HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Februari 2016

KPN: Sekat cubaan sebar fahaman komunis

fahaman komunis


SHAH ALAM - Polis akan memanggil penganjur Kursus Marxisme Kilat untuk memberi keterangan mengenai anjuran program tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sama sekali tidak akan membenarkan fahaman komunis menular.

"Polis akan menyekat kursus itu,...usaha menghidupkan fahaman komunis.

"Polis tidak akan membenarkan kursus ini di jalankan. Penganjur akan di panggil," katanya menerusi laman Twitternya hari ini.

Difahamkan, kursus itu akan di adakan di Dewan Budaya Petaling Jaya, pada 20 Mac ini.

Pemikiran komunisme diasaskan oleh Karl Marx adalah ideologi politik dan struktur sosio ekonomi yang menggalakkan penubuhan masyarakat yang egalitarian, tanpa kelas dan tanpa negara berdasarkan pemilikan dan kawalan sama ke atas faktor pengeluaran dan harta.

Sebagai ideologi politik, komunisme dianggap sebagai satu cabang sosialisme; satu falsafah luas berkenaan ekonomi dan politik yang dipengaruhi oleh pelbagai gerakan politik dan intelektual dengan asalnya dari hasil kerja mereka pada Revolusi Perindustrian dan Revolusi Perancis.

Ideologi komunisme mula diterapkan ketika meletusnya Revolusi Bolshevik di Rusia pada 7 November 1917.

Sejak itu komunisme disebarkan sebagai sebuah ideologi ke negara lain.

Komunisme juga tidak percaya kepada kewujudan tuhan.

Ini menyebabkan ramai penduduk beragama tidak menyokong komunis.


Sabtu, 27 Februari 2016

Peluang terakhir gerakan pembaharuan sebelum PRU-14



Oleh Ooi Heng


Kenyataan pertama Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah digantung jawatan Timbalan Presiden UMNO seiring dengan kenyataan terkini Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya berundur, pada masa yang sama, menolak institusi politik yang korup dan menuntut pembaharuan.

Semalam, Selangorkini melaporkan pesanan Anwar yang disampaikan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap pada program Halaqah Ilmu, di kediamannya di Bukit Segambut.

Menurut Wan Azizah, Anwar memesan bahawa, langkah terbaik menyelamatkan Malaysia adalah menukar seluruh sistem negara dan bukannya sekadar seorang individu sahaja.

Hari ini, kenyataan pertama Muhyiddin setelah dipecat kelihatan seiring dengan kenyataan Anwar.
Menurut laporan Malaysiakini, kenyataan Muhyiddin berbunyi seperti berikut:

“Jika kita mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka kita mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan. Ia bukan sekadar mendesak perdana menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat.

Semenjak siri pendedahan dilakukan berkenaan kes 1MDB dan seterusnya kes RM2.6 bilion oleh media tempatan dan antarabangsa, cukup ramai rakyat Malaysia yang kecewa dengan situasi negara.

Perkembangan merisaukan telah berlaku di mana satu demi satu media yang melaporkan berita melibatkan pentadbiran tertinggi negara telah diambil tindakan, antaranya termasuk The Edge dan Sarawak Report, sehingga yang terkini The Malaysian Insider.

Namun, harapan rakyat yang mahukan perubahan dan pembaharuan terkilan kerana dalam situasi sebegitu, dan dalam konteks perpecahan pihak oposisi, seolah-olah tuntutan rakyat tidak dapat diterjemahkan sebagai gerakan massa dan tindakan politik yang berkesan.

Pihak-pihak yang mengikut perkembangan politik negara secara dekat tahu akan peri pentingnya peranan Anwar dan betapa pengemblengan tenaga melibatkan semua pihak yang mahukan perubahan dan pembaharuan, termasuk semua parti oposis, semua pemimpin dan mantan pemimpin parti pemerintah yang mahukan perubahan, semua akar umbi, pihak masyarakat madani dan masyarakat massa, adalah faktor penting untuk menjayakan impian dan tuntutan perubahan.

Berikutan kenyataan pertama Muhyiddin yang jelas seiring dengan kenyataan Anwar, kini tiba masanya semua pihak berkaitan bergerak bersama menuntut perubahan dan pembaharuan.

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, ini merupakan peluang terakhir rakyat yang mahukan perubahan menaruh harapan terhadap pimpinan politik kedua-dua belah pihak dan masyarakat madani untuk bergerak bersama melakukan sesuatu yang penting dan bermakna sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Jika kiranya pemimpin parti politik terus angkuh dan bergerak sendiri dengan tindakan politik yang mengecewakan rakyat, KPRU khuatir, sokongan rakyat akan berlerai menjelang PRU-14.

*  Ooi Heng adalah Pengarah Eksekutif Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Musa Lebih Gentlemen Dari Muhyiddin



Oleh Zabidi Hj Saidi 


Bekas Timbalan Presiden Umno, Musa Hitam lebih gentleman dari Muhyiddin Yassin. Apabila Musa tidak setuju dengan Dr Mahathir Mohamad, beliau meletakkan jawatan sebagai TPM dan Timbalan Presiden Umno pada tahun 1986. Sebaliknya apabila Muhyiddin tidak setuju dengan Najib Razak, beliau terus mengkritik Najib setelah kehilangan jawatan TPM pada Julai 2015.

Sepatutnya apabila Muhyididn tidak bersetuju dengan Najib, beliau meletakkan jawatan timbalan presiden dan bukannya menunggu majlis tertinggi mengantung jawatannya. Semalam secara rasmi MKT menggantung Muhyididn Yasin dari jawatan Timbalan Presiden Umno sehingga pemilihan akan datang.

Ini bermakna Musa lebih gentleman dari Muhyiddin. Ahli ahli Umno Johor mengamuk dan marah kepada Dr Mahathir ketika itu. MKT terpaksa menghantar empat wakilnya ke London untuk memujuk Musa menarik balik keputusannya. Musa menarik balik peletakan jawatan timbalan presiden Umno.

Pada tahun yang sama, Muhyiddin Yasin selaku MB Johor bekerja keras menerangkan tindakan Musa kepada rakyat Johor dan Umno Johor tidak tergugat dalam PRU 1986. Semalam Naib Presiden Umno dari Johor, Hishamuddin Hussein mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi untuk menggantung Muhyiddin.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad mengucapkan tahniah kepada pemimpin Umno Johor yang mempengerusikan mesyuarat MKT menggantung Muhyiddin. Ini bukan soal Johor seperti kata MB Johor, Khaled Nordin tetapi ini soal timbalan presiden yang tidak sebulu dengan presiden Umno lagi.

MKT terpaksa membuat keputusan ini walaupun berat memandangkan PRU semakin hampir. Itu pun mujur Muhyiddin tidak dipecat dari Umno. Seperti kata Nazri Aziz, kesan pemecatan Anwar sebagai TPM lebih kuat dari kesan pemecatan Muhyiddin dari jawatan TPM.

Setiap minggu penyokong Anwar mengadakan reformasi di masjid Kg Baru sebaliknya pemecatan Muhyiddin dari jawatan TPM tidak menimbulkan sebarang protes daripada rakyat. Betul juga kata Nazri yang mengulas kenyataan Mukhriz bahawa pemimpin Umno semuanya mengampu Najib. Menurut Nazri, masa Anwar dipecat dari Umno, walaupun Anwar sahabat baik Nazri tetapi oleh kerana Dr Mahathir adalah boss Umno, maka beliau patuh kepada boss. Ketika itu Nazri pun mengampu ayah Mukhriz.

. Kenyataan Mukhriz terpercik ke mukanya sendiri. Sekarang tugas Khaled Nordin untuk menenangkan rakyat Johor yang tersinggung dengan penggantungan Muhyiddin. Seperti kata Dr Mahathir orang Melayu mudah lupa, maka bila tiba masanya ahli ahli Umno Johor akan pulih kembali. Muhyiddin sudah berikrar akan sehidup semati dengan Umno. Jika beliau keluar dari Umno ini bermakna beliau melanggar sumpahnya sendiri. Kecuali beliau dapat tawaran jadi PM melalui Pakatan Rakyat. Ini bermakna beliau kena menyertai PKR terlebih dahulu.



http://catatanzabidi.blogspot.my

AYUH MUHYIDDIN, MULAKAN GERAKAN RAKYAT SEKARANG JUGA

shahbudindotcom


Kenyataan media Timbalan Presiden UMNO yang digantung jawatannya, Muhyiddin Yassin setelah MT parti bertindak terhadapnya sekurang-kurangnya menggariskan empat fakta penting:-

- perlunya reformasi institusi yang menyeluruh yang bertujuan menghadkan kuasa Perdana Menteri serta menjadikan beberapa institusi seperti Jabatan Peguam Negara, SPRM, PDRM dan BNM mampu berfungsi dengan bebas tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa.

- Najib Razak sedang menggunakan segala kuasa yang ada padanya untuk menekan suara yang menentang dan mendiamkan pengkritik serta keruntuhan institusi demokrasi sedang menjadi tatapan dengan penggantian kemunculan seorang diktator baru.

- telah ditunjukkan bukti oleh bekas Peguam Negara, Gani Patail mengenai kemasukan wang sebanyak RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadi Najib dan ia sah merupakan satu perbuatan jenayah.

- keperluan mengenepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk membentuk satu konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintergriti.

Kenyataan penuh Muhyiddin Yassin boleh dibaca di sini - https://goo.gl/ghPbjP.

Apa yang perlu  Muhyiddin lakukan selepas ini? Masih sesuaikah hanya dengan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan saja?

Sementara Muhyiddin sudah mula mengajak rakyat agar bangun menentang kezaliman dan kemungkaran, menuntut perubahan institusi, menggambarkan munculnya seorang diktator baru dalam negara serta mengesahkan perbuatan jenayah melibatkan seorang Perdana Menteri turut berlaku, tiada pilihan lain yang harus dilakukannya selain terus bergerak ke hadapan.

Bersama pelbagai kelompok lain yang juga mempunyai kebimbangan yang sama seperti parti-parti politik pembangkang, NGO serta disertai oleh Tun Mahathir Mohamad, Shafie Apdal, Mukhriz Mahathir dan lain-lainnya, Muhyiddin sudah sewajarnya menggerakkan program jelajahnya ke seluruh negara mulai sekarang untuk terus menekan dan mengasak Najib secara konsisten dan tanpa henti.

Gerakkanlah kekuatan "berani kerana benar"  yang selalu dilaung-laungkannya sehingga akhirnya bukan saja Najib dapat disingkirkan, bahkan yang lebih penting ialah impian mewujudkan sebuah negara baru dengan refomasi menyeluruh yang dicita-citakan itu.

Apatah lagi Rafizi Ramli sudah pun menghulurkan salam persahabatan kepadanya berikutan keinginan melakukan reformasi institusi itu. Dalam masa yang sama, Anwar Ibrahim juga turut menyebut perkara yang sama.

Jika sekadar mengeluarkan kenyataan demi kenyataan saja, tetapi jasad tetap terkepung di bilik berhawa dingin yang selesa, percayalah bahawa Najib akan terus tersenyum meskipun dilabel sebagai diktator baru atau dicop dengan perlakuan jenayah sekali pun.

Muhyiddin, mulakanlah sekarang dan berhentilah sekadar berpencak di pentas media saja!!

Kita bukan kerajaan kuku besi, diktator, kata Najib

Anne Muhammad  




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak menegaskan bahawa kerajaan yang dipimpinnya bukanlah sebuah kerajaan diktator dan kuku besi.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan mengutamakan kestabilan politik selaras dengan demokrasi berparlimen.
"Kita bukan kerajaan kuku besi dan mengamalkan 'dictatorship'.

“Kita adalah kerajaan yang menyanjung tinggi prinsip demokrasi berparlimen di mana setiap lima tahun kita akan kembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang dikehendaki," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Kompleks Muhibbah di PPR Muhibbah, Puchong hari ini.

Semalam Tun Dr Mahathir Mohamad berkata negara ini sedang menuju ke arah negara diktator seperti Korea Utara.

Mahathir dilaporkan berkata, rakyat kini bimbang diheret ke mahkamah atau dipenjarakan jika mengeluarkan kenyataan yang tidak menyebelahi Najib.

Sementara itu, Najib yang juga menteri kewangan menegaskan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan akan tumbang adalah meleset.

"Sesiapa yang uar-uarkan kerajaan tumbang itu meleset.

"Apa yang boleh saya katakan, Belanjawan lalu diluluskan Parlimen dengan majoriti yang besar, begitu juga dengan rang undang-undang negara boleh diluluskan Parlimen.

"Maknanya kita tidak bimbang dari segi kestabilan politik ," katanya.


Muhyiddin tidak akan dapat tewaskan Najib

Muhyiddin
Muhyiddin. - Foto Sinar Harian Oleh AFIQ RAZALI


SHAH ALAM - Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik berpendapat Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan dapat bertanding dalam pemilihan akan datang untuk menewaskan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Itu tidak akan berlaku. Beliau akan dihalang sebelum pertandingan lagi," katanya yang yakin Muhyiddin tidak akan tunduk pada desakan ahli-ahli MT.

Menurutnya, desakan tersebut muncul setelah melihat Muhyiddin bertindak di luar jangkaan iaitu kembali melawan dan melebarkan pengaruh di kalangan cawangan-cawangan Umno.

"Selagi Muhyiddin masih menjawat Timbalan Presiden, gerakan beliau bertemu Ketua Cawangan adalah sesuatu yang sah dan suaranya di media juga masih laku.

"Hal ini membahayakan Najib dan kumpulannya di dalam tempoh yang tidak terlalu lama. Maka suara-suara mendesak Muhyiddin datangnya dari mereka yang bergantung survival politik dan jawatan mereka pada Najib," katanya kepada Sinar Online.

Petang tadi, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin berkuat kuasa hari ini serta merta.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jawatan Muhyiddin digantung serta-merta]

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Universiti Selangor (Unisel), Dr Shamsinor Abdul Azzis menolak keperluan Muhyiddin menurut desakan beberapa ahli MT yang mahukan beliau meletakkan jawatan.

"Tidak perlu kerana beliau mempunyai kem sendiri. Kadang-kadang sokongan secara senyap pun banyak dan kalau lihat kepada keadaan Umno sekarang ini, boleh dikatakan hanya MT sahaja yang lebih menyokong kepimpinan Umno.

"Tapi tidak di peringkat akar umbi. Sebagai contoh sudah wujud gerakan ketua-ketua cawangan (GKCM). Jadi, saya tak rasa beliau (akan) tunduk berdasarkan desakan ahli MT itu," katanya.


Muhyiddin: Yang terbabit skandal bukan saya

SINAR HARIAN


Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin


SHAH ALAM- Bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempersoalkan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menggugurkannya daripada jawatan kedua tertinggi parti itu.

Katanya, sepanjang beliau memegang tanggungjawab itu, beliau tidak terpalit dengan masalah sebaliknya masalah dalam parti itu dibawa oleh 'orang lain' tetapi akhir-akhir sekali beliau yang 'kena'.

"Yang terbabit dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion bukan saya, tetapi (Datuk Seri) Najib (Tun Razak). Yang menerima RM42 juta duit SRC International bukan saya, tetapi Najib.

"Yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhadapan dengan risiko pendakwaan jenayah bukan saya, tetapi Najib. Yang ditolak oleh sebahagian besar rakyat bukan saya, tetapi Najib.

"Yang menjadi punca segala masalah Umno hari ini bukan saya, tetapi Najib. Peliknya, yang digantung adalah saya, manakala Najib terus bersenang-lenang menikmati kuasa jawatan dan wang yang ada padanya," katanya dalam Facebook rasminya hari ini.

Oleh itu, katanya Majlis Tertinggi lebih mementingkan soal teknikal dalam mengambil tindakan terhadap diri beliau daripada meneliti kandungan ucapan-ucapan beliau yang mempunyai implikasi jauh lebih besar terhadap masa depan Umno dan negara.

"Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri. Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat perakuan kepada MT. Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri sedangkan saya terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk menggantung saya," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dana RM2.6b, SRC: Najib tiada kesalahan jenayah]

Terdahulu pada Januari lalu, Sinar Harian melaporkan Peguam Negara mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkait tiga kertas siasatan melibatkan dana RM2.6 bilion dan kes SRC International yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tan Sri Mohamed Apandi Ali  berkata, dalam kes siasatan dana berjumlah RM2.6 bilion, beliau berpuas hati dengan keterangan saksi dan dokumen berkaitan dikemukakan SPRM menunjukkan dana berjumlah RM2.08 bilion yang dimasukkan ke akaun Najib merupakan sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Manakala, katanya, siasatan berkaitan SRC International di bawah Akta SPRM 2009 mendapati tiada keterangan menunjukkan Najib menyalahgunakan kedudukan beliau semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang memberi kelulusan jaminan kepada wang pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Sementara itu, siasatan di bawah Kanun Keseksaan mendapati tiada keterangan yang boleh menunjukkan Najib mengetahui dan/atau dimaklumkan terdapat kemasukan wang dari akaun SRC ke dalam akaun-akaun beliau.

Rakyat Malaysia disaran labur dalam emas fizikal

SINAR HARIAN


emas


RAKYAT Malaysia disaran memperuntukkan antara lima hingga 10 peratus simpanan emas fizikal daripada portfolio simpanan keseluruhan mereka bagi membantu mengurangkan kesan daripada penurunan nilai ringgit dan pertumbuhan perlahan ekonomi sekarang.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Marketing Sdn Bhd, Datuk Wira Louis Ng Chuu Hau berkata, pelaburan emas fizikal memainkan peranan penting dalam situasi ekonomi berbeza dan ia merupakan instrumen  paling mudah diurusniagakan berbanding  derivatif yang lebih rumit serta mengandungi unsur spekulasi.

"Harga emas ditetapkan berdasarkan harga antarabangsa dan didagangkan dalam mata wang dolar AS,
jadi jika nilai ringgit jatuh berbanding  dolar AS, ia akan memberi kelebihan kepada pemilik emas," katanya kepada pemberita pada Seminar yang bertajuk Emas sebagai Penyelamat kejatuhan Ringgit, di sini, hari ini.

Beliau menjangkakan ringgit akan terus diniagakan pada paras 4.4 hingga 4.5 pada tahun ini, dan ini akan memacu harga emas untuk menjadi lebih tinggi.

Selain itu, katanya, harga emas dijangka terus meningkat selari dengan perdagangan antarabangsa kerana faktor pertumbuhan ekonomi global yang tidak memberansangkan menyumbangkan sentimen positif kepada pasaran emas.

"Memperkukuhkan nilai ringgit bukanlah senang, ditambah lagi dengan faktor kebanyakan bank-bank pusat telah mewujudkan pelan baharu, polisi kadar faedah sifar dan pelbagai program pelonggaran kuantitatif dan ini sebenarnya menyebabkan lebih ramai memilih untuk membeli dan menyimpan emas berbanding menyimpan wang di bank," katanya.

Selain itu, katanya, usaha bank pusat asing yang mengubah pelaburan bon ke dalam bentuk emas fizikal akan turut memberi kesan yang besar kepada permintaan emas dunia.

Seminar yang julung kali diadakan ini yang menggabungkan penceramah daripada sektor pelaburan emas dianjurkan oleh Public Gold dengan kerjasama Agrobank, Pos ArRahnu dan Koperasi Dagang Emas. - Bernama

Muhyiddin: MT tak ikut prosedur, tapi saya tak akan merayu

MALAYSIAKINI




Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau tidak akan merayu terhadap tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung jawatannya sebagai timbalan presiden Umno, walaupun beliau mempertikai cara MT dalam membuat keputusan tersebut.

"Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri.

"Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat perakuan kepada MT.

"Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri sedangkan saya terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk menggantung saya. Walau bagaimanapun, saya tidak akan merayu," kata Muhyiddn dalam satu kenyataan.

Menurutnya, MT lebih mementingkan soal teknikal dalam mengambil tindakan terhadap dirinya "daripada meneliti kandungan ucapan-ucapan saya yang mempunyai implikasi jauh lebih besar terhadap masa depan Umno dan negara".

Hari ini, katanya, tercatat dalam lipatan sejarah Umno, seorang timbalan presiden yang dipilih dalam pemilihan parti digantung daripada jawatannya oleh MT semata-mata kerana tindakannya menegur presiden.

"Nampaknya, kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli parti yang memilih saya sebagai timbalan presiden," tegasnya.

Menurut Muhyiddin lagi, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pada peringkat awalnya, beberapa pemimpin utama Umno datang menemuinya mengadu hal mengenai pelbagai dakwaan yang menyelubungi Najib dan isterinya.

"Mereka meminta saya melakukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan. Mereka bimbang Umno akan ditolak oleh rakyat jika Najib terus memimpin parti.

"Saya katakan kepada mereka bahawa saya tidak boleh memperbetulkan keadaan secara bersendirian. Saya cadangkan supaya mereka bersama-sama secara kolektif menasihati Najib.

"Mudah-mudahan dia bersedia untuk memperbaiki kesilapannya demi menyelamatkan Umno dan negara. Malangnya, mereka tidak berani menasihati Najib.

"Akhirnya, apabila keadaan bertambah teruk saya mengambil tanggungjawab untuk menegur Najib dalam pertemuan empat mata bersamanya, dalam mesyuarat kabinet, mesyuarat MT dan kemudiannya dalam platform parti secara terbuka.

"Apabila saya mula bersuara, orang-orang yang sebelumnya datang menemui saya mula menjauhkan diri daripada saya. Hari ini, orang-orang inilah yang paling lantang mengecam saya," tegasnya..


Muhyiddin: Tuntut perubahan, bukan sekadar desak PM berundur

MALAYSIAKINI




Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata episod hitam yang berlaku di negara telah mematangkan rakyat dan menggesa mereka bersedia bersama menuntut perubahan jika mahu malihat Malaysia kembali sebagai negara yang dihormati dan rakyat hidup lebih sejahtera.

"Saya fikir, episod hitam yang berlaku di Malaysia sedang mematangkan kita.

"Jika kita mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka kita mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan.

"Ia bukan sekadar mendesak perdana menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat.

"Ketepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk membentuk suatu konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintegriti," katanya.

Muhyiddin menegaskan demikian dalam satu kenyataan selepas Majlis Tertinggi Umno menggantungnya daripada jawatan timbalan presiden Umno kerana kritikannya terhadap Najib.

Muhyiddin menganggap keputusan Majlis Tertinggi Umno menggantungnya dari jawatan timbalan presiden Umno, bukan satu perkara yang mengejutkan.

"Sejak saya digugurkan daripada kabinet, saya telah dihalang daripada menjalankan tugas sebagai timbalan presiden. Saya disekat daripada menghadiri program-program parti. Majlis parti yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan.

"Ahli-ahli parti yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah, seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan agung.

"Sepanjang enam tahun saya memegang jawatan timbalan presiden, saya tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawab saya membantu presiden.

"Saya mengetuai jentera pilihanraya BN dalam setiap kali pilihanraya kecil atau pilihanraya umum dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah, maka presiden selaku ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya membantu presiden?

"Saya juga melakukan tugas-tugas lain seperti mempengurusikan mesyuarat pengurusan Umno, mesyuarat pengurusan BN, menyelesaikan masalah-masalah parti, memantapkan jentera pilihanraya, turun ke bahagian-bahagian dan tugas-tugas untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti. Ini bermakna saya telah membantu presiden dalam mentadbir dan mengurus parti.

"Saya juga bertanggungjawab menyampaikan pandangan dan keluhan ahli-ahli kepada presiden serta menegur presiden jika dia melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan Umno. Inilah yang saya lakukan apabila saya menegur presiden berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion.

"Semua ini saya lakukan dengan niat untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti dan mengembalikan kepimpinan Umno ke landasan yang betul supaya Umno terus diterima oleh rakyat. Tetapi saya telah dihukum kerana kononnya saya tidak membantu presiden.

"Adakah membantu presiden itu bermaksud menyokong presiden secara membuta-tuli termasuk mempertahankan kesalahannya? Saya tidak fikir begitu.

"Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam Umno menegurnya dan meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan parti. Jika dia berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang di dalam Umno bersekongkol mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan terpalit kepada Umno," kata Muhyiddin.

Hari ini, katanya, tercatat dalam lipatan sejarah Umno, seorang timbalan presiden yang dipilih dalam pemilihan parti digantung daripada jawatannya oleh MT semata-mata kerana tindakannya menegur presiden.

"Nampaknya, kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli parti yang memilih saya sebagai timbalan presiden," tegasnya.