HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Januari 2022

Zahid ‘ajar’ Ismail Sabri, Kabinet cara atasi isu RM10,000 i-Citra KWSP


Bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi sedikit ‘pelajaran’ buat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimana untuk menangani isu pengeluaran one-off i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Zahid, Kabinet sepatutnya meneliti terlebih dahulu sekiranya Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi pendapat dan nasihat berhubung isu pengeluaran RM10,000 one-off KWSP itu.

“Jika Menteri Kewangan memberi nasihat sebaliknya kepada kerajaan, Kabinet telitilah dengan mendalam terlebih dahulu,” ajar Zahid yang pernah menjadi TPM selama 33 bulan ketika Barisan Nasional (BN) memerintah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 lalu.

Beliau yang juga Presiden UMNO turut mengingatkan kerajaan Ismail Sabri supaya mendengar rintihan rakyat kerana mereka yang menjadi mangsa banjir dan kesan pandemik Covid-19.

Namun, hari ini Tengku Zafrul memberi penjelasan sebab kerajaan tidak membenarkan pengeluaran RM10,000 one-off itu sambil membidas pihak yang terus menghasut rakyat. Berita berkaitan

Mengulas lanjut, Zahid yang kini didakwa dengan puluhan tuduhan jenayah, termasuk rasuah, di dua Mahkamah Tinggi, juga menyifatkan kemudahan pinjaman yang diumumkan Ismail Sabri kepada mangsa yang terjejas akibat bencana banjir, ibarat ‘gali lubang tutup lubang’.

“Berdasarkan respons di media sosial, rakyat tidak “prefer” membuat pinjaman dan mahu menggunakan dana sendiri. Mereka tidak bersedia untuk berhutang apatah lagi dengan menambah hutang. Sebahagiannya susah dan tidak mampu pun membayar hutang yang sudah sedia ada.

“Tempoh enam bulan atau setahun penangguhan bayaran balik tetap bermakna mereka sudah menambahkan lagi bebanan hutang. Tidak ubah seperti gali lubang tutup lubang. Pinjam wang bayar hutang,” kata Zahid semalam.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang KWSP berjumlah RM10,000 biarpun ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.

Beliau berkata kerajaan juga tidak berhasrat meluluskan pengeluaran i-Citra bagi kali kedua setelah skim berkenaan berakhir bulan ini.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat kerana kerajaan telah memperuntukkan dana serta bantuan yang mencukupi kepada mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara ketika ini.

Menurutnya, kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra, akan ada yang berisiko menjadi miskin tegar selepas bersara.

“Ada banyak kemudahan diumumkan kepada mangsa banjir. Jika ada yang mahu buka perniagaan untuk yang terjejas banjir, Tekun Nasional menawarkan pinjaman mudah RM10,000 tanpa faedah dan moratorium, iaitu tidak perlu bayar balik pinjaman selama setahun.

“Bank seperti BSN juga akan beri pinjaman RM10,000 secara pinjaman persendirian untuk beli barangan keperluan asas rumah dengan tanpa faedah dan enam bulan moratorium,” katanya.

Tiada ulasan: