HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 September 2016

Pemandu teksi ikrar akan terus lawan Spad

HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Zailani Isausuludin. Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari SallehZailani Isausuludin. Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Salleh


Kira-kira 300 pemandu teksi dari seluruh semenanjung Malaysia hari ini berikrar akan bersatu meneruskan perjuangan menghapuskan kemunculan perkhidmatan kereta sapu profesional, Uber, Grabcar dan Blacklane yang didakwa beroperasi secara haram.

Mereka berhimpun di hadapan Mahkamah Tinggi Jalan Duta dari pagi sehingga tengah hari sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung permohonan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk membatalkan saman yang difailkan 102 pemandu teksi.

Ikrar itu dibuat selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang tidak berpihak kepada mereka.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan  Spad untuk membatalkan saman yang difailkan 102 pemandu teksi pada Disember tahun lalu.

Kengadharan meminta mereka memberikan bukti bukti yang kukuh bahawa pendapatan mereka terjejasKengadharan meminta mereka memberikan bukti bukti yang kukuh bahawa pendapatan mereka terjejasSaman berkenaan berhubung perkhidmatan kereta sapu profesional, Uber, Grabcar dan Blacklane yang didakwa beroperasi secara haram.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu selepas mendapati 102 pemandu teksi berkenaan selaku plaintif gagal memplidkan klausa tindakan munasabah terhadap Spad selaku defendan.

Mahkamah juga memutuskan plaintif menggunakan cara yang salah untuk memulakan tindakan terhadap defendan.

Kesemua plaintif juga diarah membayar kos RM5,000 kepada defendan.

Justeru peguam yang mewakili mereka, Kengadharan meminta mereka memberikan bukti-bukti yang kukuh bahawa pendapatan mereka terjejas akibat kemunculan kereta sapu profesional ini.

“Walaupun kita kalah hari ini tetapi kita harus berbangga kerana dalam sejarah belum ada pemandu teksi bawa Spad ke mahkamah

“Tuan-tuan kena terus perjuangkan kerana ini baru titik permulaan.

“Kita kena buat beberapa keputusan. Kalau kita mahu merayu, rayuan perlu dibuat dalam masa 30 hari dari hari ini dan tuan-tuan kena mengemukakan segala bukti untuk saya berhujah di mahkamah,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang Zailani Isausuludin pula menyeru semua pemandu teksi bersatu hati untuk menentang tindakan Spad yang terus membenarkan perkhidmatan Uber,Grabcar dan Blacklane.

“Kita akan terus cari jalan bagaimana nak turunkan Tan Sri Syed Hamid Albar yang mempengerusikan Spad.

“Kita ada mahkamah rayuan dan kita akan teruskan perjuangan,” katanya.

Kira-kira jam dua petang tadi mereka bergerak ke Putrajaya bagi menyerahkan memorandum kepada pejabat Perdana Menteri.

Uber dan Grabcar adalah perkhidmatan teksi yang mengunakan sistem e-hailing sebagai perkhidmatan perantara antara pelanggan dan pemandu teksi.

E-hailing itu sudahpun dibuat oleh kerajaan sebelum munculnya Uber dan Grabcar dengan beberapa syarikat pengendali tempatan.

Kajian: Sokongan kepada BN memuncak ketika pilihan raya

Geraldine Tong 


Satu kajian yang dijalankan oleh badan pemikir kerajaan negeri Selangor mendapati bahawa walaupun parti-parti pembangkang menjadi pilihan pengundi buat masa ini, namun sokongan kepada BN mampu memuncak sehingga 15 peratus ketika musim pilihan raya.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Profesor Datuk Mohammad Redzuan Othman berkata, ini berdasarkan pelbagai strategi yang digunakan BN sepanjang tempoh pilihan raya.

Strategi itu, katanya, termasuk "perubahan pentadbiran" oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, media dan politik wang.

"Bagi Pakatan Harapan, peningkatan sokongan semasa musim pilihan raya, paling banyak adalah hanya lima peratus," kata Mohammad Redzuan semasa pembentangan hasil kajian di Shah Alam hari ini.

Kajian itu dijalankan di seluruh Selangor dari 26 hingga 30 Ogos lalu, melalui temu bual secara langsung dengan sampel responden yang mewakili penduduk negeri itu.

Dalam pertandingan dua penjuru, kajian itu mendapati BN kemungkinan besar akan kalah bila berdepan dengan mana-mana parti pembangkang.

Dalam kes itu, DAP memperolehi majoriti paling rendah, iaitu 51 peratus manakala PKR menikmati majoriti paling besar, iaitu 63 peratus undi.

Mohammad Redzuan juga menafikan dakwaan bahawa rakyat mulai letih dengan politik kerana kajiannya mendapati 78 peratus daripada responden teruja untuk mengundi pada pilihan raya umum akan datang manakala hanya 22 peratus yang tidak tidak berminat.

Konvoi Bersih 5 dapat kerjasama polis

MALAYSIA DATELINE
 
 
Bersih 5Bersih 5


Konvoi Bersih 5 yang diadakan sebelum menjelang perhimpunan Bersih 5 pada 19 November mendapat kerjasama polis.

Jawatankuasa Konvoi Bersih 5 bagi peringkat Timur, Muhammad Safwan Anang, berkata malah polis turut memberi cadangan laluan difikirkan sesuai.

“Kami mendapat kerjasama baik polis dan sebelum ini juga satu perbincangan dengan polis Kota Bahru diadakan.

“Oleh kerana peringkat Kota Bahru melibatkan konvoi berbasikal di tengah bandar, maka Ketua Polis Daerah Kota Bahru mencadangkan perubahan laluan.

“Maka ada sedikit perubahan laluan tetapi tempat pelancarannya dan laluan lain tetap sama,” kata Muhammad Safwan.

Beliau berkata demikian pada sidang media Bersih 2.0 di Pejabat Bersih 2.0 di Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini seperti dilaporkan Selangorkini.

Jelasnya, ini membuktikan perhimpunan anjuran Bersih 2.0 semakin diterima pihak berkuasa itu.

Timbalan Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari, berkata semua penyelaras mematuhi peruntukan ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman dengan notis 10 hari dikemukakan bagi kawasan pelepasan konvoi.

“Setiap jawatankuasa juga menguruskan keselamatan, bantuan perubatan dan bantuan guaman untuk peserta yang mengambil bahagian,” katanya.

59% sokong PH, BN 29% di Selangor jika PRU diadakan sekarang

BORHAN AHMAD
 
 
Kajian PRU di Selangor oleh IDEKajian PRU di Selangor oleh IDE


Kajian yang dibuat oleh Institut Darul Ehsan  (IDE) mendapati 59 peratus  pengundi di Selangor akan menyokong Pakatan Harapan  dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang jika berlaku sekarang.

Hanya 29 peratus  sahaja menyokong Barisan Nasional (BN) dalam kajian yang dibuat oleh IDE itu, kata Timbalan Pengerusi IDE, Prof Datuk Dr Redzuan Othman.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bertajuk 'Isu dan Persepsi Pengundi Selangor, Survei IDE'  di Shah Alam hari ini.

Analisis jika berlaku pertandingan tiga penjuru di Selangor menurut IDE, badan yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan Azmin Ali.Analisis jika berlaku pertandingan tiga penjuru di Selangor menurut IDE, badan yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan Azmin Ali.Bagaimanapun, kata Redzuan, kajian IDE juga menunjukkan, BN akan menang di Selangor jika pertandingan tiga penjuru berlaku di negeri itu.

"BN akan menang samada sebelum persempadanan semula kawasan pilihan raya ataupun selepas persempadanan semula," kata Redzuan kepada Malasia Dateline ketika ditemui selepas perbentangan itu.

Ini kerana, kata bekas pengarah Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel), Pas dan Umno masing-masing mempunyai pengundi tegar yang tidak akan  berganjak.

Oleh itu, apa yang diperlukan untuk mempastikan BN boleh dikalahkan adalah dengan memastikan pertandingan dua penjuru antara BN dengan parti pembangkang berlaku.

"Jika Pas menyertai pilihan raya akan datang dengan tiga penjuru dengan BN dan Pakatan Harapan, hampir kesemua kerusi Pas akan kalah di Selangor," katanya.

Beliau maramalkan, Pas akan kembali ke zaman pilihan raya 2004 tolak penyokong Amanah jika masuk dengan tiga penjuru.

42% setuju Pakatan Harapan alternatif terbaik untuk Selangor

 BORHAN AHMAD
 
 
Kajian yang dibuat oleh Institut Darul Ehsan (IDE).Kajian yang dibuat oleh Institut Darul Ehsan (IDE).


Kajian yang dibuat mendapati Pakatan Harapan merupakan alternatif terbaik untuk kekalkan pentadbiran negeri Selangor.

Menurut kajian yang dibuat oleh Institut Darul Ehsan (IDE), 42% respondan yang ditanya olehnya menjawab 'ya' manakala 38% tidak pasti manakala 20% berkata tidak.

Dalam kajian itu, respondan ditanya, "PH adalah alternatif terbaik untuk mengekalkan pentadbiran negeri Selangor".

Berdasarkan kajian itu, Cina paling ramai menyokong PH alternatif terbaik dimana 49% dari respondan menyatakan "ya" untuk soalan itu, manakala 48% respondan India pula memberikan jawapan tidak pasti.

RUU 355 bukan perkasa Mahkamah Syariah, kata bekas hakim

HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff 
Orang Islam harus menyokong pemerkasaan Mahkamah Syariah namun bukan melalui Rang Undang-undang (RUU) 355, tegas bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff.

Beliau berkata, RUU persendirian untuk meminda Akta 355 Mahkamah Syariah yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersifat kabur dan akan mendatangkan fitnah kepada Mahkamah Syariah.

Malah katanya, langkah dibuat Presiden Pas itu akan mengundang cabaran di mahkamah dan mungkin akan dicabar atas alasan bercanggah dengan perlembagaan.

“RUU 355 setakat yang kita lihat perlu dibantah
sebab pada akhirnya ia akan mendatangkan fitnah kepada Mahkamah Syariah.

“Sebagai seorang Islam kita perlu menyokong usaha memperkasa mahkamah syariah tapi ini (RUU355) bukan caranya.
“Segala hal berkaitan cerai, pembahagian harta dan hak penjagaan semua dibuat melalui Mahkamah Syariah. Tidak ada sebab kerja-kerja baik Mahkamah Syariah difitnahkan melalui RUU ini,” katanya dalam forum Benarkah Pindaan RUU 355 Memperkasakan Mahkamah Syariah? di Rumah Gerak Budaya, Petaling Jaya malam tadi.
Sebelum ini, Parti Amanah Negara (Amanah) berpendapat Seksyen 2A dalam RUU tersebut tidak menyebut bentuk dan had hukuman.

Melalui Seksyen 2A, bentuk dan had hukuman boleh dikenakan Mahkamah Syariah kecuali “yang dibenarkan oleh undang-undang syariah selain dari hukuman mati”.

Amanah turut berpendapat Seksyen 2A yang dicadangkan seolah-olah memberikan ‘cek kosong’ kepada Mahkamah Syariah dalam persoalan bentuk hukuman dan hadnya, selain hukuman mati.

Turut menjadi ahli panel dalam forum tersebut ialah peguam Wan Anwar Wan Ibrahim yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional dan peguam William Leong yang juga ahli Parlimen Selayang sementara Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Dr Siti Mariah Mahmud yang juga ahli Parlimen Kota Raja sebagai moderator.

Forum Benarkah Pindaan RUU 355 Memperkasakan Mahkamah Syariah? di Rumah Gerak Budaya Petaling Jaya semalam.-Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Wan Salleh.Forum Benarkah Pindaan RUU 355 Memperkasakan Mahkamah Syariah? di Rumah Gerak Budaya Petaling Jaya semalam.-Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Wan Salleh.
 

Idris Haron minta SPR kaji persempadanan semula kawasan pilihan raya

BERNAMA
 
 
Datuk Seri Idris HaronDatuk Seri Idris Haron
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu.

Idris yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri berharap agar Melaka mendapat pertambahan tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) termasuk beberapa pengubahsuaian di peringkat parlimen dalam daerah Melaka Tengah.

"Namun nampaknya SPR membuat (persempadanan semula mengikut) kehendak dan keperluan mereka dan saya memohon supaya SPR melihat semula apa yang telah dirancang di Melaka.

"Saya telah mengaturkan gerakan parti politik untuk membantah jika cadangan SPR tidak memberi manfaat sama ada kepada parti mahupun Melaka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri anjuran Jabatan Belia dan Sukan Melaka semalam.

Idris yang juga Adun Sungai Udang berkata beliau telah mengarahkan semua ketua parti di peringkat bahagian supaya menyatakan bantahan secara terperinci kepada SPR.

Sementara itu di Ipoh, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata Umno Bahagian Pasir Salak akan mengemukakan bantahan berkaitan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dicadangkan SPR.

Beliau berkata persempadanan semula kawasan akan merugikan Barisan Nasional (BN) dan Umno kerana seramai 5,000 pengundi di kawasan parlimen itu akan dimasukkan ke dalam kawasan Parlimen Teluk Intan.

Tegas Tajuddin, kawasan Pasir Salak telah lama menjadi kubu kuat BN dan sekiranya perkara itu diteruskan, ia hanya memberi keuntungan kepada pihak pembangkang.

"Jangan sampai yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran, hanya kerana nak menang di tempat yang kita kalah, tempat yang kita menang pun boleh kalah. Oleh itu saya menolak sekeras-kerasnya cadangan ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Antarabangsa TAJ kali ke-6 di sini, hari ini.

Beliau turut menggesa SPR serta pimpinan tertinggi BN mengkaji semula cadangan itu supaya tidak memberi kesan buruk kepada parti mahupun calon yang bertanding.

ALAMAKKK....NAMA PAK LAH PUN TERBABIT JUGA!!

 shahbudindotcom


Ada dua persoalan utama timbul berikutan laporan terbaru oleh Free Malaysia Malaysia berkaitan sijil halal kedua yang mahu dikeluarkan oleh Risda dengan dengan kerjasama Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia atau Ikiam.

- Ikiam adalah sebuah NGO yang dinaungi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

- Ikiam dipengerusikan oleh Zahidi Zainul Abidin yang juga merupakan Pengerusi Risda. Zahidi, dalam masa yang sama merupakan Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Perlis.
 
 
 
 
Dalam persoalan pertama, dengan merancang mahu mengeluarkan sijil halal kedua untuk usahawan Bumiputera, apakah Ikiam yang dinaungi oleh Pak Lah sedar bahawa tindakan itu adalah bertentangan dengan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Jakim sendiri?

Jika Ikiam tidak sedar mengenainya, apakah Pak Lah sebagai bekas Perdana Menteri turut tidak menyedarinya juga?

Dalam hal ini, pernahkah Ikiam meminta pandangan dan nasihat daripada Pak Lah terlebih dahulu sebelum mahu mengeluarkan sijil halal kedua tersebut?

Berkaitan persoalan kedua pula, tidakkah macam pelik apabila Risda dan Ikiam menjalinkan kerjasama sedangkan kedua-duanya dipengerusikan oleh orang yang sama?
 
 
 
 
Jika pengeluaran sijil halal itu melibatkan bayaran tertentu yang perlu dibuat oleh usahawan Bumiputera dan merupakan pendapatan kepada  Risda dan Ikiam, tidakkah ini bermakna terdapat percanggahan kepentingan yang telah dilakukan oleh Zahidi selaku pengerusi kepada kedua-duanya?

Atau mungkinkah Risda sedang dijadikan "kenderaan"  untuk memberi pendapatan kepada Ikiam sebagai sebuah NGO? 


Najib yang ada kuasa dan perlu diserang, bukan Mahathir

MOHD ALI HASHIM
 
 
Mohamad Sabu menerima kemasukan ahli baru dari keturunan India dan penubuhan cawangan baru Amanah bagi Parlimen LarutMohamad Sabu menerima kemasukan ahli baru dari keturunan India dan penubuhan cawangan baru Amanah bagi Parlimen Larut


Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyatakan Tun Mahathir Mohamad sudah tidak perlu diserang tatkala ini, kerana beliau tidak lagi mempunyai kuasa seperti Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah katanya, serangan terhadap Perdana Menteri adalah suatu kemestian kerana ia mempunyai kuasa yang mampu untuk melakukan apa saja kerosakan terhadapa rakyat sepertimana yang sedang dilakukan kini.

Menurut beliau lagi, Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diluluskan memberi kuasa meluas kepada Najib selaku Perdana Menteri untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai zon darurat.

"Akta MKN ini menjadi senjata untuk Perdana Menteri menyekat suara rakyat dari terus mengkritiknya termasuklah skandal 1MDB.

"Kuasa yang ada pada Najib akan menggalakkan banyak lagi kemungkaran yang boleh dilakukan.

"Jika pada zaman Mahathir banyak berlaku kerugian, sebaliknya pada zaman Najib banyak berlaku kecurian dan merompak wang rakyat, " tegasnya lagi ketika berucap pada program pelancaran Amanah kawasan Larut.

`Beliau juga berkata, negara kini mengalami kerugian besar apabila Perdana Menteri tidak berani untuk menampakkan dirinya dalam beberapa program besar di Eropah dan Amerika.

"Kenapa mesti wakilkan kepada Zahid sedangkan Perdana Menteri berada dalam negara.

"Apa yang menyekat Najib untuk hadir di Amerika dan juga Eropah dalam beberapa program yang sepatutnya dihadiri oleh Perdana Menteri.

"JIka Perdana Menteri tidak berani untuk melawat Eropah dan hadiri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk apa lagi beliau menjadi Perdana Menteri, " tanya beliau lagi.

Sehubungan itu katanya, adalah lebih baik bagi Najib untuk melepaskan jawatan dan memberi peluang kepada mereka yang berani unutk membela nasib rakyat menggantikannya dengan segera.

Beliau juga berkata pemimpin negara seperti Najib seharusnya merasa malu apabila negara turut dilabel sebagai sebuah negara kliptokrasi yang menjurus kepada unsur-unsur penyamun dan pencurian dana rakyat oleh pemimpin negara.

Ujarnya lagi, Amanah sudah pun bersedia untuk menjadi pembela bagi memperjuangkan nasib rakyat yang tidak mendapat pembelaan sewjarnya dari kerajaan Umno dan BN yang sedang memerintah.

Ia juga berkata, siapa saja yang bersekongkol dengan Umno dan BN tidak harus diberi mandat dan sokongan walaupun parti tersebut melaung-laungkan dirinya sebagai opsisi, sebaliknya tidak pada hakikatnya.

Oleh kerana itu, mana-mana parti atas apa jua jenama yang mereka gunakan selagi tunduk kepada parti pemerintah harus dinyahkan dari bersama-sama untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya umum ke 14 yang akan datang.

Dalam kesempatan yang ada, Mohamad Sabu turut menerima kemasukan ahli baru dari keturunan India dan penubuhan cawangan baru Amanah bagi Parlimen Larut.

Hadir sama dalam program di Pekan Selasa,Batu Kurau tersebut ialah Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Alwi serta Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Tanam ganja: Pelakon drama, anak 'Datuk' ditahan polis

SINAR HARIAN
Tanam ganja: Pelakon drama, anak 'Datuk' ditahan polis
Pokok ganja yang merupakan antara barang rampasan selain pedang samurai dan senjata lain, semasa sidang media Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh (dua,kiri) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama 
 
 
KUALA LUMPUR - Seorang pelakon drama dan seorang anak 'Datuk' adalah antara tiga lelaki yang ditahan di sebuah banglo di Jalan Ampang Ulu di sini kerana disyaki terlibat dalam penanaman pokok ganja, mengguna dan menjual dadah itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, turut ditahan seorang lelaki warga Filipina yang bekerja di sebuah syarikat pengurusan teknologi maklumat di sini.

Katanya, ketiga-tiga suspek berusia antara 29 dan 36 tahun, termasuk anak kepada pemilik banglo berkenaan yang turut memiliki sekolah persendirian antarabangsa, ditahan dalam serbuan pukul 12.40 tengah hari Sabtu lalu

"Pemeriksaan ke atas rumah itu turut menjumpai tiga pasu disyaki pokok ganja berketinggian 19 hingga 100 sentimeter, dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan berat lebih 400 gram dan satu tiub straw mengandungi benih disyaki benih ganja," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, turut dirampas adalah bahan dan peralatan menanam pokok ganja, empat pistol angin pelbagai jenis, dua senapang angin pelbagai jenis, tujuh pedang samurai dan 19 pisau pelbagai jenis, sehelai vest polis dan satu lampu beacon.

"Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM25,000," katanya.

Mengulas lanjut, Amar Singh berkata, benih itu dipercayai diseludup dari United Kingdom dan aktiviti menanam ganja berkenaan dikatakan aktif sejak empat bulan lepas.

Katanya dadah berkenaan dipercayai digunakan untuk kegunaan sendiri selain dijual.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas ketiga-tiga suspek juga didapati positif dadah, dan kesemua mereka ditahan reman selama enam hari bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. - Bernama