HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Januari 2022

DISYORKAN UNTUK ANDA:

    BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT     

Tak mahu PeKT jadi alat politik, ganti modul lebih inklusif

  Wartawan WartaRakyat

alat politik PeKT

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mahu Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) dijadikan alat politik.

Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, badan itu akan digantikan dengan satu modul yang menyeluruh di seluruh negara.

Menurut beliau, PeKT yang diwujudkan sebelum ini hanya ditubuhkan di tiga buah negeri yang ‘tidak sehaluan’ dengan kerajaan pusat ketika itu.

“Kita hendak tengok model yang lebih menyeluruh bukan hanya tertumpu di tiga negeri saja, buat masa ini PeKT ini wujud di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Kita mahu ia lebih menyeluruh dan inklusif, serta tidak mahu ia dijadikan alat politik,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Terdahulu, Warta Rakyat melaporkan, KPKT menamatkan perkhidmatan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) di seluruh negara mulai 1 Januari ini, lebih awal daripada penggal yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2022.

Perkara itu dimaklumkan kepada Warta Rakyat oleh salah seorang Pengerusi PeKT di Negeri Sembilan yang menerima surat berhubung penamatan pelantikan PeKT.

Surat bertarikh 29 Disember itu ditandatangani oleh Reezal Merican dan menurut beliau, langkah itu terpaksa diambil kerana tiada peruntukan disediakan oleh kerajaan bagi pelaksanaan kegiatan PeKT pada tahun hadapan.

“Seperti yang tuan sedia maklum, negara kini berhadapan cabaran luar jangka dengan terjadinya fenomena seperti penularan COVID-19 dan bencana banjir yang telah berlaku baru-baru ini.

“Berdasarkan situasi berkenaan, penyaluran peruntukan kerajaan bagi tahun 2022 akan lebih tertumpu kepada sektor-sektor yang lebih kritikal dan lebih menyeluruh untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan keadaan ini.

“Sehubungan itu, dukacita dimaklumkan bahawa kementerian tidak dapat meneruskan perkhidmatan anggota PeKT kerana tiada peruntukan disediakan bagi tujuan pelaksanaan kegiatan PeKT pada tahun hadapan,” jelasnya dalam surat tersebut.

Reezal Merican menambah, perkhidmatan PeKT ditamatkan selepas KPKT tidak lagi menerima peruntukan daripada Perbendaharaan bagi tujuan tersebut.

“Bila tidak lagi mendapat peruntukan, macam mana kita nak membiayainya? Maka terpaksalah kita menamatkan PeKT.

“Sudah tentunya juga buat masa ini peruntukan lebih berfokus kepada isu semasa yang dihadapi negara iaitu, pandemik Covid-19 dan banjir besar yang melanda negara.

“Kementerian juga sedang melihat model baru yang lebih inklusif bagi menggantikan PeKT,” jelasnya,

Zahid ‘ajar’ Ismail Sabri, Kabinet cara atasi isu RM10,000 i-Citra KWSP


Bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi sedikit ‘pelajaran’ buat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimana untuk menangani isu pengeluaran one-off i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Zahid, Kabinet sepatutnya meneliti terlebih dahulu sekiranya Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi pendapat dan nasihat berhubung isu pengeluaran RM10,000 one-off KWSP itu.

“Jika Menteri Kewangan memberi nasihat sebaliknya kepada kerajaan, Kabinet telitilah dengan mendalam terlebih dahulu,” ajar Zahid yang pernah menjadi TPM selama 33 bulan ketika Barisan Nasional (BN) memerintah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 lalu.

Beliau yang juga Presiden UMNO turut mengingatkan kerajaan Ismail Sabri supaya mendengar rintihan rakyat kerana mereka yang menjadi mangsa banjir dan kesan pandemik Covid-19.

Namun, hari ini Tengku Zafrul memberi penjelasan sebab kerajaan tidak membenarkan pengeluaran RM10,000 one-off itu sambil membidas pihak yang terus menghasut rakyat. Berita berkaitan

Mengulas lanjut, Zahid yang kini didakwa dengan puluhan tuduhan jenayah, termasuk rasuah, di dua Mahkamah Tinggi, juga menyifatkan kemudahan pinjaman yang diumumkan Ismail Sabri kepada mangsa yang terjejas akibat bencana banjir, ibarat ‘gali lubang tutup lubang’.

“Berdasarkan respons di media sosial, rakyat tidak “prefer” membuat pinjaman dan mahu menggunakan dana sendiri. Mereka tidak bersedia untuk berhutang apatah lagi dengan menambah hutang. Sebahagiannya susah dan tidak mampu pun membayar hutang yang sudah sedia ada.

“Tempoh enam bulan atau setahun penangguhan bayaran balik tetap bermakna mereka sudah menambahkan lagi bebanan hutang. Tidak ubah seperti gali lubang tutup lubang. Pinjam wang bayar hutang,” kata Zahid semalam.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang KWSP berjumlah RM10,000 biarpun ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.

Beliau berkata kerajaan juga tidak berhasrat meluluskan pengeluaran i-Citra bagi kali kedua setelah skim berkenaan berakhir bulan ini.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat kerana kerajaan telah memperuntukkan dana serta bantuan yang mencukupi kepada mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara ketika ini.

Menurutnya, kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra, akan ada yang berisiko menjadi miskin tegar selepas bersara.

“Ada banyak kemudahan diumumkan kepada mangsa banjir. Jika ada yang mahu buka perniagaan untuk yang terjejas banjir, Tekun Nasional menawarkan pinjaman mudah RM10,000 tanpa faedah dan moratorium, iaitu tidak perlu bayar balik pinjaman selama setahun.

“Bank seperti BSN juga akan beri pinjaman RM10,000 secara pinjaman persendirian untuk beli barangan keperluan asas rumah dengan tanpa faedah dan enam bulan moratorium,” katanya.

Kekal bersatu, fokus hadapi cabaran 2022 pulihkan negara: Muhyiddin


Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin segala cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2022, terutama memulihkan semula negara ketika pandemik Covid-19 masih berleluasa, dapat ditangani jika semua pihak terus kekal bersatu, fokus dan tidak lalai.

Menurutnya, dengan pandemik Covid-19 yang terus menular, terutama penemuan varian lebih bahaya seperti Omicron serta banjir yang masih melanda, tahun 2022 sudah pasti menjadi tahun yang sukar dan mencabar bagi kita semua.

Dalam perutusan sambutan Tahun Baharu 2020 malam tadi, bekas Perdana Menteri itu berkata sudah menjadi kebiasaan apabila menjelang tahun baharu semua orang akan menoleh ke belakang dan menilai apa yang telah dilakukan sepanjang tahun sebelumnya.

“Adakah kita berpuas hati dengan apa yang telah kita capai atau banyak lagi yang perlu diperbaiki? Dari sini, kita berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada atau meningkatkan lagi kejayaan yang sudah dikecapi.

“Tahun 2021 meninggalkan kita dengan banyak coretan peristiwa yang pastinya menjadi kenangan kepada kita semua. Kita masih lagi diuji dengan pandemik Covid-19. Ia melingkari kehidupan seharian kita malah sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata pandemik Covid-19 juga memberi kesan yang cukup besar dalam kehidupan penduduk sehingga sekarang, malah setiap orang berasa kesannya, cuma yang membezakannya hanyalah kecil atau besar sahaja kesan tersebut.

“Bagaimanapun berkat kerja keras, perancangan yang teliti dan pelan tindakan yang komprenhensif Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan saya sebelum saya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Malaysia berjaya menangani pandemik ini dengan berkesan khususnya dalam aspek pemberian vaksin kepada rakyat.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya dilaksanakan dengan cekap dan sehingga kini sebanyak 22,855,374 individu atau 97.6 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, hasil daripada kejayaan program vaksinasi ini, hampir kesemua sektor kehidupan rakyat sudah dibuka sepenuhnya, dan rakyat kini sudah boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

“Aktiviti sosial dan ekonomi kembali rancak dan rakyat seperti sudah kembali kepada kehidupan sebelum pandemik. Ketika negara sedang menuju pemulihan pasca pandemik, negara sekali lagi diuji dengan banjir besar di beberapa buah negeri minggu lalu.

“Saya merasa amat sedih dengan bencana ini kerana banyak harta benda yang musnah dan nyawa terkorban,” katanya.

Beliau mengakui bencana banjir besar itu sedikit sebanyak merencatkan pelan pemulihan ekonomi negara yang telah berada pada landasan yang betul sebagaimana dirancang Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Bagaimanapun kita mesti reda dengan ujian dan dugaan besar ini. Pastinya ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Bencana ini telah menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan, katanya yang juga Pengerusi MPN sambil kagum dengan sikap solidariti dan kebersamaan masyarakat dalam saling membantu antara satu sama lain.

“Saya kagum dan terharu melihat begitu ramai rakyat Malaysia yang menjadi ‘sukarelawan dan petugas barisan hadapan’ secara sukarela demi membantu mangsa banjir.

“Mereka tampil menghulur bantuan dengan bermacam cara. Ada yang turun ke lokasi mengerah tenaga dan kudrat, ada yang menghulurkan sumbangan wang ringgit dan tidak kurang yang mengutus doa untuk keselamatan serta kesejahteraan kepada mangsa banjir. Syabas rakyat Malaysia!.

“Akhir kata, saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar kita sentiasa dilindungi, diberi kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam tahun baharu ini.

“Saya yakin Tahun Baharu 2022 akan menjadi tahun yang lebih baik, sejahtera dan makmur dari tahun-tahun sebelumnya untuk Malaysia, insya-Allah,” katanya.

Pemimpin PAS tidak perlu ajar UMNO, lebih baik jika ‘bersopan’


Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan mengingatkan PAS supaya ‘bersopan’ (decorum) dalam menjaga hubungan kedua-dua parti selain mengelak membuat ulasan bagi pihak UMNO.

Beliau berkata, pandangan mana-mana pemimpin yang dibincang atau dibahas dalam mesyuarat, berkait soal dalaman organisasi tidak perlu dispekulasi oleh pihak lain.

“Apatah lagi semua ahli Majlis Tertinggi (MT) sudah bersumpah rahsia sejak awal penggal lagi. Seperti mana-mana organisasi yang punyai struktur, selepas dimurnikan semua suara dalam badan pembuat keputusan, sesuatu pendirian rasmi dikeluarkan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang ‘menasihatkan’ ahli UMNO mengikut keputusan dibuat MT parti itu dan bukannya pandangan daripada pemimpin bahagian.

Abdul Hadi mendakwa majoriti ahli MT UMNO menyokong penuh kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang terjalin antara parti itu dengan PAS, sekali gus yakin usaha rundingan kerusi dengan UMNO mampu dicapai bagi mengelak pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Shahril menyifatkan kenyataan mengenai pendirian ahli MT sebagai kurang wajar dikeluarkan oleh pimpinan parti lain.

“Sepertimana tidak wajar saya mengajar PAS tentang hal dalaman PAS, saya berharap kepemimpinan PAS juga menghormati ‘decorum’ dalam hubungan antara parti dan mengelak membuat komen bagi pihak UMNO.

“Sama ada majoriti ahli MKT menyokong atau tidak menyokong sesuatu perkara, menjadi rahsia dalaman mesyuarat yang tidak wajar diiklankan atau disahkan di luar. Yang penting ialah pendirian dan keputusan parti kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini seperi dilapor BHOnline.

Shahril berkata berkata, selepas PAS bertegas mahu meneruskan jalinan kerjasama pilihan raya bersama Perikatan Nasional (PN), ia meletakkan UMNO dalam keadaan sukar untuk merancakkan MN seperti dahulu.

“Sehingga terpaksa ada pertembungan pelbagai penjuru apatah lagi jika PAS bertanding atas lambang PN seperti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Semua perkara ini sudah diulas berkali-kali dan umum mengetahui dilema yang wujud disebabkan pendirian PAS.

“Mungkin dengan penghormatan dua hala itu, barulah ada sinar untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya sebahagian daripada kerjasama yang pernah mewarnai pentas politik penggal ini,” katanya.

Majlis Syura Ulama Pas pegang konsep memperkasakan MN dan PN

Hashim Jasin
Hashim Jasin

KUALA LUMPUR – Majlis Syura Ulama Pas memutuskan untuk berpegah teguh kepada prinsip memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan dalam masa yang sama meneruskan kerjasama Perikatan Nasional (PN).

Dalam muzakarah yang mengambil tempat semalam, Mursyidul Amnya, Datuk Hashim Jasin berkata, langkah itu diambil dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

“Perundingan kerusi antara parti-parti Melayu-Islam perlu dilaksanakan semaksimanya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pas dan UMNO membentuk Muafakat Nasional pada 2019 yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Bagaimanapun, Pas kemudian bertindak menyertai PN yang diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipimpin Tan Sri Muhyddin Yassin bagi membentuk kerajaan selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

UMNO dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAU) sebelum ini membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PN, UMNO dan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini yang menyaksikan UMNO membentuk kerajaan negeri tanpa Pas.

Dalam pada itu, Hashim berkata, semangat taawun siyasi dalam MN dan PN juga perlu sentiasa disuburkan oleh parti-parti bertunjangkan kaum Melayu-Islam itu.

“Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak dari menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, MN yang menggabungkan Pas dan UMNO masih wujud dan tidak berkubur.

Beliau berkata, MN akan terus diperkukuhkan manakala PN tetap dipertahankan. – MalaysiaGazette

Khairy minta dinilai atas gerak kerja sebagai Menteri Kesihatan daripada UMNO

BERNAMA

Omicron Covid-19 variant Malaysia case Minister of Health, Khairy Jamaluddin Abu Bakar at a news conference on the latest development of Covid-19 in Malaysia. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 01 DECEMBER 2021.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Keputusan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan COVID-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 lepas, bukan usaha membelakangi atau melemahkan UMNO, kata Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata keputusan itu juga mencerminkan menteri-menteri daripada UMNO mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik, termasuk tugasnya sebagai Menteri Kesihatan yang terlibat dalam pengurusan pandemik itu.

Menteri Kesihatan itu menegaskan, keputusan yang dibuat adalah bagi melindungi rakyat, jentera pilihan raya dan kepimpinan semua parti yang terlibat daripada dijangkiti COVID-19, selain mengelakkan berlaku kenaikan mendadak kes positif wabak itu seperti yang berlaku selepas PRN Sabah tahun lepas.

“PRN Sabah ketika itu tiada vaksin dan pematuhan SOP yang sangat longgar, kes meningkat mendadak. Kita nak elak ia berlaku semula, saya terpaksa ketatkan SOP dan tegas. Siapa yang langgar SOP kita ambil tindakan dan saya tak rasa ia membelakangkan parti.

“Saya laksanakan tugas sebagai Menteri Kesihatan yang mewakili UMNO. Saya mahu mereka (rakyat) melihat menteri (daripada) UMNO ini, sekurang-kurangnya menjalankan tugas dengan baik. Itu yang sepatutnya saya dinilai daripada segi gerak kerja saya (sebagai menteri),” katanya.

Kenyataan Hadi tak wajar, tak perlu komen bagi pihak Umno

MALAYSIA POST

Kenyataan Hadi tak wajar, tak perlu komen bagi pihak Umno

KENYATAAN Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pendirian majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno disifatkan sebagai kurang wajar dikeluarkan oleh pimpinan parti lain terhadap Umno, kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Ia susulan kenyataan Presiden PAS itu yang mendakwa majoriti ahli MKT Umno cenderung untuk terus bekerjasama dengan parti itu di sebalik hubungan baiknya bersama Bersatu.

“Sepertimana tidak wajar saya mengajar PAS tentang hal dalaman PAS, saya berharap kepimpinan PAS juga menghormati “decorum” dalam hubungan antara parti dan mengelak membuat komen bagi pihak Umno.

“Sama ada majoriti ahli MKT menyokong atau tidak sesuatu perkara, menjadi rahsia dalaman mesyuarat yang tidak wajar diiklan atau disahkan di luar. Yang penting ialah pendirian dan keputusan parti kelak.

“Seperti mana-mana organisasi yang punyai struktur, setelah dimurnikan semua suara dalam badan pembuat keputusan, sesuatu pendirian rasmi dikeluarkan.

“Soal pandangan mana-mana individu yang dibincang atau dibahas dalam mesyuarat, itu soal dalaman organisasi yang tak perlu dispekulasi pihak lain.Apatah lagi semua ahli MKT telah bersumpah rahsia sejak awal penggal lagi,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Abdul Hadi dilaporkan berkata ahli Umno perlu mengikut keputusan MKT Umno dan bukan pandangan pemimpin bahagian.

“Saya difahamkan majoriti ahli MKT Umno (mahu) berkerjasama… Umno kena ikut pemimpin, majlis tertinggi dia, bukan bahagian-bahagian. Bahagian-bahagian ni akar umbi… itu lain cerita.

“Kita tak boleh pakai demokrasi barat. Kita kena ikut pimpinanlah,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahril berkata berhubung soal hubungan dalam Muafakat Nasional (MN).yang dibangkitkan Abdul Hadi, Umno tidak sesekali menolak MN.

Malah katanya pendirian rasmi Perhimpunan Agung Umno 2020 menyebut keinginan memperkasa MN namun perlu diselaraskan dengan suatu lagi pendirian rasmi bahawa parti menolak kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Maka, katanya apabila PAS bertegas mahu meneruskan jalinan kerjasama pilihan raya bersama PN, ia meletakkan Umno dalam keadaan sukar untuk merancakkan MN sepertimana dahulu.

Menurutnya, ia menyebabkan pertembungan pelbagai penjuru apatah lagi jika PAS bertanding atas lambang PN seperti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Semua perkara ini telah diulas berkali-kali dan umum mengetahui dilema yang wujud disebabkan pendirian PAS.

“Meskipun begitu paling penting, Umno menghormati pendirian PAS dan tidak memaksa PAS melakukan apa yang ia tidak mahu. Jadi, sebagai tanda keikhlasan persahabatan.

“Harapnya PAS juga hormati pendirian Umno dan tidak memaksa kami atau menghebah spekulasi dengan harapan kami melakukan sesuatu yang sememangnya sukar – khususnya berkenaan hubungan bersama pihak ketiga.

“Mungkin dengan penghormatan dua hala itu, barulah ada sinar untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya sebahagian daripada kerjasama yang pernah mewarnai pentas politik penggal ini,” katanya. – Malaysiapost

Umno-Pas, angan-angan yang merugikan – Othman

Nilam Oshman

Umno-Pas, angan-angan yang merugikan – Othman

PENGERUSI Veteren Umno, Othman Desa menyifatkan impian untuk parti itu dan PAS duduk dalam satu ‘rumah’ yang sama ibarat angan-angan yang merugikan.

“Angan-angan ini satu benda yang merugikan… Orang Umno kena fikir Umno. Pemimpin Umno yang tidak jelas dengan perjuangan dasar parti, baliklah ke pangkuan Umno, perkukuhkan parti… jangan bercakap terlampau menimbang perjuangan orang lain.

“Bukan kita cakap kena kuatkan parti (bermaksud) kita tak mahu kawan dengan orang lain… tak, kita nak kawan dengan semua, tetapi mereka yang tak mahu kawan dengan kita.

“Jadi, kenapa nak menaruh harapan dengan PAS? Kita orang Umno kena fikir kukuhkan parti untuk hadapi PRU.. orang lain tu langsung tak fikir kita, tak mahu kerjasama dengan kita… kenapa kita nak fikir-fikir?” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Umno perlu teruskan perjuangan tanpa PAS sekiranya mereka masih tidak jelas pendirian sama ada mahu bekerjasama dengan Umno atau sebaliknya.

“Biarlah dia (PAS) fikir cara dia sebab kita dah tawar macam-macam, tetapi dia masih dengan cara dia. Kita kena perjelas perjuangan kita (kepada umum), jangan kira perjuangan orang yang tak jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan PAS semalam, bahawa parti itu akan terus memperkasa MN dan pada masa sama mempertahankan Perikatan Nasional (PN). – Malaysiapost

Melihat semula pendedahan kami yang mencetuskan perdebatan nasional pada 2021

MALAYSIA NOW

Laporan utama dalam senarai adalah berita rumah bernilai RM100 juta yang diberikan kepada Najib Razak dan berita lain yang tidak kurang mengejutkan.

MalaysiaNow mendedahkan antara berita paling hangat dalam negara tahun ini di mana bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas timbalannya Ahmad Zahid Hamidi terus mendominasi dalam kebanyakannya.

Pendedahan paling utama sudah semestinya mengenai rancangan untuk memberikan “hadiah” kepada Najib dengan hartanah bernilai RM100 juta di kejiranan paling ekslusif di Kuala Lumpur pada 12 November lalu.

Isu tersebut juga turut menjadi tular, di mana pengguna media sosial menyuarakan rasa terkejut apabila seorang lelaki yang disabitkan dengan kes penyelewengan jutaan dolar diberikan sebuah rumah di plot tanah seluas dua padang bola.

Bagaimanapun isu tersebut menjadi besar selepas bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan dalam Dewan Rakyat seminggu pendedahan itu dibuat.

Siasatan dibantu maklumat dari sumber menyaksikan beberapa pendedahan lain berkait pendedahan mengenai hadiah bernilai RM100 juta itu, termasuk pendedahan mengenai beberapa menteri yang membantah keputusan pemberian kepada Najib tersebut.

Seterusnya, MalaysiaNow turut mendedahkan Najib diberikan beberapa pilihan hartanah berdasarkan undang-undang yang memberikan keistimewaan kepada bekas perdana menteri Malaysia, namun beliau memilih pilihan paling mahal di mana kerajaan perlu membina rumah baru untuknya menggunakan dana awam.

Zahid, yang merupakan presiden Umno tidak terkecuali terlibat dalam beberapa pendedahan berhubung politik.

Kali ini, MalaysiaNow mendapat maklumat dari sumber dalaman parti yang mendedahkan butiran pertemuan pada Oktober 2020 antara Zahid dengan perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin.

Zahid dilaporkan bertemu Muhyiddin bersama fail-fail perbicaraannya di mahkamah dengan harapan mendapat sokongannya bagi menggugurkan pertuduhan mahkamah terhadapnya.

Bagaimanapun, Muhyiddin enggan untuk masuk campur mengenai kes mahkamah yang dihadapi Zahid, mengatakan ia adalah urusan mahkamah.

Selang beberapa hari selepas pertemuan itu, Zahid dan Najib menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan mereka kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai perdana menteri, surat itu juga didedahkan MalaysiaNow pada Oktober 2020.

Sokongan itu menunjukkan bagaimana sebahagian pemimpin Umno yang digelar kluster mahkamah merancang untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin, kerajaan yang disokong parti Melayu itu pada Februari 2020 susulan kelompongan kuasa selepas tumbangnya gabungan Pakatan Harapan (PH).

Rancangan politik sedemikian kemudiannya berlarutan dan sekali lagi, pada 7 April, MalaysiaNow mendedahkan rakaman perbualan telefon antara Zahid dan Anwar di mana kedua-duanya didengar merancang hasil keputusan Perhimpunan Agung Umno beberapa hari sebelumnya.

Dalam perhimpunan parti itu, Zahid dan Najib menggesa Umno untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu, yang dilihat sebagai menetapkan nada bagi kudeta menjatuhkan Muhyiddin empat bulan selepas itu.

Klik di sini untuk mendengar rakaman perbualan.

Zahid juga mengambil peluang momentum yang sudah meningkat dalam partinya bagi mendapatkan sokongan perwakilan Umno untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dengan meneruskan kempen dalam kalangan pemimpin utama Umno bagi memutuskan hubungan sepenuhnya dengan kerajaan PN.

Tetapi pendedahan MalaysiaNow berhubung apa yang diperkatakan oleh pemimpin Umno dalam mesyuarat Majlis Tertinggi selama empat jam yang dipengerusikan Zahid menunjukkan presiden Umno itu berdepan kesukaran untuk meyakinkan anggota kanan partinya dalam usaha menjatuhkan kerajaan Muhyiddin.

Ramai yang mempersoalkan cadangan Zahid dan Najib yang mahu anggota Kabinet dari parti itu meletakkan jawatan bagi menjatuhkan kerajaan pada musim pandemik.

Bantahan sedemikian turut mencerminkan pendirian kebanyakan menteri dan timbalan menteri Umno, MCA dan MIC yang enggan mendengar gesaan Zahid dan Najib supaya mereka meletakkan jawatan.

Tahun 2021 juga menyaksikan MalaysiaNow mendedahkan bagaimana ahli politik berpangkat rendah berkelakuan ketika berkuasa.

Dalam pendedahan ini, kami mendedahkan bagaimana pemimpin Amanah Khalid Samad ketika memegang jawatan menteri Wilayah Persekutuan secara peribadi memberikan sokongan terhadap permohonan satu syarikat pemaju hartanah swasta untuk menterbalikkan keputusan jabatan tanah yang membatalkan pemindahan sebuah plot tanah di Kuala Lumpur.

Berikutan respons beliau yang mempersoalkan laporan kami, MalaysiaNow kemudiannya menerbitkan beberapa imej surat di mana Khalid sendiri meletakkan nota dan tandatangannya.

Ini menunjukkan bagaimana pegawai kanan tidak mematuhi peraturan yang digariskan oleh mereka sendiri, dasar PH yang melarang sebarang tindakan yang boleh dilihat sebagai menggunakan pengaruh jawatan kementerian termasuk membuat surat sokongan atau memberikan arahan yang boleh mempengaruhi sebarang keputusan.

Isu tanah juga turut menjadi tajuk utama pendedahan MalaysiaNow, kami melaporkan bagaimana Selangor memberikan tanah milik kerajaan negeri kepada syarikat gergasi hartanah Berjaya Land ekoran kegagalan sebuah syarikat milik kerajaan negeri untuk membiayai satu projek mega.

Kami juga turut mendedahkan dapatan audit syarikat milik kerajaan negeri, Landasan Lumayan Sdn Bhd yang tidak mengamalkan perbelanjaan berhemah walaupun mengalami kerugian; sebaliknya, pengarah-pengarah syarikat itu diberikan bonus empat bulan gaji, kenaikan 6% gaji, dan menaikkan gaji pengarah urusannya dari RM29,000 kepada RM37,000.

Bukan hanya ahli politik sahaja yang menjadi tajuk utama sebahagian laporan penyiasatan kami.

Mereka yang mempunyai hubungan dengan ahli politik juga turut dinamakan dalam beberapa laporan.

Ia termasuk pendedahan mengenai Vinod Sekhar, seorang teman rapat Anwar, di mana kami melaporkan ahli perniagaan itu memperoleh kontrak berbilion ringgit dari Hungary, membuatkan ramai yang memberikan perhatian mengenai ketelusan kewangan menyuarakan ketidaksenangan.

Temu bual kami bersama beberapa ahli politik Hungary menunjukkan kontrak tersebut dianggap sebagai sebahagian skandal utama di Hungary.

Lima bulan selepas kami melaporkan kontrak bernilai RM2.5 bilion untuk membekalkan peralatan perubatan kepada kerajaan Hungary, beberapa agensi kerajaan menyerbu pejabat yang dikaitkan dengan Vinod di Bangsar sebagai sebahagian daripada siasatan pengubahan wang haram dan lari cukai dipercayai berkait dengan kontrak mega tersebut.