HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Januari 2022

Kenyataan Hadi tak wajar, tak perlu komen bagi pihak Umno

MALAYSIA POST

Kenyataan Hadi tak wajar, tak perlu komen bagi pihak Umno

KENYATAAN Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pendirian majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno disifatkan sebagai kurang wajar dikeluarkan oleh pimpinan parti lain terhadap Umno, kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Ia susulan kenyataan Presiden PAS itu yang mendakwa majoriti ahli MKT Umno cenderung untuk terus bekerjasama dengan parti itu di sebalik hubungan baiknya bersama Bersatu.

“Sepertimana tidak wajar saya mengajar PAS tentang hal dalaman PAS, saya berharap kepimpinan PAS juga menghormati “decorum” dalam hubungan antara parti dan mengelak membuat komen bagi pihak Umno.

“Sama ada majoriti ahli MKT menyokong atau tidak sesuatu perkara, menjadi rahsia dalaman mesyuarat yang tidak wajar diiklan atau disahkan di luar. Yang penting ialah pendirian dan keputusan parti kelak.

“Seperti mana-mana organisasi yang punyai struktur, setelah dimurnikan semua suara dalam badan pembuat keputusan, sesuatu pendirian rasmi dikeluarkan.

“Soal pandangan mana-mana individu yang dibincang atau dibahas dalam mesyuarat, itu soal dalaman organisasi yang tak perlu dispekulasi pihak lain.Apatah lagi semua ahli MKT telah bersumpah rahsia sejak awal penggal lagi,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Abdul Hadi dilaporkan berkata ahli Umno perlu mengikut keputusan MKT Umno dan bukan pandangan pemimpin bahagian.

“Saya difahamkan majoriti ahli MKT Umno (mahu) berkerjasama… Umno kena ikut pemimpin, majlis tertinggi dia, bukan bahagian-bahagian. Bahagian-bahagian ni akar umbi… itu lain cerita.

“Kita tak boleh pakai demokrasi barat. Kita kena ikut pimpinanlah,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahril berkata berhubung soal hubungan dalam Muafakat Nasional (MN).yang dibangkitkan Abdul Hadi, Umno tidak sesekali menolak MN.

Malah katanya pendirian rasmi Perhimpunan Agung Umno 2020 menyebut keinginan memperkasa MN namun perlu diselaraskan dengan suatu lagi pendirian rasmi bahawa parti menolak kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Maka, katanya apabila PAS bertegas mahu meneruskan jalinan kerjasama pilihan raya bersama PN, ia meletakkan Umno dalam keadaan sukar untuk merancakkan MN sepertimana dahulu.

Menurutnya, ia menyebabkan pertembungan pelbagai penjuru apatah lagi jika PAS bertanding atas lambang PN seperti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Semua perkara ini telah diulas berkali-kali dan umum mengetahui dilema yang wujud disebabkan pendirian PAS.

“Meskipun begitu paling penting, Umno menghormati pendirian PAS dan tidak memaksa PAS melakukan apa yang ia tidak mahu. Jadi, sebagai tanda keikhlasan persahabatan.

“Harapnya PAS juga hormati pendirian Umno dan tidak memaksa kami atau menghebah spekulasi dengan harapan kami melakukan sesuatu yang sememangnya sukar – khususnya berkenaan hubungan bersama pihak ketiga.

“Mungkin dengan penghormatan dua hala itu, barulah ada sinar untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya sebahagian daripada kerjasama yang pernah mewarnai pentas politik penggal ini,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: