HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Disember 2017

Putrajaya, Langkawi dan Kubang Pasu pilihan Tun M tanding pada PRU14

Oleh Athirah Hanapiah dan Nur Atiqah Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan dirinya akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Mantan perdana menteri itu memberitahu, dirinya akan bertanding sama ada di Langkawi, Kubang Pasu ataupun Putrajaya, selepas parti merasakan peluang beliau untuk menang di kawasan-kawasan berkenaan adalah cerah.
 
"Saya akan bertanding dan saya akan bertanding di tiga kawasan berlainan. Mereka memberitahu bahawa saya ada peluang besar untuk menang di kawasan Langkawi, Kubang Pasu, dan Putrajaya. Jadi bersedia untuk itu dan saya tidak akan mengalah,"katanya dalam sidang media pada Perhimpunan Tahunan PPBM di sini hari ini.     
 
Beliau sebelum ini pernah menyatakan tidak menolak kemungkinan untuk bertanding di kerusi Langkawi atau Putrajaya, jika diminta Pakatan Harapan (PH).
 
Bagaimanapun beliau masih belum memberikan keputusan muktamad terhadap perkara itu. 
 
Untuk rekod, Dr Mahathir pernah memegang kerusi Kubang Pasu selama tujuh penggal.
 
Sementara itu, ketika ditanya sekiranya beliau bersedia untuk menjadi perdana menteri sementara bagi PH jika gabungan itu berjaya menakluk Putrajaya, beliau bagaimanapun dilihat seakan cuba mengelak daripada menjawab perkara tersebut.
 
"Semua perdana menteri sementara, dia bagi lima tahun, kadang-kadang kurang, kalau sakit dia berhenti sikit, kalau mati susahlah sikit,"kiasnya.
 
Baru-baru ini, nama Tun Dr Mahathir Mohamad disebut-sebut menjadi calon perdana menteri interim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PH) sekadar dilantik sebagai calon timbalannya.
 
Cadangan itu dibuat sewaktu permukiman PH selama dua hari di Putrajaya baru-baru ini, namun dikatakan beberapa pemimpin PH tidak merestui cadangan berkenaan.
 
Konvensyen PH yang bakal diadakan 7 Januari depan pula dikatakan bakal menamatkan tanda tanya berkenaan siapakah calon perdana menteri mewakili gabungan itu memandangkan PRU14 bakal diadakan pada bila-bila masa.
 
Ia sebagai alternatif bagi menggantikan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih menjalani hukuman penjara.
 
Perkara itu sebelum ini disahkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang berkata, pihaknya sudah mempunyai pilihan lain yang akan menggantikan Anwar yang sebelum ini diletakkan sebagai calon perdana menteri jika PH memenangi PRU14 kelak.
 
Dalam perkembangan berlainan, Dr Mahathir hari ini turut menafikan dakwaan blogger kontroversi, Taja Petra Kamarudin kononnya beliau sedang merundingkan persetujuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi menyelamatkan karier politik anaknya Datuk Seri Mukhriz.
 
Ujarnya, blogger itu 'tidak betul' dan mabuk' malah, senjaga untuk memburukkan dirinya atas arahan pihak tertentu. 
 
"Saya hairan awak (wartawan) bertanya soalan tentang Raja Petra, dia itu mabuk, minum selalu, dia tidak bercakap betul, dia tidak tahu apa sebab dia duduk di London kerana dia dapat sogokan daripada orang tertentu," katanya.
 
Terdahulu Raja Petra menerusi blognya, Malaysia Today mendakwa Dr Mahathir sedang merundingkan persetujuan dengan Najib bagi menyelamatkan karier politik Mukhriz.
 
Antara lain, persetujuan itu memerlukan Najib melantik Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) serta memberinya jawatan Kabinet, sama ada Menteri Kewangan atau Menteri Dalam Negeri.
 
Sebagai balasan, Dr Mahathir akan berhenti menyerang Najib dan akan beralih kepada BN.
 
 

Dr M: Mufti gagal sangkal ‘fatwa’ ekstrem bawa kepada Peristiwa Memali

 
Dr Mahathir berkata para mufti berdiam seribu bahasa seolah-olah mereka bersetuju dengan PAS.
 
 
mahathir-memali-1


SHAH ALAM: Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kegagalan para mufti menyangkal “fatwa” ekstrem membawa kepada Peristiwa Memali 1985 di Kedah.
 
Peristiwa itu menyaksikan 4 anggota polis dan 13 penyokong seorang guru agama, Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya, terkorban dalam operasi untuk menahan Ibrahim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, kerana didakwa terlibat dalam kegiatan memecah-belahkan umat Islam.

“Apabila PAS dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS adalah kafir, kenapakah perlu mufti-mufti tidak membetulkan kenyataan mereka? Mereka berdiam seribu bahasa seolah-olah mereka setuju dengan pendapat PAS.

“Ia tidak akan berlaku kalau awal-awal lagi mufti mencabar. Kenapakah ‘Amanat Hadi’ itu tidak disangkal oleh mereka?” katanya sewaktu ucapan penggulungan di mesyuarat agung tahunan pertama PPBM di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) hari ini.

Dr Mahathir merujuk kepada petikan ucapan yang dikaitkan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1981. Dalam amanat itu, Hadi didakwa mengatakan PAS menentang BN dan Umno kerana ia mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah.

Kebetulan amanat itu menyusuli Revolusi Iran 1979, peristiwa yang dikatakan memberanikan golongan Islamis konservatif di merata tempat termasuk Malaysia.

Amanat itu dikatakan titik penting dalam politik orang Melayu kerana secara tidak langsung membawa kepada kafir-mengkafir, solat 2 imam dan pemulauan aktiviti masyarakat.

“Apa yang kita lihat ialah Peristiwa Memali yang mana pengikut Ibrahim Libya bunuh 4 orang polis kerana pada mereka polis adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir.

“Inilah hasil daripada ‘fatwa’ yang dikeluarkan oleh orang politik yang tidak ditangkis oleh mufti-mufti,” kata Dr Mahathir.

PAS sebelum ini menggesa kerajaan menyiasat semula tragedi Memali untuk memberi keadilan kepada semua pihak dan membersihkan nama mereka yang tidak bersalah.

Susulan gesaan itu, kerajaan mengumumkan akan meneliti cadangan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selepas maklum balas pelbagai pihak, termasuk PAS.

LIHAT VIDEO DI SINI

Salleh: Janji Dr M mengenai kebebasan bersuara sukar dipercayai

 
Menteri Salleh Said Keruak berkata lebih banyak kebebasan bersuara sekarang berbanding ketika Dr Mahathir jadi perdana menteri.


salleh-keruak_mahathir_600_new1


KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menggambarkan janji terbaharu dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan semula kebebasan bersuara sekiranya pembangkang membentuk kerajaan akan datang, sebagai “sukar dipercayai”.

“Bagaimana Mahathir boleh berfikir bahawa beliau boleh melepaskan diri dengan kenyataan sedemikian apabila lebih banyak kebebasan bersuara sekarang ketika pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding pada tahun 1980-an ketika Mahathir menjadi perdana menteri?” katanya dalam catatan di laman blog beliau, sskeruak.blogspot.my.

Beliau berkata Dr Mahathir menggelar Najib dengan pelbagai nama yang bersifat jahat, malah Dr Mahathir boleh menghadapi pendakwaan di bawah Akta Hasutan.

“Tetapi Najib tidak mengambil tindakan. Najib membenarkan Mahathir terus memfitnahnya, dan setiap hari Mahathir terus menghina Najib…Mahathir tidak akan bertolak ansur 10% daripada apa yang dilakukannya terhadap Najib.

“Tiada bukti yang lebih besar daripada ini bahawa Najib adalah penyebar kebebasan bersuara. Jika tidak, Mahathir tidak dapat berbuat apa yang beliau lakukan dan mengatakan semua perkara yang beliau nyatakan hari ini,” kata Salleh.

Dilaporkan Dr Mahathir membuat janji itu semasa mesyuarat agung tahunan pertama PPBM, yang mana beliau adalah pengerusinya, di Shah Alam, Selangor hari ini.

Felda tak sunyi dari kontroversi sepanjang tahun

 
Sejak pelantikan pengerusi baharu, Shahrir Abdul Samad, media tidak pernah sunyi dengan siasatan demi siasatan ke atas Felda, anak syarikatnya dan individu berkaitan Felda.


Shahrir-Abdul-Samad-smart-township-felda

PETALING JAYA: Mungkin 2017 bukan tahun terbaik buat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang tak sunyi daripada kontroversi sepanjang tahun.

Sejak pelantikan pengerusi baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada Januari, media melaporkan siasatan demi siasatan ke atas Felda, anak syarikatnya, dan individu berkaitan Felda, termasuk bekas pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Berikut adalah kronologi beberapa peristiwa penting membabitkan Felda sejak Januari hingga Disember.

2 Januari – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures (FGV), anak syarikat Felda, Datuk Zakaria Arshad meletakkan keyakinan tinggi untuk muncul sebagai sebuah organisasi kukuh dan efisyen.

6 Januari – Bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC), yang bertanggungjawab mengaudit ketelusan badan-badan kerajaan, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilantik sebagai pengerusi Felda menggantikan Tan Sri Isa Abdul Samad yang tamat tempoh perkhidmatan.

Isa masih memegang jawatan pengerusi FGV.

17 Januari – Shahrir mengumumkan akan menjual hotel milik Felda di London bagi mendapatkan sumber kewangan dan aset berkenaan tidak memberi pulangan yang banyak.

25 Januari – SPRM menahan 4 pegawai dan seorang bekas pegawai Felda dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan projek pemindahan teknologi penternakan ikan sturgeon bernilai RM47.6 juta sejak 2014.

29 Januari – Shahrir mendedahkan beliau menerima jawatan Felda kerana melihat agensi itu satu usaha yang berjaya sehinggakan menjadi institusi ekonomi dan sosial pada masyarakat Melayu.

“Selain itu, saya juga mendapat gambaran bahawa ia (Felda) dalam bahaya. Saya menerima pandangan itu,” kata Shahrir lapor Sinar Harian.

16 Februari – Isa menegaskan FGV tidak pernah rugi dalam urusan perniagaan cumanya kadang-kala keuntungan yang diperoleh tidak besar.

20 March – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim menyatakan Felda dan anak syarikat mencatatkan kerugian tidak nyata sebanyak RM1.21 bilion hasil pegangan sahamnya dalam FGV.

3 April – Shahrir mengesahkan Felda masih mempunyai aset bernilai RM22 bilion sekaligus menafikan bahawa institusi berkenaan dalam keadaan tenat.

6 Jun – Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden FGV Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Ahmad Tifli Mohd Talha diarahkan bercuti berkuat kuasa serta merta.

Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung tunggakan bayaran daripada syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

7 Jun – Kerajaan Persekutuan melantik bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak bebas bagi meneliti penggantungan Zakaria dan Ahmad Tifli.

8 Jun – SPRM mula menjejakkan kaki ke Ibu Pejabat Felda di Kuala Lumpur bagi menyiasat dokumen berkaitan siasatan terhadap FGV. Isa menegaskan tidak melakukan kesalahan.

14 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Idris Jala yang dilantik sudah menyiapkan laporannya.

19 Jun – Najib mengumumkan Isa bersetuju untuk melepaskan jawatan pengerusi FGV berkuat kuasa serta merta.

21 Jun – Isa dan isterinya Puan Sri Bibi Shaliza Mohd Khalid hadir ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan dakwaan salah laku dan rasuah dalam FGV.

14 Julai – Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan siasatan terhadap pembelian hotel 4 bintang di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) antara tahun 2013 dan 2015.

Siasatan dibuat susulan maklumat baharu diperoleh dalam siasatan terhadap Felda. “Berdasarkan siasatan awal, FIC dipercayai membeli hotel itu pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit,” kata SPRM.

17 Julai – SPRM merampas 3 buah kotak dipercayai dokumen berkaitan pembelian hotel di London.

22 Julai – Dua pegawai kanan syarikat berasingan direman 6 hari bagi membantu siasatan kes pembelian hotel di London.

27 Julai – SPRM menyiasat sebuah lagi hotel di Kuching, Sarawak yang dibeli FIC pada 2014, susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London.

“Menerusi maklumat siasatan awal yang diperolehi, FIC dipercayai telah membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian ratusan jutaan ringgit,” kata SPRM.

28 Julai – SPRM menyerbu 6 syarikat termasuk firma audit antarabangsa yang mempunyai hubung kait dengan pembelian hotel di Kuching.

29 Julai – SPRM menahan 3 individu bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel di Kuching pada 2014.

4 Ogos – Peguam dan pembantu wanita direman 5 hari bagi membantu siasatan pembelian hotel di London.

15 Ogos – Isa ditahan SPRM selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM dipercayai berkaitan pembelian hotel oleh FIC.

16 Ogos – Isa direman selama 5 hari setelah SPRM berjaya mendapat perintah dari mahkamah bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian hotel di London.

8 September – Najib mengumumkan Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai pengerusi FGV menggantikan Isa.

12 Oktober – Shahrir mengumumkan penjualan Grand Plaza Serviced Apartments di London dalam inisiatif menyusun semula aset dan langkah penstrukturan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Felda.

5 Disember – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah, bekas timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan penulis Rusnizam Mahat membayar Felda dan FGV RM2 juta berhubung laporan yang diterbitkan dalam akhbar Suara Keadilan.

21 Disember – Felda buat laporan polis tentang kemungkinan penipuan melibatkan pemaju induk untuk projek yang dibina atas tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Felda dilaporkan bakal kehilangan hak milik tanah itu susulan pertukaran hak milik menerusi transaksi yang meragukan sejak 2015.

23 Disember – Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengumumkan penubuhan pasukan khas untuk menyiasat kes Felda kehilangan hak milik tanah.

Nilai tanah Felda itu dianggarkan 4 kali lebih tinggi dari nilai yang dilakukan dalam urus niaga berkenaan iaitu RM270 juta. Penilai bebas menganggarkan harga tanah itu ketika ini mencecah RM1 bilion.

27 Disember – Noor Rashid berkata polis akan memanggil Isa bagi membantu siasatan ke atas kes kehilangan hak milik tanah.

Shahrir menganggap usaha mendapatkan kembali tanah Felda yang dipindah milik melalui transaksi diragui adalah isu terakhir untuk diperjuangkannya dalam meletakkan kembali Felda di landasan betul.

“Isu ini paling rumit. Isu lain adalah pembelian Hotel Grand Plaza Kensington Hotel dan hotel di Kuching…Semua ini saya buat dalam tempoh tahun pertama saya sebagai pengerusi Felda,” kata Shahrir lapor Bernama.

2017: Tahun yang penuh tak tersangka

2017-malaysia

Tahun 2017 ialah tahun yang penuh tak tersangka.

Siapa sangka Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat menjadi calon perdana menteri oleh musuh-musuhnya dahulu?

Siapa sangka Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja dapat menyelamatkan diri daripada dibenam skandal 1MDB malah mengukuhkan kedudukannya dan BN untuk memenangi 2/3 majoriti di pilihan raya umum ke-14?

Siapa sangka isu 1MDB yang sebegitu panas dapat dihambarkan sebegitu rupa sedangkan di awal 2017 kita dikejutkan dengan pertelingkahan antara 1MDB dan IPIC?

Siapa sangka tamatnya isu 1MDB timbul pula isu Felda kehilangan tanahnya yang jauh lebih menyengat daripada 1MDB di penghujung 2017?

Siapa sangka mulai tahun ini Proton dikendali oleh syarikat milik China iaitu Geely?

Siapa sangka tahun ini artis tempatan turut tampil meluahkan mengenai kenaikan kos hidup di media sosial?

Pada 2017, dunia politik sangat terasa kehilangan Datuk Ahmad Maslan yang kini sunyi sepi. Dalam ketegangan politik negara yang penuh dengan cacian dan maki hamun, kebolehan Ahmad dalam memberikan kenyataan yang bersifat jenaka politik sekali sekala sangat dirasai.

Di dalam dunia politik yang penuh merapu tahun ini, negara terasa sangat dengan kehilangan seorang pemimpin politik yang efektif dan serius – Tan Sri Adenan Satem bekas ketua menteri Sarawak.

Keberanian dan kelantangan beliau dalam memimpin isu Sarawak begitu menyemat hati.

Bilakah rakyat Malaysia boleh mendapat lagi seorang pemimpin sedemikian?

Kalau separuh menteri kabinet kita memiliki separuh kewibawaan Allahyarham, sudah tentu rakyat Malaysia akan terasa aman hati dengan pentadbiran negara.

Selain itu, 2017 juga penuh dengan peristiwa yang menyayat hati.

Kehilangan Pastor Raymond Koh bersama 4 individu lain yang sehingga kini tiada jawapan angkara siapa, diikuti oleh pembunuhan tragis 21 pelajar tahfiz dan 2 orang dewasa yang dibakar hidup-hidup akibat kerja khianat, dan ribut bersejarah yang membawa banjir menenggelamkan Pulau Pinang serta mendedahkan betapa botaknya sebilangan bukit-bukit di Pulau Pinang, sehingga ketua menterinya terpaksa mengalirkan air mata meminta bantuan daripada timbalan perdana menteri.

Tahun ini juga merupakan tahun kontroversi yang banyak melibatkan isu kesensitifan agama dan kaum. Dobi Muslim, larangan bertudung pekerja hotel dan festival arak.

Selain isu 1MDB, Malaysia sekali lagi menjadi fokus antarabangsa ekoran insiden Kim Jong Nam dibunuh di klia2.

Tahun 2017 juga menyaksikan pertarungan baharu antara Dr Mahathir dan para Sultan ekoran kenyataannya mengenai lanun Bugis.

Selain itu, rakyat disajikan dengan rentetan sejarah skandal forex di zaman Dr Mahathir melalui Suruhanjaya Diraja yang bersidang pada Ogos lalu yang hasil siasatannya menuding kepada Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas menteri kewangan Tan Sri Nor Mohamed Yakcob sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap skandal itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula kelihatan semakin garang di 2017 apabila ia menahan beberapa nama besar seperti Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Shafie Apdal untuk disoal siasat untuk beberapa hari lamanya. Cuma setakat ini, masih tiada pendakwaan yang dilakukan.

Menariknya di sebalik kecekapan SPRM ini, pesuruhjaya SPRM terpaksa menghadapi serangan peribadi yang mengaibkan.

Semalam, 2017 hampir mencatat sejarah lagi apabila Dr Mahathir mengambil keputusan untuk memohon maaf atas dosa beliau yang lalu. Namun selepas beberapa jam, rupa-rupanya Dr Mahathir berkata permohonan maaf beliau hanyalah sekadar budaya orang Melayu.

Barangkali maksud Dr Mahathir ialah permohonan maaf beliau sekadar seperti ucapan maaf zahir dan batin sempena sambutan Hari Raya.

Begitulah memori saya terhadap 2017. Bagaimana pula dengan 2018?

Ramai menjangka PAS akan kalah teruk di PRU14, apakah ia akan menjadi kenyataan?

Ramai berharap Najib dan BN dapat ditewaskan, apakah ia akan menjadi kenyataan?

Ramai yang menjangka Dr Mahathir mampu menarik undi untuk membantu Pakatan Harapan mengalahkan BN dalam perang tiga penjuru, apakah ia akan menjadi kenyataan?

Rakyat diberitahu GST tidak akan dinaikkan sekiranya BN menang, apakah ia akan menjadi kenyataan?

Tahun ini mengalahkan sangkaan ramai dengan teruk sekali. Apakah ia berulang di 2018? Tunggu dan lihat.

Negeri BN pun tambak laut, kenapa Kerajaan Pusat tak bising?


Roketkini.com

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mempersoalkan sikap dwi-standard kerajaan berhubung projek tambakan laut di negara ini.

Menurutnya, bantahan kerajaan terhadap projek tambakan laut di Pulau Mutiara itu hanyalah serangan bersifat politik menjelang pilihan raya.

“(Kerajaan) membenarkan penambakan laut di Kedah dan Johor tetapi tidak di Pulau Pinang.
“Ini semua semacam serangan politik untuk kempen pilihan raya,” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP dipetik Buletin Mutiara.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung projek tambakan laut di Pulau Pinang.

“Projek ini ada banyak implikasi, bukan sahaja kepada sumber marin dan kehidupan nelayan,” kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, beliau akan mendedahkan rekod projek tambakan laut negeri lain selain Pulau Pinang yang dibenarkan kerajaan.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy turut berkongsi nada serupa dengan Guan Eng berhubung kenyataan Wan Junaidi.

“Junaidi tak patut buang masa untuk keluarkan kenyataan berat sebelah tentang projek di Pulau Pinang. Apatah lagi pilihan raya umum hanya beberapa bulan sahaja lagi.

“Saya yakin itu hanyalah gimik pilihan raya untuk mengekalkan kerusi parlimen dan kerusi-kerusi dewan undangan negeri di Balik Pulau,” katanya. – Roketkini.com


Pemimpin PBS lebih senang mengampu UMNO daripada perjuang hak rakyat Sabah




Roketkini.com

Kegelisahan Parti Bersatu Sabah (PBS) – Barisan Nasional (BN) tidak dapat disembunyikan lagi apabila melancarkan serangan dan cemuhan terhadap manifesto Pakatan Harapan Sabah fasa dua yang dilancarkan di Keningau baru-baru ini.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Johnny Mositun dilaporkan mendakwa kononnya manifesto itu hanya penuh dengan janji pilihan raya kepada penduduk luar bandar.

Bagaimana pun kenyataan tersebut ditempelak Ketua Penerangan HARAPAN Sabah Adrian Lasimbang yang menyifatkannya sebagai ‘takut dengan bayang-bayangnya sendiri’.

Menurutnya, PBS sebelum ini pernah memegang tampuk pemerintahan namun mereka gagal membawa perubahan bermakna dan menyeluruh kepada Sabah.

“Mereka pernah memegang tampuk pemerintahan namun masih gagal membawa perubahan khasnya untuk memperjuangkan hak orang sabah dan mengembalikan sumber yang diambil dari sabah agar dikembalikan oleh kerajaan pusat.

“Pakatan Harapan cuma baru melancarkan sebahagian daripada Manifestonya, tetapi Parti Bersatu Sabah sudah menggelabah,” kata Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah itu dalam kenyataan.
Penyelaras DAP Pensiangan itu turut menjawab dakwaan Mositon kononnya HARAPAN terpaksa melancarkan satu lagi manifesto untuk meyakinkan pengundi di Sabah.

Jelasnya, manifesto HARAPAN Sabah tersebut dilancarkan secara berperingkat di mana pelancaran fasa kedua di Keningau baru-baru ini hanya menumpukan perkara berkaitan kepentingan Orang Asal dan penduduk luar bandar yang telah gagal diperjuangkan oleh PBS dan parti komponen BN lain.

“Sebelum ini kita telah nyatakan bahawa Manifesto PH akan dilancarkan secara berperingkat.

“Kenyataan Mositun adalah satu kenyataan kosong yang hanya berniat ingin memesongkan perhatian rakyat terhadap kegagalan kerajaan BN dalam menangani masalah Tanah NCR yang menyebabkan banyak komuniti orang asal menjadi kuli di tanah sendiri akibat skim-skim tanah yang digunakan oleh BN untuk merampas tanah adat orang asal sabah,” ujarnya.

Malah dedahnya, tribunal tanah Adat yang terkandung dalam manifesto ini pernah telah ditolak  oleh Kerajaan Persekutuan apabila syor tersebut dicadangkan  oleh SUHAKAM melalui Inkuiri Nasional Berkenaan Hak Tanah Adat Orang Asal.

Selain SUHAKAM, tribunal itu juga pernah dicadangkan oleh Ketua Hakim Sabah Sarawak Yang Amat Arif Tan Sri Richard Malanjum namun tetap tidak dipedulikan kerajaan BN.

“Malangnya Kerajaan BN langsung tidak mempedulikan cadangan ini yang mana besar kemungkinan akan mendedahkan bahawa ramai kroni mereka telah terlibat dalam kes perampasan Tanah Adat,” katanya.

Adrian berkata, sikap yang ditunjukkan Mositun itu mencerminkan seolah-olah pemimpin parti tempatan yang bersekongkol dengan UMNO tidak memiliki ‘imaginasi dan minda yang luas’ dan ‘tidak mampu berfikir kerana telah dikongkong oleh UMNO’.

“Inilah masalah dengan pemimpin Sabah khasnya pemimpin KDM. Mereka alpa dan sanggup membiarkan diri mereka terlalu dikawal oleh UMNO sehingga tidak mampu berfikir lebih maju ke hadapan dan hanya mampu untuk mengampu orang atasan mereka,” katanya lagi. – Roketkini.com


Sabtu, 30 Disember 2017

Ahli Parlimen DAP Desak Jabatan Agama Henti Tangkap LGBT






Klang, Selangor: Kerajaan Malaysia perlu memansuhkan semua undang-undang dan peraturan-peraturan yang mendiskriminasi golongan transgender di Malaysia, demikian menurut Ahli Parlimen DAP yang mewakili kawasan Klang, YB Charles Santiago.

Charles turut menggesa agensi-agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar berhenti menangkap golongan mak nyah sewenang-wenangnya.

“Dan saya juga menggesa supaya semua Jabatan-Jabatan Agama Islam, termasuk JAKIM dan JAIS untuk menghentikan penahanan tidak berasas kaum mak nyah.”


Menurut Ahli Parlimen yang mewakili penduduk Klang itu, selepas pengharaman gerakan Seksualiti Merdeka pada hujung tahun 2011 seorang budak lelaki telah dipukul sehingga mati di luar perkarangan sekolahnya.

“Pada bulan November 2011, kerajaan menghapuskan Seksualiti Merdeka. Kementerian Pelajaran pula telah mengedarkan pekeliling di sekolah-sekolah bagi mendidik para pelajar mengenal pasti orientasi gay atau lesbian bagi mengekang apa yang mereka panggil sebagai peningkatan “fenomena tidak sihat di kalangan pelajar”. Sehubungan inisiatif itu, seorang budak lelaki telah dipukul sehingga mati di luar perkarangan sekolahnya oleh pelajar dari sekolah yang sama dengan alasan cara jalannya pelik dan dia layak diperlakukan dengan kasar.”

“Pada bulan Mac tahun ini, Lembaga Penapis Filem telah menyuruh Disney menyunting keluar 4 minit babak dalam cerita kanak-kanak “Beauty and the Beast” yang memaparkan “babak gay”,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, perbuatan diskriminasi terhadap kaum LGBT seperti penyuntingan adegan gay dari filem Beauty and the Beast telah menjadikan Malaysia negara yang merbahaya bagi kaum LGBT.

“Diskriminasi bersistematik terhadap lesbian, gay, biseksual dan terutamanya komuniti transgender secara berterusan menjadikan Malaysia sebuah tempat berbahaya untuk didiami mereka. Namun, kita boleh mengubahnya bersama-sama.”

“Saya bersolidariti bersama komuniti trans di seluruh dunia dan saya menyeru anda semua menyertai saya menggesa kerajaan Malaysia untuk memansuhkan semua undang-undang dan peraturan yang mendiskriminasi golongan trangender,” dakwanya lagi.

Merujuk kepada kegiatan pelacuran yang berleluasa di kalangan ahli komuniti itu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, walaupun pihak penguatkuasaan syariah JHEAT telah beberapa kali melakukan operasi bersepadu dan melakukan tangkapan terhadap golongan transgender mak nyah yang melakukan aktiviti pelacuran di sebuah flat di sekitar Bandar, Kuala Terengganu, namun mereka tidak serik dan terus melakukan kegiatan tidak bermoral itu – menara.my

Bercanggah Perlembagaan Negara, Individu Disabit Kesalahan Jenayah Dilantik PM – Dr Zuhdi


 



KUALA LUMPUR: Syarat pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri yang didakwa ditetapkan PKR untuk bersetuju dengan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara, disifatkan episod malang kepada sistem kenegaraan.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata jika PKR dan gabungan pakatan pembangkang bersetuju dengan syarat berkenaan, ia satu cubaan memanipulasi perlembagaan dan perundangan negara mengikut kepentingan peribadi.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu berkata, jika laporan portal berita berkenaan betul, adalah tidak wajar dari segi moralnya seseorang yang disabitkan kesalahan jenayah dilantik menjadi Perdana Menteri.

Katanya, jika gabungan pakatan pembangkang atau lebih dikenali pakatan harapan (PH) bersetuju dengan pelan peralihan jawatan PM dicadangkan PKR, ia jelas membelakangkan perundangan negara yang menetapkan seseorang banduan tidak boleh bertanding sejurus dibebaskan.

“Selain itu, adalah tidak beradab, malah sangat menjengkelkan jika PH dan PKR dengan mudah dan sesuka hati memanipulasi proses pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agung sebagai satu daripada kaedah melepaskan Anwar.

“Seandainya inilah pelan peralihan mereka, ketara sekali PH dan PKR sebuah parti yang membelakangkan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Jika mereka memerintah, negara akan jadi tunggang langgang. Saya yakin sebagai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir akan keberatan menunaikan hasrat tidak rasional PKR itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beberapa portal berita hari ini yang memetik sumber melaporkan PKR menetapkan tiga syarat untuk bersetuju Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri sementara.

Syarat itu ialah sebaik saja membentuk kerajaan di Putrajaya, Dr Mahathir hendaklah mengusahakan Anwar dibebaskan segera dari penjara dan membuka jalan untuk beliau dilantik Perdana Menteri dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan.

Syarat kedua, PKR bertanding kerusi Parlimen paling banyak iaitu sekurang-kurangnya 60 kerusi, dan syarat ketiga, Dr Mahathir setuju melaksanakan reformasi ke atas institusi negara – BH




Akhirnya Biro Politik PKR Setuju Tun M Sebagai PM

PRU 14 : Amanah Yakin PAS Selangor Akan Sertai Pakatan Harapan ?

 
 


malaysiadateline -Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad tidak menolak desas-desus yang menyatakan ahli dewan negeri (Adun) Pas di Selangor kini berada dalam dilema ekoran hala tuju parti itu yang tidak jelas.

“Kebelakangan ini kita membaca idea yang agak kontroversi dikemukakan berhubung kedudukan Adun-Adun Pas di negeri Selangor. Ide kontroversi ini mencadangkan supaya mereka melompat keluar Pas dan menyertai Keadilan (PKR) dan seterusnya bertanding kembali kerusi mereka sebagai ‘incumbent’ atau penyandang tetapi atas tiket Keadilan.

“Saya yakin Adun-Adun Pas sedang dalam sedikit dilema mengenai cadangan ini,” ujar beliau dalam kolumnya di mingguan Amanah, akhbar rasmi Parti Amanah Nasional, edisi terbaru.

“Ini jelas berdasarkan surat yang telah ditandatangani kesemua 13 Adun Pas meminta supaya Pas Selangor dikecualikan dari dasar Pas Pusat untuk memutuskan hubungan dengan PR.

“Malangnya bagi mereka, rayuan mereka telah tidak diendahkan pimpinan Pas Pusat, khususnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” ujar beliau.

Khalid yakin pada ketika itu sudah ada di kalangan Adun Pas Selangor yang berhasrat keluar Pas dan bersama AMANAH namun kerana diyakinkan pihak tertentu bahawa hubungan Pas dengan Pakatan Harapan (yang menggantikan PR) boleh dipulihkan, mereka kekal bersama Pas.

“Kemungkinan mereka dimaklumkan bahawa perbincangan antara pihak Keadilan bersama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mustafa Ali sedang berjalan dengan begitu positif.

“Kemungkinan akan ada kerjasama antara Pas dan PH digunakan untuk mereka kekal dalam Pas dan pada masa yang sama mengekalkan juga ‘kerajaan PR’ di Selangor,” ujarnya.

Bagaimanapun, tambah beliau kerjasama Pas-PH itu tidak tercapai dan pada masa yang sama, perubahan sikap Pas telah menjadikan sebahagian dari mereka tidak lagi diperlukan oleh pemimpin Pas.

“Mereka merupakan golongan pro-kerjasama dengan Pakatan, sama ada Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan, sedangkan Pas sudah anti-Pakatan. Dalam keadaan sebegitu, mereka terpaksa memilih untuk sama ada terus bersama Pas, yang tidak lagi dipersetujui pendekatannya, atau keluar dan bersama PH khususnya bersama AMANAH,” ujar Khalid.

Langkah ini, katanya akan menjejaskan hubungan sesama parti dalam PH di Selangor khususnya antara PKR, AMANAH dan PPBM.

Adun-Adun Pas itu juga, katanya terpaksa berfikir panjang untuk menerima tawaran tersebut kerana khuatir dianggap oportunis dan tidak berprinsip.

Sehubungan itu beliau menasihati Adun-Adun Pas yang sedang dalam dilema itu supaya mengikhlaskan hati dalam mendukung perjuangan Islam.

“Jangan jadi seperti Baihara bin Firas, ketua Bani Amir yang sanggup menyokong Rasulullah s.a.w. hanya sekiranya beliau dijanjikan akan dilantik sebagai ketua selepas wafatnya Nabi s.a.w..

“Syarat Baihara telah ditolak Rasulullah s.a.w. kerana sikap meminta dan mementingkan jawatan adalah bukan dari akhlak seorang pejuang Islam yang tulen,” ujarnya.

Beliau seterusnya mempelawa Adun-Adun Pas itu untuk bersama AMANAH walaupun tidak dijanjikan apa-apa jawatan mahupun kedudukan.

“Saya yakin, bukan itu yang diperjuangkan mereka pada ketika menyertai Pas pada asalnya.

 Sebaliknya yang diperjuangkan mereka, seperti juga kami, adalah untuk membawa risalah politik Islam yang kontemporari, tepat dengan keadaan semasa, demi menyelamatkan negara dari kezaliman dan salah guna kuasa,” tegas Khalid.