HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Disember 2021

KPWKM bantu mangsa banjir, penjelasan Timbalan Menteri

YB DATO’ SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
 
Siti Zailah semasa melawat PPS di Pahang.

BENCANA banjir yang melanda negara telah melibatkan lapan buah negeri secara keseluruhan. Mulai 17 sehingga 28 Disember 2021, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menempatkan seramai 114,280 mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah dibuka di seluruh negara.

Sebanyak 771 PPS telah dibuka bagi menempatkan sebanyak 31,921 keluarga mangsa yang terjejas sepanjang tempoh tersebut, ianya adalah tidak termasuk keluarga yang tidak berpindah ke PPS.

Sebanyak 6,470 PPS yang boleh menempatkan seramai 1.5 juta orang pada satu-satu masa telah digazetkan oleh kerajaan sebagai penempatan sementara mangsa bencana seluruh Negara.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menggerakkan lebih dari 3,000 Pegawai JKM yang bertugas bagi memastikan penempatan dan kebajikan mangsa-mangsa banjir berada dalam keadaan terurus serta makan minum yang mencukupi.

Seramai 135 pegawai JKM yang bertugas juga turut menjadi mangsa bencana banjir.

Sejumlah lebih RM35 juta telah dibelanjakan oleh JKM bagi tujuan penyediaan barangan keperluan asas melibatkan barangan seperti comforter (toto), tikar/pelapik lantai, selimut, tuala mandi, kain pelikat/batik, hygiene kit dan lain-lain keperluan. Manakala bagi collapsible tent (C-tent), lebih 31,921 unit telah digunakan bagi memberi ruang keselesaan kepada keluarga yang berada di PPS.

JKM juga turut menyediakan makanan bermasak di setiap PPS mengikut bilangan mangsa termasuk petugas sepanjang tempoh mangsa berada di Pusat Penempatan Sementara.

Sebanyak lapan buah depoh Utama JKM, 521 pengkalan hadapan dan 165 Depoh Mini JKM.

Semua Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir akan dibantu oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.

Seramai 1,500 Sukarelawan Kaunselor yang berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia juga telah digerakkan untuk menjalankan Intervensi Psikososial kepada mangsa bencana yang terlibat.

Kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita juga telah menggerakkan Skuad Waja yang memiliki keahlian berdaftar seramai 100,200 untuk turun sama membantu mangsa bencana memberikan sokongan emosi termasuk membantu membersihkan rumah mangsa banjir.

Kementerian melalui JKM juga membantu mengumpul dan mengatur gerakan sukarelawan yang berminat untuk berminat untuk membantu dalam pasca banjir seperti pembersihan rumah, surau, masjid dan lain-lain.

Setiap kumpulan sukarelawan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh menghubungi terus PKOB Daerah bagi mendapatkan lokasi yang bersesuaian. Kehadiran secara berkumpulan adalah lebih diutamakan dalam pelaksanaan kerja ini.

JKM dengan kerjasama strategik bersama Khidmat Malaysia dan Majlis Belia Negara telah menghantar lebih 10,000 orang sukarelawan Khidmat Malaysia ke negeri yang terlibat banjir sepanjang tempoh tersebut.

Selain itu, JKM bersama Khidmat Malaysia telah berjaya mewujudkan dan menyelaras penyediaan dapur rakyat di setiap lokasi bencana banjir yang memanfaatkan seramai lebih 16,000 mangsa bencana banjir.

Pihak Kementerian amat menghargai jasa dan pengorbanan kumpulan sukarelawan dan NGO serta Pemimpin Komuniti yang telah banyak membantu JKM dalam pengurusan agihan bantuan kepada mangsa banjir sama ada di PPS mahupun yang telah pulang ke rumah.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan PPS yang masih dibuka dan telah ditutup boleh dirujuk melalui aplikasi Info Bencana JKM yang boleh dimuat turun secara digital.

Menjadi harapan saya, agar mana-mana pihak atau individu yang tidak terjejas dan berkemampuan untuk sama-sama menghulurkan tangan, ringankan beban mereka yang sedang diuji dengan musibah bencana banjir.

Ketika inilah, semangat Keluarga Malaysia perlu menjadi cerminan kepada sikap peka dan prihatin sesama kita yang mungkin memerlukan bantuan.

(*) YB DATO’ SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
 – HARAKAHDAILY

PAS-Umno Kelantan adakan pertemuan 22 Jan depan

Oleh AIN MANAF
 


PASIR MAS:
PAS Kelantan menetapkan 22 Januari depan bagi mengadakan pertemuan dengan Umno negeri membincangkan hala tuju kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara kedua-dua parti itu.

Pesuruhjaya PAS Negeri Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pertemuan terbabit turut membincangkan mengenai hala tuju dan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita tetapkan tarikh 22 Januari ini bagi mengadakan pertemuan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir di Dewan Utama Apam Putra, di sini hari ini.

Baru-baru ini Umno Kelantan memaklumkan menghantar surat rasmi kepada PAS bagi membincangkan mengenai hala tuju MN dan persiapan menghadapi PRU15.

Difahamkan pertemuan dengan Umno sebelum ini dihoskan PAS Kelantan, namun pertemuan seterusnya tidak dapat diadakan berikutan penularan Covid-19.

PAS sehingga sekarang menegaskan mahu mempertahankan MN dan memperkasa hubungan Perikatan Nasional (PN) demi survival politik orang Melayu/Islam di negara ini.

Kerjasama MN sepatutnya diputus di peringkat pusat, biarpun ada sesetengah negeri memohon autonomi bagi memperkukuhkan MN untuk menghadapi PRU15.

Antaranya Umno Selangor dan Pahang kekal berpendirian meneruskan kerjasama dengan PAS bagi mengukuhkan MN di negeri itu. HARAKAHDAILY

Tangguh projek mega, salur segera dana bantu mangsa banjir – Anwar

MGF23112021_ANWAR-RASMI-BUKU-UMAT06
Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa menyelesaikan segera masalah yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir di negara ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya melihat kerajaan tidak serius dalam membela nasib mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

“Sehingga hari ini masih belum ada sebarang maklum balas daripada pihak kerajaan terkait gesaan tersebut. Kerajaan dilihat seolah-olah tidak serius dalam membela dan membantu mangsa-mangsa banjir.

“Saya sekali lagi ulangi gesaan terhadap kerajaan untuk betindak pantas dan selesaikan segala permasalahan yang dihadapi mangsa-mangsa banjir di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua hari lalu, Anwar menggesa agar kerajaan menangguhkan semua projek mega yang dilaksanakan ketika ini dan menggunakan peruntukan besar tersebut bagi menampung keperluan rakyat yang terjejas banjir ketika ini.

Laman Facebook Asyraf Wajdi pun ‘penyumbang’ umat Islam buat dosa


Masih diam terkaku susulan kenyataan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam yang menyokong skim pengeluaran i-Citra ditamatkan, Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki, sebaliknya hanya meminta pihak berkuasa tempatan memastikan sampah daripada harta benda mangsa banjir yang musnah dibersihkan segera.

Menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini, Asyraf Wajdi berkata sampah sarap yang bertimbun perlu segera dibersih bagi mengelak mudarat lain yang boleh terhasil, seperti wabak penyakit.

Semakan Agenda Daily di Facebook beliau bagaimanapun mendapati netizen lebih banyak mengulas berkaitan pengeluaran one-off i-Citra KWSP yang diperjuangkan Pemuda dan Asyraf Wajdi, tetapi tidak dipedulikan kerajaan pimpinan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehingga satu tahap Ketua Pemuda UMNO itu dilihat terikut-ikut dengan rentak netizen yang mengulas isu i-Citra, sehingga menasihatkan pengguna media sosial tidak membuat poster memfitnahnya.

“Buat poster fitnah macam ni mudah je, letak gambar dan caption kenyataan palsu. Apa2pun terima kasih atas pahala yang disumbangkan. Alhamdulillah

“Baca status sebelum ni. Ikuti semua kenyataan saya di FB untuk dapat pendirian saya yang betul dan tepat,” katanya menjawab ulasan seorang pengguna media sosial di Facebook beliau.

Namun, Agenda Daily mendapati laman Facebook Asyraf Wajdi turut menjadi penyambung kepada ‘pergaduhan’ sesama Islam dan Melayu setelah masing-masing ‘kata mengata’ hingga mengaitkan pihak-pihak lain.

Sehingga berita ini ditulis Asyraf Wajdi belum mengulas kenyataan dibuat KWSP semalam, sedangkan isu one-off RM10,000 skim i-Citra KWSP itu menjadi perjuangan utama beliau dan Pemuda UMNO.

Dengan harapan Perdana Menteri Malaysia baharu daripada UMNO boleh mengikut telunjuknya, Asyraf Wajdi meletakkan harapan tinggi kepada orang ramai bahawa pengeluaran one-off itu akan dilaksanakan.

Namun, bukan sahaja one-off itu ditolak oleh Ismail Sabri, malah skim i-Citra juga tidak disambung.

Semalam, satu lagi tamparan hinggap di pipi Asyraf Wajdi apabila KWSP memberi sokongan supaya pengeluaran khas i-Citra tidak dilanjutkan sehingga tahun depan. Berita berkaitan 

Tiga hari lalu, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang KWSP berjumlah RM10,000 biarpun ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga tidak berhasrat meluluskan pengeluaran i-Citra bagi kali kedua setelah skim berkenaan berakhir bulan ini.

Namun, semalam Asyraf Wajdi yang mahu menjadi ‘hero’ one-off i-Citra RM10,000, seperti menyindir Perdana Menteri dengan menganggap kemudahan pinjaman yang disediakan menerusi beberapa agensi, termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tekun, terutama kepada mangsa banjir, akan menambah beban hutang orang ramai.

Menerusi kenyataan ‘Alternatif kepada i-Citra KWSP: Tambahan bantuan atau galakkan berhutang’, Asyraf Wajdi menyifatkan kemudahan pinjaman yang diumumkan Ismail Sabri sebagai inisiatif berhutang yang tidak menyelesaikan masalah. Berita berkaitan

Apapun, penyokong Asyraf Wajdi terus menuduh Perdana Menteri mengikut telunjuk Kementerian Kewangan, tanpa mempersoalkan tugas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Hamdan yang kini dilantik sebagai Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri.

Peter Anthony keluar Warisan kerana kes mahkamah, kata Shafie Apdal


Datuk Seri Shafie Apdal tidak terkejut dengan keputusan Naib Presiden Warisan Datuk Peter Anthony keluar daripada parti itu, sebaliknya menjelaskan tindakan berkenaan disebabkan kes mahkamah dihadapi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu.

Sambil menyangkal dakwaan Peter bahawa Warisan sudah tersasar daripada perjuangan asal kerana melebarkan sayap ke Semenanjung, Presiden Warisan juga menjelaskan Peter sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti itu.

“Bukan satu perkara yang mengejutkan dan saya bersimpati kerana beliau sudah beberapa kali menyatakan hasratnya berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.

“Tindakan ADUN Limbahau Juil Nuatim juga mendukacitakan kerana terpengaruh dengan Peter yang menyebabkannya mengambil keputusan tergesa-gesa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 14 Disember lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Peter membela diri atas pertuduhan memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (ME) di universiti itu pada 2014.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Peter, 50, yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 3 hingga 7 Januari depan untuk tertuduh membela diri.

Mengulas lanjut, Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata keputusan melebarkan sayap parti ini dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan pada 12 Disember lalu.

“Ketika itu, seluruh Ahli Majlis Tertinggi dan ahli parti menyokong penuh langkah berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, Warisan akan terus memperjuangkan hak-hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum lagi dikembalikan seperti pengagihan kekayaan yang saksama, kadar royalti minyak yang lebih baik dan hak wilayah Sabah ke atas pelantar benua.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, Warisan akan kekal kukuh dan berpegang kepada nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada perjuangan parti untuk membela nasib seluruh rakyat di negara ini khususnya di Sabah.

Mengulas lanjut Shafie berkata, keputusan Peter untuk menubuhkan parti baharu pelbagai kaum dan bekerjasama dengan Gerakan Rakyat Sabah hanya akan memecahbelahkan lagi rakyat negeri itu dan masyarakat di pedalaman.

DAP Sarawak akui tidak kotakan janji selepas prestasi buruk PRN

Nur Shazreena Ali

Pengerusi DAP Sarawak berkata ia menyebabkan masyarakat Cina hilang keyakinan terhadap DAP.

DAP Sarawak hari ini memohon maaf selepas prestasi buruk yang ditunjukkan parti itu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dua minggu lalu dengan hanya memenangi dua kerusi dari 22 kerusi yang ditandinginya.

Bercakap pada sidang media di Kuching, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata kegagalan parti itu untuk mengotakan janji sepanjang 22 bulan mengambil alih kuasa pentadbiran Putrajaya menjadi faktor utama kekalahannya.

Beliau menambah perkara itu telah menyebabkan masyarakat Cina hilang keyakinan terhadap DAP.

Chong turut berkata peratusan keluar mengundi yang rendah dan perpecahan undi dalam kalangan masyarakat Cina di bandar menunjukkan perubahan sentimen pengundi dan respons mereka terhadap janji-janji yang tidak dikotakan menyebabkan parti itu kehilangan lebih banyak kerusi yang disandangnya.

“Peratusan keluar mengundi dan perpecahan undi dalam kalangan masyarakat Cina bandar sangat jelas,” katanya

“Bagaimanapun, kami terima dan hormat keputusan yang diambil para pengundi.”

Beliau turut mengatakan kadar keluar mengundi yang rendah dan perpecahan undi berlaku adalah disebabkan kekecewaan pengundi di banyak kawasan.

“Sentimen itu lahir kerana sepanjang 22 bulan memegang pentadbiran pusat, DAP dan Pakatan Harapan tidak berjaya mengotakan hasrat rakyat,” kata Chong.

“Walaupun kami memulakan banyak perubahan dalam sistem kerajaan dan memperkenalkan langkah-langkah tadbir urus yang baik dan mesra rakyat, kami masih gagal memenuhi harapan rakyat ketika menjadi kerajaan.”

Beliau berkata DAP menerima kekalahannya dan akan terus memainkan peranannya sebagai pembangkang yang bertanggungjawab.

“Untuk mereka yang terus menyokong DAP, kami ucapkan terima kasih dengan seikhlas hati di atas sokongan dan keyakinan yang anda berikan kepada kami.

“Bagi mereka yang mengundi DAP pada 2018 untuk melakukan perubahan kerajaan namun tidak lagi mengundi DAP pada PRN kali ini kerana tidak memenuhi harapan anda, kami mohon maaf kerana gagal mengotakannya.”

DAP hanya mampu mengekalkan dua kerusi, Padungan dan Pending disandangnya pada PRN Sarawak yang diadakan pada 18 Disember lalu.

Padungan dimenangi Chong, sementara Pending berjaya dimenangi penyandangnya sebelum ini Violet Yong.

Keputusan itu sangat ketara berbanding kemenangan DAP di tujuh kerusi pada PRN 2016, dan sebelum itu menyandang 12 kerusi pada 2011.

Parlimen terus utuh di sebalik gelora politik,cabaran kesihatan

BERNAMA

BERDEPAN cabaran kesihatan dan politik, Parlimen sebagai institusi perundangan tertinggi negara, terus berdiri utuh menggubal undang-undang dan menjadi forum membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan rakyat.

Melabuhkan tirainya pada  20 Dis lepas, sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen ke-14 yang bersidang selama 32 hari antaranya meluluskan Bajet 2022 melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara, dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik COVID-19.

Sejarah turut tercipta pada 14 Dis apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia mendapat sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen.

Mesyuarat kedua yang bermula pada 25 Okt itu berlangsung dalam semangat politik baharu dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos dan Pakatan Harapan (PH).

Detik bersejarah MoU itu disempurnakan Ismail Sabri dan ketua-ketua parti dalam PH, kira-kira 5 petang pada 13 Sept di bangunan Parlimen bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Sementara itu, mesyuarat Dewan Rakyat yang kebiasaannya berlangsung tiga kali bagi setiap penggal hanya berlangsung dua kali pada 2021 susulan wabak COVID-19 yang masih mencengkam negara sehingga kini, sejak ia mula dilaporkan di Malaysia pada awal 2020.

Mesyuarat pertama bagi penggal ini berlangsung selama 17 hari bermula 13 Sept hingga 12 Okt,  dengan fokus utama adalah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025 oleh kerajaan melibatkan peruntukan RM400 bilion.

Persidangan Parlimen ditangguhkan sejak awal tahun setelah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Jan lepas memberi perkenan pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Kira-kira sebulan kemudian Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Susulan itu, pemimpin-pemimpin politik dari blok pembangkang dan kerajaan mula menyuarakan pandangan supaya Parlimen mengadakan persidangan khususnya bagi membincangkan kes penularan COVID-19 sebelum Seri Paduka berkenan menerima menghadap pemimpin politik pada 9 Jun.

Pada 16 Jun, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan perkara itu turut disokong Raja-Raja Melayu.

Pada 5 Julai, kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan khas Dewan Rakyat bagi penggal ketiga diadakan selama lima hari pada 26, 27, 28 dan 29 Julai serta 2 Ogos manakala persidangan Dewan Negara ditetapkan pada 3 hingga 5 Ogos.

Mesyuarat khas pada hari keempat yang sepatutnya membincangkan isu sosial ekonomi rakyat bertukar topik selepas tumpuan beralih kepada isu darurat susulan kenyataan Istana Negara yang menyebut Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum diperkenan Baginda.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian menyerahkan usul bahawa Dewan Rakyat hilang kepercayaan kepada Muhyiddin dan dimakzulkan daripada jawatan Perdana Menteri dengan segera.

Mesyuarat pada hari itu ditangguh lima kali bermula 12.30 tengah hari, sebelum Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon pada 5.15 petang mengumumkan penangguhan mesyuarat pada 10 pagi Isnin, 2 Ogos.

Bagaimanapun, mesyuarat pada Isnin itu tidak berlangsung selepas notis dikeluarkan Dewan Rakyat menyatakan penangguhan persidangan ke suatu tarikh susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19 di Parlimen.

Rentetan itu, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka bagi melahirkan rasa tidak puas hati dengan penangguhan itu.

Pada 3 Ogos, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan surat akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin telah dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Akhirnya, Muhyiddin pada 16 Ogos mengumumkan meletak jawatan selepas 17 bulan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan setelah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen. – BERNAMA

Pembangkang tuntut Suruhanjaya Khas siasat pengurusan banjir kerajaan

MALAYSIA POST

Pembangkang tuntut Suruhanjaya Khas siasat pengurusan banjir kerajaan

AHLI Parlimen pembangkang menuntut Suruhanjaya Khas untuk menyiasat mengenai pengurusan banjir diuruskan kerajaan kerana disifatkan membingungkan.

Seramai 77 Ahli Parlimen tersebut diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta laporan banjir dibentang di Parlimen bagi menjelaskan kelemahan kerajaan bagi menangani situasi bencana itu khususnya di Selangor.

“Bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini adalah peringatan menyedihkan bahawa kita harus sentiasa bersedia untuk kejadian iklim yang luar biasa seperti itu.

“Ketidaksediaan kerajaan untuk menangani akibatnya dan tidak mempunyai rancangan yang bersedia untuk mengurangkan bencana adalah membingungkan.

“Sungguh mendukacitakan bahawa 46 nyawa terkorban di Selangor dan Pahang setakat ini kerana ketidakberkesanan dan sikap kerajaan Persekutuan yang tidak berdaya,” menurut kenyataan bersama itu.

Menurut kenyataan itu, terdapat juga masalah komunikasi antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor dalam menangani misi mencari dan menyelamat.

Selain itu katanya, terdapat media melaporkan bahawa angkatan tentera mengerahkan diri mereka sendiri, oleh kerana banjir telah terlalu tinggi untuk terus menunggu arahan pihak atasan.

“Jadi ini membimbangkan rakyat kerana daripada menyelamatkan nyawa, kerajaan Persekutuan memilih untuk bermain politik kecil.

“Terdapat 32 menteri dalam Kabinet tetapi bukannya mengerahkan diri mereka untuk membantu rakyat, mereka sebaliknya berpura-pura “membantu” untuk peluang bergambar,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, menurut kesemua Ahli Parlimen tersebut, memandangkan kini keadaan banjir telah surut di kebanyakan tempat, maka perlu ada bedah siasat menyeluruh tentang apa yang salah, dan yang mana bidang penambahbaikan perlu ditangani.

Justeru, katanya, mereka bersetuju dengan beberapa cadangan dikemukakan Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY) dan sekumpulan 44 masyarakat awam dan individu Malaysia.

Cadangan itu, antara lain kerajaan perlu mengisytiharkan banjir sebagai bencana negara, selain harus memulakan dasar pro-iklim seperti pelan penyesuaian nasional, pelan pengurangan risiko bencana dan mendesak pendakwaan lebih tinggi bagi mereka yang menyumbang kepada perubahan iklim seperti penebangan hutan.

“Kerajaan Persekutuan juga harus melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk ahli pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil untuk membangunkan pelan holistik untuk mengurangkan bencana serta kesan alam sekitar bergerak ke hadapan.

“Kerajaan perlu bertindak pantas! Kita perlu mengelak kehilangan nyawa yang tidak perlu disebabkan oleh ketidakcekapan, kelewatan dan kecuaian yang boleh dielakkan dari awal.

“Jadi, sebagai Ahli Parlimen kami menuntut supaya membentuk suruhanjaya khas untuk menyiasat pengurusan banjir dan laporannya mesti dibentangkan di Parlimen,” katanya.- Malaysiapost

Muda akhirnya parti politik berdaftar – Syed Saddiq

MALAYSIA POST

Muda akhirnya parti politik berdaftar – Syed Saddiq

PENDAFTARAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebuah sebuah parti politik yang berdaftar sudah diluluskan, kata Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perkara itu dikongsikan Syed Saddiq menerusi laman Twitter miliknya hari ini.

“Birthday Muda 23 Disember 2021!! Maaf tidak maklumkan lebih awal kerana kita mahu fokus pada misi banjir.

“Join us now! Semua boleh jadi ahli Muda – tua, muda, muslim, non muslim! Muda is a party for All & a party for the future!,” tulisnya.

Menerusi perkongsian video di laman sosial sama, Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau baru sahaja mengetahui kelulusan permohonan pendaftaran Muda melalui e-mel daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Sehubungan itu beliau menzahirkan rasa syukur kerana selepas setahun, Muda akhirnya rasmi menjadi parti politik berdaftar.

“Alhamdulillah akhirnya, parti Muda telahpun didaftarkan secara rasmi dan kita pun terima emel oleh pihak ROS. Terima kasih banyak.. kita tak boleh fokus, maksud saya, kita tak nak fokus pada politik sekarang sebab fokus kita sekarang adalah untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Mahkamah Tinggi pada 13 Disember lalu mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan Muda didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 14 hari dan membayar kos guaman sebanyak RM10,000.

Muda sebelum ini mengheret kerajaan menerusi Kementerian Dalan Negeri dengan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menolak rayuan kumpulan itu untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik. – Malaysiapost

Tubuh parti baru, Anthony boleh pecah-belahkan rakyat Sabah – Shafie Apdal

MALAYSIA POST

Tubuh parti baru, Anthony boleh pecah-belahkan rakyat Sabah – Shafie Apdal

TINDAKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony keluar dari Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi menubuhkan parti tempatan pelbagai kaum dijangka memecahbelahkan perpaduan rakyat di Sabah.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata keputusan Anthony yang juga bekas Naib Presiden parti berkenaan juga bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Saya bersimpati kerana beliau sudah beberapa kali menyatakan hasratnya berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.

“Keputusan Peter (Anthony) untuk menubuhkan sebuah lagi parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya akan memecahbelahkan lagi rakyat Sabah dan masyarakat di pedalaman.

“Tindakan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, juga mendukacitakan kerana terpengaruh dengan Peter (Anthony) yang menyebabkannya mengambil keputusan tergesa-gesa,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Mohd Shafie turut menyifatkan hasrat Anthony menubuhkan parti baharu tempatan pelbagai kaum bercanggah dengan tindakannya ingin menyertai kerajaan negeri yang terdiri daripada parti nasional.

“Dalam sidang media, Peter (Anthony) berkata sesebuah negeri patut ditadbir oleh parti politik setempat menurut negeri masing-masing.

“Bagaimanapun ini bercanggah dengan tindakannya untuk menyertai GRS yang terdiri daripada parti nasional dan parti tempatan,” katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan kenyataan Anthony yang menyatakan parti Warisan telah jauh tersasar dari perjuangan asal apabila melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

“Sejak ditubuhkan, Warisan lantang bersuara memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 sehinggalah pindaan Perlembagaan dilaksanakan baru-baru ini untuk mengembalikan status sebagai rakan sekutu Semenanjung.

“Alasan untuk keluar parti kerana Warisan tersasar dari perjuangan asal hanya kerana melebarkan sayap ke Semenanjung, adalah tidak benar.

“Ini kerana pada mesyuarat Majlis Tertinggi sebelum ini dan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan (2020) pada 12 Disember lalu, seluruh ahli majlis tertinggi dan ahli parti menyokong penuh langkah itu pada perhimpunan itu.

“Keputusan untuk melebarkan Warisan ke Semenanjung adalah satu langkah untuk menawarkan satu lagi pilihan kepada semua pengundi di Malaysia,” katanya.

Semalam, media melaporkan Anthony mengumumkan keluar dari parti Warisan bagi menubuhkan sebuah parti baharu tempatan.

Katanya, parti baharu yang bakal ditubuhkan itu adalah sebuah parti mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan menyokong kerajaan negeri. – Malaysiapost