ARIF ATAN
Hud biarpun tewas berhasrat untuk meneruskan komitmen membantu rakyat Sarawak.
Tanpa mengenal erti putus asa, walaupun tewas sehingga hilang wang
pertaruhan, bekas calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Beting Maro, Andri
Zulkarnaen Hamdan,44, merancang pelan lima tahun untuk membantu
memperjuangkan hak, kebajikan dan keadilan rakyat Sarawak.
Beliau yang ramah berbicara berkata, langkahnya tidak akan terhenti begitu sahaja.
Ketika berucap di Sungai Rambai, Jasin di Melaka semalam, beliau
memberitahu, penyertaan Amanah di gelanggang pilihan raya Sarawak
membuktikan muafakat jentera petugas parti tersebut sebagai yang terbaik
di negeri yang dianggap kubu kuat BN itu.
Walaupun kalah, tapi saya menang kerana mendapat kasih sayang daripada
jentera pilihan raya Melaka dan Biro Tanah Amanah,” ujarnya menghargai
kerja keras jentera pilihan raya Amanah Melaka dan biro berkenaan yang
membantu kempen beliau di Beting Maro, awal bulan ini.
Ketika ditemubual, bapa kepada empat anak ini berkata, beliau sedang
merancang pembentukan Pusat Peduli Rakyat (PPR) bagi meneruskan usaha
menyantuni penduduk tempatan. Badan ini dijangka akan dirasmikan 16 Jun
depan.
“Di Sarawak, PPR pertama adalah di Beting Maro daripada 13 Dun (Dewan
Undangan Negeri) yang Amanah telah tandingi. PPR ini bukan menjadi
tempat memberi bantuan wang sebaliknya pusat sehenti atau platform untuk
kita menyalurkan keperluan masyarakat setempat kepada pihak berwajib,”
jelasnya.
Mengakui pengaruh politik wang yang dominan dalam kalangan pengundi
Sarawak, beliau yang mesra dipanggil Hud berkata, menyedari realiti
politik itu, PPR berkenaan pada masa sama turut berperanan untuk memberi
pendidikan politik kepada pengundi tempatan.
“Ini pastinya bukan kerja mudah dan usaha melahirkan pengundi yang
celik politik ini memerlukan tempoh panjang memandangkan BN sekian lama
mengajar rakyat dengan menabur wang setiap kali musim pilihan raya.
“Amanah di Sarawak cuba untuk mendidik pengundi supaya mereka keluar
daripada kepompong politik pilihan raya yang sempit. ‘Cash is king’
sepanjang berlangsungnya kempen sebelum membuang undi tidak akan
menjamin masa depan lebih sejahtera buat anak-anak Sarawak,” tegasnya
lagi.
Sambil menikmati sarapan di Melaka Sentral, Hud yang juga Pengarah
Pembangunan Kepimpinan Amanah Negeri Sarawak memberitahu masalah sebenar
rakyat di negeri paling besar di Malaysia itu akan berlarutan selagi
kesedaran politik pengundi masih di takuk lama.
“Saya perhatikan sepanjang 11 hari tempoh berkempen, bukan sedikit
yang merungut marahkan kerajaan atas banyak sebab. Paling kritikal, isu
bekalan air bersih, sekian lama tak selesai, pakai air hujan simpan
dalam tong biru 1Malaysia.
“Selain itu, rakyat di Sarawak juga terbeban dengan masalah jalan
raya rosak dan peluang pekerjaan terhad tetapi apabila tiba hari
mengundi, keputusannya kita lihat majoriti tetap pangkah dacing (BN),”
ujarnya.
Hud
(dua dari kini) ketika beramah mesra dengan AJK Amanah Pusat, Mazlan
Aliman di Sungai Rambai, Melaka selepas selesai pelancaran jentera
pilihan raya PRK Sungai Besar.
Pelan lima tahun
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Sarawak terutama golongan
muda yang terdedah kepada akses maklumat ekoran perkembangan media
sosial mutakhir ini untuk berubah kepada politik yang menguntungkan
mereka.
Meskipun karakter Hud dilihat mudah berseloroh tetapi beliau serius
apabila menghuraikan gagasan pembangunan masyarakat Sarawak khususnya di
Beting Maro yang diingininya dalam tempoh lima tahun akan datang ini.
Selain berusaha untuk menangani isu tanah yang mengancam hak rakyat
untuk memiliki tanah dan kediaman, beliau turut berhasrat untuk membantu
meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat s
“Kita akan meneruskan usaha yang dirintis sebelum ini menangani isu
tanah melibatkan 1,000 penduduk di Sepinang dan 217 lagi di Semarang
dengan bantuan peguam Yusri Isahak dari Biro Tanah dan Luar Bandar
Amanah.
“Kami akan berusaha untuk mendapatkan hak penduduk terjejas apabila
tanah mereka telah diambil bagi tujuan projek perladangan. Tindakan
rakus syarikat tertentu mencerobohi tanah didiami penduduk termasuk yang
bergeran dengan alasan mendapat kelulusan kerajaan negeri tidak harus
dibiarkan.
“Bagi tujuan menambah pendapatan isi rumah, saya akan cuba
mengusahakan projek atau program yang dapat membantu bagi tujuan itu,”
katanya yang hanya meraih 103 undi sekaligus hilang deposit berbanding
calon Pas, Hamidah Mokhtar mendapat 3,051 undi pada PRN, 7 Mei lalu.
Walau bagaimanapun, menyedari aspek pembangunan material tidak
mencukupi sekiranya tanpa diiringi pengisian akal dan rohani, Hud
berkata, aspek pendedahan kepada budaya ilmu dan penerapan nilai
pendidikan Islam akan turut dititikberatkan.
“Pendek kata, banyak kerja jangka pendek dan pelan jangka panjang
yang perlu dilakukan mulai sekarang atas kesedaran bahawa usaha merintis
‘hutan’ perjuangan mulai PRN lalu tidak terhenti begitu saja,” jelasnya
yang pernah menduduki jawatan Setiausaha Pas Kawasan Pasir Gudang dan
bekas Ketua Penerangan Pas Johor Bahru sebelum ini.
Justeru, hanya doa dan sokongan semua pihak diharapkan, ujar beliau,
supaya perjuangan Amanah penuh ranjau dan liku di Sarawak konsisten
didorong prinsip peduli rakyat yang menjadi antara akar kepada penubuhan
Amanah di negara ini.
“Insya-Allah berkat sokongan dan bantuan semua, kita dapat melahirkan
masa depan lebih cerah dan sejahtera buat rakyat di Sarawak,” tambah
Hud lagi mengakhiri temubual santai hampir setengah jam itu.
Masalah
bekalan air kritikal di Sarawak dengan majoriti penduduknya bergantung
pada air hujan yang disimpan dalam tangki 1Malaysia