HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 November 2021

MCA, Pas rebut Duyong; DAP mahu letak bukan Cina dalam PRN

MALAYSIA GAZETTE
PRN Melaka State Election flag
Pilhan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas empat ADUN menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka.

MELAKA – MCA mungkin kehilangan peluang untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong sekiranya UMNO bersetuju menyerahkan kerusi itu kepada Pas.

Walaupun MCA mahu bertanding di lapan kerusi di Melaka, tetapi pelbagai perkembangan, termasuk pengumuman Pas Melaka untuk bertanding di Duyong, telah menyukarkan MCA mencapai hasratnya.

Setiausaha MCA Melaka, Datuk Koh Chin Han berkata, nasib partinya di Duyong terserah kepada hasil perbincangan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dengan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, MCA akan berusaha mempertahankan peluang untuk bertanding di Duyong yang merupakan “kerusi tradisional” parti itu.

Menurutnya, partinya tidak boleh menunggu, tetapi perlu bekerja keras walaupun kerusi yang bakal ditandingi belum dimuktamadkan.

“Pada masa ini bukan sahaja MCA yang tidak pasti kerusi mana yang akan ditandingi, malahan UMNO juga menghadapi situasi sama.

“Kami tidak boleh menunggu, tetapi perlu menyokong apa jua keputusan yang boleh memenangkan MCA dan BN,” katanya kepada China Press.

Sementara itu, akhbar itu juga melaporkan dua bekas wakil rakyat UMNO akan menyertai sama ada PKR atau Amanah untuk bertanding dalam pilihan raya negeri.

PKR dan Amanah mendapat tambahan kerusi untuk bertanding kerana dua parti itu dijangka menerima bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

PKR dan Amanah masing-masing diberi tambahan tiga kerusi untuk bertanding melalui tiket Pakatan Harapan (PH), tetapi DAP tidak menerima apa-apa tambahan.

Ketua DAP Melaka, Tey Kok Kiew ketika dihubungi China Press enggan mengulas tentang keputusan PH tersebut.

Kok Kiew bagaimanapun berkata, parti itu akan meletakkan calon bukan Cina termasuk Melayu dan India untuk bertanding.

Keadaan itu juga bermakna terdapat ADUN asal yang akan digugurkan oleh DAP untuk memberi laluan kepada orang baharu. – MalaysiaGazette

Zahid di Jerman, jangan pula muncul audio Najib-Anwar berbual mesra hadapi PRN


Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bertolak ke Jerman, kelmarin untuk menjalani rawatan sakit belakang di sebuah hospital, tetapi tidak nampak kelibat rakan karibnya Datuk Seri Najib Razak menghantar beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Juga tidak kelihatan kelibat cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan kedua-duanya cukup mesra menyusun strategi UMNO dan Pakatan Harapan (PH) dalam menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Pemimpin tertinggi parti yang kelihatan menghantar Zahid hanya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan. Yang lain mungkin mengiringi doa dari jauh semoga Presiden UMNO itu dipermudahkan segala urusan ketika di Jerman.

Atau Najib masih marah kepada Zahid kerana kegagalan Presiden UMNO itu melobi supaya Majlis Tertinggi (MT) UMNO memilihnya sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Anwar pula mungkin masih marah setelah ditipu anak muridnya itu yang pada awal menyokongnya sebagai Perdana Menteri (PM) ke-9, tetapi selepas bersama-sama menjatuhkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zahid berpaling tadah dengan memberi sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM.

Namun, mungkin juga kedua-duanya – Najib dan Anwar – sibuk menyusun strategi bagi menghadapi PRN Melaka bulan depan, setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 8 November, manakala pengundian awal dan biasa dilaksanakan pada 16 dan 20 November.

Apa lagi Najib adalah pemegang amanah parti UMNO semasa ketiadaan Zahid, walaupun Majlis Tertinggi (MT) melantik Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO menghadapi PRN Melaka.

Walaupun Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan pecah amanah dalam kes SRC International dan dihukum penjara serta denda, Zahid mengamanahkan kepada beliau untuk menjaga UMNO.

Hal ini dinyatakan bekas Perdana Menteri itu ketika memohon kepada mahkamah bagi mengubah tarikh penyerahan dan pemulangan pasportnya untuk membolehkan beliau ke Singapura menziarahi anaknya yang akan bersalin.

Najib, 68, selaku pemohon yang memfailkan notis usul pada 21 Oktober lalu, memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah daripada 20 Oktober sehingga 22 November kepada 25 Oktober sehingga 6 Disember.

Ahli Parlimen Pekan itu dalam afidavit sokongannya berkata, beliau juga diamanahkan untuk membantu jentera parti UMNO menghadapi PRN Melaka pada 20 November memandangkan Zahid pada masa itu, akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan tulang belakang.

Tanggungjawab Najib yang berat dalam menjaga amanah itu – lebih berat daripada tugas Mat Hasan dan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden – digalas beliau apabila terus berada di Melaka untuk mengawasi gerak kerja jentera pilihan raya UMNO, semalam.

Bekas Presiden UMNO itu – yang dilihat kembali dalam arena politik tanah air setelah UMNO mencapai kemenangan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu – setiap hari turun padang bertemu masyarakat Melaka.

Najib juga adalah antara pemimpin yang boleh membuat kata putus mengenai calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang akan diketengahkan pada PRN kali ini, selain Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof.

Apapun, ketika ketiadaan Zahid, jangan pula muncul klip audio Najib berbual mesra dengan Anwar menyusun strategi PRN Melaka kerana akan membuatkan Presiden UMNO cemburu.

Zahid dan Anwar sebelum ini menafikan berbual menerusi telefon berkenaan strategi politik ketika Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, namun akhirnya mengakui itu adalah perbualan mereka berdua.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

   BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT       

‘Jangan tak senang tiga jawatan tertinggi Pemuda Pas semuanya ustaz’

 

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik dilihat bangga dengan barisan kepimpinan baharu Dewan Pemuda parti itu bagi sesi 2021 hingga 2023.

Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu turut menyertakan poster ucapan tahniah yang terpampang logo Geng Ustaz.

Dia berharap tiada mana-mana pihak “tidak senang” dengan tiga posisi utama dalam sayap Pemuda Pas yang didominasi individu bergelar ustaz.

“Tahniah. Jangan pula ada yang tak senang sebab ketiga-tiga posisi penting ini semua ustaz.
“Dalam Pas ini berapa ramai pemimpin profesional didukung oleh ulamak. Dan berapa ramai pula pemimpin dalam kalangan ulamak didukung oleh golongan profesional.

“Itulah Pas,” kata Mokhtar yang juga pemilik Pondok An- Nuur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu lagi.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, 41, hari ini dipilih sebagai Ketua Pemuda Pas yang baharu menggantikan Senator Khairil Nizam Khirudin, seorang jurutera.

Ahmad Fadhli mendapat 508 undi untuk mengatasi pencabarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahaya yang meraih 128 undi.

Seterusnya, jawatan Timbalan Ketua Pemuda Pas dimenangi Afnan Hamimi Taib Azamuddin yang berjaya memperoleh 489 undi bagi menewaskan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan sebelum ini, Farkhan Md Zain.

Afnan Hamimi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, adalah Naib Ketua Pemuda Pas sebelum ini.

Jawatan Naib Ketua Pemuda Pas pula dimenangi oleh Hanapi Zulkapli juga bergelar ustaz.

Hanapi yang merupakan Ketua Pemuda Pas Selangor sebelum ini memperoleh 473 undi pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) Ke-62 yang berlangsung di sebuah hotel, di Port Dickson.

PRN Melaka: MN atau PN, Sanusi nafi Pas dalam dilema pilih rakan kerjasama

Abd Hadi Che Awang
PRN Melaka: MN atau PN, Sanusi nafi Pas dalam dilema pilih rakan kerjasama
Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa Pas tidak berada di dalam dilema dalam memilih rakan kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka. - Gambar fail/BERNAMA
 
ALOR SETAR: Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa parti itu tidak berada di dalam dilema atau menghadapi masalah dalam memilih rakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan.
 
Menurutnya, pendirian yang diambil Pas adalah bagi memastikan kerjasama serta penyatuan Melayu dan Islam dapat dilaksanakan meskipun berhadapan dengan pelbagai tohmahan termasuk dilabel sebagai 'rakus kuasa'.
 
Beliau menyatakan tanggungjawab untuk membentuk kerjasama dan penyatuan adalah satu kewajipan sebagai orang Islam dan ianya bukanlah perkara yang 'suka-suka' atau dilakukan demi memenuhi kepentingan peribadi.
 
"(Sebenarnya) yang (berada di dalam) dilema bukan Pas, yang (dalam) dilema orang lain. Pas sebenarnya tidak ada masalah apa-apa, siapa yang nak penyatuan silakan, Pas 'ready' (sedia) sahaja.
 
"(Yang bertanyakan Pas pilih Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional), sebenarnya (Pas pilih) dua-dua, (yang sifatkan Pas rakus kuasa) dia bukan macam tu (yang kata) rakus kuasa. Ini kewajipan Pas untuk menyatukan umat Islam, mana boleh beritahu (tindakan Pas) ini kerakusan pula, itu satu dosa, tuduh Pas selaku rakus.
 
"(Dalam situasi ini) saya kata main 100 kolam (pun) tak apa kalau atas nama penyatuan perpaduan kesatuan politik Islam dan Melayu, 100 kolam pun kita akan berenang, jangan kata tiga, 100 pun takpa," ujarnya.
 
Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan majlis penutup #MyDigitalMaker Virtual Fair Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Ahad.
 
Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan bahawa parti itu ketika ini sedang berusaha sedaya upaya bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri membabitkan parti-parti yang kini berada didalam blok kerajaan bagi menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, perbincangan lanjut juga sedang dan akan dilaksanakan UMNO berkaitan jumlah kerusi yang akan ditandingi dan keputusan mengenai perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat.
 
Manakala di pihak Perikatan Nasional (PN), Pengarah Jabatan Pilihan Rayanya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan bahawa gabungan itu sedang dan akan melakukan perbincangan lanjut mengenai logo yang akan digunakan bagi menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan.

Menurutnya, tarikh bagi hari penamaan calon "masih lambat", dan maklumat berkaitan penggunaan logo hanya akan diumumkan selepas keputusan dicapai oleh parti-parti yang terlibat.

Saya sudah jangka ada niat jahat, kata Muhyiddin isu gambar serah RM5


Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menjangka akan ada pihak yang berniat jahat mendakwa beliau memberi rasuah kepada pengundi di Melaka susulan tular gambar beliau menyerahkan baki wang kepada seorang pembeli di Gerai Prihatin Rakyat, semalam.

Menurut Presiden Bersatu itu beliau tidak sebodoh itu untuk memberi rasuah kepada pengundi di Melaka ketika demam Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin terasa.

Menjelas keadaan sebenar Muhyiddin berkata beliau sedang memulangkan baki wang kepada seorang lelaki yang membeli barang ketika Program Gerai Prihatin Rakyat yang disediakan PN di kawasan itu.

Menceritakan lebih lanjut beliau berkata:

“Saya duduk dengan Mohd Rafiq (Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen). Mereka ini nak (beli barang). Dia bagi RM20, satu barang tu RM15, jadi saya serah (baki) kepada dia.

“Saya dah agak, mesti ada orang niat jahat kata tengok Tan Sri Muhyiddin bagi rasuah. Tak ada, itu niat baik, itu duit baki. Kalau mereka nak beli tiga barang RM45, pulang balik RM5.

“Takkan saya sebodoh itu.”

Beliau berkata demikian ketika mengulas fitnah dilemparkan pihak tertentu, terutama tentera siber UMNO yang mengatakan bekas Perdana Menteri itu memberi rasuah kepada pengundi Melaka, susulan tular gambar yang menunjukkan beliau menghulurkan RM5 kepada individu berkenaan.

Antara tentera siber UMNO yang membuat fitnah Muhyiddin memberi wang kepada orang ramai di Melaka ialah Rafi Awg Kechik dan Akmar Hisham Mokhles. Kedua-duanya memuat naik fitnah itu di laman Facebook masing-masing sebagaimana gambar di atas. Berita berkaitan

Mengenai Gerai Prihatin Rakyat yang didakwa sebagai medium kempen PN pada PRN Melaka, Muhyiddin menjelaskan inisiatif itu sudah digerakkan sejak enam bulan lalu bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Sewajarnya mungkin sebab mereka iri hati, kalau ada pun mereka iri hati dengan Datuk Mohd Rafiq yang mulakan, bukan baharu, dah enam bulan berlangsung dan masih berterusan.

“Ini perkara amat saya hargai kerana mereka teruskan usaha pihak kerajaan beri bantuan kepada ramai orang Melaka memerlukan bantuan barangan lebih berpatutan harga sederhana diberikan kemudahan.

“Jadi saya fikir tidak ada salah. Yang penting mereka hargai usaha sebegini untuk menolong rakyat. Apa kerajaan buat, parti kita buat, itu langkah sewajarnya langkah harus dihargai semua pihak,” katanya.

PRN Melaka akan diadakan 20 November ini setelah Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu.

Pembubaran itu dilakukan setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada UMNO, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sebelum ini, empat ADUN, Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas), menarik sokongan terhadap Sulaiman dan kerajaan UMNO.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon diikuti pengundian awal pada 16 November dan pengundian biasa 20 November depan.

PRN Melaka: 3 bekas ADUN kecuali Norhizam berpeluang jadi calon PH


Tiga daripada empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meruntuhkan kerajaan UMNO Melaka masih berpeluang menjadi calon mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), November ini.

Ketiga-tiga mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan PH boleh menerima ketiga-tiga bekas ADUN itu kerana beliau menyifatkan mereka bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, kerana mahu mengembalikan mandat kepada pakatan itu.

“Pimpinan PH Melaka bincang dengan mereka. Minta kerjasama mereka. Dan mereka mengambil keputusan menyokong PH dan memulih mandat kepada PH yang dirampas atau dikhianati sebelumnya.

Jadi sekarang kita ada masalah untuk menolak begitu sahaja sepertimana yang diharapkan sesetengah pihak dalam media sosial. Itu tidak tepat sebab dia (tiga bekas ADUN) sokong untuk kembalikan mandat kita (PH),” katanya selepas menyampaikan bakul Deepavali di Dewan Undangan Negeri Chuah, Negeri Sembilan, hari ini.

Malah Anwar dilihat membela ketiga-tiga bekas ADUN itu apabila menyatakan mereka sudah mengetahui akan dipecat daripada parti apabila membuat keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan UMNO Melaka.

“(Mereka) ambil keputusan (tarik sokongan) dia dah jangka, dia akan dipecat oleh partinya… UMNO ataupun Bersatu. Jadi oleh yang demikian, kita nak ketepikan begitu saja, tidak boleh.

“Jadi saya terpaksa bincang dengan pimpinan di Melaka kemudian pimpinan PH untuk mengambil kira hal-hal ini sebelum kita buat keputusan. Dia nak kembalikan amanah kepada Pakatan Harapan. Jadi itu pertimbangan,” katanya.

Pada masa sama Anwar berkata pembahagian kerusi dalam kalangan parti PH sudah selesai di mana PKR akan bertanding di 11 kerusi, Amanah (sembilan) dan DAP (lapan).

Sebelum ini, Majlis Presiden PH membuat keputusan menolak bekas ADUN Bebas Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hasan Baktee sebagai calon mereka pada PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 8 November sebagai tarikh penamaan calon, pengundian awal (16 November); dan pengundian biasa (20 November).

PRN Melaka: Majlis Syura Ulamak serah kepada PAS Pusat isu lambang, UMNO


Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS Pusat hari ini tidak membuat sebarang keputusan mengenai penggunaan lambang parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini, sebagaimana yang diwajibkan UMNO jika mahu bekerjasama.

Parti itu juga belum membuat keputusan sama ada menerima pelawaan kerjasama daripada UMNO sebagaimana diputuskan Majlis Tertinggi (MT) parti itu Khamis lalu, atau menolaknya kerana dipaksa menggunakan lambang sendiri untuk bertanding pada PRN Melaka, bukannya lambang Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan lambang yang akan digunakan oleh parti itu pada PRN Melaka bergantung kepada keputusan MSU yang akan bersidang Ahad ini.

Mengenai keputusan mesyuarat MSU hari ini, Setiausahanya Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, majlis itu menyerahkan kepada Jawatankuas Kerja PAS Pusat untuk membuat keputusan penggunaan mana-mana lambang berdasarkan strategi kebolehmenangan selaras peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS.

Menurutnya, MSU telah mengadakan perbincangan mengenai penggunaan lambang parti pada PRN Melaka dari sudut Siyaasah Syar’iyyah dengan menekankan kepentingan perundingan pertandingan dua penjuru agar kemenangan tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

“MSU melihat aspek ini dalam kerangka perkara-perkara mutaghyyirat (boleh berubah) dan bukannya perkara thawabit (yang tetap). Ia perlu disesuaikan dengan tektikal dan strategi parti.

“Justeru, Majlis Syura Ulamak menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk membuat keputusan berdasarkan strategi kebolehmenangan bersama yang terbaik, selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 84,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Khamis lalu, mesyuarat MT UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghulurkan kerjasama kepada PAS, tetapi dengan mengenakan syarat parti itu tidak boleh menggunakan lambang PN sebaliknya mesti menggunakan logo PAS.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata asas kerjasama itu berpandukan kepada prinsip PAS menggunakan lambang partinya sendiri, selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional dalam mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November 2020.

“Ini untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa yang sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MT itu.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata MSU juga telah meluluskan kelayakan untuk calon-calon PRN Melaka bagi tindakan selanjutnya oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 26(9)(f).

PRN Melaka: Faiz sahkan peringkat akhir rundingan Bersatu-PAS-UMNO


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman menasihatkan pemimpin UMNO supaya tidak membuat kenyataan mendahului proses rundingan yang sedang diusahakan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan kepimpinan Perikatan Nasional (PN), termasuk Bersatu.

Beliau memberi contoh ketika Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu akan bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dan tidak mahu bekerjasama dengan PN, termasuk PAS dan Bersatu.

“Selepas kenyataan itu, UMNO kemudian membuat keputusan menerima PAS dan bersedia pula meneruskan rundingan dengan parti dalam kerajaan Pusat termasuk Bersatu,” katanya sambil menjelaskan kenyataan seperti itu menyebabkan rakyat keliru.

Memetik kenyataannya kepada BH, Dr Muhammad Faiz mengesahkan rundingan Bersatu,UMNO dan PAS diusahakan Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri sudah masuk ke fasa akhir sebelum hari penamaan calon PRN Melaka pada 8 November ini.

“Rundingan peringkat akhir dengan tarikh penamaaan calon PRN Melaka yang tinggal seminggu sahaja lagi turut menjadi ujian terhadap pengaruh Perdana Menteri, menjadi orang tengah yang efektif. Ahli MPT Bersatu tidak berpandangan negatif terhadap apa yang cuba diusahakan Perdana Menteri.

“Sudah tentu kita harapkan yang terbaik dan kita akan cari jalan supaya tiada pertembungan tiga penjuru. Saya yakin Abah (Muhyiddin) dan pasukan PN bersikap tangan terbuka.

“Kalau nak berunding, berundinglah, jangan sampai ada kenyataan (pemimpin UMNO) yang awal-awal kata pergi solo. Itu yang rakyat keliru, kata nak pergi solo tetapi selepas itu terima pula PAS dan kemudian nak berunding balik (dengan Bersatu),” katanya.

Semalam, Ismail Sabri berkata beliau diberi mandat oleh UMNO untuk berbincang dengan parti di dalam kerajaan bagi mengelak pertembungan tiga penjuru pada PRN Melaka 20 November ini.

Mengenai kerjasama Bersatu dan PAS dalam PRN itu, Dr Muhammad Faiz berkata isu yang berbangkit hanya penggunaan lambang parti.

Namun, beliau melihat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih cenderung untuk menggunakan lambang PN dan tidak membantah apa juga ketetapan yang dibuat secara bersama.

Bagaimanapun katanya, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat mempunyai pandangan berbeza daripada ketetapan yang telah dibuat secara musyawarah.

“Dalam PAS ada juga pendapat yang berbeza mengenai pengunaan lambang. Bagi saya, kita perlu fikir secara logik selama berdekad PAS bertanding di Melaka, tak pernah menawan negeri itu dengan lambangnya.

“PAS kena faham, jangan jadikan ukuran keahlian dan jentera yang cuba dipaparkan UMNO sebagai pemberat untuk PAS nak bertaut dengan UMNO.

“Kena tengok pandangan masyarakat umum, lagipun PRN Melaka bukannya disebabkan oleh Bersatu. Kalau pertimbangan sekelompok dalam PAS masih nak bertaut dengan pengaruh UMNO, saya takut mereka silap pertimbangan pada PRN nanti,” katanya.

Selasa lalu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Bersatu, PAS dan Gerakan sepakat untuk bertanding pada PRN Melaka menggunakan lambang PN sebagaimana yang diputuskan mesyuarat khas Majlis Tertinggi gabungan berkenaan yang diadakan sehari sebelum itu.

Khamis lalu pula, Majlis Tertinggi UMNO membuat ketetapan meneruskan kerjasama dengan PAS, dengan syarat parti itu mesti menggunakan logo sendiri, bukan lambang PN.

PAS dijangka membuat keputusan berhubung tawaran kerjasama UMNO itu hari ini.

PRN Melaka: 70 peratus kempen PAS melalui media sosial

BH ONLINE
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor

MELAKA: PAS akan melaksanakan 70 peratus kempen bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melalui media sosial, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menteri Besar Kedah itu berkata langkah berkenaan diambil bagi menghadapi kemungkinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka yang tidak membenarkan kempen konvensional seperti ziarah rumah ke rumah dilakukan bagi mengekang penularan COVID-19.

"Baki 30 peratus lagi ialah kempen konvensional yang mungkin membabitkan ziarah tetapi saya yakin ziarah kita tidaklah lagi semeriah dulu atas alasan pandemik COVID-19, jaga SOP.

"Kita pun nak elak daripada petugas kita menanggung risiko atau pun menjadi penular wabak ini, jadi kita aktifkan media sosial," katanya semasa melancarkan Jentera PAS PRN Melaka secara maya malam ini.

Mengulas kerusi yang akan ditandingi PAS pada PRN itu, beliau mengulangi kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam bahawa rundingan membabitkan Muakafat Nasional (MN) bersama UMNO dan Perikatan Nasional (PN), yang dianggotai BERSATU dan Gerakan, masih berlangsung.

"Kita ada landasan yang telah dirintis oleh pimpinan… kita ada PN, MN dan sekarang (kita) sedang berunding supaya kita hanya ada dua penjuru sahaja (satu lawan satu) dalam PRN Melaka. Kita harap rundingan ini berjaya dan inilah yang sedang kita usahakan," katanya.

SPR menetapkan tarikh penamaan untuk PRN Melaka pada 8 November, diikuti undi awal pada 16 November dan mengundi pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.– BERNAMA