HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Disember 2019

Suspek kes ragut maut terperosok bawah kereta mangsa

MALAYSIAKINI
 


Seorang lelaki yang merupakan suspek kes ragut meninggal dunia selepas terperosok di bawah kereta mangsa ragutnya sendiri, dalam satu kemalangan petang semalam.

Kejadian tersebut berlaku di Bandar Puteri Puchong, Selangor.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Ismadi Borhan, kejadian bermula apabila mangsa ragut berkenaan masuk ke keretanya sebelum didatangi suspek dari arah belakang yang bertindak merentap rantai emas milik mangsa dan melarikan diri.

"Bagaimanapun mangsa yang kemudiannya terserempak dengan suspek di Jalan Puteri 5/5, Bandar Puteri yang melawan arus dan berhenti di tengah jalan secara mengejut menyebabkan mangsa tidak sempat membrek terus terlanggar motosikal menyebabkan suspek terjatuh dan terperosok di bawah kereta dan telah mendapat cedera parah," katanya dalam satu kenyataan media.

Suspek kemudian dibawa ke Hospital Serdang dan disahkan meninggal dunia.

"Barang kes iaitu rantai yang diragut berjaya ditemui semula dengan suspek. Semakan rekod lampau suspek didapati mempunyai 3 kes dadah, 2 kes samun dan 1 LLPK (Langkah-langkah pencegahan khas)," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau berbahaya).

Individu yang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun.


Khalid Samad: Sudah okay rasanya elaun dan gaji menteri

RAMIEZA WAHID
 
 
 
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berpandangan bahawa kadar elaun dan gaji bulanan yang diterima oleh para menteri dan timbalannya adalah memadai.

Selain itu, dedah pemimpin Amanah itu, gaji yang diberikan selaku menteri juga selalunya 30 peratus dimasukkan dalam akaun parti.

“(Elaun dan gaji menteri) rasa dah okay, kita punya gaji juga kalau dapat masuk dalam akaun parti.

“Macam Amanah, 30 peratus gaji masuk dalam akaun parti. Adillah kerana parti juga bantu kita (menteri dan ahli parlimen),” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media pencapaiannya di ibu pejabat kementerian di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan kepada kerajaan untuk memotong elaun ahli-ahli politik dan menteri.

Ini susulan kontroversi kerajaan memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) di kalangan doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang baru menyertai perkhidmatan awam mulai tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Khalid menjelaskan bahawa menteri yang turut menyandang jawatan anggota parlimen cuma mendapat elaun dan gaji menteri sahaja.

“Menteri kita dapat gaji dan elaun dari menteri sahaja walaupun sebagai ahli parlimen.

“MP (ahli parlimen) kalau hadir dewan rakyat sehari dapat RM400, menteri tak dapat sebab itu elaun sudah dipotong.

“Siapa yang mengadu sebenarnya gaji menteri dulu (sewaktu zaman BN) lebih tinggi,” katanya.

Sebelum ini cadangan Syed Saddiq supaya elaun menteri dipotong turut disokong oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Antara elaun tetap yang dinikmati menteri setiap bulan adalah elaun keraian, elaun perumahan, elaun menteri kabinet, elaun pembantu rumah, elaun pemandu berjumlah hampir RM25,000 sebulan. Ini tidak termasuk elaun tidak tetap seperti elaun cuti, elaun harian, elaun makan dan elaun-elaun lain.

Walau bagaimanapun susulan desakan orang ramai, pemansuhan elaun kritikal itu kemudiannya ditangguhkan dengan persetujuan perdana menteri dan dilaporkan akan dibawa dalam mesyuarat kabinet akan datang untuk perbincangan.


Pehhhhh. Ni Syed Saddiq memang #dramapower


Rupa-rupanya Pegawai Khas dia kata Syed Saddiq ada dalam Kabinet yang bincang pemansuhan BIPK.

Sendiri batal. Sendiri protes (lepas kena kecam).


Sendiri umum potong gaji sendiri.

Hebat cover ni.

Untuk makluman ye, setiap cadangan atau dasar perlu dikemukakan kepada Kabinet untuk perbincangan dalam bentuk Memorandum Jemaah Menteri.

Sebelum dibawa ke kabinet, Memorandum Jemaah Menteri ini juga akan diedarkan kepada semua pihak terlibat untuk ulasan Kementerian-kementerian. 

Sudah tentu juga ulasan Menteri Kewangan diperlukan.

Sudah tentu juga diminitkan dalam mesyuarat siapa yang bersetuju, siapa yang tidak setuju.

Beranikah kerajaan PH tunjuk Minit Mesyuarat Kabinet dan Memorandum Jemaah Menteri kepada rakyat?

Jangan #dramapower please

NAJIB RAZAK

MR :  Ini yang pengikut PH minum kencing sehingga hari ini masih bela apa PH buat

Kompaun merokok hingga RM350 mulai Rabu ini: KKM

tyrazalhe

 

Pemilik premis perlu pastikan tempat makan bebas amalan berkenaan

BANGI – Kompaun sebanyak RM250 bakal dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati merokok di kawasan larangan, termasuk semua tempat makan berkuat kuasa mulai 1 Januari depan.

Bagaimanapun, pengurangan kompaun sebanyak RM150 ditawarkan kepada individu yang melakukan kesalahan pertama, jika pembayaran dijelaskan di mana-mana pejabat kesihatan daerah dalam tempoh sebulan dari tarikh izin kompaun diterima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, tiada pengurangan kompaun diberikan bagi kesalahan kedua serta kadar lebih tinggi dikenakan iaitu RM350 bagi mereka yang mengulangi kesalahan sama untuk kali ketiga dan seterusnya.

“Di bawah Peraturan 12, PPKHT 2004, semua tuan punya premis hendaklah memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan tidak menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok. 

“Tuan punya premis juga hendaklah memastikan tanda larangan merokok yang mencukupi serta jelas dipamerkan di bahagian yang mudah dilihat di tempat makan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019 sebagai penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan, diikuti penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020.

Dr Noor Hisham berkata, mulai 1 Januari depan juga, pemilik premis boleh dikenakan kompaun RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua, manakala RM350 bai kesalahan ketiga serta seterusnya.

“Sehubungan dengan itu, kerjasama dan sokongan dari semua pihak terutama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan PPKHT 2004 sepenuhnya bermula pada 1 Januari 2020 berjalan lancar demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. 

“Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang telah disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara atau di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang telah diberikan akreditasi,” katanya.


Kerajaan dijangka mansuh cubaan bunuh diri sebagai jenayah tahun depan

MALAYSIAKINI
Kerajaan dijangka akan membentangkan pindaan undang-undang bagi memansuhkan percubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah pada pertengahan tahun 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, berkata sebelum memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan kerajaan perlu mencari mekanisme alternatif yang bersesuaian dan berkesan dalam menangani masalah kesihatan mental itu.

"Sepanjang tahun ini, pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengadakan sesi urus libat bersama pelbagai pemegang taruh dalam usaha ini termasuk Kementerian Pembangunan

Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Belia dan Sukan, beberapa persatuan psikiatri, Befrienders dan juga persatuan-persatuan agama.

"Sejurus siapnya kajian pihak AGC berkenaan mekanisme alternatif yang sesuai digunakan di negara ini, satu kertas kerja dasar yang turut sedang dirangka pada masa ini akan dikemukakan kepada jemaah menteri untuk kelulusan.

"Sekiranya lulus, pindaan kepada kanun keseksaan bagi memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah di Malaysia akan dibentangkan di Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 21 Okt lalu, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan kerajaan sedang dalam proses penilaian dan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mengkaji keperluan meminda undang-undang berhubung kesalahan cubaan bunuh diri,

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dalaman bersama agensi-agensi lain mengenai isu kesihatan mental yang kini semakin meningkat.

“Saya telah membincangkan isu menjadikan cubaan bunuh diri sebagai satu jenayah semasa mempengerusikan mesyuarat antara agensi berkaitan isu kesihatan mental.

“Pada mesyuarat itu, saya dan Dr Dzulkefly Ahmad (menteri kesihatan) telah menekankan keperluan kerajaan untuk mengkaji semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya.

Timbalan perdana menteri berkata Jabatan Peguam Negara sedang meneliti dan mengkaji perundangan sedia ada berkaitan isu berkenaan.

Sementara itu, Liew berkata, melihat kepada perkembangan kajian yang sedang dijalankan AGC, beliau berharap pindaan itu dapat dibawa ke Dewan Rakyat tahun hadapan.

"Meneliti perkembangan pihak AGC pada masa ini, saya berharap dapat membentangkan pindaan ini di Dewan Rakyat secepat pertengahan tahun 2020," katanya.


Sekat bincang isu Jawi dengan kementerian pendidikan

FAISAL ASYRAF




NGO Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) bertemu Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan Habibah Abdul Rahim di Putrajaya hari ini untuk membincangkan mengenai pelaksanaan pengenalan Jawi di sekolah-sekolah vernakular.

Sekat, yang diwakili oleh setiausahanya Arun Doraisamy disertai oleh penyelaras Jawatankuasa Khas Pembelajaran Jawi Kuala Lumpur dan Selangor, Eddie Heng Hong Chai.

Kedua-dua mereka, disertai beberapa anggota kumpulan menghabiskan kira-kira 40 minit di pejabat Kementerian Pendidikan dan selesai mengadakan perbincangan pada jam 1 tengah hari.

Ketika ditemui selepas perbincangan itu, Arun berkata beliau gembira dengan pertemuan dengan Habibah yang disifatkan berjalan lancar.

"Saya melangkah keluar dengan gembira setelah mengetahui ada orang yang mengakui kebimbangan kami. Kami telah mengemukakan satu resolusi yang kami luluskan pada kongres (Kebangsaan Jawi) semalam.

"Kami telah mengadakan perbincangan mengenai isu-isu berkaitan Jawi yang kami tekankan semasa kongres. Kami berkongsi tentang bagaimana kami boleh menjernihkan keadaan sekarang.

"Kita beritahunya bahawa pendekatan terbaik adalah sama seperti apa yang pemimpin-pemimpin kita telah ambil pada masa lalu, iaitu untuk mengadakan dialog. Kami mencadangkan dialog diadakan dengan pelbagai pihak termasuk rakan-rakan Melayu kita.

"Dia menyambut baik cadangan itu," kata Arun.

Arun berkata kedua-dua pihak bersetuju bahawa perpaduan mengatasi segala-galanya.

"Kita tidak boleh mengorbankan perpaduan kita terhadap apa sahaja agenda. Dr Habibah juga bersetuju bahawa perpaduan akan diutamakan.

"Saya beritahu dia kita terselamat dari 1969 (Peristiwa Mei 13), kita keluar bersama dan mencapai kemerdekaan, jadi sekarang tidak ada alasan. Saya seru kepada semua pemimpin terutama pemimpin politik, datang bersama-sama dan berbincang," kata beliau.

Resolusi

Terdahulu, sebelum pertemuan dengan Habibah, Arun berkata beliau akan mengemukakan resolusi dan surat yang meminta Kementerian Pendidikan mengadakan pertemuan dengan NGO pelbagai kaum untuk membincangkan mengenai isu Jawi secepat mungkin.

Resolusi itu termasuk menentang pelaksanaan jawi secara paksaan tanpa sebarang rundingan, tidak bersetuju Jawi dijadikan mata pelajaran wajib lulus dan menggesa pembelajaran Jawi dilaksanakan sebagai mata pelajaran elektif.

"Kami mahu menyelesaikan perkara ini secara baik. Tidak ada keperluan untuk memanggil siapa pun sebagai rasis kerana kita juga mempertahankan hak kami. Mesti ada rasa Bangsa Malaysia.

"Kami mengambil berat tentang perpaduan. Tanpa perpaduan Malaysia tidak akan wujud. Kita tidak mahu memberi peluang kepada mereka yang membakar sentimen perkauman dan agama.

"Dan ini (Jawi) bahkaa bukan isu sensitif. Ia adalah mengenai sukatan mata pelajaran. Tetapi ada juga pihak yang sentiasa membakar sentimen kaum dan agama dengan isu ini," katanya.

Sementara itu, Eddie berkata, keutamaan sekarang adalah untuk mendekati kumpulan Melayu.

"Kami datang ke forum semalam dalam semangat 1 Malaysia. Pada asasnya, kami menyampaikan suara kami secara bersama. Siri-siri perbincangan forum perlu diteruskan.

"Saya rasa keutamaan kami pada masa ini adalah untuk melibatkan kumpulan-kumpuan Melayu.
Saya tidak fikir kami memikul tugas yang mudah tetapi kami akan menggabungkan tenaga," katanya.

Dalam perancangan, Arun berkata mereka juga merancang untuk mengadakan satu forum bersama dengan NGO Melayu bagi membincangkan isu Jawi.

"Kita akan menganjurkan forum bersama dengan saudara Melayu kita. Pada masa yang sama, saluran komunikasi kita terbuka bila-bila masa dengan sesiapa sahaja," katanya.


Guan Eng sokong elaun menteri dipotong tapi biar kabinet putuskan

KOW GAH CHIE



Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyambut baik cadangan oleh rakannya dalam kabinet untuk mengurangkan elaun menteri dan ahli politik.

"Sebagai menteri kewangan, apa-apa (langkah) penjimatan adalah suatu yang baik, kerana saya adalah menteri kewangan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri aktiviti literasi kewangan di kementeriannya hari ini.

Lim bagaimanapun berkata, bukan beliau yang akan membuat keputusan mengenai cadangan itu kerana ia juga akan memberi kesan kepada menteri-menteri lain.

"Tapi kerana ia melibatkan menteri-menteri lain, saya percaya perkara ni harus diputuskan oleh kabinet. Jadi biar ia ditentukan oleh kabinet, kerana bukan saya yang tentukannya. Saya kena hormati rakan-rakan," katanya.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini mencadangkan kerajaan untuk memotong elaun ahli-ahli politik dan menteri.

Ini berikutan keputusan kontroversi kerajaan memotong Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) dalam kalangan doktor,  jururawat, jurutera dan profesional lain yang baru menyertai perkhidmatan awam.

Pandangan Syed Saddiq turut dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun.


Pesawat AirAsia berpatah balik kerana masalah teknikal

Wartawan MalaysiaGazette
airasia1
pesawat berkenaan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 9.40 pagi tadi dan kesemua penumpang berjaya dikeluarkan daripada pesawat serta diberikan bantuan sewajarnya.

KUALA LUMPUR – AirAsia Bhd. mengesahkan penerbangan AK9327 yang berlepas dari Langkawi ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik akibat isu teknikal.

Dalam satu kenyataannya di sini hari ini, AirAsia berkata, pesawat berkenaan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 9.40 pagi tadi dan kesemua penumpang berjaya dikeluarkan daripada pesawat serta diberikan bantuan sewajarnya.

Sebuah penerbangan gentian telah diuruskan dan bakal berlepas dari Langkawi jam 4.45 petang ini.

Penumpang yang terjejas katanya, akan dimaklumkan dengan maklumat terkini dari masa ke semasa.

Menurut sumber kepada MalaysiaGazette, pesawat berkenaan mengalami kebakaran kargo bagaimanapun AirAsia tidak mengesahkan maklumat tersebut.- MalaysiaGazette.

Pegawai SPRM buat laporan polis dakwaan serangan palsu – Latheefa Koya

Kasthuri Jeevendran
MGF060819_PROGRAM-EKSEKUTIF-BERSAMA-KETUA-PESURUHJAYA09
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertegas tidak bertoleransi dengan serangan tahanan dan setiap dakwaan itu akan diteliti serta disiasat dengan rapi sebelum tindakan diambil.

Itu kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berhubung dakwaan yang di buat oleh tiga anggota polis yang cedera selepas dipukul pegawai suruhanjaya itu.

Kata Latheefa, SPRM meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk menangkap dan menahan mana-mana suspek.

“Dalam kes ini, anggota-anggota polis yang membuat aduan sedang disiasat oleh SPRM atas dakwaan melakukan pemerasan terhadap suspek penyalahgunaan dadah.

“Penyiasatan ini merupakan sebahagian daripada peningkatan operasi oleh SPRM Selangor susulan dakwaan kegiatan pemerasan yang melibatkan anggota polis.

“Tiada toleransi bagi apa jenis serangan dalam tahanan. Semua tuduhan berkaitan serangan dalam tahanan akan diteliti secara serius dan kerjasama penuh akan diberikan kepada mana-mana badan penyiasat,” katanya sebentar tadi.

Dalam pada itu, Latheefa juga mendedahkan pegawai SPRM terbabit telah membuat laporan polis yang menyatakan bahawa dakwaan serangan dalam tahanan terhadap anggota-anggota polis tersebut adalah palsu.

“SPRM akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan sebarang penyiasatan polis terhadap laporan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette cuba mendapatkan ulasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung isu tersebut.

Seramai tiga anggota polis mendakwa cedera dipukul pegawai SPRM ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam baru-baru ini.

Ketiga-tiga anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh berumur 24, 25 dan 26 tahun itu hadir di pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes yang dikendalikan suruhanjaya tersebut.

Bagaimanapun, mereka mendakwa telah ditumbuk, ditampar serta ditendang ketika proses mengambil keterangan oleh pegawai SPRM dalam sebuah bilik pada 24 dan 26 Disember lepas.

Laporan polis kemudiannya dibuat oleh ketiga-tiga anggota pada 27 Disember lalu, berkenaan pegawai SPRM melakukan kekerasan ketika menjalankan proses merakam percakapan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi mengesahkan yang tiga anggota itu membuat laporan berkenaan. –MalaysiaGazette

Tiga anggota polis dakwa cedera dipukul pegawai SPRM

Bernama
MGF26032019_SULTAN-SELANGOR-RASMI-SPRM15
Tiga anggota polis mendakwa cedera dipukul pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam baru-baru ini. 
 

KUALA LUMPUR – Tiga anggota polis mendakwa cedera dipukul pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam baru-baru ini.

Ketiga-tiga anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh berumur 24, 25 dan 26 tahun itu telah hadir di pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes dikendalikan suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, mereka mendakwa telah ditumbuk, ditampar serta ditendang ketika proses mengambil keterangan oleh pegawai SPRM dalam sebuah bilik pada 24 dan 26 Dis lepas.

Laporan polis kemudiannya dibuat oleh ketiga-tiga anggota pada 27 Dis, berkenaan pegawai SPRM melakukan kekerasan ketika menjalankan proses merakam percakapan.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi mengesahkan yang tiga anggota itu membuat laporan berkenaan.