HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Julai 2011

Wahabi aktiviti pengganas macam langit dan bumi, kata Persatuan Ulama


KUALA LUMPUR— Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menegaskan tindakan menyamakan fahaman Wahabi dengan aktiviti pengganas adalah tidak berasas sama sekali sambil menjelaskan, kedua-duanya umpama langit dan bumi.

Ini kerana, menurut Yang Dipertua PUM Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir, fahaman Wahabi tiada kaitan dengan aktiviti pengganas walaupun sentiasa berbeza pendapat dan pandangan dengan pengikut Ahli Sunah Waljamaah.

“Wahabi dengan pengganas macam langit dengan bumi, fahaman Wahabi tiada kaitan dengan aktiviti pengganas... memang ada berbeza dengan kita tapi janganlah kaitkan dengan pengganas.

“Tuduhan ini tidak betul pun, kenapa mahu kaitkan dengan pengganas? Wahabi itu apa? Tiada pun mazhab Wahabi... pengikut fahaman ini ada yang berbeza cara dengan kita, jadi janganlah nak timbulkan masalah-masalah yang kecil seperti ini,” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Beliau yang ternyata terkejut dengan tuduhan yang dilemparkan terhadap fahaman Wahabi menegaskan, perkara sebegitu sepatutnya perlu dibincangkan oleh tokoh-tokoh agama dan bukan secara umum kerana ia boleh menimbulkan keraguan tentang agama Islam sendiri.

Sheikh Abdul Halim juga menambah, fahaman Wahabi tidak sesat kerana ia menjadi amalan di Arab Saudi.

“Perkara ini perlu dibincangkan oleh orang-orang yang khusus, yang tahu pasal agama... jangan timbulkan keraguan macam ini. Fahaman Wahabi diamalkan di Arab Saudi, jadi macam mana kita boleh nak kata mereka sesat dan ada kaitan dengan aktiviti pengganas.

“Wahabi tidak sesat, kalau kita kata Wahabi sesat itu tidak betul... mereka cuma berselisih pendapat sahaja, kalau nak kata Wahabi sesat, celah mana mereka sesat? Beritahu pada saya mengapa mereka sesat, saya harap perkara ini boleh diselesaikan dengan baik dan tidak perlu nak diperbesarkan sangat kerana ramai yang tidak faham nanti,” katanya.

Polemik isu Wahabi muncul semula Isnin lalu dengan laporan media menyebut satu pertemuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengaitkan beberapa tokoh agama termasuk bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan 40 ulama muda Umno dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas.

Pertemuaan itu juga dilaporkan telah meminta para mufti dan agensi agama memantau pergerakan mereka, namun pengesahan rasmi daripada MKN belum ada.

Ekoran pendedahan itu, Juanda dan bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa agar dialog terbuka diadakan bagi menyelesaikan isu Wahabi.

Selain itu Juanda juga mempelawa pendakwah bebas Dr Muhammad Uthman El Muhammady agar bertandang ke Perlis semasa Ramadan bagi menjernihkan isu “kesesatan Saudi.”

Uthman yang kini Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa telah dijemput untuk memberikan taklimat mengenai isu Wahabi di Putrajaya, Isnin lalu.

Isu ini juga muncul April lalu apabila seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”

Tambah Sheikh Abdul Halim, beliau berharap polemik itu boleh diselesaikan dengan segera.

“Jangan timbulkan keraguan di kalangan umat Islam, perkara ini perkara kecil... elok diselesaikan dengan segera.

“Nanti kalau berlarutan lagi ramai yang tidak faham, siapa yang tidak faham baik mendiamkan diri... biar selesaikan secara ilmiah,” katanya dengan nada kecewa.

MP Sg Siput: Putrajaya bebas kami kerana risau risiko politik



Pemimpin PSM yang dibebaskan daripada tahanan Ordinan Darurat petang tadi. — Foto oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR — Barisan Nasional (BN) tidak sanggup berhadapan dengan risiko politik dengan kemerosotan populariti dan sokongannya ekoran tindakan menahan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) sejak awal bulan ini, kata Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar malam ini.

Sehubungan itu tegas beliau, keputusan pentadbiran Najib membebaskan keenam-enam mereka adalah langkah politik dan bukannya kerana tindakan profesional polis.

Dr Jeyakumar, 56, dan lima yang lain iaitu setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A.P.Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33 dan M.Sukumaran, 50, timbalan pengerusi PSM, M. Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R. Sarat Babu, 25, dibebaskan petang ini dalam satu tindakan mengejutkan banyak pihak.

“Mereka (BN) semakin kehilangan populariti dan sokongan rakyat memandangkan ia sangat tinggi kos dari segi politik bagi mereka untuk kekal menahan kami (di bawah Ordinan Darurat),” kata beliau kepada pemberita selepas berucap di hadapan penyokongnya di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur di sini.

Justeru Dr Jeyakumar memberitahu, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang tadi bahawa pembebasan mereka adalah selaras dengan undang-undang negara dan keputusan itu dibuat berdasarkan pemerhatian polis.

“Tidak, ia sudah tentu disebabkan tekanan daripada rakyat. Seleps lebih sebulan, tiada petanda sokongan awam kepada kami menurun, sebaliknya, ia mengalami peningkatan.

“Orang ramai berjalan, berpuasa di semua tempat. Ia menjadi satu keadaan (berisiko) yang terlalu besar bagi mereka,” kata beliau lagi.

Dr Jeyakumar menambah, Najib mengambil langkah bijak dengan membenarkan mereka dibebaskan sebelum keadaan bertambah buruk ke atas kerajaan.

“Ini bukan kerana polis sudah sedar ataupun menjadi jujur dan profesional. Tidak, mereka tidak,” katanya lagi.

Kata beliau, polis meletakkan keenam-enam mereka dalam tahanan untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia daripada menyuarakan pandangan mereka.

“Tetapi ia tidak menjadi. Orang ramai berani dan disebabkan mereka, saya bebas hari ini,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan susulan, Dr Jeyakumar berkata, beliau kemungkinan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ke atas pihak berkuasa berhubung tindakan menahan mereka secara tidak sah.

“Tetapi kami baru sahaja keluar dan kami kena duduk dan berbincang,” katanya lagi.

Petang tadi, Najib berkata kerajaan menerima baik keputusan polis membebaskan enam aktivis PSM termasuk Dr Jeyakumar, yang ditahan di bawah Ordinan Darurat selama 28 hari.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pengamatan dan siasatan yang dilakukan oleh polis.

Bagaimanapun, beliau berkata terpulang kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya terhadap enam aktivis tersebut.

Mereka ditahan pada 2 Julai lepas di Seberang Prai, Pulau Pinang mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan).

Terdahulu, mereka ditahan bersama 24 yang lain dalam sebuah bas persiaran di Plaza Tol Sungai Dua, Kepala Batas pada 25 Jun dan didakwa di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana cuba melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Ordinan Darurat: Ambiga harap Putrajaya tak ulang kesilapan sama



Hadirin yang mengambil bahagian dalam forum Undang-Undang Pilihan Raya, SPR dan Pembaharuan Pilihan Raya anjuran Proham di Petaling Jaya hari ini. — Foto oleh Choo Choy May


PETALING JAYA — Terkejut dengan pembebasan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) lewat petang ini daripada tahanan Ordinan Darurat, Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevesan menggesa Putrajaya agar tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa depan.

“Ini adalah berita yang paling menggembirakan hari ini, mereka memang tidak sepatutnya ditahan di bawah Ordinan Darurat.

“Saya tidak faham mengapa kerajaan gunakan Ordinan Darurat untuk menahan mereka,” katanya pada sidang media selepas forum Undang-Undang Pilihan Raya, SPR dan Pembaharuan Pilihan Raya anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham).

Justeru kata Ambiga, beliau amat berharap agar Putrajaya tidak menggunakan Ordinan Darurat untuk menahan seseorang tanpa sebarang bukti yang kukuh.

“Sejak dari mula kita bantah penahanan mereka berenam, kita tidak tahu mengapa mereka ditahan, atas kesalahan apa?

“Jadi saya harap sepatutnya perkara sama tidak lagi berulang,” katanya.

Petang tadi kesemua enam pemimpin PSM termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar yang ditahan sejak 28 hari lalu di bawah Ordinan Darurat telah dibebaskan.

Selain Dr Jeyakumar, lima lain yang ditahan ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A P Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M Sukumaran 50, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu, 25.

Mereka ditahan dua minggu sebelum perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat, polis boleh menahan suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin dalam Barisan Nasional mengenakan tekanan agar pentadbiran Najib membebaskan mereka.

Gesaan itu juga dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Semalam, Ismail berkata mereka masih disiasat di bawah Ordinan Darurat.

Awalnya mereka disiasat atas alasan cuba mengadakan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong selepas ditahan di Seberang Perai akhir bulan lalu.

Pakar Ekonomi : Ekonomi Lembab Kerana Kerajaan "Main Politik"

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Agenda transformasi Ekonomi Perdana Menteri Najib Razak terencat susulan beberapa keputusan kerajaan yang dilihat sebagai tunduk kepada tekanan kumpulan pendesak hak Melayu, menurut beberapa ahli ekonomi.

Dr Yeah Kim Leng dari RAM Holdings Berhad berkata prestasi ekonomi negara masih tidak memuaskan kerana tindakan kerajaan melayan rasa khuathir kumpulan-kumpulan pendesak itu sehingga menjejaskan usaha penambahbaikan dasar ekonomi.

Beliau menyifatkan rasa khuathir kumpulan berkenaan sebagai tidak munasabah dan "berkemungkinan menjejaskan usaha Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi."

Contoh-contoh yang menzahirkan kerajaan tunduk kepada kumpulan pendesak termasuk tindakan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) melonggarkan syarat tender untuk projek MRT pada Mei lalu.

Begitu juga apabila kerajaan campurtangan dalam keputusan UDA Holdings menjual tanah primanya kepada Nadayu Properties Berhad.
Keadaan sedemikian, menurut Dr Yeah akan menyebabkan pelabur gusar terhadap keikhlasan Perdana Menteri melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang ditetapkannya sendiri.

Sentimen itu dikongsi oleh ahli ekonomi Merill Lynch Chua Hak Bai yang menyataka kegagalan Najib untuk patuh kepada dasar-dasar yang diumumkan hanya menambah kesangsian umum terhadap iltizam politik beliau.

"Amat kasihan. Saya fikir ideanya baik, konsepnya bagus. Tapi bila saya fikir semua pihak ada kebimbangan dalam pelaksanaan (transformasi ekonomi) itu," kata beliau memberitahu Malaysian Insider.

Ketua Penyelidik Jupiter Securities Pong Teng Siew pula menyatakan tindakan berdolak dalik kerajaan itu hanya akan menyukarkan usaha melaksanakan dasar-dasar berkesan untuk memacu ekonomi.

Menurut beliau, pentadbiran Najib perlu lebih tegas dalam berurus dengan kumpulan pendesak hak Melayu yang mungkin tidak melihat kesan jangka panjang tuntutan mereka terhadap ekonomi negara.

"Mungkin Perdana Menteri tidak menghantar mesej yang cukup kuat bahawa negara ini perlu berubah segera atau bakal terperangkap dengan pertumbuhan yang amat, amat perlahan," kata beliau.

Najib sebelum ini sering dikritik kerana tidak mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan-pertubuhan seperti Perkasa yang dilihat membela hak Melayu dengan mempersoalkan hak-hak kerakyatan warga kaum lain.

Beliau juga dilihat merestui tindakan-tindakan Perkasa itu selagi pertubuhan berkenaan menjadikan parti pembangkang sebagai sasaran dan menarik sokongan orang Melayu terhadap Umno.

Bersih 2.0 : PKR Dedah Video Polis Guna Keganasan Maksimum

Ditulis oleh Nur Atiqah Abd Samad


PETALING JAYA : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menayangkan klip video yang menunjukkan dengan jelas bagaimana polis bertindak dengan niat mendatangkan kecederaan kepada peserta himpunan aman Bersih 2.0 di KL Sentral, 9 Julai lalu.
Ia memperlihatkan bagaimana tembakan dilepaskan tanpa provokasi peserta demonstrasi seperti yang didakwa polis sebelum ini.

Bahkan, klip video itu dengan jelas memaparkan Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengarahkan anggotanya mensasarkan tembakan gas pemedih mata ke arah peserta, meskipun dalam keadaan mereka telah dikepung.

Beliau juga dilaporkan tidak memberikan sebarang amaran sebelum melepaskan tembakan tersebut.

Bercakap ketika menayangkan video berkenaan di ibu pejabat PKR, naib presiden parti itu, N Surendran berkata, dalam video ini jelas menunjukkan bagaimana arahan diberikan oleh Wan Abdul Bari supaya tembakan disasarkan kepada peserta himpunan.

"Sebelum tembakan disasarkan, terdapat arahan daripada pegawai bertugas kepada FRU yang mengarahkan tembakan gas dilepaskan 'ke bawah, bawah, bawah'. Mengikut prosedur polis tembakan seharusnya dilepaskan ke atas dan tidak menghala kepada orang awam untuk menyuraikan mereka."

"Wan Bari juga mengeluarkan arahan 'reporter tepi, kalau tak nak kena, jadi mereka memang mempunyai niat untuk menembak,"kata beliau.

Oleh itu menurut Surendran, tindakan polis itu boleh diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh dan menyalahi prosedur operasi standard yang dibenarkan, sebaliknya polis sepatutnya melepaskan tembakan pada paras 45 darjah ke arah ruang udara dan bukannya menembak tepat pada sasaran.

Justeru, Surendran berkata, Pakatan Rakyat menolak sepenuhnya kenyataan polis sebelum ini bahawa anggota keselamatan itu hanya menggunakan keganasan paling minimum dalam meleraikan himpunan aman tersebut.

Bersama-sama beliau semasa sesi menayangkan video tersebut ialah ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dan anggota Lawyers for Liberty Fadiah Nadwa Fikri.

Video yang ditayangkan ialah hasil rakaman Free Malaysia Today dan TV Selangor yang menyanggah sama sekali kenyataan polis sebelum ini.

Mengulas lanjut mengenai kejadian di KL Sentral, Surendran turut menggesa polis bagi menyiasat niat disebalik arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Brickfields dan bagaimana tembakan masih dilepaskan meskipun ahli parlimen Batu Tian Chua dan peserta yang lain telah bertempiaran lari.

"Kami juga mahu polis menyiasat tujuan arahan yang dikeluarkan 'bawah, bawah, bawah yang boleh menyebabkan kecederaan kepada peserta. Arahan yang dikeluarkan secara jelas telah melanggar undang-undang.

"Jadi pihak polis telah memutar-belitkan fakta dengan memberitahu punca tembakan dilepaskan adalah kerana Tian Chua dan peserta demonstrasi telah melakukan provokasi adalah pembohongan semata-mata. Video yang kami tunjukkan adalah jelas dari segi 'time-line' bagaimana tiada provokasi berlaku,"katanya lagi.

KL Sentral merupakan antara lokasi menjadi fokus pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berhimpun sebelum cuba bergerak ke kawasan Stadium Merdeka.

Khamis lalu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rashid berkata, enam pasukan penyiasat polis telah menjalankan siasatan mereka berhubung dakwaan tindakan keras yang digunakan untuk menangani perhimpunan 9 Julai dan tidak menggunakan kekerasan ketika menangani perhimpunan Bersih 2.0.

Namun apa yang digambarkan jelas bertentangan dengan kisah sebenar.

Selain puluhan orang awam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembantu peribadinya,Fayyadh Afiq Albakqry, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ketua Cabang Klang, Yew Boon turut mengalami kecederaan.

Fayyadh patah tulang pipinya manakala Yew pula mengalami luka kecil di bahagian pipi kirinya terkena kanister gas pemedih mata.

Malah paling menyedihkan, seorang peserta himpunan aman, Baharuddin Ahmad meninggal dunia.

Semua Enam Tahanan EO Dibebaskan

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Semua enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan sejak 28 hari lalu mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat dibebaskan sebentar tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam satu kenyataan media berkata berikutan pembebasan mereka ini, tindakan selanjutnya akan ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara.

"Polis Diraja Malaysia mengumumkan bahawa keputusan telah dibuat untuk membebaskan semua enam orang yang telah ditangkap pada 2 Julai lalu, di Seberang Prai Utara, Pulau Pinang, di bawah Ordinan Darurat," katanya.

Semua mereka dibebaskan pada jam 5.30 petang di balai polis Jinjang dan menurut setiausaha agung PSM S Arulchelvam dalam tweeternya, pembebasan mereka adalah tanpa syarat.

Mereka termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, lima yang lain yang ditahan ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M. Sukumaran 50, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu, 25.

Mereka yang dikenali sebagai PSM6 itu - pada mulanya ditahan bersama 24 orang lain atas dakwaan mahu 'melancarkan perang terhadap Agong', tetapi pada jawapan balas permohonan afidavit habeas corpus berhubung pembebasan mereka, polis mendakwa mereka sebagai penggerak utama Bersih 2.0.

Permohonan habeaus corpus itu bagaimanapun ditangguhkan kepada 5 Ogos, lima hari selepas tahanan 30 hari mereka berakhir tetapi polis berhak melanjutkannya selama 30 hari lagi.

Sebelum ini, pelbagai pihak membidas pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana meneruskan tahanan berkenaan.

Selain pemimpin Pakatan Rakyat, Presiden MIC Datuk G Palanivel juga menuntut pembebasan mereka kerana mendakwa tindakan itu menarik “perhatian dunia” dan mungkin memberi kesan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Turut menuntut perdana menteri dan menteri dalam negeri supaya membebaskan Jeyakumar adalah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang dianggotai 13,000 pengamal profesyen perubatan.

PKR Gempur Kampung Semasa Ramadan Dan Cuti Aidilfitri

TVS NEWS

SHAH ALAM : Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), akan mempunyai misi khas apabila pulang ke kampung halaman sempena bulan Ramadhan dan sambutan Aidilfitri.

Mereka akan dibekalkan beg khas yang muat dengan risalah, cakera padat dan rakaman video yang memberi penjelasan mengenai isu-isu nasional untuk disebarkan kepada penduduk luar bandar.

Setiusaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menjelaskan anak- anak muda PKR akan pulang ke kampung dan membantu menangkis segala tomahan kerajaan Umno-BN terhadap Pakatan Rakyat.

"Orang- orang bandar akan balik kampung untuk meraikan Ramadhan dan Aidilfitri. Mereka akan jadi duta kecil kepada Pakatan Rakyat. Untuk balik ke kampung, mereka akan dibekalkan dengan ole- ole iaitu bahan- bahan kempen yang tertentu.

"Mereka akan laksanakan tugasan ini mengikut kemampuan mereka. Kalau mereka tidak ada kemampuan untuk berceramah, mereka boleh tinggalkan sahaja risalah, CD atau video kilp itu dikampung.

"Mereka boleh tinggal di surau, kedai kopi kampung, surau atau dimana sahaja yang jadi tumpuan," jelas Saifuddin kepada TvSelangor.

Beliau berkata, kesemua maklumat penerangan itu bertujuan memberi penjelasan kepada penduduk kampong yang mempunyai akses terhadap kepada Internet dan sumber berita yang sahih.

Beliau menambah, modus operasi ini akan dilaksanakan ke setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, pendekatan itu diambil kerana ia mudah dan murah serta berkesan untuk memastikan penduduk kampong tidak terkurung dalam dunia sempit propaganda Umno-BN.

"Masyarakat luar bandar lebih terikat kepada sumber maklumat yang konvensional seperti RTM, TV3 dan Utusan Malaysia, Jadi dikenal pasti langkah ini adalah paling mudah dan murah untuk dengan menggunakan tabiat balik kampong pada Hari Raya,” kata beliau "
Kita Hanya Perjuang Hak Dan Kebebasan Rakyat-Surendran Ditulis oleh Radzi Razak


SHAH ALAM : Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) N. Surendran berkata, gagasan itu tidak gusar akan kemungkinan beberapa pimpinan pembangkang bakal didakwa kerana terbabit dalam himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu.

Surendran ketika dihubungi TV Selangor hari ini menyatakan betapa institusi dan pihak berkuasa negara perlu kembali neutral dan profesional dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

"Jika ada sebarang tindakan pendakwaan dibawa, kita sedia hadapinya kerana kita tahu kita tak melakukan kesalahan kecuali memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat.

"Kita tahu Peguam Negara berpihak kepada kerajaan.. jadi kita tak harap apa-apa yang baik dari kerajaan, kecuali kita sekali lagi menyeru supaya Institusi seperti polis dan Peguam Negara kembali neutral," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ketua pendakwaraya di pejabat Kuala Lumpur, Raja Rozela Raja Toran di Malaysiakini hari ini bahawa Pejabat Peguam Negara mengesahkan telah menerima kertas siasatan daripada polis ke atas bebeberapa pemimpin pembangkang dan Bersih 2.0 berhubung pembabitan mereka pada perhimpunan 9 Julai lalu.

Menurut Rozela, senarai nama itu termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli parlimen Batu Tian Chua dan juga pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Pada perhimpunan 9 Julai itu, tidak kurang 1,600 ditangkap. Mereka kemudiannya dilepaskan selepas kenyataan mereka dirakamkan.

Seorang peserta Baharuddin Ahmad meninggal dunia manakala puluhan lain termasuk Anwar, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu cedera.

Surendren turut menuntut agar siasatan dan dakwaan patut dilakukan terhadap mereka yang memberi arahan kepada polis untuk bertindak ganas dalam mengekang himpunan yang disertai puluhan ribu rakyat itu seperti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

"Kita dah kata dari awal bahawa perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu ialah himpunan aman yang menurut fasal 10 Perlembagaan Persekutuan. Dan mereka yang bertindak ganas pada hari tersebut ialah Polis di bawah arahan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

"Kita meminta supaya mereka-mereka di KDN dan pihak atasan Polis yang bertanggungjawab terhadap keganasan Polis didakwa," kata beliau.

Polis Guna Kekerasan Tanpa Provokasi- Tian Chua

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Tindakan polis melepaskan 12 das tembakan gas pemedih mata di terowong berhampiran KL Sentral pada 9 Julai lalu adalah satu tindakan dengan niat jahat, kata naib presiden PKR, Tian Chua.

Malah katanya, dakwaan bahawa anggota keselamatan menggunakan kekerasan minimum menyuraikan peserta himpunan aman bagi menuntut pilihan raya adil dan bersih juga adalah tidak benar.

Rakaman video ketika di KL Sental jelas menunjukkan pasukan polis melepaskan tembakan gas pemedih mata secara bertubi-tubi ke arah kumpulan berkenaan tanpa henti walaupun dalam keadaan peserta dikepung.

"Sesiapa saja dalam keadaan itu akan melihat bahaya jika berada di kawasan tertutup itu sekiranya polis melepaskan gas pemedih mata,"ujar beliau.

Namun katanya, rakaman yang dipaparkan polis pula setelah dua minggu himpunan Bersih berlangsung tidak memaparkan senario sebenar.

"Rakaman video itu hanya menunjukkan beberapa orang yang meluru keluar ke kawasan lapang, dan gas pemedih mata kemudiannya ditembak tepat ke arah orang ramai," katanya.

Beliau mendakwa tindakan polis ini berniat untuk menyebabkan bahaya teruk ke atas kumpulan yang berhimpun secara aman tanpa sebarang amaran.

"Ianya tindakan tanpa provokasi dan tidak wajar. Ianya adalah kekejaman polis," kata ahli parlimen Batu itu lagi.

Tambahnya, video polis yang disunting itu juga menunjukkan bahawa kumpulan berkenaan berarak keluar dari KL Sentral dan disekat oleh sekumpulan polis.

Menurut Tian, video yang disiarkan oleh stesyen televisyen juga tidak memberi gambaran sebenar terhadap apa yang berlaku di kawasan berkenaan dalam kejadian itu.

"Video berkenaan dikatakan menunjukkan saya mengetuai peserta demonstrasi ke hadapan. PRDM menekankan bahawa ia merupakan bukti provokasi," kata Tian lagi.

Tian yang pernah didakwa kerana tuduhan menggigit polis itu juga berkata, tindakannya itu digambarkan sebagai berniat untuk "menyerang" atau menyebabkan bahaya fizikal ke atas anggota polis.

"Kerajaan perlu menerima tanggungjawab bahawa kekerasan melampau telah digunakan ke atas demonstrasi Bersih. Pemburuan ke atas saya atau peserta lain tidak boleh melepaskan (kerajaan) daripada keganasan yang dilakukan pada 9 Julai," katanya lagi.

Keganasan polis di KL Sentral menyaksikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengawal peribadinya dan juga ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengalami kecederaan.

Cincin RM24j : SAMM Tolak Penafian

Ditulis oleh Sharifah Azmawati Syed Abd Aziz


KUALA LUMPUR : Gerakan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menolak penafian isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor bahawa beliau bukan pemilik sebentuk cincin berlian RM24 juta yang diimport dari Amerika Syarikat.
Pengerusinya Badrul Hisham Shaharin berkata penafian "bongkak dan angkuh" Rosmah tidak boleh diterima kerana ia tidak menangani isu dokumen-dokumen Kastam bersabit cincin itu yang dikemukakan oleh SAMM kepada Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua minggu lalu.
Menurut Badrul, tabiat boros Rosmah akhirnya akan memberi kesan kepada pentadbiran negara yang berada di bawah naungan suaminya sendiri.

Beliau berkata ada bukti jelas dalam rekod kastam menunjukkan kemasukan sebentuk cincin berharga lebih RM24 juta pada 16 April lalu atas nama beliau sebagai penerima.

"Sikap boros dan sombong beliau yang kita lihat banyak sangat menghancurkan negara ini dan kerana itu Rosmah boleh cakap apa sahaja seperti juga Imelda Marcos yang langsung tidak mempedulikan protes dan suara rakyat. Dan akhirnya kehancuran Marcos penyumbang besarnya adalah Imelda,"katanya kepada Tv Selangor.

Badrul yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard berkata, beliau tidak membuat sebarang tuduhan melulu ke atas Rosmah, namun ia bersandarkan kepada bukti yang dibekalkan kepada pihaknya.

"Mengenai cincin ini saya tidak melemparkan sebarang tuduhan cuma saya mengeluarkan pada peringkat awalnya pada 8 Julai beberapa dokumen yang membuktikan ada kemasukan sebentuk cincin belian berharga RM24.45 juta yang dalam nama penerima ada tertera nama Rosmah Bin Mansor.

"Jadi saya bangkitkan dan minta untuk Rosmah atau mana-mana pihak untuk menyatakan kebenaran,"katanya lagi.

Sikap berdolak-dalih dan angkuh isteri Perdana Menteri menimbulkan 1001 persoalan manakala alasan pihak tertentu kononnya cincin itu dibawa masuk bagi tujuan pameran 'sulit' sebelum di bawa keluar ke Singapura tidak logik sama sekali.

"Kalau (cincin) masuk untuk (tujuan) pameranlah.. (sedangkan) kalau dia buat pameran fesyen (biasa pun), dia paksa semua media untuk siarkan pameran fesyen dia. Kalau dia buat pameran berlian RM24 juta.. takkan dia tidak panggil media.

"Bila kita tanya pameran di mana? Pameran di sebuah tempat sulit, Bila? Di tarikh yang sulit. Siapa tetamu jemputan tengok pameran ini, oh tetamu yang sulit. Saya merasakan mereka sedang mencipta alasan demi alasan untuk membela Rosmah bin Mansor,"kata Chegubard.

Terdahulu sebuah Edyesdot.com mendedahkan bahawa pameran sulit tersebut berlangsung pada 17-19 April 2011, di sebuah tempat yang turut dirahsiakan.

Berlian itu kemudian dibawa ke Singapura empat hari selepas itu dengan menggunakan borang K2 yang dikeluarkan Kastam di Raja Malaysia sebagai bukti pengeluaran.

Namun borang tersebut menimbulkan banyak keraguan termasuk status pegawai yang menurunkan tandatangan ke atas borang kastam berkenaan.
"Persoalan saya pula ialah....kalau masuk untuk pameran, kenapa tidak masuk prosedur untuk masuk pameran?" soal beliau.
Semalam, ketika mengiringi suaminya untuk lawatan rasmi ke Kedah, Rosmah dipetik berkata bahawa beliau difitnah oleh blogger tertentu sebagai memiliki sebentuk cincin berlian RM24 juta.
“Tak ada apa yang saya nak cakap (mengenai pembelian cincin lebih RM24 juta) sebab saya tidak ada masa hendak layan perkara seumpama ini. Ikut sedap dia (blogger) saja hendak cakap (tuduh),” kata beliau.
Bagaimanapun Rosmah tidak menjelaskan dokumen-dokumen Kastam bersabit pengimportan cincin itu atau pun siasatan SPRM mengenainya.