HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 November 2017

Kita tak boleh jadi bodoh atau oportunis, kata Aziz Bari

MALAYSIAKINI

Kenyataan pakar perlembagaan Dr Aziz Bari mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

Malaysiakini difahamkan terdapat pemimpin DAP dan BERSATU yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan bekas pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu.

Ketika dihubungi Aziz yang merupakan anggota DAP, enggan memberi komen sama ada kenyataan itu telah menimbulkan kecaman.

Bagaimanapun, Aziz berkata pandangannya bukan mengenai politik tetapi soal prinsip.

"Saya fikir kita mempunyai hak untuk tidak dilihat sebagai sekumpulan orang bodoh dan oportunis politik.

"Saya mengatakan sesuatu mengenai prinsip, iaitu mengenai hakikat bahawa kerajaan bertanggungjawab (terhadap Operasi lalang dan kes liwat Anwar Ibrahim).

"Ia bukan mengenai politik. Dan saya rasa politik harus berdasarkan prinsip," kata Aziz kepada Malaysiakini.

Beliau berkata Pakatan Harapan mesti menunjukkan tahap komitmen terhadap perbezaan pendapat berkaitan isu-isu penting yang mempengaruhi negara.


 
 
Semalam, pakar perlembagaan itu mengatakan adalah salah bagi Mahathir (gambar) untuk terus menegaskan bahawa dia bertindak atas nasihat polis berkenaan Operasi Lalang dan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 Operasi Lalang merupakan operasi penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987, yang menyaksikan ramai ahli politik dan aktivis pembangkang ditahan tanpa bicara.
 
Aziz berkata dari sudut pandangan moral, lebih baik bagi Mahathir, yang kini mengetuai Pakatan Harapan (HARAPAN) mengakui kesilapannya.
 "Kita tahu Mahathir sedang bermain politik tetapi dalam proses itu, dia telah memperbodohkan dirinya sendiri," katanya.

Aziz juga menggesa HARAPAN menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti perkara itu ini jika gabungan tersebut membentuk kerajaan persekutuan.

Laman pro-Najib: Hasmah taat 'mengkhinzir’ buta

MALAYSIAKINI

Laman pendukung Datuk Seri Najib Razak MYKMU menyelar pendirian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang tidak bertudung kerana dilarang suaminya Tun Dr Mahathir Mohamad.

MYKMU berkata, mengikut Islam, isteri hanya wajib taat kepada perintah suami selagi tidak bercanggah dengan perintah Allah dan rasul.

“Kalau apa suami suruh pun buat, itu bukan taat mengikut kehendak agama, itu taat 'mengkhinzir' buta namanya.

“Ini baru satu bab (tudung), kalau suami suruh buat benda yang lebih dahsyat lagi, mencuri contohnya, nak ikut juga ke?” menurut tulisan Adamyan itu.

MYKMU bagaimanapun tidak menamakan Hasmah secara langsung, tetapi memuat naik rakaman skrin berita Malaysiakini berkaitan perkara itu dengan menggelapkan perkataan Hasmah dan sebahagian mukanya.

Malaysiakini hari ini melaporkan Hasmah mendedahkan sebab beliau tidak bertudung ketika menjawab soalan berkaitan larangan bertudung terhadap pekerja kaunter hadapan di sesetengah hotel di Malaysia.

Hasmah mengakui teringin bertudung selepas pulang dari Mekah tetapi dilarang oleh suami.

Sementara itu, MYKMU juga berkata keaiban sebegitu tidak patut didedahkan.

“Kalau suami mungkin terkhilaf tentang sesuatu perkara berkaitan hukum, isteri janganlah dengan senang dan bangganya memberitahu kepada dunia.

“Apatah lagi ini suami yang mengaku membaca al-Quran dan dengan itu faham akan Islam lebih dari orang lain yang tak berapa nak membaca ni,” katanya.

Laman itu juga cuba mengaitkannya dengan pegangan Islam keluarga Mahathir.

“Begitupun, beginilah gamaknya gambaran keseluruhan pegangan Islam yang dipegang oleh keluarga ini agaknya ya.

“Padanlah dari mak, sampai ke anak, cucu dan sebagainya, semuanya nampak tidak menerapkan nilai-nilai yang orang Islam semua faham,” katanya.

Bantuan banjir: PKR mula berbalah dengan DAP

MALAYSIAKINI
 


Pemimpin PKR menggesa isu membabitkan bantuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang diselesaikan untuk mengelakkan konflik yang lebih besar dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Naib Presidennya, Tian Chua juga menggesa kerajaan negeri mengkaji semula keputusannya menghalang ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng dari parti itu menguruskan pendaftaran mangsa banjir.



"Saya tidak tahu apa yang salah Cheah lakukan. Saya tidak tahu kenapa (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng menghalangnya.

"HARAPAN harus mencari penyelesaian secepat mungkin untuk mengelakkan perkara itu daripada menjadi lebih buruk dan memberi peluang kepada musuh untuk mensabotaj kita," katanya kepada Malaysiakini.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam kiriman mesej kepada Malaysiakini berkata PKR Pulau Pinang akan bertemu dengan ketua menteri untuk menyelesaikan perkara itu.

Terdahulu, Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman menyatakan sokongan terhadap Cheah yang dilarang menguruskan pendaftaran mangsa banjir oleh kerajaan negeri.


Mansor yang juga bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkata, penyerahan pengurusan bantuan banjir di Kebun Bunga kepada ADUN DAP Pulau Tikus Yap Soo Huey juga langkah meminggirkan PKR dalam kerajaan negeri.

Mansor juga menolak alasan Lim yang mengatakan terdapat perubahan prosedur dalaman berhubung perkara itu sebagai “naif dan tidak boleh diterima”.

Cheah, yang berkecuali ketika undian yang usul Umno berkenaan penambakan tanah dua tahun lalu, dilarang menguruskan bantuan RM700 melalui surat bertarikh 20 November lalu daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus.

Tiada alasan diberikan.


Cheah dan empat ADUN PKR lain sebelum ini berselisih pendapat dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng selepas berkecuali dalam pengundian usul Umno untuk menghentikan semua projek penambakan pada 2015.

Lim mendakwa mereka cuba mensabotaj kerajaan Pulau Pinang. Cheah juga dipecat daripada jawatan pengarah Penang Hill Corporation.

Cheah pada 10 November lalu juga mempersoal pengkorporatan Penang Botanic Gardens.

Selain beliau, ADUN Permatang PASIR Salleh Man daripada PAS juga tidak dibenarkan menguruskan pemohon bantuan mangsa banjir.

Johor perlu ambil serius amaran Bank Negara, sediakan rumah mampu milik untuk rakyat






Kerajaan Negeri Johor digesa mengambil serius amaran keras Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung ketidakseimbangan pasaran harta tanah yang semakin kritikal di negeri itu dan mengambil langkah segera dan berkesan bagi memenuhi keperluan rakyat untuk mendapatkan rumah kediaman yang sesuai dengan kemampuan mereka.

Sehubungan itu naib presiden Pakatan Harapan (PH) Salahuddin Ayub (foto) mahu kerajaan negeri memastikan penyediaan rumah mampu milik di Johor diselia dengan baik dan lebihan rumah yang tidak terjual ekoran harga yang tinggi diatasi.

Salahuddin yang juga timbalan presiden AMANAH memetik laporan Buletin Suku Tahunan 2017 BNM yang mendedahkan bahawa Johor mempunyai jumlah rumah tidak terjual tertinggi di Malaysia pada kadar 27% daripada jumlah hartanah yang tidak terjual di negara ini.
“Punca kepada banyak rumah tidak terjual adalah disebabkan oleh ketidakpadanan harga rumah dengan kemampuan isi rumah di Johor yang semakin hari semakin kritikal.
“Kewujudan rumah-rumah mahal atau tidak mampu milik semakin mendominasi pasaran perumahan di Johor,” katanya.

Keadaan ini, ujarnya mengakibatan semakin ramai generasi muda di Johor yang tidak memiliki rumah dan tidak hairanlah jika BNM memberi amaran keras kepada kerajaan negeri.

“Saya menggesa agar Kerajaan Negeri Johor berhati-hati dalam meluluskan sebarang projek perumahan akan datang.

“Saya juga ingin memetik laporan rasmi oleh Khazanah Research Institute (KRI) dalam laporannya ‘Making Housing Affordable’ yang juga meletakkan Johor sebagai julat 4.2 pada tahun 2016 yang meletakkan rumah di Johor sebagai ‘seriously unaffordable’ atau sangat tidak mampu milik berdasarkan pendapatan median rakyat Johor,” tegas Salahuddin.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepincangan ini tidak dibiarkan berlarutan sehingga pihak lain terpaksa membantu membina rumah mampu milik bagi memenuhi permintaan rakyat negeri ini.

“Justeru, saya ingin memberi amaran kepada Kerajaan Negeri Johor untuk bertindak segera agar masalah ini tidak berlarutan dan rakyat mendapat manfaat yang terbanyak dalam sebarang pembinaan rumah kediaman di Johor,” tegasnya lagi.

Jangan ceroboh kawasan pepasangan TNB

TH EMALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Orang ramai dilarang sama sekali menceroboh kawasan pepasangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk menara talian dan pencawangnya bagi mengelak risiko kemalangan elektrik.

Naib Presiden (Grid) TNB, Datuk Ho Peng Choong berkata terdapat risiko renjatan serta pancaran arka daripada arus bervoltan tinggi yang boleh menyebabkan kecederaan serius dan kehilangan nyawa.

“Ia juga boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan gangguan bekalan kepada pengguna yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peringatan itu dikeluarkan susulan kejadian seorang lelaki dilaporkan memanjat menara talian penghantaran TNB di Bangsar beberapa hari lalu, untuk merakamkan swafoto bagi menyambut hari lahirnya.

Selain itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan membawa peralatan panjang seperti galah di bawah talian atau memancing di kolam atau tasik di kawasan berdekatan talian atas bervoltan tinggi.

“Sebagai syarikat yang prihatin terhadap aspek keselamatan elektrik, TNB memohon kerjasama semua agar menjauhi kawasan TNB yang dipasang papan tanda kawasan larangan demi mengelakkan perkara tidak diingini,” katanya.–Bernama

Tian Chua kesal Mahathir tidak ambil iktibar tercetusnya gerakan Reformasi



Tian Chua kesal Mahathir tidak ambil iktibar tercetusnya gerakan Reformasi



Pada ketika Pakatan Harapan sedang mengumpul seluruh kekuatan dan membina momentum untuk bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, sesetengah pihak akan terus berusaha membangkit isu-isu yang berniat menyemai rasa syak wasangka untuk memecah kesepakatan di kalangan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua berkata, niat taktik ini adalah untuk mengalih pandangan rakyat dari isu-isu besar dalam politik dan ekonomi yang sedang dihadapi negara.

Tindakan membangkit semula tohmahan dan dakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah usaha terdesak untuk membunuh watak beliau.

“Saya kesal dengaan keputusan Dr Mahathir untuk menjawab soalan diajukan kepadanya.

“Penangkapan DS Anwar pada 1998 yang diikuti dakwaan dan sabitan berkait rasuah dan liwat telah membangkitkan kemarahan rakyat malah juga di seluruh dunia.

“Sabitan-sabitan tersebut telah dikutuk secara meluas sebagai usaha penipuan dan hasil daripada proses kehakiman yang lompang.

“Bukan DS Anwar sahaja yang teraniaya; beribu-ribu orang yang telah mengambil bahagian dalam perhimpunan aman telah ditindas. Ramai aktivis telah ditangkap dan ditahan.

“Kezaliman-kezaliman inilah yang menjadi pencetus kepada pergerakan Reformasi,” ujarnya.

Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir, pada 21 November dalam sesi soal jawab secara langsung menerusi facebookknya, telah secara tidak sengaja dakwa Tian Chua, bahawa Dr Mahathir terkena perangkap musuh politik apabila diminta komen berkenaan satu dakwaan palsu yang dibuat terhadap DS Anwar pada 1998.

Bekas perdana menteri itu menjawap soalan daripada pengerusi Kumpulan Multimedia Thailand, Suthichai Yoon yang menyoal sama ada Dr Mahathir menyesal memperlakukan Anwar seperti yang dilakukannya.

Dr Mahathir  sekali lagi mempertahankan keputusannya untuk memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1998.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, beliau “bertindak mengikut situasi ketika itu” walaupun dirakamkan pernah berkata bakal penggantinya ketika itu dari segi moral tidak layak memimpin negara.

Kata Tian Chua lagi, pengalaman perit yang dialami negara pada ketika itu, ujarnya, perlu menjadi iktibar dan peringatan bahawa institusi-institusi perlu direformasi.

“Kini kita sedar bahawa kelemahan institusi-institusi penting telah membolehkan salah guna kuasa dan pelanggaran hak asasi manusia terhadap begitu ramai pejuang, khusus DS Anwar.

“Walaupun kita mungkin di landasan politik berbeza suatu ketika dahulu, saya tetap menghargai kesanggupan Tun Dr Mahathir untuk mengakui bahawa apabila seseorang itu memegang terlalu banyak kuasa, rasuah dan salah guna kuasa akan berleluasa.

“Beliau telah mengambil langkah yang cukup berani untuk bersama gerakan reformasi untuk menangani krisis yang dialami negara akibat kepimpinan yang korup dan kleptokratik.

“Kita ada matlamat bersama iaitu untuk mengubah kepimpinan yang korup ini, untuk mereformasi institusi-institusi demokrasi kita, dan untuk memperbaiki sistem politik yang rosak. Saya harap semua pimpinan dalam perjuangan ini akan lebih prihatin dan mengelak dari terperangkap dalam isu-isu yang menguntungkan musuh politik kita.

“Marilah kita memberi fokus kepada cabaran-cabaran yang dihadapi negara serta menunjukkan kepimpinan yang benar-benar mampu membawa rakyat ke arah Malaysia yang lebih baik,” ujarnya.

Banjir: Kerugian petani di Kedah, P.Pinang cecah RM27.7 juta

THE MALAYSIAN TIMES
 


PENDANG: Jumlah kerugian yang dialami golongan petani ekoran bencana banjir yang melanda Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini dianggarkan mencecah hingga RM27.7 juta setakat semalam.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata jumlah itu meliputi kerugian RM21,277,125 juta dan RM6,415,148 juta masing-masing di Pulau Pinang dan Kedah.

Di Kedah katanya 2,613 petani dan 4,041 hektar tanaman padi serta sayur-sayuran terjejas dengan bencana itu.

“Di Pulau Pinang pula seramai 5,278 petani terlibat bersama 11,463.8 hektar tanaman padi, buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Pendang dan Mini Karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Kedah di Stadium Mini Pendang, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Suraya Yaacob.

Tajuddin berkata bancian dan penilaian kerugian golongan tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga selesai dan menambah, kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib mereka yang terlibat.

Sebelum ini MOA turut meluluskan peruntukan berjumlah RM10 juta sebagai bantuan awal kepada penternak, petani dan peladang di Pulau Pinang yang terjejas.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata pihaknya akan terus meningkatkan pembangunan infrastruktur kawasan jelapang padi di Kedah terutamanya di lebih 100,000 hektar kawasan padi seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Katanya dalam Rancangan Malaysia ke-10, kerajaan telah meluluskan projek naik taraf dan membangunkan tali air di negeri ini secara besar-besaran dengan sejumlah RM2.7 bilion diluluskan untuk projek tersebut.

“Setakat ini kita telah membelanjakan RM250 juta untuk kerja-kerja awal seperti pengambilan tanah dan RM50 juta pula untuk pembinaan tali air.

“Kita menyasarkan purata hasil seekar tanaman padi ditingkatkan dari lima metrik tan seekar kepada lapan hingga 10 metrik tan seekar, supaya pendapatan petani boleh digandakan,” katanya.–Bernama

Polis nafi berita tular 18 maut dalam kemalangan di Segamat

THE MALAYSIAN TIMES
 


SEGAMAT: Polis menafikan berita tular tersebar di laman sosial yang mendakwa 18 orang terdiri daripada pelajar Kolej Vokasional Segamat dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan treler di di Kampung Melayu Raya, Segamat semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Raub Selamat meminta orang ramai yang menyebarkan berita berkenaan agar menghentikan penyebaran berita itu.

“Saya nasihatkan orang ramai agar meneliti kesahihan berita dengan menyemak sumber berita atau membuat rujukan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum berkogsi berita di laman sosial,”katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Raub berkata kesemua 20 mangsa yang cedera ringgan dan dirawat di Hospital Segamat telah dibenarkan pulang hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bandar Baru Segamat, Pegawai Kanan Penguasa Bomba, Mohd Aziad Mamat berkata phak bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai kira-kira pada pukul 4.20 petang semalam dan sampai ke tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Apabila tiba ditempat kejadian pasukan bertugas mendapati bahawa berlaku kemalangan membabitkan sebuah bas dan sebuah lori treler namun tiada kehilangan nyawa,” katanya.–Bernama

Ada orang cadang pendidikan seks ‘meletup’ bukan isu baharu, kata Siti Hasmah



Ada orang cadang pendidikan seks ‘meletup’ bukan isu baharu, kata Siti Hasmah


Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyahut seruan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkaitan ‘pendidikan sek’   dan ‘seks selamat’ bagi golongan remaja dan  bagi pasangan yang berkahwin di negara ini.

Beliau berkata, isu berkaitan pendidikan seks adalah isu lama yang pernah dicadangkan oleh bekas menteri pelajaran Tan Sri Khir Johari sekitar tahun 1990-an yang mendapat tentangan sebahagian daripada masyarakat.

Dr Siti Hasmah berkata, ia berpunca kerana salah faham mengenai apa itu ‘pendidikan seks’ yang sebenar, selain kefahaman umum sebagai pendidikan hubungan kelamin semata-mata.

“Pendidikan seks bukan isu baharu. Saya menyahut seruan Syed Saddiq berkenaan dengan pendidikan seks.. ini kisah lama setiap kali seseorang mencadangkan ada pendidikan seks di sekolah seluruh negara ‘meletup’.

“Dalam tahun 1990an Tan Sri Khir Johari menteri pelajaran ketika itu, mencadangkan pendidikan seks perlu diadakan di sekolah, semua meletup hentam Khir Johari kerana mereka tidak faham bila disebut pendidikan seks.

“Tapi apa yang kita dapat sekarang? Mereka tekan saja di internet apa yang mereka tidak tengok?,” soalnya yang dipercayai merujuk kepada ruangan pornografi yang mudah diakses melalui laman-laman web tertentu di internet.

Ketua Srikandi Rina Harun menyerahkan cenderahati kepada Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selepas beliau melancarkan simposium diadakan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sebelum merasmikan’ Simposium Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali’ anjuran Srikandi Bersatu di Dewan Levender Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini.

Dr Siti Hasmah menjelaskan, pendidikan seks bukan kerana mahu mengajar hubungan kelamin tetapi memberi tahu kepada remaja dan golongan wanita berkaitan dengan fitrah kejadian manusia yangdicipta Allah swt lebih tinggi dan ilmu pengetahuan mengenai isu ini haruslah dibentuk oleh institusi keluarga dan masyarakat.

“Jika tidak ada seks selamat antara pasangan akan dapat penyakit seperti siphilis, gonorea dan sekarang HIV yang menjadi punca kepada permasalah aktiviti seks yang tidak dikawal.

“Galakkan suami mengunakan kondom, bagi menghindarkan penyakit, bukannya untuk galakkan suami guna kondom untuk seks diluar rumah. Ia untuk mengelakkan isteri dihindari daripada jangkitan suami yang mengamalkan seks di luar rumah,” ujarnya.

Beliau turut ditanya media  mengenai gejala pembuangan bayi kesan daripada kurangnya kefahaman  berkaitan seks selamat di kalangan golongan remaja dan  pasangan yang berkahwin di negara ini.
Dr Siti Hasmah mengembalikan ingatannya kepada kewajiban ibubapa untuk menerangkan kepada anak remaja mereka mengenai seks selamat.

“Isu ‘baby dumbing’ (buang bayi) ibubapa segan nak beritahu mengenai seks selamat kerana malu.
Ibu bapa hari ini  semuanya sudah moden,  secara tidak langsung beritahulah jangan malu dan segan.

“Kalau kita ada hubungan dengan seorang lelaki kita buang bayi sedangkan Tuhan sudah kurniakan anak itu, kenapa perlu dibuang kita melahirkan anak dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang jika ibubapa dan tuhan merestui.

“Satu perkara yang berdosa apabila lakukan seks di luar nikah dan buang bayi di sungai…sebab mereka tidak tahu badan yang dikurniakan Allah untuk menambah (anak) secara halal,” ujar isteri kepada bekas perdana menteri dan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad ini,

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq yang menafikan yang beliau menggalakkan remaja dan golongan belum berkahwin mengamalkan seks bebas di negara ini.

Syed Saddiq dipetik berkata, galakan untuk mengadakan seks selamat juga ditujukan kepada pasangan yang sudah berkahwin.

Sebanyak empat sesi diadakan dalam simposium ini yang membentangkan  tajuk seperti Pembelajaran Sepanjang Hayat; Penjagaan Kesihatan dan Kecantikan; Pembangunan Ekonomi Wanita ;Pengurusan Undang-undang dan Keluarga.

Dr Siti Hasmah turut menjadi panelis dalam sesi kedua simposium di bawah tajuk: Penjagaan Kesihatan dan Kecantikan.

Simposium julung kali diadakan ini yang dihadiri lebih 300 Srikandi Bersatu itu bertemakan Wanita Pencorak Masa Depan Negara.

Turut hadir Ketua Srikandi Bersatu Rina Mohd Harun, isteri kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin,  Puan  Seri Norainee Abdul Rahman dan Puan Sri Nila Inanda  Keumala isteri kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Tan Sri Sanusi Junid.

(dari kiri) Rina Harun, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Puan Sri Norainee Abdul Rahman.


Khamis, 23 November 2017

Pengarah JKM pernah tahan pengemis miliki simpanan RM18,000rtal

OLEH NAZLI IBRAHIM




SHAH ALAM: Golongan pengemis di negara ini mampu memperolehi pendapatan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit tanpa berkerja keras.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Hanafi Maulud berkata, beliau sendiri pernah menahan pengemis yang memiliki wang simpanan di dalam bank berjumlah RM18,000.

“Pada 1980-an, ketika berkhidmat sebagai Pegawai JKM dan terbabit dalam satu operasi, saya memeriksa salah seorang papa yang ditahan dan mendapati dia mempunyai wang simpanan RMM18,000, sedangkan kita yang berkerja siang malam belum tentu memiliki wang simpanan sebanyak itu.

“Bayangkan jika kisah yang saya ceritakan ini berlaku pada 1980-an, bagaimana pula zaman sekaran? Sudah tentu mereka mampu memperolehi pendapatan lebih lumayan,” katanya.

Beliau berkata, golongan itu kebiasaannya hanya mahu wang tunai dan bukan bantuan dalam bentuk lain seperti makanan atau pakaian.

Pada masa sama, Hanafi turut mengingatkan orang ramai yang ingin membantu golongan tidak bernasib baik menyalurkan terus ke organisasi disahkan kerajaan.

“Biasnya bila diajak makan sudah pasti mereka (pengemis) tolak kerana hanya mahu wang.

“Orang ramai juga digalakkan bertanya soalan kepada pengemis bagi mengelakkan ditipu,” katanya.