HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 April 2021

‘Terima kasih menteri, timbalan, MB kerana tidak pilih bercerai’

  KHAIRULANUAR YAHAYA

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, ketika ini bukan masa untuk mengagalkan pentadbiran yang telah dibina dan dianggotai secara bersama dengan Pas dan Bersatu dalam mendirikan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di Sabah, Johor, Melaka dan Perak.

Malah menurut beliau, sekarang juga bukan masa untuk menggagalkan Muafakat Nasional.

“Bukan masa untuk kita lari meninggalkan tugas membantu kerajaan yang kita sendiri dirikan. Justeru kita sepakat untuk meneruskan khidmat demi rakyat.

Terima kasih Bung di Sabah, Saarani di Perak, Ir.Hasni di Johor, Sulaiman di Melaka yang terus berkongsi memimpin negeri dan tidak bercerai berai.

“Terima kasih Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishamuddin yang istiqamah memimpin para menteri bersama Reezal, Halimah, Noraini, Dr. Shamsul, Dr. Adham, Wee Ka Siong, Saravanan, timbalan-timbalan menteri, pengerusi pengerusi GLC dan lain-lain yang bertekad sebulat suara kekal istiqamah, terus berkhidmat,” katannya.

Sementara itu Annuar berkata, telah banyak masa dihabiskan untuk politik dalaman dan telah meraikan perbezaan pendapat sehingga Perhimpunan Agung UMNO pada Ahad lalu yang meninggalkan luka bukan sedikit.

Namun keputusan telah dibuat dan usul yang dibuat perlu diikuti.

“Usul antara lain menyebut utk mufarakah dari kerajaan Perikatan Nasional bila Parlimen di bubar, tidak berkerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15. Bertanding atas logo BN, dasar no DAP no PKR no PPBM. Kita fikir-fikirlah sendiri. Di mana untung, di mana rugi.

“Bergerak kehadapan, elok kita fikir soal rakyat. Saki baki masa yang ada elok kita tumpu kepada agenda rakyat. Malah rakyatlah yg menjadi juri politik kita nanti.

“Ini bukan masanya menggagalkan pentadbiran yang kita sendiri bentuk dan kita sendiri anggotainya,” kata Annuar.

Beliau turut menegaskan adalah menjadi satu kewajiban untuk menjaga kerajaan yang telah dibina atas dasar muafakat penyatuan ummah dan yang telah menyelamat dan membebaskan dari belenggu 22 bulan pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan yang penuh rasa kecewa.

“Jgn kita cuba kembalikan mereka. Sementara kita mendahulukan negara dan rakyat, kita ketepikan agenda peribadi beberapa individu yg kecewa. Insyaallah esok masih ada buat kita yg cintakan perjuangan sejati,” katanya.SM

ADUN pembangkang mohon adakan sidang DUN Johor

Bernama
ADUN pembangkang mohon adakan sidang DUN Johor
Cai Tung berkata satu surat permohonan akan dihantar kepada Menteri Besar 
Johor Datuk Hasni Mohammad mengenai cadangan itu. - Foto FB/Liow Cai 
Tung
 
JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Johor memohon agar kerajaan negeri mempertimbang untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) alternatif bagi memberi platform kepada wakil rakyat membincangkan isu rakyat walaupun berada dalam darurat.
 
ADUN Johor Jaya Liow Cai Tung berkata satu surat permohonan akan dihantar kepada Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad mengenai cadangan itu.
 
"Dengan ini (sidang DUN alternatif), ADUN-ADUN boleh menjalankan tugas semak dan imbang. Saya menyeru pihak kerajaan negeri supaya mempertimbangkan perkara ini," katanya kepada pemberita di Pasir Gudang, di sini, hari ini.
 
Liow berkata memandangkan kesemua 56 ADUN Johor telah menerima vaksin COVID-19, sidang DUN alternatif boleh dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
 
Sidang DUN Johor sebelum ini dijadual diadakan awal bulan ini.
 
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse turut bersetuju dengan cadangan itu dan berkata: "Saya rasa itu satu cadangan (sidang DUN alternatif) yang baik. Saya akan cadangkan untuk kita buat seperti Pulau Pinang baru-baru ini."-- BERNAMA

Bersatu janji tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak - Masing

Astro Awani
Bersatu janji tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak - Masing
Tambah Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu, sekiranya Bersatu tidak mengotakan 
janji, maka GPS akan terus mempertahankan hak mereka tanpa kompromi. FOTO: 
Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah memberi jaminan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk tidak bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) atau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
 
Perkara itu disahkan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing yang turut menyatakan bahawa persetujuan itu dicapai dalam satu mesyuarat yang diadakan tahun lalu.
 
“Bersatu sudah memberi jaminan untuk tidak bertanding di negeri Sarawak dalam pilihan raya negeri dan umum serta jaminan ini diberikan oleh Perikatan Nasional (PN) pada tahun lalu.
 
“Kita (GPS) berharap mereka berpegang teguh kepada janji dan mengharapkan perkara yang sama daripada pihak mereka,” kata Masing.
 
Tambah Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu, sekiranya Bersatu tidak mengotakan janji, maka GPS akan terus mempertahankan hak mereka tanpa kompromi.
 
“Janji tetap janji, jangan sesekali mengingkarinya untuk kepentingan politik anda (Bersatu).
 
“Sekiranya mereka tetap ingkar, kita tiada pilihan selain mempertahankan kepentingan Sarawak kerana ia sesuatu yang tidak boleh dirunding,” tambah Masing.
 
Pada Julai tahun lalu, Masing pernah mengeluarkan kenyataan sama berkaitan janji yang diberikan Bersatu dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk tidak bertanding di Sarawak menerusi PRN dan PRU.
 
Persetujuan itu dicapai dalam sebuah mesyuarat melibatkan kesemua pemimpin tertinggi PN dan GPS pada 1 Julai 2020.

Hubungan kerajaan negeri-Persekutuan tiada kaitan dengan politik - Abang Johari

Bernama
Hubungan kerajaan negeri-Persekutuan tiada kaitan dengan politik - Abang Johari
Abang Johari berkata pindaan peruntukan di bawah Perkara 160 Perlembagaan 
Persekutuan adalah untuk mencerminkan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan 
MA63. - Gambar fail/ Bernama
 
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan keputusan hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang bakal dibuat adalah berkaitan Perlembagaan dan bukan politik.
 
Katanya, apabila menyebut tidak lama lagi akan diumumkan keputusan semasa berucap pada majlis bersama rakyat di Lubuk Antu, semalam, beliau sebenarnya merujuk kepada cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menyelaraskannya bersama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
 
Katanya, sebaik sahaja pindaan tersebut dilaksanakan, ia akan menyebabkan hubungan yang lebih baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak sejajar dengan MA63.
 
Beliau berkata pindaan peruntukan di bawah Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan adalah untuk mencerminkan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan MA63.
 
“Cadangan meminda Perlembagaan adalah tafsiran istilah ‘Persekutuan’ merujuk kepada persekutuan yang ditubuhkan di bawah MA63.
 
“Buat masa ini, ‘Persekutuan’ ertinya Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun ke-20 Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di sini hari ini.
 
Abang Johari berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju mengadakan perbincangan lanjut bersama kerajaan mengenai pindaan ini.
 
Beliau, bagaimanapun, berkata apa yang dinyatakan semasa lawatan kerjanya ke Lubok Antu itu tidak berkaitan dengan hubungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama PN seperti yang dilaporkan media.
-- BERNAMA

Pendirian Pas kekal bersama bersatu lambang semangat setiakawan - Muhyiddin

Bernama
Pendirian Pas kekal bersama bersatu lambang semangat setiakawan - Muhyiddin
Muhyiddin berkata bagi mengekalkan kesepakatan itu, agihan kerusi Parlimen 
pada PRU15 menjadi agenda utama PN. - Gambar fail/ Bernama
 
PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pendirian PAS untuk kekal bersama Bersatu adalah sebagai semangat setiakawan yang utuh.
 
Perdana Menteri, yang juga Presiden Bersatu, berkata semangat tersebut sekali gus membantu Perikatan Nasional (PN) merangka hala tuju yang jelas termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
 
"Kita (Bersatu dan PAS) bertekad supaya apa sahaja situasi, kita akan bersama-sama. Kenyataan bersama Bersatu dan PAS hari ini menampakkan komitmen kami terhadap hala tuju dua parti ini dalam PN.
"Apapun yang berlaku, itu soal UMNO tetapi dari sudut kerjasama Bersatu dan PAS, hala tuju jelas dengan terbentuknya Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka strategi parti khususnya menghadapi PRU15, termasuk rundingan pengagihan kerusi," katanya.
 
Muhyiddin, yang juga Pengerusi PN, berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan PN Johor secara berasingan di sebuah hotel di sini, hari ini.
 
Bersatu dan PAS hari ini mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan kesepakatan untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU15 termasuk bertegas menolak sebarang bentuk 'penjajaran baharu' untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15 terutamanya melibatkan Pakatan Harapan dan sekutunya.
 
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata bagi mengekalkan kesepakatan itu, agihan kerusi Parlimen pada PRU15 menjadi agenda utama PN.
 
Mengenai mesyuarat PN Johor pula, beliau berkata gabungan itu telah membincangkan mengenai rundingan bagi menyelesaikan struktur pembahagian kerusi di Parlimen Johor.
 
"Struktur pembahagian kerusi dirunding bagi mengenal pasti sama ada Bersatu, PAS atau Gerakan yang akan mengetuai. Tetapi keputusan muktamad akan dibuat oleh pimpinan di peringkat nasional," katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh.-- BERNAMA

Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh letak jawatan pengerusi syarikat milik Kesedar

Vivi Sumanti
Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh letak jawatan pengerusi syarikat milik Kesedar
Zawawi membuat pengumuman itu dalam Majlis Penerangan Isu Semasa 
di Dewan Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh 
malam ini.
 
KOTA BHARU: Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman, mengumumkan meletak jawatan serta-merta sebagai Pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd, milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
 
Zawawi membuat pengumuman itu dalam Majlis Penerangan Isu Semasa di Dewan Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh malam ini.
 
Bagaimanapun, beliau belum menghantar surat peletakan jawatan dan akan melakukannya dalam masa terdekat.
 
"Surat rasmi peletakan jawatan akan diuruskan dalam masa terdekat," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
 
Beliau berkata, peletakan jawatannya itu sebagai menyahut seruan dan amanat pemimpin UMNO yang membuat keputusan untuk tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
 
Dalam pada itu, beliau menyeru pemimpin UMNO yang lain supaya melepaskan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau kepentingan lain selaras dengan usul yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020).
 
Zawawi dilantik sebagai Pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd, pada 26 Oktober tahun lepas.

UMNO perlu akur menterinya terus berkhidmat dalam kerajaan PN

Bernama
UMNO perlu akur menterinya terus berkhidmat dalam kerajaan PN
Sivamurugan berkata sekiranya UMNO kekal dengan pendirian untuk tidak 
meneruskan kerjasama dengan PN, ia seharusnya dibuat ketika keadaan 
negara lebih menentu dan stabil. - Gambar fail BERNAMA
 
KUALA LUMPUR: UMNO seharusnya akur dengan kebolehan dan sumbangan semua menteri daripada parti itu, sekali gus 'merestui' mereka untuk terus kekal berada dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).
 
Penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata apa yang utama buat masa ini adalah agenda, usaha dan perancangan kerajaan dapat diteruskan untuk kepentingan rakyat serta negara.
 
"Keberadaan mereka dalam Kabinet harus dilihat dengan cara ia bukan berikan kelebihan kepada PN atau sesiapa tetapi sebenarnya untuk rakyat," katanya dalam program 'Malaysia Petang Ini' yang disiarkan secara langsung di Bernama TV semalam.
 
Katanya, penglibatan mereka dalam kabinet menandakan pemimpin UMNO itu diberi pengiktirafan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melihat sumbangan dan peranan mereka itu besar dan memberi makna.
 
"Dalam konteks sekarang ini, parti harus memberikan keutamaan kepada apakah sumbangan parti kepada rakyat dan biarkan rakyat sendiri menilai pemimpin atau pun tokoh yang menjadi anggota Kabinet itu.
 
"Sudah pasti ahli parti juga harus melihat kenapa perlu khuatir dengan kebolehan pemimpin mereka yang diberikan jawatan oleh Perdana Menteri sendiri yang mana keterlibatan mereka dalam perancangan kerajaan sejak awal memberikan impak," katanya.

Beliau, yang juga Pensyarah Sosiologi Politik dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), berkata sekiranya UMNO kekal dengan pendirian untuk tidak meneruskan kerjasama dengan PN, ia seharusnya dibuat ketika keadaan negara lebih menentu dan stabil.
 
Katanya, ini bagi mengelakkan rakyat dari menyalahkan pemimpin UMNO kononnya mereka lebih mengutamakan kepentingan atau personaliti tertentu daripada kepentingan rakyat.
 
"Hari ini rakyat meneliti, memahami dan juga melihat apa yang berlaku dan dikhuatiri itu akan memberikan impak besar jika keputusan-keputusan seperti ini dibuat dalam masa yang tidak sesuai.
 
"Barangkali harus menunggu sehingga keadaan lebih stabil dan lebih menentu... ketika itu keputusan barangkali lebih bersifat rasional daripada bersikap emosional," katanya.

Sivamurugan berpendapat keputusan untuk kekal dalam kerajaan tidak menandakan bahawa menteri-menteri tersebut ingkar kepada suara akar umbi memandangkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak membuat keputusan bila mereka perlu keluar dan melepaskan jawatan dalam kerajaan.
 
"Tiada satu keputusan yang dibuat kecuali kenyataan beberapa pemimpin yang mendesak supaya para menteri UMNO ini segera keluar dari Kabinet... ia tidak selari dengan apa yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO untuk memberikan mandat pada MT untuk membuat keputusan," katanya.
-- BERNAMA

Bersatu, Pas kukuh kerjasama hadapi PRU-15

Oleh MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN
 
Gambar hiasan

PETALING JAYA- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas menegaskan akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU-15).

Pengukuhan kerjasama antara kedua-dua parti itu dinyatakan menerusi kenyataan bersama dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausahan Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Kata kenyataan itu, Bersatu dan Pas selaku parti pengasas utama PN bakal menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka strategi dan halatuju parti pada PRU-15.

“Ia termasuklah rundingan bagi pengagihan kerusi dan segala keputusan dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dimuktamadkan oleh parti komponen.

“Bersatu dan Pas juga bertegas menolak sebarang bentuk penjajaran baharu bagi menubuhkan kerajaan pasca PRU-15 terutama melibatkan Pakatan Harapan (PH) serta sekutunya,” katanya.

Katanya, kedua-dua parti itu juga sentiasa komited memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk sekaligus menolak usaha merosakkan perpaduan. -K! ONLINE

Demi maslahah negeri Johor – Muhyiddin

 Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiba bagi mempengerusikan Mesyuarat (Bersatu) dan Perikatan Nasional Negeri Johor di Hotel Zenith di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – “Kita akan terus bersama-sama. Itu janji kita bukan untuk UMNO tetapi negeri Johor,” tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, setakat hari ini tiada keputusan berhubung penarikan sokongan tersebut kerana Bersatu lebih memikirkan soal menjaga kemaslahatan di negeri itu.

“Yang penting dari sudut Bersatu ialah memikirkan soal negara, negeri dan rakyat supaya tidak timbul satu pergolakan yang nanti akan membawa kesan buruk kepada negeri dan negara.

“Sebab itu di peringkat negara, saya dan rakan Kabinet UMNO telah putuskan mereka akan terus kekal bersama sama ada menteri atau timbalan menteri. Jadi untuk Johor akan kekal begitu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan PN Johor di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan harapan supaya keadilan turut diberikan kepada parti tersebut di negeri Johor.

“Cuma harapan kita berlaku adillah kepada Bersatu kerana ada rungutan, pembahagian jawatan ketua-ketua kampung yang dibuat secara tidak dirunding dengan betul. Ini membangkitkan rasa tidak puas hati,” katanya.

Mengenai kerjasama antara Bersatu dan PAS, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, dalam apa jua situasi dan keadaan, kedua-dua parti tersebut akan terus bersama-sama.

“Kita telah bertekad supaya apa pun situasi keadaan, kita akan bersama-sama dan baiknya dalam mesyuarat saya hadir bersama PAS di peringkat nasional, nampak komitmen kami kedua-dua parti terhadap hala tuju kehadapan yang amat jelas.

“Apa pun yang berlaku itu soal UMNO, tetapi dari sudut kerjasama PAS dan Bersatu untuk kehadapan itu jelas termasuk penubuhan jawatankuasa bersama, berbincang persiapan pilihan raya, rundingan kerusi kerana saya rasa ini nak diutamakan,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu Johor mengingatkan Hasni bahawa beliau boleh tumbang pada bila-bila masa berikutan memiliki sokongan rapuh sebagai Menteri Besar.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Ir. Md. Nasir Hashim dilaporkan berkata, hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti yang membentuk kerajaan negeri termasuk wakil rakyat Bersatu boleh menentukan nasib Hasni dan UMNO di negeri itu ketika ini.

Ini berikutan kenyataan Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor pada Persidangan Agung UMNO baru-baru ini berkaitan Muhyiddin Yassin selaku Ahli Parlimen Pagoh adalah lemah di kawasan sendiri. -K! ONLINE

Pemilihan UMNO perlu diadakan tahun ini – Reezal Merican

Oleh SUBKHI SUDARJI
REEZAL Merican Naina Merican menyerahkan vest kepada Sukarelawan Persatuan Pengakap, Ahmad Sabri Saad (dua kanan) pada Majlis Penyerahan Penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MYVAC) di Menara KBS di sini, hari ini. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tetap berpendirian bahawa pemilihan UMNO perlu dilaksanakan tahun ini mengikut kalendar parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Beliau berkata, perkara itu sudah disebut berulang kali sebelum ini malah salah satu ikrar yang diletakkan ketika berlaku pemilihan parti pada tahun 2018 ialah tidak ada lagi penangguhan pemilihan.

“Bahkan ikrar itu diberikan kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi berulang kali dan ini janji yang kita kena pegang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Reezal Merican berkata, beliau bersetuju dan menyifatkan pemilihan parti wajar dilakukan bagi membolehkan lebih 3 juta ahli akar umbi menentukan mandat dan hala tuju untuk mendepani PRU-15.

“Sememangnya tahun ini berakhirnya tempoh (pemilihan) dan saya amat setuju bahawa pemilihan wajar dilakukan dan proses itu dapat menyaksikan parti membentuk pasukan untuk tempoh akan datang.

“Beri hak kembali kepada ahli-ahli untuk melihat bahtera parti ini dibawa terutamanya berdepan PRU-15 nanti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan pemilihan UMNO perlu disegerakan bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti.

Beliau menyifatkan penangguhan pemilihan pada 2018 telah menjerumuskan parti itu ke lembah kegagalan selepas kalah teruk pada PRU-14.

“Pada 2018 kita tangguhkan pemilihan parti selepas PRU-14 tapi lingkup (kalah) juga,” katanya.

Mengulas mengenai Undi18, Reezal Merican memaklumkan, beliau telah membangkitkan isu itu kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ( Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Beliau telah memberikan penjelasan bahawa sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita kena pastikan Suruhanjaya Piliharaya Malaysia (SPR) dapat laksanakannya dengan segala formula serta ruang yang boleh.

“Semua anggota Kabinet bersetuju dengan Undi18 ini dan mungkin akan dibentangkan minggu depan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE