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata beliau maklum akan laporan media yang memetik ‘sumber’ tentang perbincangan berkenaan calon perdana menteri.

“Bagi pihak pimpinan parti, saya ingin menegaskan bahawa KEADILAN hanya meminta ruang untuk membincang dan membina konsensus di dalam isu ini,” katanya.

Menurut Fahmi, amanat Datuk Seri Anwar Ibrahim agar perbincangan dibuat dengan cermat menjadi pegangan KEADILAN yang sentiasa mengambil pandangan semua pihak.

“Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri meminta agar pimpinan berlapang dada serta berunding dengan semua pihak termasuk NGO agar Pakatan Harapan tidak kelihatan terburu-buru.

“Isu utama di sini adalah mempertahan agenda perubahan yang wajib berlaku dalam negara, bukan dengan hanya merubah perdana menteri sedia ada tetapi dengan reformasi menyeluruh,” katanya.

Laporan media sebelum ini mendakwa Harapan bersetuju mencalonkan Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan.

Laporan tersebut menyebut aturan itu dibuat memandangkan Anwar Ibrahim kini masih menjalani hukuman penjara kerana Fitnah II.

Mengintai tabir 2018, apa sedang menanti kita

OLEH NAZLI IBRAHIM




Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun baru 2018. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, sudah pasti tahun 2018 turut menjanjikan warna-warni suka dan duka bermacam cabaran yang sedang menanti.

Sempena melangkah ke tahun baru, pembaca akan dibawa untuk mengintai beberapa peristiwa penting yang akan berlaku, pada tahun 2018.

Politik: Debaran PRU-14

Tahun 2018 dianggap sebagai tahun yang amat penting bagi menentukan masa depan Malaysia. Selepas 2017 berlalu tanpa pembubaran Parlimen, maka tidak syak lagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan diadakan tahun depan.

Ketika ini, khabar angin semakin bertiup kencang PRU-14 bakal diadakan antara Mac hingga Mei 2018. Malah, ada juga yang meramalkan tarikh lebih spesifik lagi iaitu antara 16 Mac hingga 24 Mac ekoran cuti sekolah pertengahan penggal pertama berlangsung, sekali gus masa paling sesuai pilihan raya diadakan.



Jangkaan ini juga berdasarkan beberapa faktor lain seperti faktor mandat Parlimen ke-13 yang ada pada hari ini bakal berakhir 24 Jun 2018.

Jika tidak dibubarkan, maka Parlimen akan terbubar secara automatik bagi memberi laluan untuk PRU-14 diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran berkenaan.

Faktor lain yang mungkin menjadi perkiraan bagi menentukan tarikh PRU-14 adalah bulan Ramadhan yang jatuh, pada 16 Mei nanti. SPR dikatakan hampir pasti cuba mengelakkan PRU berlangsung, pada bulan puasa.

Pembebasan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim nanti turut dianggap sebagai faktor mempengaruhi tarikh pembubaran Parlimen.

Sesetengah pihak percaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memilih untuk mengadakan pilihan raya ketika Anwar masih di dalam penjara bagi menghalangnya menyertai kempen menentang Barisan Nasional (BN) apabila gelanggang dibuka nanti.

Aura yang ada pada Anwar bukan sahaja mampu memberi impak kepada kempen Pakatan Harapan sekiranya PRU-14 diadakan selepas pembebasan beliau, malahan mampu menyatukan kem-kem dalam Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, SPR perlu menyelesaikan bantahan Kerajaan Negeri Selangor di mahkamah terlebih dahulu bagi memastikan mereka memiliki kelebihan ke atas persempadanan baru ketika gelanggang PRU-14 dibuka nanti.

Dalam aspek lain, berbeza dengan lima PRU iaitu PRU-9 hingga ke PRU-13 lalu, PRU kali ini bakal menampilkan senario berbeza membabitkan pertarungan tiga penjuru dikatakan mampu melemahkan sokongan kepada pembangkang.



Namun, benarkah senario politik hari ini bakal memecahkan undi pembangkang? Atau adakah ini cuma satu ‘master plan’ yang sedang direncanakan dengan cermat?

Walaupun pertandingan tiga penjuru banyak kali berlaku sebelum Anwar dipecat daripada Umno lagi yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri antara PAS, DAP dan PSRM di pihak pembangkang dan BN di pihak kerajaan, namun banyak pihak terlepas pandang perbezaan tiga penjuru kali ini.

Pembaca tidak perlu menjadi pakar penganalisis politik untuk melihat perbezaan tersembunyi ini.
Selain itu, rakyat tentunya ternanti-nanti tindakan-tindakan susulan yang bakal diambil Pakatan Harapan sekiranya mereka menang PRU-14.

Misalnya, langkah menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada 10 tahun, memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan lain-lain yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya nanti.

Selain itu, paling menarik untuk disaksikan, bagaimanakah nasib riwayat politik Najib sekiranya BN tewas dalam PRU-14 nanti?

Adakah beliau mampu mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Umno atau adakah beliau dihumban dan dikecam oleh ahlinya sendiri akibat tindak tanduknya yang banyak melemahkan Umno, hari ini.

Paling utama, adakah Najib terselamat daripada diheret ke mahkamah di atas banyak tuduhan skandal yang dilemparkan kepada beliau ketika ini.

Anwar dibebaskan


Selepas tiga tahun empat bulan merengkok dalam Penjara Sungai Buloh, Anwar bakal dibebaskan, pada 10 Jun nanti.

Anwar mula dipenjarakan pada 10 Febuari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes fitnah II.

Pemilihan parti

Pemilihan barisan kepimpinan baru beberapa parti juga bakal berlangsung pada 2018. Antaranya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan parti Umno.

Apa yang menarik untuk disaksikan nanti, adakah pemilihan kali ini adalah pemilihan julung kalinya diadakan selepas Umno memegang status sebagai parti pembangkang.

Jika ini berlaku, pemilihan kali sudah tentu tidak lagi sama seperti tahun sebelumnya apabila tiadanya kuasa, dana kerajaan yang mengalir masuk dan kontrak kerajaan untuk ditawarkan kepada perwakilan yang mengundi.

Seperti yang dinyatakan di atas tadi, keadaan ini sudah pastinya menyebabkan kedudukan Najib bagaikan telur di hujung tanduk.



Sebelum ini bukanlah satu rahsia lagi, elemen kuasa dan wang adalah faktor penting membolehkan pucuk pimpinan Umno mengawal tindak tanduk pemimpin mereka, sekali gus memberi persepsi adanya kesatuan di dalam Umno.

Realitinya, tanpa kedua-dua elemen itu, Umno bakal berhadapan kesukaran untuk menyatukan partinya, lebih-lebih lagi kebanyakan pemimpin mereka sekian lama dibiasakan dengan sogokkan wang ringgit dan kedudukan bagi memastikan ‘kesatuan’ palsu ini berkekalan.

Selain pemilihan Umno, turut menarik untuk disaksikan nanti adalah pemilihan KEADILAN.
Persoalannya, adakah pemilihan kali ini diadakan dalam suasana mereka sebagai salah sebuah parti yang berkuasa di Putrajaya.

Ekonomi 2018

Seperti yang diperakui oleh mana-mana pakar ekonomi, kestabilan politik turut memberi kesan terhadap kestabilanekonomi sesebuah negara.

Seperti dinyatakan pada awal rencana tadi, kemungkinan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran di Putrajaya dijangka mampu mempengaruhi ekonomi negara.

Bagaimanapun, hanya dengan barisan kepimpinan negara yang betul dengan tindakan yang betul sahaja mampu membawa negara ini ke landasan yang diinginkan.



Paling tidak, barisan kepimpinan baru ini haruslah berkeupayaan mengurangkan tekanan kos sara dihadapi rakyat dan meyakinkan masyarakat perdagangan antarabangsa negara ini adalah sebuah destinasi yang stabil dan selamat dalam semua aspek.

Antara paling utama adalah bagaimana kerajaan baru itu menguruskan hutang negara tinggalan Umno-BN yang dianggarkan mencecah RM1 trilion.

Tidak boleh tidak, kerajaan masa hadapan itu wajar mengambil langkah drastik dengan merancakkan lagi sumber pendapatan negara, menghentikan pembaziran dan mengurangkan kebergantungan negara kepada kuasa ekonomi dunia seperti China misalnya.

Pada masa ini, Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dilihat sebagai model terbaik dalam menguruskan ekonomi negara.



Manakala dalam sektor hartanah pula, pakar ekonomi meramalkan harga pasaran hartanah berharga sederhana dan mewah pada 2018 akan merosot akibat lebihan hartanah berada di pasaran yang tidak terjual.

Kesannya akan lebih dirasai bagi hartanah kategori komersial apabila lebih banyak unit kategori terbabit siap pada tahun 2018 nanti.

Pemaju juga akan kehilangan pembiayaan untuk memulakan projek baru jika tidak banyak rumah yang boleh dijual.

Selain pemaju, keadaan ini turut menyukarkan pemilik hartanah menjual kembali hartanah masing-masing.

Acara sukan dinantikan 2018

Sementara itu dalam arena sukan pula, pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan pada 2018 nanti adalah Piala Asian Football Confederation atau AFC B-23 di China pada 9 hingga 27 Januari dengan menyaksikan buat kali pertama di bawah Presiden FAM yang baru, pasukan bawah 23 tahun negara layak ke pusingan akhir pada kejohanan ini.

Malah, lebih membanggakan apabila pasukan bawah 19 tahun negara turut layak ke pusingan akhir Kejuaraan Piala Asia AFC B-19 2018 di Indonesia pada 18 Oktober hingga 4 November, manakala pasukan bawah 16 tahun pula bakal beraksi di pusingan akhir Piala Asia AFC B16 2018 pada September di Malaysia selaku tuan rumah.

Kejayaan pasukan bawah 23, bawah 19 dan bawah 16 ini dicapai ketika pasukan senior Harimau Malaya bukan sahaja gagal layak ke Piala Asia, malahan masih bergelut memperbaiki ranking FIFA.



Sementara itu tahun 2018 juga menyaksikan Juara Liga Super Malaysia empat kali berturut, kelab Johor Darul Takzim sekali lagi mencuba nasib untuk menjadi kelab tempatan pertama berjaya melayakkan diri pusingan akhir kejuaraan tertinggi Asia, Kejuaraan Liga Juara-juara AFC (ACL).

Pasukan Harimau Selatan yang pernah menjuarai Piala AFC pada 2015 itu bakal menentang pasukan gergasi Thailand, Muangthong United pada 23 Januari nanti pada perlawanan Kelayakan Pusingan Kedua ACL 2018.

Selain kejohanan bola sepak yang membabitkan pasukan negara, turut dinantikan rakyat Malaysia nanti, Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand, pada 20 hingga 27 Mei.

Selepas kempunan bergelar juara pada kejohanan 2016, rakyat Malaysia sekali lagi meletakkan harapan tinggi ke atas skuad negara untuk menjuarainya buat kali keenam.

Kali terakhir Malaysia bergelar juara pada Kejohanan Piala Thomas adalah pada 1992 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kejohanan itu.



Bagaimanapun, persoalan yang berlegar di fikiran peminat badminton tanah air, adakah jaguh perseorang negara, Datuk Lee Chong Wei masih berada dalam skuad itu nanti.

Sementara itu, acara temasya sukan kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik iaitu temasya Sukan Komanwel pula akan membuka tirainya, pada 4 April dan berakhir 15 April.

Temasya kali ke-21 atau Gold Coast 2018 XXI Commonwelath Games itu akan dilangsungkan di Queensland, Australia dengan membabitkan penyertaan 70 negara bekas jajahan British termasuk Malaysia.

Selain pertandingan membabitkan pasukan Malaysia, paling ditunggu-tunggu sudah semestinya Piala Dunia FIFA di Rusia yang bermula, pada 14 Jun nanti.

Sepak mula kejohanan kali ini diadakan ketika umat Islam sedang sibuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, di penghujung bulan Ramadan.



Kali terakhir Piala Dunia dijalankan pada bulan puasa adalah 31 tahun lalu iaitu Piala Dunia 1986 di Mexico.

Pada kejohanan kali ini, juara bertahan, Jerman ditempatkan dalam kumpulan A bersama Arab Saudi, Mesir dan Uruguay.

Jerman akan memulakan kempen menentang wakil Asia iaitu Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan.

Selain Arab Saudi, wakil Asia lain pada kejohanan kali ini adalah Australia, Arab Saudi, Korea Selatan, Iran dan Jepun.

Demikianlah serba sedikit ringkasan peristiwa bakal kita hadapi sepanjang 2018 nanti. Apapun cabarannya, tidak kira politik, ekonomi, sukan dan apa jua, sebenarnya apa yang paling penting adalah bagaimana kita laluinya.

Justeru, rakyat perlu bersatu kerana hanya dengan perpaduan dan pilihan yang betul sahaja kunci utama kejayaan negara ini, pada 2018 nanti.

Mountain Bike SFV, promosi pelancongan sukan basikal Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD




BESTARI JAYA: Penganjuran Mountain Bike Selangor Fruit Valley Challenge 2017 Cross Country Olympic XCO membuka peluang kepada prospek pelancongan sukan berbasikal negeri.

Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Tamby Omar Mohammed berkata, penganjuran julung kalinya itu diadakan bagi menggalakkan aktiviti riadah berbasikal dalam komuniti dan belia setempat.

Beliau berkata, matlamat utama penganjurannya juga dilaksanakan bagi memberi gambaran sebenar tentang suasana dan kepelbagaian aktiviti di Selangor Fruit Valley.

“Program ini penting bagi PKPS dan Selangor Fruit Valley untuk meningkatkan penjenamaan Selangor Fruit Valley sebagai pusat sukan dan agro pelancongan.

“Sebagai kita maklum, Selangor Fruit Valley bercirikan sebuah kawasan pertanian mesra umum kepada semua.



“Tetapi dengan dipelbagaikan dengan aktiviti sukan, ia (tempat ini) akan menjadikannya lebih unik dan bukan hanya sekadar tempat pertanian semata-mata,” katanya kepada SelangorKini.

Seramai hampir 200 peserta mengambil bahagian dalam sepuluh kategori yang dipertandingkan dalam program itu.

Hadiah keseluruhan berjumlah RM30,200 turut diberikan kepada pemenang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penganjuran sukan ekstrem lain akan dianjurkan untuk tempoh akan datang di kawasan itu.

Katanya, ini termasuklah pembinaan laluan trek baru bagi penganjuran sukan kenderaan esktrem, akan datang.=EZY=