HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Oktober 2020

Pemimpin Umno, PAS dan PPBM akan berbincang minggu ini mengenai beberapa isu.

Minderjeet Kaur


PETALING JAYA: Beberapa ahli Parlimen Umno dikatakan sedang mempertimbang pilihan untuk membubarkan Parlimen ketika perbincangan antara parti itu bersama PAS dan PPBM sedang berjalan.

Mereka juga mahu keputusan kukuh dibuat berhubung masa depan Umno sebelum pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, kata sumber kepada FMT.

Tiga ahli Parlimen Umno yang mempunyai kaitan rapat dengan pertemuan itu berkata, perbincangan adalah mengenai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka juga mahukan petunjuk lebih jelas bila pilihan raya akan diadakan.

Seorang daripada mereka memberitahu FMT, “sedang mempertimbangkan pilihan” kerana beberapa ahli Parlimen Umno sudah bersetuju Muhyiddin Yassin kekal sebagai calon perdana menteri dan presiden Umno menjadi timbalannya.

Begaimanapun, beliau mengakui Muhyiddin mempunyai beberapa “nilai tambah” untuk memenangi pilihan raya.

“Rakyat akan membandingkan beliau dengan perdana menteri sebelumnya, Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak. Imej beliau jauh lebih baik,” katanya kepada FMT.

Namun, katanya, ramai ahli Parlimen Umno mungkin tidak menyokong belanjawan pada November sekiranya Muhyiddin tidak bersetuju dengan presiden Umno sebagai timbalannya atau jika beliau gagal memberi petunjuk bila pilihan raya kilat akan diadakan.

Ahmad Zahid Hamidi adalah presiden Umno ketika ini.

Muhyiddin akan hilang sokongan sekiranya Belanjawan 2021 ditolak di Parlimen, beliau kemudian akan meletak jawatan bersama Kabinet.

Oleh itu, katanya, beberapa ahli Parlimen Umno menyokong ketua pembangkang Anwar Ibrahim sebagai alternatif untuk membuka jalan kepada pilihan raya.

“Perbincangan yang akan diadakan minggu ini mengenai masa depan Umno, PAS dan PPBM,” katanya.

Beliau berkata, Umno dan PAS sudah bersedia untuk pilihan raya kilat tetapi PPBM mungkin tidak mahu buat masa sekarang.

Ahli Parlimen Umno yang lain berkata, mereka juga akan membincangkan mengenai pembahagian kerusi dengan PPBM. “Sebilangan ahli Parlimen Umno berkata sekiranya mereka membenarkan Muhyiddin menjadi perdana menteri, maka mereka perlu mendapat lebih banyak kerusi untuk PRU15.

“Kami adalah ahli parti. Kami mahu Umno mempunyai kerusi sebanyak mungkin dan memiliki lebih ramai ahli parlimen Umno di Dewan Rakyat,” katanya, sambil menambah Umno hanya boleh memutuskan langkah seterusnya selepas Muhyiddin membuat keputusan.

Namun, seorang lagi ahli Parlimen Umno berkata mereka mahukan keputusan penting itu dibuat sebelum Anwar menghadap Agong.

“Selepas menghadap, Agong mungkin mahu bertemu Muhyiddin untuk meminta nasihatnya, kita mahu keputusan itu dibuat sebelum itu berlaku,” katanya.

Terdahulu, Istana Negara mengesahkan majlis menghadap Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sepatutnya berlangsung pada 22 September.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, bagaimanapun berkata, majlis itu ditangguhkan berikutan masalah kesihatan dialami Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang menjalani rawatan bawah pengawasan pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Tok Mat ajak Umno buat keputusan bersendirian sekarang Oleh BORHAN AHMAD malaysiadateline.com October 1, 2020 12:31 pm "Jika kita terpaksa bersendiri bersama Pas dalam Muafakat Nasional dan BN serta parti komponennya dalam menghadapai PRU akan datang, maka putuskan sedemikian dengan segera, agar kita dapat menyediakan diri," kata Mat Hassan menerusi Facebooknya. Setelah pemimpin bawah Datuk Seri Najib Razak yang bersuara kini Timbalan Presiden, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan pula bersuara agar Umno bersendirian walaupun tidak menyebut secara jelas tinggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN). “Jika kita terpaksa bersendiri bersama Pas dalam Muafakat Nasional dan BN serta parti komponennya dalam menghadapai PRU akan datang, maka putuskan sedemikian dengan segera, agar kita dapat menyediakan diri,” kata beliau menerusi Facebooknya. Mohamad mengajak Umno “Marilah kita mulai saat ini, mengembalikan Umno ke landasan sebenarnya. “Kusut dihujung, balik lah kepangkal. Dan marilah kita bekerja bersungguh-sungguh, membangunkan semula Umno agar ia menjadi wadah yang dipercayai dan di dukung oleh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya. Menurut beliau, keputusan pilihanraya Sabah menunjukkan bahawa strategi dan kerjasama politik yang Umno meterai, tidak menguntungkan parti itu, malah semakin memencilkan peranannya di Sabah. “Daripada sebuah parti yang menguasai Sabah selama 27 tahun, Umno waktu ini hanya pemain politik terpencil dalam gabungan GRS,” katanya. Apa yang berlaku di Sabah, katanya, memerlukan Umno memikirkan semula pendekatan politiknya. “Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan Umno akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan Umno dalam jangka waktu panjang,” katanya. Bagi beliau, pengorbanan Umno memberikan kerusi terkuatnya kepada parti tertentu telah menjejaskan kekuatan Umno secara signifikan. “Lebih menyedihkan, Umno terpaksa berhadapan dengan calon bebas yang ditaja oleh pihak berkepentingan untuk melemahkan Umno. “Janji yang dimeterai berkaitan potfolio kabinet pun hampir dimungkiri,” kata beliau lagi. Umno, katanya, tidak boleh membiarkan episod pilihanraya Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’. “Justeru, telah tiba masanya Presiden Umno memberikan pedoman dan halatuju jelas kepada parti dan semua ahlinya, tentang bagaimana kita harus meneruskan kerjasama kita dengan saingan politik kita. “Satu konsensus politik yang tegas harus dihasilkan, untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara Umno diperlakukan dalam PRU Sabah,” katanya lagi. Menuju masa depan, katanya, Umno mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui “langkah Sheraton” adalah demi menyelamatkan negara. Episod itu telah berakhir. “Episod seterusnya ialah bagaimana Umno akan mengemudi negara ini, memberikan kepimpinan kepadanya dan mencipta masa depan Malaysia yang lebih baik melalui BN dan bukannya platform politik lain. “Kita akan dinilai dengan apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia. Bukan betapa besarnya pengorbanan kita untuk parti tertentu atau kelangsungan Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Oleh BORHAN AHMAD

 
"Jika kita terpaksa bersendiri bersama Pas dalam Muafakat Nasional dan BN serta parti komponennya dalam menghadapai PRU akan datang, maka putuskan sedemikian dengan segera, agar kita dapat menyediakan diri," kata Mat Hassan menerusi Facebooknya.

Setelah pemimpin bawah Datuk Seri Najib Razak yang bersuara kini Timbalan Presiden, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan pula bersuara agar Umno bersendirian walaupun tidak menyebut secara jelas tinggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Jika kita terpaksa bersendiri bersama Pas dalam Muafakat Nasional dan BN serta parti komponennya dalam menghadapai PRU akan datang, maka putuskan sedemikian dengan segera, agar kita dapat menyediakan diri,” kata beliau menerusi Facebooknya.

Mohamad mengajak Umno “Marilah kita mulai saat ini, mengembalikan Umno ke landasan sebenarnya.

“Kusut dihujung, balik lah kepangkal. Dan marilah kita bekerja bersungguh-sungguh, membangunkan semula Umno agar ia menjadi wadah yang dipercayai dan di dukung oleh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, keputusan pilihanraya Sabah menunjukkan bahawa strategi dan kerjasama politik yang Umno meterai, tidak menguntungkan parti itu, malah semakin memencilkan peranannya di Sabah.

“Daripada sebuah parti yang menguasai Sabah selama 27 tahun, Umno waktu ini hanya pemain politik terpencil dalam gabungan GRS,” katanya.

Apa yang berlaku di Sabah, katanya, memerlukan Umno memikirkan semula pendekatan politiknya.

“Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan Umno akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan Umno dalam jangka waktu panjang,” katanya.

Bagi beliau, pengorbanan Umno memberikan kerusi terkuatnya kepada parti tertentu telah menjejaskan kekuatan Umno secara signifikan.

“Lebih menyedihkan, Umno terpaksa berhadapan dengan calon bebas yang ditaja oleh pihak berkepentingan untuk melemahkan Umno.

“Janji yang dimeterai berkaitan potfolio kabinet pun hampir dimungkiri,” kata beliau lagi.

Umno, katanya, tidak boleh membiarkan episod pilihanraya Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’.

“Justeru, telah tiba masanya Presiden Umno memberikan pedoman dan halatuju jelas kepada parti dan semua ahlinya, tentang bagaimana kita harus meneruskan kerjasama kita dengan saingan politik kita.

“Satu konsensus politik yang tegas harus dihasilkan, untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara Umno diperlakukan dalam PRU Sabah,” katanya lagi.

Menuju masa depan, katanya, Umno mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui “langkah Sheraton” adalah demi menyelamatkan negara. Episod itu telah berakhir.

“Episod seterusnya ialah bagaimana Umno akan mengemudi negara ini, memberikan kepimpinan kepadanya dan mencipta masa depan Malaysia yang lebih baik melalui BN dan bukannya platform politik lain.

“Kita akan dinilai dengan apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia. Bukan betapa besarnya pengorbanan kita untuk parti tertentu atau kelangsungan Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Zahid diberikan 7 hari untuk keluarkan Umno dari kerajaan PN

Oleh BORHAN AHMAD

 
 
"Cukuplah kita menjadi lembu dicucuk hidung, cukuplah kita dijadikan balaci kepada PPBM. Cukup cukup cukup. Enough is enough," kata Lokman kepada Zahid.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberikan tujuh hari oleh kumpulan Datuk Seri Najib Razak agak memulakan tindakan terhadap Bersatu selepas beberapa kali Umno diperlekehkan oleh parti itu.

Jika beliau gagal membebaskan Umno dari Perikatan Nasional, kempen untuk mengenepikan beliau dari Presiden Umno akan digerakkan di kalangan ahli Umno.

Sehubungan itu, bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno yang kini orang kanan Najib, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata, pihaknya memberikan Zahid tujuh hari untuk melaksanakan perkara ini.

 
“Tujuh hari dari sekarang, MP-MP Barisan Nasional kena ambil keputusan. Jangan tunggu lama-lama.

“Hari itu strateginya, kita mahu menyokong Anwar Ibrahim. Tuanku tak mahu menerima Anwar kerana baginda berada di IJN. Kita tak boleh buat apa, Tuanku tak sihat, kita kena tunggu Tuanku.

“Tetapi ahli Parlimen BN ada jalan keluar. Dalam bulan Oktober ini, akan ada sidang parlimen. Inilah masa sesuai kita kena pastikan, jangan kita sokong Belanjawan yang akan dibentang oleh Muhyiddin Yassin.

“Inilah masa yang sesuai untuk kita umumkan supaya kita keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ini kerana hari ini jelas kerajaan Muhyiddin membuli Umno,” kata Lokman melalui fb live beliau.

Menurut bekas Pengarah Kemunikasi Kementerian Kewangan ketika Najib adalah menterinya itu, tindakan tidak melantik Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin sebagai ketua menteri padahal Umno mempunyai kerusi paling banyak di Sabah adalah satu penghinaan kepada Umno.

Pagi tadi Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah walaupun Bersatu hanya mendapat 11 kerusi berbanding dengan Umno yang mendapat 14 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sabah.

Sebelum penamaan calon, kata Lokman, Umno telah dibuli dengan diberikan sebahagian sahaja kerusi manakala sebahagian lagi diambil oleh Bersatu dan Perikatan Nasional.

Bagi beliau, BN tidak dapat menang lebih besar kerana keyakinan rakyat Sabah tidak ada kepada BN kerana tidak bertanding semua kerusi.

“Parti kecil membuli parti besar. Sampai bila kita hendak membiarkan kita dibuli oleh budak-budak ni. Cukuplah cukuplah.

“Itu sebabnya kalau Zahid berani membuat pendirian ini, kita wajar menyokongnya.

“Cukuplah kita menjadi lembu dicucuk hidung, cukuplah kita dijadikan balaci kepada PPBM. Cukup cukup cukup. Enough is enough,” kata Lokman lagi.

Bagi beliau, tidak akan ada ahli Umno yang sanggup membiarkan Umno terus diperbodohkan oleh Muyiddin Yassin.

“Saya tidak fikir ahli Umno mahu bernaung di bawah sebuah parti yang telornya dipegang oleh Muhyiddin,” kata Lokman lagi.

PN disaran tamatkan kerjasama politik jika benar BN adalah beban


Kuala Lumpur – Sebarang kerjasama politik yang dibentuk harus dengan ada keikhlasan bukannya mendabik dada paling kuat dan paling bersih.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Husin pembentukan kabinet Malaysia tempoh hari jelas dibuat dengan bertujuan untuk mengukuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PBBM) dan melemahkan UMNO.

“Kita terima seadanya demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Dalam situasi politik pasca PRN Sabah juga sekali lagi keikhlasan itu tidak ada.

“Bukan sahaja jawatan Ketua Menteri diambil Perikatan Nasional, malah persetujuan awal pembahagian potfolio Menteri juga ubah sesuka hati.

“Apakah satu keikhlasan jika UMNO Sabah terpaksa menunjukkan protes terbuka sebelum PN mengubah semula susunan Kabinet Sabah mengikut persetujuan awal?,” soalnya melalui satu kenyataan kepada SuaraTV sebentar tadi.

Menurutnya lagi Perikatan Nasional (PN) disarankan untuk segera menamatkan kerjasama politik bersama Barisan Nasional (BN) / UMNO sekiranya ia dilihatkan membebankan.

“Lembu dipegang kepada tali, manusia dipeganng pada janji. Dalam masa yang sama hanya kerana pemimpin-pemiimpin Perikatan Nasional tidak berhadapan pendakwaan politik bukan bermakna mereka paling bersih dan tiada sebarang cacat cela.

“UMNO sebuah organisasi siasah besar tidak bergantung kepada mana-mana pemimpin untuk kekal relevan.

“Jika PN merasakan BN adalah satu bebanan politik maka seeloknya mereka membuat keputusan menamatkan kerjasama politik ini,” tegasnya lagi. – SuaraTV

“Tahniah menantu ku” Bung Moktar jadi TKM Sabah berkat doa ibu mentua

 SUARA MERDEKA

PELANTIKAN Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah mendapat ucapan tahniah daripada ibu mentuanya, Khaty Fauziah.

Menerusi akaun Instagram pelakon veteran itu, Khaty atau nama sebenarnya Fauziah Khatijah Musa memanjatkan kesyukuran di atas pelantikan itu.

“Alhamdulillah dan tahniah menantu ku!

“Mommy bersyukur Allah mendengar doa-doa mommy, semua ahli keluarga, sahabat handai serta penyokong di atas kemenangan dan pelantikan ke jawatan tersebut,” katanya.

Pengikut Instagram Khaty di ruangan komen turut mengucapkan syukur dan berkongsi kegembiraan dengan pelantikan tersebut.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu dilantik menjadi TKM pagi tadi.

Jawatan bagi TKM (2) dan TKM (3) pula dipegang oleh Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr. Joachim Gunsalam.

Untuk rekod, Bung Moktar merupakan suami kepada pelakon, Zizie Izette dan abang ipar kepada pelakon Shaheizy Sam.

Zizie mendirikan rumah tangga dengan Bung Moktar Radin pada Disember 2009.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan kembar lelaki berusia tiga tahun iaitu Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette, serta anak perempuan, Aalisa Belle Izette yang kini berusia setahun.

Pasangan itu turut mempunyai dua anak angkat iaitu Nayla Nurjenna, 4 dan Aaric Zayn Izette, 2. -SM

Sayangnya UMNO tak selicik Bersatu…

 SUARA MERDEKA

SELEPAS Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16, UMNO perlu menilai kembali kekuatan parti itu, sama ada mampu atau tidak mampu masuk gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan menang. Jangan pakai harung sahaja. Tidak ada “Big Data” macam dimiliki Rafizi dari Pakatan Harapan (PH).

Jangan macam dulu waktu PRU-14 yang lepas. Pakai tangkap muat sahaja team-team cybertrooper untuk PMO. Kalau tak silap Belang lebih 30 blogger/portal yang dikatakan “singa perang UMNO” `digaji’ untuk berperang dengan read bean PH.

Dikatakan ada seorang pegawai PMO yang jadi master mind. Tapi habuk pun tarak. Data-data yang diberikan kepada Pak Jib semuanya omong kosong belaka – ‘bodek’. Sehinggakan “Pak Jib’ boleh percaya. Akhirnya bukan sahaja UMNO tersungkur, Pak Jib turut `papa kedana imej’ sampai hari ini.

UMNO jangan sekali-kali ulangi tabiat buruk ini. Percayakan orang tak tentu pasal. Pak Jib pun sudah sedar dari dipermainkan.  Ibarat jauhari yang mengenal manikam, mana satu intan mana satu kaca, Pak Nib hari ini sudah berubah. Bossku kian popular, syabas dan tahniah.

Justeru UMNO hari ini setelah PRN Sabah mesti ikut kaedah Pak Jib, bukan ikut fi’ilnya yang lepas.

UMNO mesti sediakan peluru yang hebat. Big Data yang boleh dipercayai. Maknanya sebelum melangkah masuk PRU-15, sudah tahu angka kerusi boleh menang.

Usah berulang lagi insiden PRN Sabah. Terlalu yakin untuk menang sehinggakan UMNO mendesak diberikan banyak kerusi bertanding, kira-kira 40 kerusi, dapat 32 kerusi, malangnya hanya menang 14.

Semak dan perhatikan. UMNO kalah di kubu-kubu kuatnya semasa PRN Sabah 26 September 2020 iaitu  Banggi, Pitas, Bongawan, Lumadan, Sindumin, Gum Gum, Sekong, Tungku, Kunak dan Kukusan. Padahal sebahagian besar 10 kerusi ini UMNO sapu bersih pada PRU 2004, 2008 dan 2013. Dari 10 kerusi, Pitas dan Lumadan dikekalkan sehingga PRU 2018. Realitinya 10 kubu kuat ini tewas.

Kerana itu jika Pas satu-satunya parti yang boleh dipercayai, setelah terbukti melalui keputusan dalam siri pilihan raya kecil (PRK) yang lepas, buatlah satu perjanjian dengan Pas.

Jangan Pas pula `ngap’ UMNO. Pas sejak dua menjak ini agak meragukan permainannya kalau sesiapa perasan. Parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ini pun suka `ke sini ke sana, ke sana ke sini’. Dengan Perikatan Nasional (PN) pun dia mahu dapat laba politiknya, dengan UMNO pun dia mahu jadi `pisau cukur’.

Asalkan UMNO tak kacau Kelantan, Terengganu dan Kedah cukup. Asalkan PN dapat bantu dana gerakkan jentera pilihan raya partinya nanti pun sudah cukup baik.

Jadi, UMNO mesti ampuh strateginya.  Jangan gambil mudah untuk tewaskan musuh politik terutama dalam peperangan minda.

Dalam peperangan membabitkan penjenayah persepsi, lawan UMNO akan melakukan apa saja pendekatan bagi mencapai matlamat.

Mereka turut menggunakan kaedah character assassination atau pembunuhan karektor. UMNO perlukan strategi bersepadu untuk memenangi minda dan hati pengundi.

UMNO tidak boleh hanya bergantung kepada kaedah lama saja. Sebaliknya gunakan pendekatan baharu terutama mendekati golongan muda atas 18 tahun  yang terdedah kepada pelbagai maklumat.

Ini tidak. Bila si Syed Saddiq sibuk buat parti untuk orang muda, pemimpin UMNO tempelak. Kata Syed Saddiq ini dah sasau lah, otak liberal lah, sedangkan semua maklum bahawa kalau tidak PRU-15 pun, PRU-16 adalah pilihan raya umum untuk orang muda.

Sebenarnya, pendekatan perang saraf untuk menang dalam pertarungan atau politik berlaku sejak dari dulu lagi.

Umpamanya ketika Perang Khandaq. Pada 5 Syawal Tahun 627 Masihi menjadi saksi tercetus Perang Khandaq @ Perang Ahzab yang berlangsung selama sebulan.  Perang yang mana 10,000 orang tentera musyrikin dari sekitar Tanah Arab memerangi Madinah (Perang Khandaq).

Menyedari keadaan ini, Rasulullah SAW telah bermesyuarat dan mengambil idea bernas daripada Salman Al-Farisi untuk menggali parit di bahagian utara Madinah yang telah dikenalpasti sebagai lokasi pintu masuk pihak musuh. Bahagian lain di sekeliling Kota Madinah dikelilingi oleh gunung-gunung dan kebun-kebun kurma akan menyukarkan kaum musyrikin memasuki kota Madinah.

Berbekalkan semangat kerjasama dan tolong-menolong yang tinggi, umat Islam berjaya menggali parit sepanjang 5,000 hasta sebagai perangkap kepada pihak musuh.

Bagi melaksanakan tugas ini, Nabi Muhammad SAW membahagi sahabat kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada 10 orang dan setiap kumpulan diarahkan mengali parit sepanjang 40 hasta dan Nabi Muhammad juga turut terlibat dalam projek itu.

Perang ini ada diceritakan dalam al-Qur’an dalam Surah Al-Ahzab. Pengepungan menjadi ‘pertarungan kepintaran’ dalam mana Muslim secara taktikal mengalahkan musuh mereka dengan hanya mengalami korban kecil. Usaha bagi mengalahkan orang Islam gagal dan agama Islam bertambah berpengaruh di rantau itu.

Perang Ahzab bukanlah peperangan yang membawa kepada kerugian dan keuntungan melainkan ia adalah perang saraf semata-mata.

Tiada pertempuran yang hebat antara kedua-dua belah pihak. Namun dalam catatan sejarah Islam ini adalah peperangan yang sangat tegang dan panjang,  yang berakhir dengan kekalahan di pihak musyrikin.

UMNO di bawah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menjelaskan betapa melalui kemenangan UMNO -Pas dalam banyak PRK sebelum ini terutama Tanjung Piai 16  November tahun lalu bahawa sebesar manapun dugaan yang dan cabaran yang datang mengasak, jika ahli UMNO bersatu padu, tiada apa pun yang boleh menggugat  perjuangan parti.

Parti Bersatu telah membuktikan perang saraf mereka berjaya di Sabah. Walau pun hanya memiliki 11 kerusi, strategi Bersatu terbukti berkesan dan `memanah’ UMNO.

Ayuh UMNO bangkitlah dari lena yang panjang.  – SM

Isu Lahad Datu : Polis rekod keterangan Mohamaddin di IPK Sabah - Bukit Aman

 Bernama

Isu Lahad Datu : Polis rekod keterangan Mohamaddin di IPK Sabah - Bukit Aman
Mohamaddin telah bersetuju diambil keterangan mengenai kenyataan yang dibuatnya. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Polis Sabah akan merekodkan keterangan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berhubung dakwaannya bahawa pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu adalah sandiwara, dalam masa terdekat.
 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata satu pasukan di bawah JSJ Sabah telah ditubuhkan untuk tujuan itu dan Mohamaddin bersetuju untuk diambil keterangan.
 
"Kami akan panggil beliau dalam masa terdekat dan keterangan mengenai perkara itu di Sabah dan bukan dipanggil ke Bukit Aman.
 
"Beliau (Mohamaddin) juga telah bersetuju bagi diambil keterangan mengenai kenyataan yang dibuatnya itu," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini.
 
Sebelum ini, tular di media sosial satu video berdurasi seminit sembilan saat berkaitan ucapan Mohamaddin, yang menganggap peristiwa Lahad Datu itu, yang mengorbankan 10 anggota keselamatan, sebagai sandiwara.
 
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata tuduhan itu merupakan penghinaan kepada pasukan keselamatan khususnya kepada 10 keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam peristiwa itu.
 
Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang pula berkata kenyataan yang dikeluarkan ahli politik berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan memperlekeh tugas anggota tentera.
 
Sementara itu, Huzir berkata polis sedang memperkemaskan kertas siasatan berhubung Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang tidak mengikut arahan kuarantin COVID-19.
 
Huzir berkata kertas siasatan itu akan diperkemaskan berdasarkan arahan-arahan yang diberikan Jabatan Peguam Negara yang memulangkan semula kertas siasatan itu selepas ia dihantar kepada mereka.
 
“Kami akan hantar kembali kertas siasatan itu sejurus selesai diperkemaskan,” katanya.
 
Dalam perkembangan lain, Huzir berkata polis menukar klasifikasi kematian tiga beranak dalam kebakaran di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa di Pulau Langkawi, Kedah tahun lepas daripada mati mengejut (SDR) kepada kes bunuh.
 
Beliau berkata penukaran itu ekoran siasatan pasukan bomba yang mendapati wujud unsur jenayah dalam kes berkenaan.
 
"Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kes masih dalam siasatan dan tiada tangkapan suspek buat masa ini," katanya.
 
Dalam kejadian pada 1 April tahun lepas, tiga sekeluarga maut selepas rumah mereka terbakar. Mereka yang maut dikenali sebagai Mohd Nahar Shuhaimi, 39, isterinya Noor Suhaila Hamat, 41, serta anak bongsu mereka Muhammad Nawfal, enam tahun.-- BERNAMA

UMMAH lapor polis jika Anwar gagal buktikan ‘numbers’

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan membuat laporan polis jika Dato’ Sri Anwar Ibrahim gagal membuktikan dakwaannya dalam tempoh tujuh hari berhubung perolehan sokongan majoriti dalam kalangan ahli parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, kenyataannya itu boleh didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan sekiranya disabitkan bersalah.

“Beliau boleh didakwa kerana membuat kenyataan palsu, cuba menghuru-harakan perpaduan, memporak-perandakan pentadbiran kerajaan, dan mensabotaj kestabilan ekonomi negara,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Jelasnya, Ketua Pembangkang itu tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong apabila dengan terburu-buru mengadakan sidang media.

“Dia (Anwar Ibrahim) tidak boleh buat kenyataan secara semberono tetapi haruslah dibuktikan dengan kukuh kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Hanya Agong sahaja yang boleh umumkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin cukup sokongan majoriti atau tidak,”

Pada Rabu lalu, Anwar mengadakan sidang akhbar khas mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Malah, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan bahawa majoriti diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis. – HARAKAHDAILY

Politik kaum tidak diterima masyarakat majmuk

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin berkata politik identiti atau politik ras dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan keturunan di negara ini tidak boleh berterusan walaupun ia tidak boleh dihapuskan secara keseluruhan.

Muhyiddin berkata dengan adanya media sosial pada masa ini, masyarakat mudah ‘tersentuh’ apabila isu berkaitan kaum, agama, dan pendapatan dibangkitkan, menyebabkan ia menjejaskan hubungan antara kaum.

“Masing-masing ada sentimen, walaupun begitu ia tidak harus membawa kesan tidak baik. Contohnya pengagihan kekayaan dalam negara, orang Melayu yang menjadi sebahagian besar komponen dalam masyarakat merasakan belum cukup dibela.

“Mereka merasakan perlukan lebih lagi pembelaan walaupun dahulu sudahpun ada Dasar Ekonomi Baharu, namun apabila kita teliti sekarang, banyak ketirisan dan perkara yang tidak baik berlaku menyebabkan rasa tidak puas hati masih ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog Balai Rakyat Makmur Bersama, di sini semalam yang turut dihadiri Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
 
Muhyiddin berkata pada masa yang sama, perasaan dan isu yang sama turut dirasai oleh kaum lain dalam negara seperti Cina dan India.

“Ada juga kalangan mereka tidak berupaya yang miskin dan berpendapatan rendah. Perasaan sama juga wujud di kalangan mereka.

“Persoalananya apa dasar dan cara kerajaan Perikatan Nasional hendak lakukan supaya dalam keadaan hendak address (menangani) kepincangan dan kelemahan tadi, ia tidak dilihat sebagai satu tindakan yang berbentuk perkauman dan mirip memilih satu kaum sahaja dan melupakan pihak lain,” katanya.

Oleh itu katanya, Dasar Kemakmuran Bersama dilihat antara penyelesaian dalam menangani masalah itu dalam tempoh 10 tahun mendatang, termasuk dalam soal merapatkan jurang ekonomi antara kaum.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Dasar Kemakmuran Bersama tidak meminggirkan pembangunan keluarga dan wanita.

Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga serta agensi di bawahnya sentiasa melakukan libat urus bersama masyarakat untuk mendapatkan maklum balas bagi memastikan golongan ini tidak ketinggalan dalam soal itu. – BERNAMA

Munajat punca kuasa utama kemenangan PAS

HHARAKAH DAILY

INDERA MAHKOTA: Munajat tanpa henti adalah punca utama kemenangan cemerlang PAS di Kelantan pada PRU14 lalu yang sebenarnya berhadapan cabaran amat genting ketika itu berbanding PRU-PRU sebelumnya.

Malah, munajat juga membezakan perjuangan PAS daripada pihak-pihak lain di mana hal itu diakuikan sendiri oleh para pengundi dalam temubual untuk tujuan analisis dan post mortem PRU14 yang diadakan.

Ahli Dewan Negara, Senator Ustazah Asmak Husin yang mewakili DUN Kelantan mendedahkan perkara tersebut dalam program Motivasi Santai Jentera Pilihan Raya HALWA UDM Balok, di sini kelmarin.

Ahli PAS serunya, wajib belajar untuk membawa dasar Islam dan merealisasikan dalam gerak kerja sebagaimana dilaksanakan negeri-negeri di bawah pemerintahan PAS seperti Kelantan dengan slogan ‘Membangun Bersama Islam’.

“Jadikan Kelantan, Terengganu dan Kedah sebagai negeri contoh dan role model serta bukti kemampuan PAS memimpin negeri, malah tidak mustahil PAS boleh memimpin negara,” ujarnya membangkitkan semangat anggota jentera.

Beliau menekankan betapa pentingnya ilmu pilihan raya sebagai persediaan mendepani cabaran PRU15 dan seterusnya bersiap sedia untuk mengisi kemenangan secara yang terancang, selain keperluan dana dan pemerkasaan organisasi.

Majlis yang turut memugar roh perjuangan menerusi alunan zikir Asma’ ul Husna pimpinan Ahli Jawatankuasa HALWA Balok, Solehah Mohd Shah ini dihadiri 70 ahli jentera dari enam PAS Cawangan di bawah UDM ini.

Mereka yang hadir dengan tema pakaian masing-masing ini mewakili PAS Cawangan Chengal Lempong, Taman Balok Jaya 2, Bandar Baru Balok, Balok Maju, Balok Pantai dan Balok Jaya Sejahtera.

Majlis berlangsung di kediaman Ketua PAS Chengal Lempong, Dr Syed Badarudin Syed Ali dan isterinya yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Chengal Lempong, Sharifah Mardziah Syed Abdul Rahman di Baitul Mahabbah.

Ketua HALWA UDM Balok, Asma Abdullah juga selaku pengarah program turut menyampaikan ucapan menyeru kesiapsiagaan fizikal, mental dan jiwa raga ahlinya untuk memperkemaskan gerak kerja yang masih tertangguh.

Pada majlis ini juga diadakan sesi soal jawab antara hadirin dengan Ustazah Asmak meliputi pelbagai isu semasa dan juga tips bergerak kerja. – HARAKAHDAILY