HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 September 2018

UMNO, Pas bukan untuk polemik bukan Islam


Shawaliah Hadir



Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. foto FAREEZ FADZIL

PETALING JAYA – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kerjasama di antara parti itu dengan UMNO bukan untuk menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Sebaliknya katanya, kedua-dua parti tersebut akan memastikan jalinan yang diwujudkan bakal memberikan kebaikan kepada semua kaum dalam negara.

“Perbincangan Pas dengan UMNO atau parti lain dalam kerangka besar bukan untuk menimbulkan polemik kepada orang bukan Islam. Tidak.

“Kalau Pas duduk bersama UMNO bukan bermakna kita mengenepikan hak kaum lain di Malaysia muafakat ini memberi kebajikan besar kepada seluruh rakyat di negara kita,” katanya semasa Ceramah Umum kempen Pas untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia semalam.

Turut hadir pada ceramah umum itu adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan.Ini merupakan pertama kali pemimpin Pas dan UMNO bersama-sama untuk saling membantu kempen di DUN Seri Setia.

Tambah beliau, parti pembangkang kedua-dua parti perlu duduk semeja untuk menguatkan kedudukan bagi menewaskan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkannya memperolehi kemenangan pada pilihan raya lalu menerusi persepsi fitnah yang dimainkan mereka kepada pengundi.

“Ada satu gelombang besar berlaku selepas PRI14 bukan sekadar pertukaran kerajaan tetapi perubahan dimensi politik negara pada masa depan.

“Apa yang penting kita cari titik persamaan tersebut, membesarkan titik persamaan supaya mengecilkan titik-titik perbezaan di antara Melayu Islam apatah lagi kita ada banyak titik persamaan.

“Fitnah tidak akan kekal, dan kerajaan yang naik kerana fitnah akan tumbang, insyAllah,” ujarnya.

Sementara itu, beliau membidas tindakan PH yang bersungguh-sungguh menarik pelabur ke negara ini selepas mendakwa Malaysia bakal bankrup sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Bayangkan kerajaan Pakatan Harapan 100 hari dah kelam kelibut, bayangkan kalau masa 5 tahun .

“Tidak ada satu negara yang dilancarkan tabung digambarkan negara teruk, lepas tu pergi China minta negara itu melabur. Pelabur mana nak datang tuan-tuan?

“Ada orang nak melabur di tempat nak bankrap yang sering dikatakan?

“Dan kita jangan menyalahkan balik pelabur menarik balik pelaburan di negara Malaysia. Mereka (pelabur) hilang keyakinan sebab mereka (Pakatan Harapan) yang buat,” jelas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu. – MalaysiaGazette


ANWAR TAKUT TEGUR MAHATHIR





Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim takut untuk menentang Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bimbang tidak dapat menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, bekas Ketua Umum PKR itu dilihat lebih selesa diam menikus dengan segala tindakan Mahathir dalam menerajui Malaysia sebagai Perdana Menteri ketujuh sekarang.

“Kalau Anwar terus menerus memberikan perlindungan kepada Mahathir jadi kita beranggapan bahawa hari ini semua rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh  Mahathir dilindungi oleh Anwar.

“Anwar tidak berani menegur Mahathir, dan dia tidak berani bela nasib rakyat kerana dia takut hilang jawatan Perdana Menteri,” katanya.

Lokman berkata demikian selepas menemani bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam majlis majlis perkelahan santai bersama Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Botani Perdana di ibu negara, Jumaat.

Semalam, Mahathir berkata Anwar hanya menasihati kerajaan agar memberi perhatian kepada kebajikan orang Melayu dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

Anwar sebelum itu melahirkan kerisauan tentang kebajikan orang Melayu yang padanya tidak begitu diberi perhatian.

Dalam pada itu, Lokman berkata, sekiranya Anwar melindungi Mahathir, maka rakyat harus bangkit dan menentang semua kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau benda ini berlaku, rakyat kena bangkit dan tentang Anwar sekali. Kita anggap mereka sebagai satu barisan yang terlibat rasuah dan tidak boleh terima mereka sebagai pemimpin.

“Saya harap Anwar akan buat sesuatu jika dia berani, nampak macam tidak berani tegur Mahathir,” katanya.


KENAPA PETRON SAJA TIDAK CALTEX, BHP – NAJIB




Datuk Seri Najib Razak mempersoal kewajaran syarikat pengeluar bahan bakar Petron turut dipilih untuk membekalkan petrol dan diesel bagi kenderaan kerajaan yang jelas mengganggu pendapatan Petronas.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jika bilangan stesen minyak dijadikan asas kepada pemilihan itu, Najib berkata Caltex dan BHP wajar mendapat peluang sama.

“Petronas merupakan syarikat milik negara dan rakyat Malaysia. Jadi akan timbul persoalan mengapa Petronas dibenarkan diganggu gugat sumber pendapatannya melalui perbelanjaan kerajaan tidak lain tidak bukan oleh Kerajaan Malaysia sendiri.

“Petronas mempunyai stesen hampir semua kawasan di Malaysia dan sudah tentu bersama dengan Shell, merupakan kombinasi yang memadai untuk kenderaan kerajaan Malaysia.

“Jika alasannya adalah untuk kemudahan, mengapa Caltex dan BHP diketepikan sedangkan mereka mempunyai bilangan stesen yang hampir sama dengan Petron?,” soal Najib di laman sosial Facebooknya.

Semalam tular di media sosial, syarijat Petron yang dikuasai anak kepada Perdana Menteri, Tan Sri Mirzan Mahathir dipilih sebagai pembekal bahan bakar kepada kenderaan kerajaan sehingga menimbulkan pertikaian.

Tampil menjawab perkara itu, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa Petron bukanlah syarikat tunggal bagi tujuan itu dan menegaskan Petronas dan Shell masih menjadi pilihan.


Tembok besar China Kuantan hanya untuk lindungi aset, keselamatan pekerja - MCKIP

MALAYSIAKINI


  • Faktor keselamatan dijadikan alasan bagi pengendali Taman Perindustrian Kuantan Malaysia China (MCKIP) mendirikan tembok sepanjang sembilan kilometer mengelilingi kompleks itu ala Tembok Besar China.

    Timbalan Komander Projek syarikat tersebut Steve Hu berkata tembok kontroversi itu, hanya bertujuan melindungi aset bernilai tinggi dan menjaga keselamatan pekerja Alliane Steel (M) Sdn Bhd.

    Beliau mendakwa tembok itu tidak mempunyai motif tersembunyi melainkan umpama pagar di rumah kediaman sahaja.

    Beliau berkata demikian sebabgai mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang dilaporkan mahu supaya tembok yang digambarkan oleh penduduk tempatan sebagai “Tembok Besar China Kuantan” itu dirobohkan.

    “Taman industri itu bukan negara asing, ia masih lagi tertakluk kepada undang-undang Malaysia, menghalang pegawai tempatan masuk bukan perkara yang seharusnya dilakukan,” kata Dr Mahathir.

    "Kami sangat berharap tembok itu tidak perlu dirobohkan kerana ia penting dalam melancarkan operasi kami. Ia untuk melindungi harta benda di dalam kilang yang mahal memandangkan ada mesin beroperasi beterusan secara automatik dan ada kalanya tanpa kawalan manusia," kata Hu kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Kebangsaaan Malaysia di premis kilang itu.

    Selain itu, Hu berkata tembok tersebut juga adalah untuk menjaga keselamatan pekerja selain mengelakkan binatang buas masuk ke dalam kilang memandangkan lokasinya yang hampir dengan hutan.

    Beliau tidak menolak kemungkinan persepsi negatif terhadap syarikat itu disebabkan kesilapan mereka sendiri dalam menjalin hubungan dengan masyarakat setempat atau mempromosi pendirian sebenar syarikat.

    "Kami akui kesilapan itu dan sedang berusaha untuk menjalin hubungan erat dengan masyarakat setempat, termasuk menganjurkan pelbagai program berkaitan perayaan di Malaysia seperti sambutan Hari Kebangsaan ini.

    "Kami berada di sini dan menghormati budaya Malaysia serta mencuba sebaik mungkin untuk menyesuaikan diri... malah kebajikan pekerja tempatan juga dijaga sebaik mungkin termasuk menyediakan surau, kantin dengan makanan halal dan hostel pekerja," katanya.

    Hu menambah pihaknya juga menitik beratkan usaha melatih pekerja tempatan bagi meningkatkan kemahiran sekali gus melayakkan mereka mengisi jawatan tertinggi dalam pengurusan syarikat pada masa hadapan.- Bernama


    Rakyat pilih klinik kerajaan walau terpaksa tunggu 3 jam

    Nur Syamila Kamarul Arefin
     
    Kelihatan pesakit beratur panjang di sebuah klinik kerajaan di Lembah Klang.



    KUALA LUMPUR: Walaupun terpaksa menunggu selama 3 jam, rakyat Malaysia lebih memilih untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan kerajaan kerana dikatakan kualiti dan yuran konsultasinya yang murah.

    FMT melakukan tinjaun di klinik kesihatan sekitar Lembah Klang untuk mengetahui mengapa rakyat lebih gemar mendapatkan khidmat kesihatan kerajaan.

    Hasil tinjauaan mendapati seawal jam 7.30 pagi ramai pesakit sudah beratur untuk mendaftar di klinik kerajaan terbabit.

    Seorang pesara swasta, Norizam Gor Yaman, 55, berkata yuran konsultasi klinik kerajaan murah dan perkhidmatan yang diberikan juga amat bagus berbanding dahulu.
    Norizam Gor Yaman.
    “Sebelum ini, saya menghidapi penyakit strok. Keluarga terus hantar ke hospital swasta kerana berdekatan dengan rumah.

    “Pendaftaran bagi hospital swasta bagi rawatan strok mereka mahu deposit RM10,000.

    “Macam saya ni dahulu kerja swasta, ada insurans kesihatan. Menyesal tidak ambil insurans kesihatan sendiri kerana sekarang nak masuk hospital swasta nak kena deposit awal sebanyak RM10,000, belum masuk rawatan lain.

    Norizam berkata, semasa mendapatkan rawatan strok di hospital kerajaan, doktor terus merujuknya ke wad kecemasan untuk tindakan selanjutnya.

    Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Azman Abu Bakar dilapor berkata kertas cadangan semakan caj yuran konsultasi yang akan diserahkan kepada Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan kenaikan kepada antara RM35 dan RM125 daripada RM10 dan RM35 bagi pengamal perubatan dan doktor bagi klinik dan hospital swasta.

    Cadangan itu bagaimanapun tidak disokong beberapa pihak termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), badan penyelidik dan pemimpin politik yang bimbang dengan kesan terhadap pengguna.
    Zakiah Yaacob.
    Manakala, pekerja swasta, Zakiah Yaacob, 23 berkata dia mendapatkan rawatan gigi di klinik kerajaan kerana caj rawatan di klinik gigi swasta terlalu mahal dan konsultasi yang diberikan klinik swasta tidak sama dengan klinik kerajaan.

    “Klinik kerajaan tidak memberikan rawatan yang tergesa-gesa seperti klinik swasta.

    “Sebelum ini pergi klinik swasta mereka terus sahaja cabut gigi saya tanpa lihat punca dan rawatan apa yang perlu dilakukan dahulu.

    “Di klinik kerajaan kalau gigi berlubang, baru RM1 hingga RM2,” katanya yang mendapatkan rawatan “crowning” bagi 2 batang gigi dengan caj RM500 berbanding swasta sebanyak RM2,000.

    Bagaimanapun dia mengakui waktu menunggu bagi rawatan gigi di klinik kerajaan agak lama tetapi perkhidmatannya bergerak dengan cepat dan memadai dengan harga kosnya.
    Rosalind.
    Sementara, Rosalind, 58, berkata terdapat lebih ramai doktor pakar di hospital kerajaan berbanding swasta menyebabkan beliau memilih untuk mendapatkan khidmat kesihatan kerajaan.

    “Jika saya pergi ke hospital swasta untuk dapatkan rawatan, pihak hospital berkenaan menyuruh saya pergi hospital kerajaan kerana pakar yang spesifik dalam sesuatu penyakit ada di sana.”

    DEB sudah bantu Bumiputera tetapi gagal, kata Dr M

    Adam Abu Bakar
     
    Dr Mahathir Mohamad (kiri) ditemani Azmin Ali ketika berucap dalam Kongress Bumiputera Nasional di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.



    KUALA LUMPUR: Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diasaskan demi membantu Melayu dan Bumiputera disalahgunakan hingga merugikan bangsa itu sendiri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Perdana Menteri itu berkata, ia dapat dilihat apabila beberapa usaha dilakukan kerajaan bagi membantu Bumiputera seperti pemberian permit import (AP), tetapi ia dijual kepada pihak lain.

    “Dahulunya bukan Bumiputera yang menguasai dan dapat memasuki peluang yang baik ini, maka kita wujudkan cara dan beri AP kepada Bumiputera, contohnya beri AP untuk import kereta terpakai.

    “Ramai dapat AP dari kerajaan berniaga AP. Inilah yang berlaku, hakikatnya mereka dapat AP secara percuma dari kerajaan,” katanya dalam Kongress Bumiputera Nasional di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau menambah, disebabkan itu matlamat membantu Bumiputera dalam dasar DEB tidak mencapai matlamat seperti yang dicipta, kerana ada tabiat dari segelintir Bumiputera cuba kaut keuntungan dengan cepat.

    “Tetapi yang berjaya adalah bukan Bumiputera, kalau faham apa yang saya katalah, kerana apa, ia disebabkan mereka menggunakan peluang apabila dapat beli kontrak kontrak dari orang Melayu.

    “Sehinggalah mereka jadi jutawan, bangunkan bandar. Yang miskin harus tunduk pada yang kaya, kalau kita jadi pemandu kereta, adakah kita masih menjadi tuan atau yang belakang itu tuan.

    “Tidak guna laung ketuanan Melayu, tetapi jadi kuli orang, bukannya tuan. Kita akan merosot lagi dan proses ini akan berterusan melainkan kita memasuki bidang perniagaan,” katanya.

    Tambahnya, disebabkan DEB juga ramai menuduh pihak dilantik kerajaan untuk melaksanakan projek tertentu dianggap sebagai kroni bagi kerajaan.

    “Mereka yang gagal dapat projek tertentu akan menganggap mereka yang berjaya ini pula sebagai kroni. Walhal mereka juga dapat peluang yang sama.

    “Sedangkan mereka yang gagal ini berhutang kepada bank, ada masalah hingga menjadi bankrap, maka mereka tidak ditakrif sebagai kroni kerajaan. Kita senang hati tuduh mereka ini kroni.

    “Kita tunjukkan rasa iri hati kepada mereka yang berjaya, sedangkan orang yang berjaya ini adalah orang yang berusaha.”

    PRK Sg Kandis jadi titik permulaan kerjasama erat Umno-PAS - Tok Mat

    MALAYSIAKINI

       

    Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia supaya mengundi calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 8 Sept ini.

    Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata PRK Sungai Kandis akan menjadi titik permulaan kerjasama erat antara kedua-dua parti yang mewakili golongan Melayu dan Islam terbesar di Malaysia.

    "Kita mulakan dengan pilihan raya kecil di Seri Setia ini dengan memberi sokongan tidak terbelah bagi kepada calon PAS demi memastikan kemenangan kita di kawasan ini," katanya semasa ceramah umum di Seri Setia malam tadi.

    Turut hadir Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan calon PAS Dr Halimah Ali.

    Halimah yang juga bekas ADUN Selat Klang bakal berdepan pertandingan satu lawan satu menentang Halimey dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus, 2 Ogos lepas.- Bernama

    Mengapa Dr M tetap pertahan kereta nasional ketiga

     
       

    WAWANCARA l Banyak pihak tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan projek kereta nasional baru, termasuk anggota kabinetnya sendiri.

    Seperti selalu, beliau meluahkan kekecewaannya berhubung perkara itu secara sarkastik.

    Kekecewaan sama terlihat sekali lagi dalam wawancara bersama Malaysiakini ketika ditanya tentang perkara itu.

    "Jika anda mahu jadi negara petani, menanam padi dan menangkap ikan, okey, kita akan buat.
    "Tak perlu ada industri sebab industri adakalanya merugikan. Marilah kita jadi penanam padi dan nelayan. Itu saja yang kita mampu jadi.

    "Jika anda suka, dan jika itulah yang anda undi, baik, kita akan teruskan," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, semalam.

    Bagi kebanyakan orang, cadangan itu membangkitkan pengalaman pahit bagaimana mereka terpaksa 'bail out' Proton - kereta nasional pertama - dan juga persepsi mutunya yang tidak mencapai tahap yang sepatutnya.

    Bagaimanapun bagi Mahathir, projek kereta nasional termasuk Proton bukan sekadar untuk menjadi pengeluar kereta.

    "Pengguna hanya berfikir untuk membeli kereta untuk diri sendiri, dengan harga lebih rendah.

    "Kerajaan perlu berfikir untuk negara, apa yang baik untuk negara tak semestinya baik untuk pengguna individu, tetapi apabila sampai masanya ia akan berjaya," katanya lagi.




    Mahathir berkata matlamatnya dari dulu hingga kini adalah untuk meningkatkan kapasiti kejuruteraan negara dan menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar, bukannya pengguna.

    "Malaysia adalah negara pengguna, kita tak tahu keluarkan apa-apa. Saya ke China, di sana, ia bukannya tentang penggunaan.

    "Ia tentang mengeluarkan produk yang mereka boleh guna sendiri, tetapi ini tidak berlaku di Malaysia," katanya yang baru pulang dari lawatan rasmi lima hari di China.

    Mengapa obses dengan kereta? 

    Di Amerika Syarikat, cip Intel dijual di seluruh dunia, manakala Korea Selatan berbangga dengan Samsung, justeru beliau berharap Malaysia juga ada barangan sendiri untuk dijual di seluruh dunia.

    Menurut Forbes, Samsung menyumbang satu perlima daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Korea Selatan. Kami bertanya kepada Mahathir - kenapa terlalu obses dengan kereta?

    "Ada perlukan 4,000 komponen untuk membuat sebuah kereta. Jika saya beri 4,000 komponen itu dan meminta anda buat sebuah kereta, anda tak mampu lakukannya. Anda perlu belajar kejuruteraan - bagaimana untuk keluarkan kereta, bagaimana nak pasang bahagian itu.

    "Apabila anda boleh keluarkan komponen, anda boleh buat komponen untuk mesin lain, untuk kereta dari negara lain.

    "Anda belajar kejuruteraan praktikal dengan membina sebuah kereta," katanya lagi.




    Beliau akui ada alternatif lain - seperti membina kereta api - namun tetap yakin kereta adalah pilihan yang lebih baik.

    "Kenapa kereta? Kerana kereta merupakan pasaran terbesar di dunia walaupun ia memakan kos tinggi. Orang menghabiskan wang untuk kereta. Di China, (mereka) keluarkan 37 juta kereta setahun."

    Ketika ditanya apakah jaminan kereta nasional baru tidak akan ditimpa nasib yang sama seperti Proton, beliau menyalahkan kemerosotan kereta nasional pertama itu kepada penggantinya kerana membuka pasaran kepada pengeluar kereta lain.

    "Saya kekal berpandangan apabila industri itu masih di peringkat awal, anda perlu melindunginya.
    Jepun dan Korea Selatan melakukannya, China sedang melakukannya. Malah di Jerman dan Eropah, mereka memberi perlindungan secara tak langsung - bukan melalui cukai tetapi penghalang bukan tarif (non-tariff barrier, seperti lesen dan kuota).

    "Di Jepun, anda tidak lihat kereta lain selain kereta Jepun. Di Korea, anda lihat kereta Korea. Di China, semua kereta dibuat di China," katanya lagi.

    Tiada siapa bangga

    Mahathir berkata dasar perlindungan perlu dikurangkan hanya selepas sesuatu industri itu mencapai tahap kemajuan, jumlah dan kualiti yang mencukupi.

    "Kereta Proton pertama yang dikeluarkan pada 1985 tidak sama seperti Proton sekarang.

    "Bagi sebuah negara membangun yang kecil, kita telah membuat penambahbaikan yang hebat. Tetapi tiada siapa yang hargainya. Pergilah ke mana-mana negara membangun, mereka tiada kereta nasional. Kita ada.




    "Tetapi kita tidak bangga dengan keluaran kita. Kita mahu beli yang luar. Jika anda jadi masyarakat pengguna, anda tidak akan jadi kaya. Semua wang anda mengalir keluar," katanya.

    Mahathir berkata, aspirasinya adlaah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara pembuatan dan kejuruteraan. Ia mungkin tidak memberikan kereta yang murah atau yang terbaik buat masa sekarang, tetapi "kejayaannya akan sampai juga kepada pengguna," katanya.

    "Tetapi tentulah pengguna tidak cukup sabar untuk menunggu. Mereka mahukannya sekarang.

    "Mengapa kita perlu keluarkan sebarang produk jika kita boleh beli dengan harga murah, tetapi bagaimana untuk beli jika tiada pekerjaan di negara ini?"

    Kalau pun Mahathir akhirnya berjaya mendapat sokongan Malaysia untuk projek itu, beliau menjangka ia akan mengambil masa.

    "Malaysia sangat perlahan. China dalam masa 30 hingga 40 tahun telah mencapai jauh lebih banyak berbanding apa yang kita capai. Saya fikir (Malaysia perlukan) seratus tahun, kerana kita sangat perlahan," katanya lagi.


    Artikel sebelumnya
    Projek China: Kalau boleh batal, jika tak dapat kita tangguh
    Dr Mahathir mahu 'Tembok Besar China Kuantan' diroboh
    PM 'perah otak' fikir cara bayar hutang pembayar cukai

    LIHATVIDEO DI SINI


    'Dia ahli perniagaan berjaya dan kaya' - Najib pertahan legasi JJ

    MALAYSIAKINI

       
    Datuk Seri Najib Abdul Razak mempertahankan legasi Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis berikutan pendedahan kekayaannya baru-baru ini, dengan mengatakan bahawa Jamaluddin sudah menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya dan kaya..

    Dalam catatan Facebook malam tadi, Najib mendakwa terdapat tuduhan bahawa hubungan Allahyarham dengan beliau ialah punca kekayaan Allahyarham

    Jamaluddin, yang terkorban dalam nahas helikopter pada tahun 2015, dipercayai telah menjadi orang kepercayaan Najib dan telah memegang banyak jawatan kabinet.

    Isu kekayaan Jamaluddin timbul selepas ibunya yang berusia 83 tahun baru-baru ini memfailkan permohonan untuk sijil faraid untuk bahagian harta anaknya, dianggarkan bernilai RM2.1 bilion, di Mahkamah Syariah.

    Ia menarik perhatian beberapa pihak yang mempersoalkan bagaimana seorang menteri dapat mengumpulkan kekayaan seumpama itu.

    "Agak sedih pelbagai tuduhan dilempar kepada Allahyarham yang tidak dapat menjawab segala tohmahan serkap jarang tanpa usul periksa.

    "Sebenarnya, apabila saya menjadi perdana menteri, Allahyarham Jamaludin sudah dikenali sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya dan kaya.

    "Walaupun Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis ada hubungan yang baik dengan saya, beliau tidak pernah meminta apa-apa projek dari saya," kata Najib.

    Najib mendakwa bahawa kekayaan rakannya pada mulanya berasal dari EPE Power, sebuah syarikat yang Jamaluddin - yang memiliki PhD dalam kejuruteraan elektrik - beli pada tahun 1986 dan kemudiannya disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

    Ini membolehkan Jamaluddin melabur dalam projek lain yang menghasilkan pendapatan kepdanya, katanya.

    Najib: Projek diberi semasa pentadbiran Dr M

    Najib kemudian menambah bahawa Jamaluddin juga dianugerahkan beberapa projek kerajaan dan penswastaan ​​semasa tempoh pentadbiran perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

    "Pada tahun 1990-an di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, EPE Power dianugerahkan projek penjana elektrik bebas (IPP) di Sabah," kata Najib.

    Najib juga berkata pada masa dia menjadi perdana menteri, anak-anak Allahyarham telah mengambil alih perniagaan apabila beliau bertugas sebagai duta di Amerika Syarikat dan meneruskan usaha pelaburan.

    Ini termasuk menyelamatkan sebuah syarikat penjana elektrik bebas di Kulim yang diberi lesen pada tahun 1997 dan Allahyarham mempunyai pegangan saham dalam syarikat NADI yang diswastakan pada tahun 1990-an dan kemudian melabur dalam Malindo Air.

    "Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis merupakan seorang yang berpelajaran tinggi dan peniaga anak Melayu yang berjaya. Dia telah meninggal di bawah keadaan yang begitu tragis dan kita tidak patut bersangka buruk kepada beliau dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas," kata Najib.

    Selain daripada portfolio kewangan, Jamaluddin pernah memegang jawatan menteri sains, teknologi dan inovasi; dan menteri perdagangan dalam negeri dan kepenggunaan.

    Dalam kemalangan pada tahun 2015, Jamaluddin terbunuh bersama beberapa orang lain, termasuk setiausaha sulit Najib, Azlin Alias, ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Najib di Pahang.

    Laporan mengenai penyiasatan ke atas kemalangan helikopter itu berkata ia adalah akibat kecuaian juruterbang.

    Permohonan oleh ibu Allahyarham dianggap sebagai salah satu tuntutan faraid terbesar dalam sejarah undang-undang syariah Malaysia.

    PM: Kerajaan takkan aniaya Bumiputera

     
       

    Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menganiaya bumiputera dalam berdepan cabaran ekonomi di masa hadapan.

    "Bukan kita berada di sini untuk menganiaya kaum dan bangsa kita sendiri," kata Mahathir dalam ucapan pembukaannya di Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara (KBN 2018) pagi ini.

    "Saya harap kongres ini serius dalam usaha memperbaiki nasib Bumiputera dan orang Melayu.
    Kongres ini perlu serius untuk melakukan keputusan yang baik jika ada.

    “Kalau ia terhad kepada meminta-minta, saya percaya walaupun kerajaan ini akan dikalahkan kerana tidak menunaikan permintaan, itu tidak mengapa bagi kita," katanya kepada lebih 2,000 peserta yang berkumpul di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

    Pada masa yang sama, perdana menteri menegaskan kerajaan akan mengambil langkah untuk menamatkan amalan yang beliau percaya telah menghalang kejayaan dasar yang diperkenalkan di bawah Dasar Ekonomi Baru.

    Ini termasuk, katanya, tidak lagi berkompromi dengan amalan projek subkontrak yang diberikan kepada syarikat Bumiputera.