Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin segala cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2022, terutama memulihkan semula negara ketika pandemik Covid-19 masih berleluasa, dapat ditangani jika semua pihak terus kekal bersatu, fokus dan tidak lalai.
Menurutnya, dengan pandemik Covid-19 yang terus menular, terutama penemuan varian lebih bahaya seperti Omicron serta banjir yang masih melanda, tahun 2022 sudah pasti menjadi tahun yang sukar dan mencabar bagi kita semua.
Dalam perutusan sambutan Tahun Baharu 2020 malam tadi, bekas Perdana Menteri itu berkata sudah menjadi kebiasaan apabila menjelang tahun baharu semua orang akan menoleh ke belakang dan menilai apa yang telah dilakukan sepanjang tahun sebelumnya.
“Adakah kita berpuas hati dengan apa yang telah kita capai atau banyak lagi yang perlu diperbaiki? Dari sini, kita berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada atau meningkatkan lagi kejayaan yang sudah dikecapi.
“Tahun 2021 meninggalkan kita dengan banyak coretan peristiwa yang pastinya menjadi kenangan kepada kita semua. Kita masih lagi diuji dengan pandemik Covid-19. Ia melingkari kehidupan seharian kita malah sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita,” katanya.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata pandemik Covid-19 juga memberi kesan yang cukup besar dalam kehidupan penduduk sehingga sekarang, malah setiap orang berasa kesannya, cuma yang membezakannya hanyalah kecil atau besar sahaja kesan tersebut.
“Bagaimanapun berkat kerja keras, perancangan yang teliti dan pelan tindakan yang komprenhensif Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan saya sebelum saya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Malaysia berjaya menangani pandemik ini dengan berkesan khususnya dalam aspek pemberian vaksin kepada rakyat.
“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya dilaksanakan dengan cekap dan sehingga kini sebanyak 22,855,374 individu atau 97.6 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, hasil daripada kejayaan program vaksinasi ini, hampir kesemua sektor kehidupan rakyat sudah dibuka sepenuhnya, dan rakyat kini sudah boleh menjalani kehidupan seperti biasa.
“Aktiviti sosial dan ekonomi kembali rancak dan rakyat seperti sudah kembali kepada kehidupan sebelum pandemik. Ketika negara sedang menuju pemulihan pasca pandemik, negara sekali lagi diuji dengan banjir besar di beberapa buah negeri minggu lalu.
“Saya merasa amat sedih dengan bencana ini kerana banyak harta benda yang musnah dan nyawa terkorban,” katanya.
Beliau mengakui bencana banjir besar itu sedikit sebanyak merencatkan pelan pemulihan ekonomi negara yang telah berada pada landasan yang betul sebagaimana dirancang Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Bagaimanapun kita mesti reda dengan ujian dan dugaan besar ini. Pastinya ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Bencana ini telah menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan, katanya yang juga Pengerusi MPN sambil kagum dengan sikap solidariti dan kebersamaan masyarakat dalam saling membantu antara satu sama lain.
“Saya kagum dan terharu melihat begitu ramai rakyat Malaysia yang menjadi ‘sukarelawan dan petugas barisan hadapan’ secara sukarela demi membantu mangsa banjir.
“Mereka tampil menghulur bantuan dengan bermacam cara. Ada yang turun ke lokasi mengerah tenaga dan kudrat, ada yang menghulurkan sumbangan wang ringgit dan tidak kurang yang mengutus doa untuk keselamatan serta kesejahteraan kepada mangsa banjir. Syabas rakyat Malaysia!.
“Akhir kata, saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar kita sentiasa dilindungi, diberi kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam tahun baharu ini.
“Saya yakin Tahun Baharu 2022 akan menjadi tahun yang lebih baik, sejahtera dan makmur dari tahun-tahun sebelumnya untuk Malaysia, insya-Allah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan