HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Disember 2007

Bahagian Empat:
PAKATAN HINDRAF - KHAIRY
MATLAMAT HALALKAN CARA?



Dalam bahagian tiga telah saya senaraikan keanehan lima pemimpin Hindraf ditahan bawah Seksyen 8 ISA. Lantas, saya pun bertanya, mungkinkah seluruh keanehan itu tidak terjadi kalau tiada dalang di sebalik Hindraf?

Oleh itu, kalau benarlah memang wujud satu konspirasi di sebalik demonstrasi Hindraf pada 25 November 2007, maka betullah apa yang ditulis dan dinyatakan oleh Anak Jati Rembau dalam blog anti-khairy pada 4 Disember 2007. Sebab itukah tulisan itu tidak dan belum dinafikan oleh Khairy hingga ke hari ini?

Dengan tiadanya penafian, maka melesetkah kalau diakatakan bahawa Khairy adalah dalang kepada demonstrasi Hindraf? Sebab itukah tahanan ISA ke atas Uthyakumar dan empat rakannya pun hanya di bawah Seksyen 8, yang tidak melalui proses soal-siasat intensif oleh pihak polis?

Tulisan dan ramalan Anak Jati Rembau yang menyatakan bahawa selepas demonstrasi Hindraf akan ada satu pertemuan oleh NGO dan Pertubuhan Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur, juga terbukti benar. Pada 6 Disember 2007, lima NGO telah mengumpulkan kira-kira 395 NGO lain dari seluruh negara untuk menubuhkan Damai Malaysia.

Damai Malaysia

Badan berkenaan mendakwa mempunyai 1.5 juta ahli. Matlamat utamanya adalah bersepakat “untuk menolak demonstrasi politik jalanan dan mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.”

Matlamat ini merupakan satu ironi. Dan, ironinya adalah: walaupun Damai Malaysia bermatlamat “mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara,” Menteri Dalam Negeri tidak pula menyifatkan Hindraf - yang pernah didakwa sebagai “berusaha mendapatkan sokongan dan bantuan pengganas antarabangsa” dan dikaitkan dengan kumpulan pengganas “Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dari Sri Lanka” - sebagai ancaman kepada negara.

Kalau Hindraf memang merupakan ancaman kepada negara, sehingga ada pihak yang prihatin terpaksa mewujudkan Damai Malaysia, kononnya untuk “mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara,” mengapakah pemimpin-pemimpin Hindraf hanya ditahan bawah Seksyen 8 ISA? Kenapa tidak di bawah Seksyen 73 ISA yang akan membolehkan pihak polis menyiasat mereka secara terperinci, sama ada Hindraf benar-benar ancaman kepada negara?

Rakyat Bodoh?

Soalnya, apakah yang sedang cuba dibuktikan oleh pihak yang mendalangi demonstrasi Hindraf dan pihak yang mendalangi penubuhan Damai Malaysia (kedua-duanya proksi Abdullah) kepada rakyat jelata pada ketika ini? Hendak membuktikan Abdullah serius dalam menangani soal Hindraf dan sebab itulah pemimpin-pemimpinnya ditahan bawah ISA?

Hendak membuktikan bahawa Damai Malaysia sahajalah kumpulan patriot negara dan sebab itulah matlamatnya adalah “mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.”?

Hendak membuktikan bahawa rakyat jelata Malaysia jahil dan bodoh? Bukankah rakyat jelata kini dapat melihat dengan jelas bahawa demonstrasi Hindraf adalah didalangi oleh proksi Abdullah dan tangakapan para pemimpin Hindraf di bawah ISA hanya sekadar mengaburi mata rakyat daripada hakikat konspirasi yang sebenar-benarnya?

Sandiwara

Kata orang putih “what a joke?” atau “what a mockery?”. Kata orang Melayu, inilah sandiwara yang serba tempang gaya ceritanya. Apa tidaknya? Pi mai, pi mai, rakyat tetap bijak membaca bahawa demonstrasi Hindraf adalah konspirasi satu percaturan kuasa. Tidak lain dan tidak bukan, itulah hakikatnya - satu konspirasi ciptaan proksi Abdullah!

Pada 13 Disember 2007, Pengerusi Penyelaras Damai Malaysia, Saudara Saiful Adil Mohd Daud, menyerahkan penyataan bersama badan itu kepada Abdullah di satu majlis ringkas di Pengkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Subang.

Mengulas mengenai penyataan bersama itu, Abdullah dilaporkan sebagai berkata bahawa pertubuhan itu “adalah suara majoriti rakyat Malaysia yang membantah demonstrasi jalanan. Orang yang selama ini senyap telah pun menyatakan pendirian mereka dan saya amat menghargainya kerana ia adalah untuk keamanan dan kesejahteraan rakyat yang kita kena pertahankan.”

Halalkan Cara

Kenyataan Abdullah di atas sepatutnya berbunyi begini: “Damai Malaysia adalah suara minoriti rakyat Malaysia yang cuba membutakan mata majoriti rakyat jelata supaya membantah demonstrasi jalanan oleh Hindraf yang didalangi oleh proksi saya. Orang yang selama ini senyap telah pun menyatakan pendirian mereka untuk memesongkan pandangan rakyat jelata dan saya amat menghargainya kerana ia adalah untuk keamanan saya dan kesejahteraan saya yang kena saya pertahankan.”

Abdullah, seluruh kelompoknya dan juga Damai Malaysia mesti marah dengan kenyataan yang saya bina semula seperti di atas. Tetapi, itulah hakikatnya. Seluruh penghujjahan di atas membuktikan bahawa demonstrasi Hindraf adalah didalangi oleh kelompok Abdullah. Dan, penubuhan Damai Malaysia juga didalangi oleh kelompok Abdullah. Kalau Khairy dikatakan sebagai dalang kepada demonstrasi Hindraf, Reezal Merican pula dikatakan jadi dalang kepada penubuhan Damai Malaysia. Inilah tindakan “matlamat menghalalkan cara”. [Bersambung dalam bahaguan lima] – Ruhanie Ahmad
Bahagian Tiga:
PAKATAN HINDRAF - KHAIRY
MATLAMAT HALALKAN CARA?



Sudah saya nyatakan dalam bahagian dua pada 27 Disember 2007, bahawa penahanan lima pemimpin Hindraf bawah ISA pada 13 Disember 2007 mungkin boleh disifatkan sebagai satu tindakan “matlamat menghalalkan cara” di mana matlamatnya adalah menutup sebarang spekulasi mengenai konspirasi Khairy-Hindraf dan caranya adalah menerusi tahanan di bawah ISA.

Hakikat ini jadi semakin jelas apabila kelima-lima pemimpin Hindraf terbabit hanya di tahan di bawah ISA Seksyen 8 dan bukannya Seksyen 73. Kedua-dua seksyen ini mempunyai prosidur dan implikasi yang amat berbeza ke atas pihak yang ditahan.

Mengikut ISA Seksyen 8, arahan penahanan dibuat oleh Menteri Dalam Negeri. Pihak yang ditahan pula terus dihantar ke Pusat Tahanan di Kemunting, Perak. Pihak yang ditahan juga tidak akan menjalani apa-apa soal-siasat intensif oleh pihak polis di tempat rahsia, lazimnya di sekitar Kuala Lumpur. Ini bermakna pihak yang ditahan terus diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Penjara Malaysia. Mereka seolah-olah diberikan cuti paksa selama dua tahun.

Misteri

Mengikut ISA Seksyen 73, perintah penahanan dibuat oleh pihak polis. Mereka yang ditahan akan disimpan di satu tempat misteri selama 60 hari. Mereka tidak diizinkan untuk ditemui oleh sesiapa waima ahli keluarganya yang terdekat.

Di sepanjang bulan pertama tempoh tahanan itu, mereka menjalani sessi soal-siasat yang intensif. Mereka akan disoal-siasat segala-galanya yang membabitkan diri mereka, pergerakan mereka dan lain-lainnya. Pada bulan kedua, mereka pula akan menjalani proses pemulihan. Pada hari ke-60, mereka akan berhadapan dengan dua kemungkinan. Satu, akan dibebaskan. Kedua, pihak polis akan mendapatkan kelulusan Menteri Dalam Negeri untuk terus menahan mereka bagi menjalani pemulihan selanjutnya di Kem Tahanan Kemunting, Perak.

Demikianlah hakikat dan perbezaannya. Jadi apakah implikasinya bila kelima-lima pemimpin Hindraf hanya ditahan di bawah ISA Seksyen 8? Ini bermakna perintah tahanan mereka dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mereka tidak menjalani apa-apa sessi soal-siasat intensif oleh pihak polis selama sebulan. Mereka juga tidak menjalani proses pemulihan selama sebulan berikutnya.

Musykil

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Seksyen 8 hanya terus dibawa ke Kem Tahanan Kemunting. Mereka juga boleh menerima lawatan keluarga terdekat. Pendek kata, mereka menjadi tetamu rasmi Jabatan Penjara Malaysia sekurang-kurangnya selama dua tahun.

Hakikat seperti ini pasti menimbulkan tanda tanya yang bukan kecil. Antara soalan-soalan yang timbul adalah seperti berikut:

Mengapakah pemimpin-pemimpin Hindraf, organisasi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan organisasi militen antarabangsa, tidak menjalani sessi soal-siasat intensif sewaktu dalam tahanan ISA?

Mengapakah mereka tidak disoal-siasat mengenai latarbelakang yang menyebabkan mereka membuat tuduhan mengenai pembersihan ektik dan mini-genocide ke atas kaum India di Malaysia?

Mengapakah tidak mahu dipastikan sebab-sebab mereka membuat kenyataan penuh provokasi terhadap UMNO, umat Islam dan orang Melayu sehingga hampir-hampir mencetuskan perbalahan kaum dan pertumpahan darah?

Mengapakah tidak disoal-siasat sebab-sebab mereka tergamak merayu komuniti antarabangsa untuk mendesak Kerajaan Malaysia memansuhkan Perlembagaan negara ini?

Mengapakah tidak disoal-siasat mengenai siapakah yang mendalangi demonstrasi mereka dan siapa pula yang membiayai demonstrasi berkenaan?

Mengapakah tidak disoal-siasat sama ada benar Hindraf mempunyai hubungan dengan komuniti militen di Sri Lanka dan India?

Dalang

Sebaik sahaja demonstrasi Hindraf, kedengaran tuduhan bahawa dalang demonstrasi itu adalah kumpulan parti pembangkang di negara ini. Bagaimanakah tuduhan ini mahu dipastikan kalau kumpulan pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA pun tidak disoal-siasat?

Sebaik sahaja Hindraf mengeluarkan kenyataannya yang provokatif, sebilangan orang Melayu dan umat Islam jadi emosional sehingga ada juga yang berura-ura mahu bertindak balas secara fizikal ke atas keturunan India. Jadi, kenapa tidak disoal-siasat mengapakah Hindraf mengeluarkan kenyataan itu?

Sebelum mereka ditahan di bawah ISA, ada pegawai tinggi kerajaan menuduh Hindraf sebagai mempunyai hubungan dengan puak militen seberang laut. Kalau pemimpin Hindraf yang ditahan tidak disoal-siasat, bagaimanakah dakwaan ini mahu dipastikan?

Kalau begitu keadaannya, kenapa tahan mereka di bawah ISA? Kalau begitu, tidakkah prnahanan ini mengesahkan wujudnya konspirasi? Kalau begitu, salahkah kalau penahanan ini disifatkan sebagai satu sandiwara yang diarahkan oleh proksi Abdullah? Kalau begitu, mungkinkah Khairy yang menjadi dalang kepada segala-galanya?

Angkara

Persoalan-persoalan di atas adalah penting. Ia penting kerana kalaulah pihak kerajaan memang menahan para pemimpin Hindraf di bawah ISA untuk mencari kebenaran, kenapakah mereka tidak disoal-siasat oleh pihak polis? Mengapakah begini jadinya? Adakah kerana proksi Abdullah yang mendalangi demonstrasi Hindraf takut pihak polis akan mengetahui konspirasi mereka? Adakah kerana mereka takut pihak polis mengetahui segala-galanya mengenai perancangan mereka?

Atau, pihak polis mungkin memang sudah tahu bahawa demonstrasi itu adalah angkara proksi Abdullah. Sebab itukah polis tidak mahu menahan mereka di bawah Seksyen 73? Atau, pihak polis memang tidak tahu bahawa dalang demonstrasi itu adalah proksi Abdullah. Dan, sebab itulah proksi Abdullah mencadangkan tahanan itu dibuat di bawah Seksyen 8 untuk mengelakkan rahsianya dibongkar oleh pihak polis?

Jadi, soalnya di sini, mungkinkah seluruh perkara di atas tidak terjadi kalau tiada dalang di sebalik Hindraf? Siapakah dalang itu? Adakah tindakan di atas juga sebahagian daripada strategi “matlamat menghalalkan cara”? Kisah seterusnya akan dihuraikan dalam bahagian empat siri ini. – Ruhanie Ahmad
Khir Toyo jumpa pengerusi kuil Jumaat ini.



KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo akan mengadakan perjumpaan dengan semua pengerusi kuil di negeri itu pada Jumaat ini bagi membincangkan masalah membabitkan rumah ibadat penganut Hindu.

Pengerusi Majlis Hindu Malaysia Datuk R.Nadarajah berkata perjumpaan di Batu Caves di sini dijangka dihadiri kirakira 800 pengerusi kuil di seluruh Selangor.

"Kami akan menggunakan peluang tersebut untuk membincangkan masalah atau isu berkaitan kuil dan berharap beliau (Dr Khir) dapat membantu kami menyelesaikannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nadarajah berkata sehubungan itu, satu memorandum berkaitan masalah serta isu melibatkan kuil akan diserahkan kepada Dr Mohamad Khir untuk perhatian kerajaan negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Sri Mariamman Temple Dhevasthanam turut meminta kerjasama semua pengerusi atau wakil semua kuil sama ada yang berdaftar ataupun tidak untuk menghadiri perjumpaan yang julung kali diadakan itu.

"Kami berharap perjumpaan seumpama ini akan turut diadakan di negeri lain kerana ia peluang yang baik untuk berbincang dan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dengan baik," katanya. BERNAMA
"Gerak geri sangat mirip pemimpin dimaksudkan" Guan Eng.



PETALING JAYA: DAP meminta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melakukan siasatan penuh dan memberi penjelasan berhubung kes video lucah yang didakwa melibatkan seorang ahli politik terkemuka tempatan seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, penjelasan daripada Perdana Menteri adalah amat penting bagi mengelakkan kepimpinan Barisan Nasional dipandang remeh dan ‘kotor’.

‘‘Lagipun perkara ini membabitkan seorang ahli politik berprofil tinggi. Jika dakwaan itu salah, tindakan patut diambil ke atas mereka yang mengedarkannya (video lucah) dan seterusnya membersihkan nama ahli politik itu.

‘‘Tetapi jika dakwaan tersebut benar, tindakan tegas patut diambil ke atas ahli politik tersebut,” kata Guan Eng pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, penjelasan daripada Perdana Menteri amat penting untuk membuktikan ketelusan kepimpinan Barisan Nasional.

Menurut Guan Eng, gerak-geri ‘watak’ utama dalam video itu adalah sangat mirip dengan ahli politik yang dimaksudkan.

‘‘Apa yang boleh saya dedahkan di sini ialah ahli politik yang didakwa ‘membintangi’ video lucah tersebut bukan daripada kalangan mana-mana parti pembangkang,” tambahnya.

Menurut laporan akhbar Cina itu, cakera padat digital (DVD) lucah itu mengandungi perlakuan seks disyaki antara seorang ahli politik terkemuka tanah air dengan pasangannya, seorang wanita penjual bunga.

Katanya, dua keping DVD yang dimaksudkan itu dijumpai di hadapan sebuah premis rumah kedai di Muar semalam bersama sekeping kertas yang tertera nama ahli politik yang didakwa.

Laporan tersebut turut menyebut bahawa VCD itu telah disebar secara meluas di Muar dan beberapa daerah di Johor sejak beberapa hari lalu.
KENYATAAN AKHBAR SALAHUDDIN AYUB DAN DATO’ MUSTAFA ALI

Antara Batu Burok dan Hindraf - Sikap 'double standard' Gani Patail diselar


Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini bersikap 'double standard' dan terdapat perbezaan yang jelas dengan kes Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) yang berlaku di Kuala Lumpur dengan apa yang berlaku di Kuala Terengganu pada hari ini (30 Disember 2007).

Perbezaan kes yang boleh kita lihat, apa yang berlaku di Kuala Lumpur ialah mereka didakwa kerana mencederakan pasukan polis sedangkan apa yang didakwa kepada Suwandi Ab Ghani dan Muhammad Azman Aziz ialah mereka ditembak dengan peluru hidup oleh anggota polis.

Ini pada saya suatu perbezaan yang sangat ketara yang pada hari ini membuktikan bahawa berlakunya ketidakadilan dalam system kehakiman dalam negara kita.

Saya juga mengecam tindakan pihak warden penjara yang mencederakan dengan memukul Azman dalam tahanan di Penjara Terbuka Marang dan saya mengharapkan bahawa Ketua Pengarah Penjara mengambil tindakan serta merta dan apabila hari ini beliau membuat satu laporan polis

Maka, aduan beliau mestilah disiasat dan tindakan segera mesti diambil.

Saya menyeru kepada pemuda-pemuda khasnya, supaya kita terus bekerja dengan kuat di atas isu ketidakadilan ini.

Saya yakin dan percaya bahawa kalau kita boleh menggerakkan jentera penerangan kita di semua peringkat, saya rasa ini satu pemangkin dan rakyat Terengganu boleh membuat perubahan dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Ini suatu kezaliman dan rakyat nampak pada hari ini mereka tidak diberi jaminan oleh mahkamah dalam kes Suwandi dan Azman yang tidak dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada hari ini.

Salahuddin Ayub
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


II. Jelas Gani Patail menganiaya Suwandi dan Azman


Saya merasa dukacita dengan keputusan Mahkamah Sesyen hari ini yang tidak membenarkan diikat jamin kepada mangsa tembakan peluru hidup dalam insiden Batu Burok pada 8 September lalu, Suwandi Ab Ghani dan Muhammad Azman Aziz dan dalam masa yang sama membenarkan penangguhan perbicaraan daripada pihak Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Pada hari ini, peguam-peguam yang mewakili tertuduh itu yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas telahpun menyatakan mereka bersedia untuk menjalankan perbicaran.

Bagaimanapun, perbicaran tidak diadakan pada hari ini dan kenapakah Peguam Negara hanya pada hari ini memohon penangguhan atas alasan-alasan hendak menjalankan perbicaraan bersama dengan kes yang diadakan di Mahkamah Majistret.

Sepatutnya, semasa pada hari pendakwaan, 9 Disember lalu Peguam Negara sudah boleh membuat permohonan untuk menggabungkan kes itu.

Jadi hari ini kes tidak dapat dijalankan, hanya membuang masa dan tiba-tiba kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

Bagi kita, ini suatu tindakan yang menganiaya kedua-dua tertuduh dan seolah-olah mereka ini telah dihukum walaupun belum dibuktikan bersalah. Malah, lebih mendukacitakan lagi mereka telah menjalani keadaan (penjara) tersebut khususnya Suwandi yang masih lagi tidak pulih sepenuhnya daripada kecederaannya.

Muhammad Azman pula dipukul dalam tahanan dan hari ini keluarga mereka membuat laporan polis. Peguam Negara semasa perbicaraan tadi menyatakan akan mempastikan orang yang membuat tindakan tersebut akan didakwa.

Kita mahu lihat Abdul Gani mengotakan apa yang dikatakan itu.

Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada para peguam yang diketuai oleh Tun Mohd Salleh Abas bersama Dat'’ Wan Abdul Muttalib Embong dan Mohamad Hanipa Maidin serta pasukannya menjalankan tugas dengan cemerlang walaupun keputusan tidak berpihak kepada kita.

Saya berharap kedua-dua keluarga Suwandi dan Muhamamd Azman bersabar dalam menghadapi situasi sekarang. Kita akan terus memberikan pembelaan dalam kes mereka walau berapa lama pun akan mengambil masa termasuk bantuan kebajikan.

Saya juga meminta ahli-ahli dan para penyokong PAS supaya bertenang dalam menangani isu ini. Kita akan tangani isu ini dengan sebaik mungkin dan ini sebahagian daripada ujian yang terpaksa dilalui.


Dato' Mustafa Ali
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. - mr
5 ribu Peneroka Felcra Nasaruddin bantah bina pembahagi jalan.
Johari Jaafar.


PARIT (Hrkh) - Kira-kira lima ribu peneroka Felcra Nasaruddin, Bota membantah tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membina pembahagi jalan di persimpangan yang masuk ke Felcra tersebut kerana ianya menyusahkan penduduk untuk keluar.

Pembahagi jalan tersebut dibina apabila pihak JKR membina jalan baru dua lorong dari Ipoh ke Lumut menyebabkan penduduk yang hendak menggunakan jalan tersebut ke arah Ipoh terpaksa berpatah ke belakang ke arah Bota sejauh 2 kilometer kemudiannya membuat pusingan untuk meenggunakan jalan yang menghala ke Ipoh.

"Jalan Felcra Nararuddin sudah lama dibina, kenapa pihak JKR tidak mengambil kira kesusahan penduduk di sini untuk keluar dari sini," ujar Rose Mat Jidin.

"Sepatutnya di persimpangan jalan ke Felcra ini dibuatkan lampu isyarat dan pembahagi jalan itu tidak perlu dibina,"katanya lagi.

Menurut beliau apabila pembahagi jalan itu dibina penduduk di sekitar ini tidak boleh hendak masuk ke jalan yang menghala ke Ipoh dan mereka terpaksa menggunakan jalan yang menghala ke Lumut sejauh 2 kilometer kemudian baru boleh membuat pusingan untuk mengambil jalan ke arah Ipoh.

"Pejabat Daerah Perak Tengah hanya beberapa kilometer sahaja tetapi jika hendak ke situ pengguna terpaksa berpatah belekang ke arah Lumut kemudian memasuki jalan ke arah Lumut untuk pergi ke pejabat berkenaan," tambahnya.

Seorang lagi peneroka Felcra Nasaruddin, Assanuddin Aziz, turut kesal dengan tindakan JKR yang membina pembahagi jalan di simpang jalan masuk ke Felcra tersebut tanpa membuat kajian yang mendalam dan teliti.

"Jalan masuk ke simpang ke Felcra ini sudah lama dibina, sepatutnya JKR mengambil kira kesulitan penduduk di sini apabilka pembahagi jalan itu dibina, ia menyusahkan kami terutama untuk menghantar anak ke sekolah," jelasnya.

Sehubungan dengan itu mereka berharap JKR sedia mendengar keluhan penduduk di sini dan sedia membina lampu isyarat di persimpangan jalan ke Felcra bagi memudahkan orang ramai menggunakannya. - mr
DVD ‘aksi seks pemimpin politik’ disebar di Batu Pahat.



MUAR – Cakera padat digital (DVD) yang didakwa mengandungi ade gan hubungan seks antara seorang pemim pin politik nasional berasal dari Johor dengan seorang wanita berusia 20-an kini tersebar di Muar dan Tangkak sejak semalam.

Selepas penyebaran meluas secara per cuma di Muar kelmarin, DVD tersebut dikatakan mula disebarkan pula ke daerah Batu Pahat hari ini.

Rakaman hubungan seks itu yang diam bil menerusi kamera litar tertutup (CCTV) selama sejam dipercayai dirakamkan di dalam sebuah bilik hotel.

Bagaimanapun, lokasi hotel itu tidak diketahui.

Sejak laporan mengenai DVD itu tersiar dalam beberapa akhbar berbahasa Cina hari ini, DVD tersebut dikatakan ‘disembu nyikan’ oleh para pengedar kerana bim bang tindakan polis.

DVD itu mengandungi dua bahagian iaitu A dan B yang diedar secara percuma di beberapa lokasi sejak malam semalam.

Bahagian A memaparkan aksi lucah hu bungan seks antara seorang lelaki yang didakwa sebagai pemimpin politik dengan seorang wanita menggunakan satu kamera CCTV.

Bahagian B pula menayangkan rakaman hubungan seks dari empat penjuru dari pada kamera CCTV berlainan melibatkan ‘pelakon’ yang sama.

Berdasarkan gerak tubuh dan bayangan dalam DVD itu, masyarakat di Muar per caya ia hampir 70 peratus menyerupai wajah pemimpin politik tersebut.

Namun, percakapan serta wajah pemim pin itu dari dekat tidak begitu jelas digam barkan di dalam DVD itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Johor, Datuk Hussin Ismail yang dihubungi Utusan Malaysia petang ini memberitahu, pihaknya masih belum me nerima sebarang laporan berhubung pe nyebaran DVD itu.

“Sehingga petang ini belum ada laporan yang diterima, justeru kita tidak boleh siasat dan buat apa-apa kenyataan setakat ini,” katanya- Utusan
Pilihanraya Mac 2008? 31 Disember tarikh akhir daftar pemilih.
Oleh Faisal Mustaffa



PEJABAT Pos di beberapa tempat di Lembah Kelang didapati tidak dapat mendaftarkan bakal-bakal pemilih yang datang pada saat-saat akhir selepas mendapat maklumat bahawa tarikh akhir pendaftaran Suruhanjaya Pilihanraya ialah sebelum berakhirnya 2007.

Khabar-khabar angin telah merebak mengenai Pilihan Raya Umum akan diadakan pada Mac. Untuk itu, penghujung Disember merupakan tarikh akhir untuk pendaftaran baru.

Dengan keluhan orang ramai yang diterima, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) mohon penjelasan sekiranya SPR ingin menghalang rakyat Malaysia daripada mendaftar sebagai pemilih pilihan raya sebelum berakhirnya 2007.

"Adakah kita akan mengulangi apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum 1999, di mana 680,000 pemilih baru diabaikan hak mereka daripada mengundi apabila SPR gagal mengemaskini senarai pemilihnya pada waktu waktunya?" terang kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat secretariat BERSIH hari ini.

"Dalam beberapa minggu ini, kami telah menerima banyak keluhan bahawa komputer-komputer di pejabat-pejabat pos Subang jaya, Brickfields dan Tesco Puchong mengalami keadaan 'di luar talian' dan kehabisan stok borang pendaftaran pemilih," jelas kenyataan itu lagi.

Bagi BERSIH, Perkara inI tidak dapat diterima, apabila mendapati pejabat pos membantu dalam proses pendaftaran, di mana ia digunakan bagi memudahkan rakyat Malaysia untuk mendaftar sebagai pemilih yang sah.

Sekiranya pendaftaran pemilih berada di 'luar talian' secara berterusan, atau/dan pejabat-pejabat pos sudah kehabisan boring untuk dicetak; sama ada SPR mahupun Pejabat Pos perlu bertanggungjawab untuk masalah-masalah teknikal seperti ini.

Pos Malaysia didapati menerima RM1.80 sebagai komisyen daripada SPR bagi setiap pendaftaran pemilih yang diterima.

Menurut SPR, buat masa ini terdapat 4.5 juta rakyat Malaysia melebihi 21 tahun yang masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Daripada jumlah tersebut, 80% dari bangsa Melayu. 80% daripada jumlah tersebut berada di bawah 30 tahun.

Suruhanjaya Pilhanraya pernah berhasrat untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 1.5 juta tetapi gagal dalam hasrat tersebut kerana kebanyakan daripada pemilih-pemilih Melayu muda.

Tidak mustahil sekiranya dinyatakan di sini bahawa parti memerintah tidak mahu mereka ini didaftarkan. Mereka takut keputusan semasa Pilihan Raya Umum 1999 yang lalu berulang.

Bukan hanya hampir separuh daripada pemilih Melayu menyokong Pembangkang, kebanyakan daripada mereka itu juga pemilih-pemilih dari kalangan muda Bandar yang sudah muak dengan sikap kerajaan yang memerintah.

Sekiranya keagalan-kegagalan 'teknikal' SPR disebabkan alasan-alasan politik, tidak ada sebab untuk mempercayai bahawa Barisan Nasional tidak yakin ia akan memenangi penyokong-penyokong dari masyarakat melayu, terutamanya Melayu Bandar selepas berjayanya perhimpunan BERSIH di Kuala Lumpur pada 10 November yang lalu.
Najib dibidas: Burukkan pembangkang, takutkan rakyat dengan konflik Pakistan.
Azamin Amin


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dibidas kerana cuba menakutkan perasaan rakyat terhadap konflik yang berlaku di Pakistan di samping memburukkan pembangkang yang didakwa mencetuskan kekecohan di negara ini.

Malah media arus perdana juga dilihat setiap hari memaparkan 'sentimen' Pakistan seolah-olah insiden tersebut boleh terjadi dengan penglibatan pembangkang dan akibat terhasilnya demonstrasi jalanan.

Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar berkata sungguhpun kerajaan di negara ini 'menindas' dan melakukan pelbagai 'kezaliman' serta 'menghimpit' nasib hidup rakyat, rakyat di bawah pimpinan pembangkang belum pernah mencetuskan rusuhan sehingga menimbulkan suasana huru-hara dan menyebabkan orang awam atau pemimpin politik terkorban.

"Najib sepatutnya mengambil iktibar bahawa, demokrasi yang teruk dan pincang di Pakistan menyebabkan kebangkitan rakyat untuk menentang kezaliman yang akhirnya mencetuskan suasana huru-hara," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Segalanya berpunca daripada kerajaan yang tidak mahu berubah.Bukannya cuba menakut-nakutkan rakyat dan seolah-olah pembangkang boleh menyebabkan suasana di Pakistan boleh berlaku di sini sedangkan Najib sendiri akui belum ada satu sejarah berlaku begitu dalam negara ini," katanya.

Mahfuz menambah bahawa rakyat dan pembangkang tidak akan turun berdemonstrasi tanpa sebab dan mempunyai 'niat sengaja' untuk cetuskan huru-hara jika ianya tidak mendatang sebarang manfaat dan menjejaskan kehidupan mereka apatah lagi sekiranya melibatkan nyawa orang awam terancam sebaliknya atas sebab-sebab kerajaan yang 'tidak melayan' luahan hati rakyat.

Katanya lagi selagi kerajaan tidak memulihkan demokrasi dan menunai tuntutan rakyat atas segala masalah yang menghimpit seperti pencabulan hak asasi, kesan ekonomi yang meruncing, pendidikan yang tidak seimbang serta proses pilihan raya yang tidak bersih selagi itulah rakyat akan melahirkan perasaan tidak puas hati mereka dengan melakukan pelbagai kaedah bantahan serta turun ke jalan raya melakukan demonstrasi.

"Rakyat di negara ini punyai sifat kesopanan tinggi dan berjiwa lembut, tidak akan sampai melakukan rusuhan sehingga mengakibatkan ramai yang terkorban. Cuma sekadar menyatakan bantahan dan demonstrasi yang dijamin dalam perlembagaan negara.

"Tetapi jika kerajaan tidak mahu berubah, melakukan penipuan dan kezaliman maka kerajaan jangan salahkan rakyat kalau mereka turun berdemonstrasi lagi. Jika berlaku insiden tidak diingini kerajaanlah yang bertanggungjawab bukannya rakyat!"katanya.

Beliau turut berkata 'sentimen' Pakistan ini akan sentiasa 'didendangkan' oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) bersama dengan media pro BN sehingga menjelang pilihan raya supaya rakyat takut khususnya masyarakat bukan Islam untuk memilih pembangkang seterusnya meraih pengaruh dan sokongan rakyat terhadap BN yang semakin goyah survival politik mereka.

"Dengan sentimen perkauman yang dimainkan Umno, jenayah yang makin meningkat, pilihan raya yang kotor, rakyat miskin tertindas, barang naik, sara hidup tinggi, pembaziran dan rasuah berleluasa adalah hasil daripada BN yang memerintah dan rakyat makin tidak puas hati.

"Siapa yang tidak mahu hidup aman dan inginkan kestabilan politik? Seluruh masyarakat termasuk pembangkang mahukan kedua-duanya bahkan itulah yang diperjuangkan selama ini dan oleh itu kita sering menegur,membantah dan memberi amaran kepada kerajaan supaya pulihkan keamanan dan politik negara yang kini terumbang-ambing," katanya.

Mahfuz menambah atas segala rentetan dan kronologi yang berlaku kepada rakyat sepanjang 2007 dan segala salah laku kerajaan selama ini, sewajarnya dijadikan iktibar kepada semua pihak supaya sedar bahawa BN telah gagal dalam mentadibir negara di samping menjadikan satu keazaman setiap individu amnya rakyat Malaysia untuk memberi peluang kepada pembangkang dalam Barisan Alternatif seperti PAS untuk mentadbir negara dan membela nasib rakyat jelata. - mks.
Mana lebih bahaya, antara himpunan tahun baru dan demonstrasi jalanan.
Mat Zain Mat Isa


Tahun baru bakal menjelma lagi. Serentak itu perhimpunan untuk menyambut ketibaannya sedang rancak diatur pelbagai pihak. Acara paling tidak dilupakan di setiap majlis sebegitu ialah pertunjukan hiburan dan pesta-pestaan.

Itu lah hakikat yang sangat mendukacitakan kita. Ketika masyarakat dilanda kebimbangan berhubung keruntuhan nilai moral dan peningkatan gejala sosial, terutama di kalangan remaja, di manakah kewajarannya untuk kita terus membiarkan gaya hidup bebas dan terbabas mewarnai masyarakat kita?

Perlu diingat, kebanyakan budaya hidup merosakkan yang menular di kalangan remaja kini berlatarbelakangkan cara hidup yang sukakan hiburan dan kebebasan. Kita boleh meninjau budaya-budaya kuning seperti Black Metal, Skinhead, Punk, Hip Hop, Grunge dan sebagainya. Kesemua mereka tidak dapat dipisahkan dengan beberapa tabiat dan perlakuan buruk seperti meminum arak, dadah, pesta muzik dan seks bebas.

Menyambut ketibaan tahun baru dengan perhimpunan yang menyajikan hiburan dan pergaulan bebas bagaikan menyediakan medan terbaik bagi golongan seumpama ini menyempurnakan tabiat buruk mereka. Ia malah turut memudahkan budaya buruk itu berjangkit dan merebak di dalam masyarakat.

Berdasarkan pengalaman lalu, acara sambutan tahun baru banyak mendorong anak muda kita hanyut dalam kehidupan bebas dan terbabas. Keasyikan berhibur dan berfoya melupakan mereka kepada akar umbi sebagai bangsa Timur, apatah lagi jika nak dinilai berdasarkan nilai agama Islam.

Kita sebenarnya telah mewarisi budaya hidup cukup murni dan boleh dikatakan sempurna dalam konteks melahirkan insan yang beradab dan berbudi pekerti mulia. Malangnya warisan itu dipunahkan oleh kita sendiri dengan membiarkan budaya asing menguasai kehidupan kita.

Sebagaimana sedia dimaklumi umum, beberapa lokasi di ibu negara seperti Bintang Walk, Dataran KLCC, Dataran Merdeka dan Bangsar sering menjadi tumpuan warga kota, terutama kalangan anak muda berpesta di setiap perayaan. Namakan saja, sama ada sambutan Hari Kemerdekaan, Hari Krismas, mahu pun tahun baru, lokasi-lokasi itu tidak akan ketandusan manusia.

Amat mendukacitakan, ia dipenuhi pasangan remaja dengan lagak bebas dan terpesong. Malah ada yang bertindak di luar batasan adab dengan berpeluk-cium tanpa segan silu, saling tak tumpah gelagat remaja Barat yang kita lihat menerusi kaca tv. Kelakuan sebahagian mereka seolah-olah dunia ini mereka yang punya. Mereka langsung tidak menghiraukan pandangan dan sensitiviti orang lain yang turut berada di situ.

Disko, pub dan bar dipenuhi orang ramai, kebanyakan remaja. Mereka meminum arak serta membuat aksi yang bertentangan nilai keagamaan dan norma ketimuran. Ada remaja yang terpaksa dipapah rakan-rakan dalam keadaan mabuk, termasuk remaja perempuan yang diusung teman-teman lelaki. Tidak sukar kita menelah apa yang berlaku selepas itu, bukan?

Keadaan itu turut mendorong kepada beberapa penyakit sosial lain, seperti pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang membahayakan nyawa pengguna lain, pergaduhan, laku musnah, perogolan dan seumpamanya.

Pernah dilaporkan media dua kumpulan remaja saling berbalas serangan di awal pagi tahun baru selepas terlibat dengan pertelingkahan semasa menghadiri satu perhimpunan menyambut kedatangan tahun baru di sekitar ibu negara.

Dilaporkan juga cerita gelagat sekumpulan remaja Skinhead berpesta muzik di khalayak ramai di pekarangan Stadium Darulmakmur, Kuantan. Mereka yang rata-rata tidak berbaju dirakamkan sedang meloncat dan berjoget secara liar disyaki dalam keadaan mabuk.

Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku di negara kita yang terkenal dengan adab dan sopan-santun. Sepatutnya dalam bab sebeginilah para pemimpin negara perlu berteriak, “ini bukan budaya kita!” Betul, tak?

Masalahnya, perhimpunan seumpama ini tidak pula digema-riuhkan sebagai perhimpunan haram di sisi undang-undang negara. Dalam beberapa keadaan, ia bukan sahaja dibenarkan kerajaan, malah disediakan lokasi atau tempat paling sesuai untuk keselesaan peserta.

Pihak berkuasa tempatan dan polis bukan sahaja memberikan mereka permit untuk berhimpun, malah segala bentuk kerjasama menjayakannya. Media massa turut mengiklankannya bagi menarik kehadiran orang ramai.

Dalam sebilangan acara, ia malah turut dijayakan para pemimpin tertinggi negara dan negeri. Kelibat polis di simpang dan jalan raya menuju ke lokasi majlis itu bukan untuk mengadakan sekatan, tetapi bagi melancarkan perjalanan peserta.

Di lokasi perhimpunan pula, kehadiran polis bukan untuk menyurai hadirin dengan lontaran bom asap atau pancutan air berasid, tetapi bagi memastikan aturcara dibauri maksiat dan keruntuhan moral itu berlangsung dengan lancar.

Itulah gambaran persepsi songsang tentang nilai moral dan akhlak masyarakat kita sekarang. Perlu diingat bahawa moral dan akhlak menjadi teras bagi tamadun sesuatu bangsa. Dalam keadaan yang ada kini, apa lagi yang boleh kita banggakan dengan tamadun bangsa kita?

Isu gejala sosial dan keruntuhan akhlak sangat berleluasa dalam masyarakat terutama di kalangan remaja. Satu fenomena jelas di kalangan mereka ialah kegilaan kepada hiburan dan gaya hidup bebas.

Apakah kita dalam suasana yang sangat gersang hiburan dan pesta-pestaan sehinggakan memaksa kita menganjurkan sekian banyak perhimpunan untuk bersuka-ria setiap adanya perayaan atau sambutan? Tidak cukup lagikah lambakan hiburan dipaparkan media berbagai saluran saban malam yang boleh ditonton di rumah masing-masing?

Mengambilkira kesan jangka panjang perhimpunan dan pesta seumpama ini kepada keruntuhan moral dan jatidiri rakyat, ia sepatutnya dijauhi atau ditegah. Pihak berkuasa tempatan, polis dan jabatan agama sebagai agensi kerajaan sepatutnya memainkan peranan yang penting dalam membasmi gejala merosakkan ini.

Kerosakan akhlak dan keruntuhan moral sebenarnya jauh lebih bahaya daripada kerosakan harta benda, lebih bahaya daripada sekadar kesesakan jalanraya beberapa jam. Ia merupakan ancaman paling menakutkan kepada masa depan negara dan sepatutnya dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Mengapa? Kerana, majoriti golongan dirosakkan perhimpunan hiburan itu adalah remaja. Suka atau tidak, perlu diakui bahawa hanya pada mereka kita mampu sandarkan harapan untuk menerajui dan mencorakkan negara di masa depan.

Kita tidak akan mampu menongkat langit dan hidup seribu tahun. Selepas ketiadaan kita, mereka inilah bakal mewarisi teraju masyarakat. Baik atau bobrok, itulah pemimpin masa depan. Maka, jika kita yang bertanggungjawab merosakkan mereka hari ini, jangan salahkan mereka jika di belakang hari nanti negara punah-ranah di tangan mereka.

Menurut ajaran Islam, corak kehidupan rakyat sesebuah negara banyak bergantung kepada cara hidup para pemimpinnya. Jika pemimpin mabuk arak, apa peliknya rakyat mabuk dadah, pil kuda, arak dan samsu? Jika pemimpin menyeleweng, merasuah dan menyalah guna kuasa, bagaimana mahu dibanteras penyakit itu dalam masyarakat?

Sama juga, jika para pemimpin turut serta menjayakan acara yang mendorong rakyat untuk bebas dan terbabas, sampai bila kita akan dapat mengubati penyakit moral dan gejala sosial mereka?

Sehingga kini telah berbuih teguran ini diperkatakan. Namun ia bagaikan hinggap di telinga yang pekak badak. Dasar liberal dalam pemerintahan kerajaan Barisan Nasional nampaknya masih tidak dapat menerima perkara ini sebagai saham kepada kerosakan masyarakat.

Barangkali rakyat tiada pilihan jika mahu memperbetulkan kepincangan sosial ini, melainkan sama-sama kita bersepakat menunjukkan BN pintu keluar pada pilihan raya umum nanti! - mks.

Ahad, 30 Disember 2007

Semua Ketua Bahagian Umno Perlis mahu Shahidan ditukar.



PADANG BESAR: Semua Ketua Bahagian Umno di Perlis kecuali Arau mahukan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim ditukar selepas pilihanraya akan datang. Mereka termasuk Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang dilaporkan berkata, sudah sampai masanya kepimpinan parti di Perlis diubah termasuk menggantikan Menteri Besar.

Menurutnya, sebagai setiausaha agung parti dan anak jati Perlis, beliau nampak pergolakan yang berlaku dalam UMNO negeri semakin meruncing sehingga memperlihatkan tiada kerjasama antara pemimpin-pemimpin UMNO negeri.

Radzi yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri berkata, beliau melihat pergolakan sesama ahli parti di Perlis berlaku di ketiga-tiga bahagian iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau.

‘‘Sudah sampai masanya (kepimpinan UMNO) Perlis diubah. Ini pandangan saya sebagai setiausaha agung parti. Kalau Perlis masih kekal dengan kepimpinan lama dan tokoh yang lama, saya rasa negeri ini akan terus berada di takuk lama.

‘‘Saya tak mahu pergi kepada (masalah-masalah) pembangunan, ekonomi atau pengurusan pentadbiran tetapi kepimpinan politik di negeri ini, cukuplah,” katanya.

Radzi yang juga Ahli Parlimen Kangar berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Gerak Kerja Pilihan Raya UMNO Bahagian Padang Besar di Bukit Keteri di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Padang Besar yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid dan Ketua UMNO Padang Besar, Datuk Zahidi Zainol Abidin.

Menurut Radzi, sebahagian besar daripada ahli parti di Perlis juga bersetuju supaya kepimpinan politik di negeri ini diubah termasuk menukar Menteri Besar.

‘‘Menteri Besar perlu diubah (ditukar) kerana Menteri Besar adalah ketua negeri. Kalau tak ubah Menteri Besar, tak bolehlah ubah kepimpinan,” katanya.

Radzi berkata, beliau terpaksa membuat kenyataan secara terbuka mengenai kepimpinan politik di Perlis kerana melihat tahap kerjasama antara pemimpin parti di ketiga-tiga bahagian berkenaan begitu buruk.

‘‘Bukan saya kata saya nak ubah kepimpinan tetapi saya sudah lihat dan fikir, sudah sampai masanya ia diubah. Saya sebagai Setiausaha Agung UMNO nampak semuanya. Tiada langsung kerjasama di antara ketiga-tiga bahagian ini malah dalam satu bahagian pun tiada kerjasama antara sesama mereka,’’ katanya.

Radzi menambah, sebagai setiausaha agung parti juga, beliau perlu mengambil berat tentang perkara-perkara yang melibatkan kerjasama antara semua pemimpin dan ahli parti.

‘‘Ia amat penting kepada saya (sebagai setiausaha agung). Berpuak-puak bukan amalan dalam UMNO. UMNO Perlis dilihat bermusuh seolah-olah mereka berada dalam parti lain,’’ katanya.

Radzi mengulangi bahawa kenyataannya itu adalah berupa kenyataan yang lahir daripada pengamatan dan pemerhatiannya terhadap suasana politik di Perlis.

‘‘Bukan saya nak tunjuk hebat. Saya tidak pernah buat cerita (beri kenyataan) macam ini. Saya buat kenyataan ini kerana saya nampak apa yang berlaku sebagai setiausaha agung parti sejak empat tahun lalu.

‘‘Perlis negeri kecil dan mempunyai hanya tiga bahagian sahaja. Jadi kalau sampai tiada kerjasama dan berpuak-puak maka ia perlu dibuat perubahan, kalau tidak UMNO Perlis akan hancur,’’ katanya.

Ditanya sama ada sudah ada calon untuk menggantikan Menteri Besar jika ingin membuat perubahan, Radzi berkata, ia terpulang kepada Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, Azmi yang turut hadir pada sidang akhbar itu enggan mengulas tetapi berkata, kenyataan Radzi itu lahir daripada apa yang dilihat dan diamatinya mengenai suasana politik Perlis atas kapasiti Setiausaha Agung UMNO.

‘‘Beliau sebagai setiausaha agung nampak semuanya sebab beliau menjelajah seluruh negara dan tahu membuat perbezaan (antara politik Perlis dengan negeri-negeri lain),’’ katanya.
Pakatan Hindraf - Khairy, matlamat halalkan cara?.
Ruhanie Ahmad.


Di akhir posting bahagian satu pada 15 Disember 2007, saya tegaskan, persepsi dan andaian di kalangan segolongan rakyat jelata pada hari ini mengatakan bahawa demonstrasi Hindraf pada 25 November 2005, serta kenyataan Hindraf yang provokatif terhadap Umno, orang Melayu dan umat Islam, adalah satu konspirasi ciptaan Khairy Jamaluddin selaku proksi kepada Abdullah.

Lantas, saya bertanya, adakah ini persepsi yang tepat dan andaian yang betul? Mustahilkah kalau demonstrasi dan kenyayataan Hindraf yang sedang dipolemikkan adalah dirangka dan dilaksanakan untuk mengukuhkan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan goyang dilanda gelombang rakyat mulai 10 November 2007?

Bukankah peristiwa ini menepati strategi "matlamat menghalalkan cara"? Oleh itu, sama-samalah kita rungkai dalam bahagian dua ini, benarkah Khairy yang menggunakan nama Umno untuk mendalangi demonstrasi Hindraf?

Soalan ini sedang menghantui pemikiran banyak pihak, termasuk ahli-ahli Umno. Persoalan ini juga mendorong banyak pihak mula mempolemikkan tindakan Abdullah menggunakan beberapa undang-undang, termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebagai satu tindakan "matlamat menghalalkan cara."

Tindakan ini disifatkan oleh banyak pihak sebagai satu cara untuk memulihkan kredibiliti Abdullah yang tercemar, integritinya yang tercalar dan kepimpinannya yang amat tergugat akibat ledakan gelombang rakyat mulai 10 November 2007.

KonspirasiSetakat ini tidak wujud bukti yang mengaitkan Khairy berkonspirasi dengan Hindraf. Bagaimanapun, tidak ada siapa boleh menafikan kemungkinan konspirasi ini. Lebih-lebih lagi bila wujud ramalan seperti berikut:

“ Menantu Perdana Menteri (PM) dalang perhimpunan Hindraf? Itulah maklumat yang kami terima. Bunyinya pelik, tetapi ada alasan kukuh yang diberikan oleh pemberi maklumat ini.

Dalam sejarah politik Malaysia, hanya apabila terjadi perbalahan di antara kaum, (maka) Umno, MCA dan MIC akan kembali menjadi kuat. Ini telah terbukti selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969. Melayu kembali menyokong Umno dan Cina kembali bersama MCA.

Ini yang ingin dilakukan oleh menantu PM. Beliau tahu bahawa orang Melayu sudah mula hilang keyakinan kepada PM, dan ini amat berbahaya jika berterusan sehingga PRU ke-12. Jika kebencian orang Melayu kepada Abdullah berterusan, bermakna undi mereka akan pergi kepada pembangkang dan Abdullah akan dilihat gagal mempertahankan prestasi PM. Maka mudahlah untuk Datuk Seri Mohd. Najib Razak meyakinkan Abdullah untuk berundur dan memberikan laluan kepadanya untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Ini yang paling ditakuti oleh menantu PM. Jika Najib naik, peluangnya untuk terus kukuh di dalam Umno sehingga menjadi PM, tidak akan berjaya. Segala usaha yang telah dilakukannya (selama ini), termasuklah menggadaikan sedikit demi sedikit negara kepada Singapura, (jadi) sia-sia.

Pertemuan:

Jadi, beliau pun memulakan taktik jahatnya. Sumber kami mengatakan bahawa beliau (menantu PM) bertemu dengan P. Uthayakumar (Penasihat Undang-Undang Hindraf) beberapa bulan yang lalu dan memulakan perundingan.

Di antara perjanjian mereka ialah, menantu PM akan membiayai kesemua kos yang diperlukan oleh Uthayakumar untuk menganjurkan satu perhimpunan yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan menaikkan kemarahan orang Melayu.

Sebagai balasan, Uthayakumar akan terus disokong dari segi kewangan dan (diberikan) perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan seperti ISA. Sebab itu sehingga hari ini kerajaan tidak menggunakan ISA kepada Uthayakumar walaupun beliau telah memainkan isu yang bahaya dan berpotensi untuk mencetuskan satu rusuhan kaum.

Selepas perhimpunan Hindraf pada 25 November 2007, sekarang giliran menantu PM untuk mengapi-apikan kemarahan kumpulan Melayu pula. Diberitakan bahawa (akan ada) satu pertemuan oleh NGO dan Pertubuhan Melayu di Kampung Baru (Kuala Lumpur) dalam jangka masa terdekat ini. Tujuannya ialah untuk mempertahankan Islam.

Selepas pertemuan, NGO dan pertubuhan yang hadir akan mengeluarkan kenyataan dan slogan yang berbunyi: "Jangan cabar umat Islam di negara ini". Pertemuan yang ditaja oleh menantu PM itu tidak lain tidak bukan berniat untuk menaikkan kemarahan orang Melayu.

Apabila orang Melayu sudah marah, mereka akan kembali memberikan sokongan kepada Abdullah. Ini mencerahkan peluang Abdullah untuk memimpin UMNO (dan kerajaan) sekurang-kurangnya selama satu penggal lagi.

Sebagai seorang rakyat yang cintakan negara, saya tidak faham mengapa kestabilan dan keharmonian negara sanggup digadaikan demi untuk mempertahankan kuasa? Saya berharap agar orang Melayu tidak lagi bodoh dan membiarkan diri mereka diperalatkan oleh segelintir pihak yang hanya gila kepada wang dan kekuasaan. - Anak Jati Rembau, Blog Anti-Khairy, 4 Disember 2007, jam 7:59 pagi “

Lencongan :

Apa yang ditulis oleh Anak Jati Rembau seperti di atas belum lagi membuktikan keterlibatan Khairy mendalangi demonstrasi Hindraf.

Andaian dan persepsi ini nampak semakin jelas bila tulisan di atas mengatakan Uthyakumar akan dilindungi daripada tangkapan di bawah ISA, tetapi Uthayakumar dan empat lagi pemimpin Hindraf telah pun ditahan bawah ISA pada 13 Disember 2007.

Sekali imbas, tindakan menahan Uthyakumar di bawah ISA memang akan membawa makna bahawa dakwaan wujudnya konspirasi Khairy-Hindraf adalah tidak benar.

Tetapi, mustahilkah kalau tangkapan itu dilakukan untuk megaburi keyakinan umum tentang wujudnya konspirasi Khairy-Hindraf kerana konspirasi itu memang sebenar-benarnya wujud?

Jadi, tidakkah penahanan lima pemimpin Hindraf ini boleh disifatkan sebagai tindakan "matlamat menghalalkan cara" di mana matlamatnya di sini adalah menutup sebarang spekulasi mengenai konspirasi Khairy-Hindraf dan caranya adalah menerusi tahanan di bawah ISA?

Hakikat mengaburi keyakinan rakyat menerusi tahanan ISA ini jadi semakin jelas apabila kelima-lima pemimpin Hindraf terbabit hanya ditahan di bawah ISA Seksyen 8 dan bukannya Seksyen 73. Kedua-dua seksyen ini mempunyai prosidur dan implikasi yang amat berbeza ke atas pihak yang ditahan. Hakikat ini akan saya huraikan dalam siri ini bahagian tiga. - kuda-kepang.blogspot
Warga asing bolot 20% peluang pekerjaan baru
Oleh: AMRAN AHMAD


KUALA LUMPUR - Kira-kira 20 peratus peluang pekerjaan baru yang diwujudkan tahun ini dibolot dan jatuh ke tangan warga asing, menurut kajian yang dijalankan oleh Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif MIER, Profesor Emeritus Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata, senario itu sangat berbahaya kepada sektor buruh negara terutama selepas era peralihan ekonomi daripada berteraskan buruh kepada teknologi dan kemahiran pada masa ini.

“Keadaan ini juga bertentangan dengan matlamat negara untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan bukannya mencipta peluang pekerjaan kepada orang asing,

“Peralihan ekonomi kepada era teknologi dan kemahiran tinggi juga menyebabkan ekonomi negara tidak mampu menawarkan peluang pekerjaan baru sebanyak dahulu kepada rakyat negara ini terutama golongan di bawah 34 tahun,” kata beliau kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.

Awal bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta majikan agar menghentikan ketagihan mengambil pekerja asing kerana ia memberikan kesan negatif kepada pembangunan negara.

Abdullah berkata, tindakan majikan mengambil pekerja asing sah atau haram menghalang pemindahan teknologi serta membantutkan pertumbuhan ekonomi selain menghalang usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi di kalangan rakyat tempatan.

Populasi remaja antara umur 15 hingga 34 tahun di Malaysia berjumlah 9.75 juta dengan meliputi 42.5 peratus daripada penduduk negara ini dan menyumbang sehingga 60 peratus daripada keperluan sumber manusia tempatan.

Dianggarkan antara 200,000 hingga 300,000 peluang pekerjaan baru berjaya diwujudkan di negara ini tahun ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Ariff berkata, peningkatan penguasaan peluang pekerjaan di negara ini oleh pekerja asing sama ada secara sah atau haram terus berlaku kerana mereka mampu ‘menawarkan’ pakej yang lebih menarik jika dibandingkan dengan orang tempatan.

Selain menerima gaji yang lebih murah berbanding permintaan gaji oleh orang tempatan, kata beliau, pekerja asing juga ‘merestui’ tindakan majikan untuk mengarahkan mereka bekerja lebih masa serta tidak perlu diberikan kemudahan yang banyak dan baik.

Pada masa yang sama, pekerja asing menerima layanan ‘istimewa’ dengan tidak perlu mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), membayar Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta diberikan kelonggaran untuk tidak menubuhkan kesatuan sekerja.

Sabtu, 29 Disember 2007

Samy Vellu kini jaga kuil?.
A Kadir Jasin.


Sekiranya laporan akhbar The Star pada 25 Disember boleh diyakini, maka selain menjadi menteri kerja raya, S Samy Vellu kini turut menjadi "menteri agama" yang bertanggungjawab terhadap penganut agama Hindu.

Ini berikutan arahan Perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta beliau "memantau semua kuil di negara ini dan dari semasa ke semasa mengemukakan laporan mengenai statusnya kepada Kabinet."

Saya gunakan ungkapan "sekiranya boleh diyakini" kerana yang membuat kenyataan itu bukanlah Abdullah tetapi Samy Vellu.

Menurut The Star, Samy Vellu mendakwa bahawa Perdana Menteri secara khusus mahu MIC memaklumkan kepada beliau senarai kuil yang mungkin telah dirobohkan atas pelbagai sebab.

Dalam laporan bertajuk "PM to get temple report from MIC", The Star memetik Samy Vellu dalam satu kenyataan akhbar sebagai berkata: "Oleh kerana isu kuil ini sensitif, suatu pendekatan baru diperlukan bagi mengatasinya. MIC akan mengambil alih sepenuhnya tugas ini."

Adakah benar Perdana Menteri memberi arahan yang luar biasa itu kepada Samy Vellu?
Sekiranya beliau memberi arahan seperti itu, apakah ini bermakna tanggungjawab ke atas kuil Hindu kini menjadi tugas sebuah parti komponen Barisan Nasional?

Apakah ini bererti MIC kini parti agama Hindu kerana diberikan tugas khas menjaga kepentingan agama itu?

Kalau begitu, apa halnya dengan ahli-ahli MIC yang bukan beragama Hindu?

Apakah MIC pihak terbaik untuk memantau kedudukan kuil Hindu dan bukan pertubuhan-pertubuhan agama Hindu?

Kalau Kabinet mempunyai menteri khas untuk memantau dan membuat laporan mengenai kuil Hindu, siapakah pula yang bertanggungjawab memantau dan membuat laporan mengenai masjid, madrasah, surau, gereja, chapel, tokong, kuil Buddha dan rumah-rumah ibadat yang lain?

Tentulah tidak adil bagi Kabinet hanya memantau mengenai kuil Hindu yang dirobohkan sahaja. Ia perlu juga memantau kuil Hindu yang sedia ada dan yang giat didirikan di merata tempat.

Kalau menteri khas ditugaskan memantau dan melaporkan mengenai kuil Hindu, tentulah sangat tidak patut kalau menteri atau menteri-menteri khas tidak dilantik untuk memantau masjid, madrasah, surau, gereja, chapel, kuil Buddha dan tokong sebab ada juga waktu-waktunya rumah-rumah ibadat ini mengalami masalah dengan pihak berkuasa.

Bukan perkara asing bagi surau dirobohkan atau masjid dikenakan syarat dan peraturan oleh pihak berkuasa agama dan tempatan.

Pastinya bukan kuil Hindu sahaja tertakluk kepada undang-undang dan peraturan serta mengalami masalah dengan pihak berkuasa.

Berbalik kepada "menteri hal ehwal kuil Hindu", maka elok sangatlah kalau keutamaan beliau adalah "mengenal pasti dahulu kuil-kuil yang dibina secara haram dan kedudukan mereka."

Daripada sudut lain pula, pelantikan istimewa Samy Vellu ini ibarat rezeki terpijak, pucuk dicita ulam datang, orang mengantuk disorongkan bantal.

Hindraf yang beria-ia mengadakan tunjuk perasaan dan menanggung akibatnya, termasuk penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), MIC yang diberikan habuan dan ganjaran oleh Perdana Menteri.

Lembu punya susu, sapi yang dapat nama.

The Star memetik Samy Vellu sebagai berkata bahawa Abdullah telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberikan sokongan yang wajar bagi mengatasi masalah yang berkaitan dengan kuil Hindu. - kadirjasin.blogspot
4 bebas ISA - Setelah 5 tahun menderita & terseksa.
Petikan Malaysiakini.



Kerajaan telah membebaskan empat tahanan yang didakwa anggota kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) selepas ditahan selama hampir lima tahun di bawah ISA, kata Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng.

Menurutnya, mereka dibebaskan pada hari Rabu lalu.

Mereka ditahan pada bulan Disember 2002 di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang memboleh penahanan tanpa bicara, selepas kerajaan melancarkan gerakan menangkap anggota JI.

Kumpulan JI yang sebelum ini didakwa mempunayi kaitan dengan al-Qaeda, dikatakan bertanggungjawab terhadap serangan maut yang membunuh beratus-ratus orang di rantau Asia Tenggara.

Yap berkata, mereka dibebaskan dari Kem Tahanan Kemunting pada 19 Disember, tetapi pergerakan mereka dipantau.

"Mereka masih perlu melaporkan diri kepada pihak polis dan tidak boleh keluar pada waktu malam," katanya.

Pihak berkuasa tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen. Tetapi pegawai perisikan sebelum ini berkata tahanan di bawah ISA hanya dilanjutkan jika terdapat bukti yang mereka masih mengancam keselamatan negara.

Sementara itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) berkata mereka yang dibebaskan itu ialah Bakkery Mahhamud, Mohamad Zamri Sukirman, Sabri Jaafar dan Zamzuri Sukirman.

Menurut GMI mereka telah ditahan pada Disember 2002 dan Januari 2003.

GMI mahu ISA dimansuhkan dan berkata kempen berterusan yang dijalankan telah membantu pembebasan mereka. Tetapi ia mengkritik tindakan kerajaan memilih tahanan yang hendak dibebaskan.

"GMI menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya membebaskan segera semua mereka yang ditahan di Kamunting atau dakwa mereka di mahkamah," katanya.

Kerajaan menggunakan ISA pada Disember lalu untuk menahan lima aktivis Hindu selepas mereka menganjurkan perhimpunan rakyat pada 25 November lalu kerana membantah peminggiran kaum India di negara ini.

Mereka masih ditahan oleh pihak berkuasa dan pihak pengkritik mendakwa bahawa ISA melanggar hak asasi manusia.

Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 85 orang di bawah ISA, termasuk mereka yang disyaki anggota JI, demikian menurut Suaram.

JI didakwa bertanggungjawab terhadap pengeboman pulau peranginan Bali pada 2002 yang membunuh 202 orang, sebahagian besarnya pelancong asing.
Tiada perkembangan terbaru dalam siasatan kes bunuh Nurin.



KUALA LUMPUR: Polis tidak pernah mengabaikan kes pembunuhan kejam Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang berlaku September lepas walaupun setakat ini tiada perkembangan terbaru mengenai siasatan kes itu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC II Ku Chin Wah berkata perkembangan kes siasatan itu dibincangkan setiap minggu oleh polis Kuala Lumpur dan Selangor.

"Polis sentiasa mencari petunjuk baru tanpa putus asa untuk menyelesaikan kes pembunuhan itu...Ia hanya menunggu masa sahaja," katanya selepas menghadiri kempen pencegahan jenayah (Rakan Cop) kawasan Jinjang anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil bahawa sehingga kini polis masih gagal memberi jawapan yang memuaskan dalam memberkas penjenayah yang membunuh anaknya berusia lapan tahun itu.

Ku berkata siasatan polis terhadap kes itu hanya menemui jalan buntu sekiranya ada pihak yang masih memberi maklumat yang tidak sahih.

Beliau meminta kerjasama orang ramai untuk membantu mereka dalam siasatan kes itu khususnya saksi yang mungkin melihat suspek yang dikatakan membawa beg sukan mayat kanakkanak tersebut.

Nurin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, di sini, dilaporkan hilang pada 20 Ogos lalu selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di depan sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati Nurin mati akibat didera secara seksual.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Wira Abu Seman Yusop yang hadir merasmikan majlis tersebut berkata lebih 180,000 orang telah mendaftar sebagai Rakan Cop tahun ini.

Rakan Cop adalah sebuah program yang diperkenalkan polis pada Ogos 2004 bertujuan melibatkan masyarakat umum dalam usaha mencegah kegiatan jenayah di negara ini. BERNAMA
RM6 juta baiki kerosakan loji di tiga negeri akibat banjir.



TEMERLOH: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menganggarkan sejumlah RM6 juta diperlukan bagi membaiki dan membaik pulih kerosakan loji, jentera mengepam air dan muka sauk yang terjejas akibat bencana banjir.

Pengarah Eksekutifnya, Lee Koon Yew berkata kos tersebut merupakan anggaran kasar yang dilakukan oleh pihaknya bagi penyelenggaraan di negeri Pahang, Kelantan dan Johor.

Beliau berkata pihaknya menganggarkan RM 3.5 juta diperlukan bagi kos penyelenggaraan di Pahang, RM2 juta di Johor dan RM500,000 di Kelantan.

"Anggaran ini dibuat setelah mengambil kira kerosakan jentera pengepam air yang ditenggelami banjir dan kerjakerja mengorek serta membaiki muka sauh yang diselaputi pasir," katanya kepada pemberita selepas meninjau Loji Kampung Lubuk Kawah di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata pihaknya menganggarkan RM12 juta lagi diperlukan bagi kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf kelengkapan Jabatan Bekalan Air (JBA) di seluruh negara.

Lee berkata sebagai perancangan masa depan, pihaknya akan membuat kajian secara menyeluruh sebelum melaksanakan sesuatu projek bagi mengelakkan kerosakan kelengkapan akibat banjir.

"Langkah ini perlu kerana jika kajian tidak dibuat, ia akan melibatkan kerugian besar apabila dilanda banjir lagi, sekali gus menyulitkan penduduk mendapatkan bekalan air," katanya.

Sementara itu JBA Pahang memberi jaminan bekalan air dalam negeri yang terjejas akibat banjir akan pulih selewat-lewatnya minggu depan.

Pengarahnya, Datuk Ismail Mohd Nor berkata JBA Pahang dengan bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) serta Puncak Niaga Holdings Berhad sedang berusaha membaiki kesemua pam, muka sauk dan loji air untuk memulihkan bekalan air kepada kira-kira 200,000 penduduk yang terjejas.

Katanya antara loji yang terjejas akibat banjir termasuk loji di Sungai Bera; Chenor, Simpang Jengka, Pekan Tajau di Maran dan Lubuk Kawah di Temerloh.

Bagaimanapun, beliau berkata loji di Chenor, Simpang Jengka dan Pekan Tajau sudah beroperasi dan membekalkan air kepada 80,000 penduduk di daerah Maran sejak kelmarin, selepas bekalan air mereka putus sejak dua minggu lepas. BERNAMA
"Reformasi pilihanraya gagal jika Rashid kekal" PKR
Oleh Wartawan KLpos.com


KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan keputusan kerajaan menyambung perkhidmatan Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), kata Ketua Penerangannya Tian Chua. Abdul Rashid sepatutnya bersara wajib pada 31 Disember apabila umurnya mencapai 65 tahun. Pada 12 Disember, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2007 bagi melanjutkan umur persaraan anggota SPR dari 65 ke 66 tahun.

Menurut Tian Chua, kenyataan Abdul Rashid dalam akhabr The Star semalam mengesahkan bahawa perkhidmatan beliau disambung untuk tempoh setahun lagi.

"Tindakan tergesa-gesa Abdul Rashid umumkan penyambungan perkhidmatan sebagai Pengerusi SPR menambah keraguan kami. Jelasnya kerajaan BN mempercepatkan prosidur untuk hanya kepentingan seorang pegawai kerajaan," katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya lagi, kenyataan Abdul Rashid juga membuktikan pindaan perlembagaan tersebut memang bertujuan mengekalkan Abdul Rashid dalam SPR agar penyelewengan dan penipuan pilihanraya diteruskan. Reformasi sistem pilihanraya tidak akan berjaya selagi Abdul Rashid kekal sebagai pengerusi.

"Kes Likas di Sabah dan Lunas di Kedah adalah bukti-bukti kukuh yang menunjukkan Abdul Rashid gagal sama sekali dalam menjaminkan sistem pilihanraya yang adil dan telus," ujar beliau.

Baru-baru ini, seramai 8436 pengundi baru dimasukkan ke dalam kawasan Parlimen Ipoh Timur dan manakala kes 17 pengundi didapati berkongsi satu alamat yang sama di Sekinjang pula menjelaskan senarai pengundi masih tidak bersih sehingga hari ini.

PKR, kata Tian Chua, tetap mendesak agar Abdul Rashid dihentikan jawatan atas kegagalan beliau memastikan satu sistem pilihanraya yang adil, dan bukan mendakwa yang dia kekal sebagai pengerusi SPR sewenang-wenangnya.

"Kenyataan ini telah dibuat sebaik sahaja Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2007 yang membolehkan umur persaraan anggota SPR diluluskan di Dewan Negara pada 24 Disember. Kami difahamkan Yang Di Pertuan Agong baru sahaja menandatangani pindaan tersebut pada 26 Disember,"

"Menurut Perkara 114 (1), Pengerusi dan anggota SPR dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-raja. Seseorang itu sah menjadi Pengerusi SPR hanya setelah diumumkan secara rasmi perlantikannya oleh Agong. Dengan pindaan Perlembagaan kini, Rashid disambungkan secara otomatik," kata beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia ditubuhkan pada 4 September 1957 mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. Semasa penubuhannya Suruhanjaya Pilihan Raya dianggotai oleh seorang Pengerusi dan 2 orang Ahli.

Pengerusi pertama SPR adalah Datuk Dr. Mustafa Albakri bin Haji Hassan.
Berikutan dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, bilangan Ahli Suruhanjaya ditambah kepada 3 orang. Ahli tambahan itu sama ada dari Sabah atau Sarawak yang dilantik secara bergilir.

Pada tahun 1981, pindaan ke atas Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dibuat bagi membolehkan pelantikan seorang Timbalan Pengerusi. Abdul Rahman bin Abu Hassan merupakan orang pertama mengisi jawatan Timbalan Pengerusi.

Pada tahun 2002, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan diluluskan bagi menambah keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya menjadi 7 orang iaitu Seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan 5 orang Ahli termasuk seorang ahli dari Sabah dan seorang ahli dari Sarawak.

Jumaat, 28 Disember 2007

Rashid terus memimpin SPR Pengundi mati terus mengundi.
Oleh: Roslan SMS.



Walaupun setelah menerima bantahan beberapa pihak, Pengerusi SPR Rashid Abd Rahman sebagaiamana dijangkakan terus memohon untuk tempoh lanjutan perkhidmatan beliau untuk setahun lagi. Baru-baru ini Parlimen telah meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan membenarnkan tempoh perkhidmatan Pengerusi dan ahli-ahli SPR dilanjutkan dari bersara pada usia 65 ke 66 tahun.

Dengan ini Rashid dijangka akan terus mengepalai badan yang sepatutnya bebas itu untuk menghadapi pilihanraya umum ke 12 nanti.

Dengan adanya Rashid terus mengemudi SPR sekaligus meletakkan titik hitam permulaan kepada potensi besarnya pilihanraya umum ke 12 nanti terus diurus dalam keadaan tempang dan pincang sebagaimana sebelum ini di bawah tangan beliau. Saya difahamkan beberapa pihak sedang menyusun protes besar-besaran berikutan perkembangan terbaru ini.

Di sini saya tidaklah berhajat membazirkan kudrat saya untuk membicarakan berkenaan Rashid ini. Apa yang mahu saya ketengahkan di sini adalah satu contoh kelemahan besar SPR khasnya dalam pengurusan daftar pengundi. Isunya melibatkan pengundi yang telah meninggal dunia.

Saban tahun kita hadapi ada-ada sahaja peristiwa dimana nama pengundi yang telah meninggal dunia terus digunakan oleh pihak tertentu untuk mengudi. Pengundi tersebut telah meninggal dunia namun namanya masih berada dalam daftar pengundi, lalu kerana kelompongan sistem SPR, pihak-pihak tertentu boleh mengambil kesempatan mengundi menggunakan nama simati itu.

Bolehkah perkara ini berlaku? Atau adakah ini rekaan pihak pembangkang semata-mata?

Bukti terbaik adalah pada pilihanraya umum lalu apabila ayah kepada pemimpin PKR Sdr Azmin Ali dikatakan telah membuang undi mengikut rekod bilik mengundi sedangkan ayah Azmin itu telah pun meninggal dunia (yangs hingga hari ini tidak berjaya dijelaskan oleh mana-mana pihak).

Isunya mengapa masih ada nama-nama pengundi yang telah meninggal dunia di dalam Daftar Pengundi? Kata Rashid SPR tidak boleh bertindak melainkan ada bukti yang pengundi itu telah meninggal dunia. Waris-waris pengundi berkenaan diseru agar mengemukakan sijil kematian kepada SPR sebelum nama-nama berkenaan dapat dikeluarkan dari daftar. Tidakkah ini satu kerja yang tidak masuk akal?

Itu kalau ada waris, kalau tidak ada? Kalau waris tidak tahu simati adalah pengundi?
Soalnya mengapa kerja ini mahu diserahkan atau dipertanggungjawabkan kepada pihak ketiga? Sepatutnya SPR yang kononnya cekap dan berpengalaman itu setelah 11 kali mengendalikan pilihanraya umum kini sudah ada satu mekanisma yang pantas dan padat dalam menangani perkara ini. Pendaftaran mati adalah urusan pihak Jabatan Pendaftaran Negara setelah mendapat input dari pihak polis, kenapa SPR tidak boleh mewujudkan satu mekanisma bersedapau dengan jabatan-jabatan kerajaan ini? Mengapa waris pula yang mahu dipertanggungjawabkan?

Ini baru satu contoh dimana Rashid sehingga kini tidak mampu selesaikan, bayangkan isu-isu besar lain yang melibatkan ketelusan dan keadilan pilihanraya.

Pilihanraya Umum adalah gelanggang untuk rakyat membuat keputusan dan pilihan secara terbuka, tanpa paksaan atau tekanan mana-mana pihak. Keputusan yang terbaik hanya dapat dibuat apabila sistem pilihanraya itu sendiri baik dan sempurna. Di bawah Rashid nampaknya terus tempang dan pincanglah sistem ini!.
Paranjothy dijemput sertai PKR.
Oleh Wartawan KLpos.com


KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara terbuka menjemput Naib Ketua Pemuda Gerakan S. Paranjothy untuk menyertai PKR melalui sayap pemudanya- Angkatan Muda, kata Naib Ketuanya Khairul Annuar Ahmad Zainudin.

Menurut Khairul, Angkatan Muda jemputan itu sebagai penghargaan kepada S. Paranjothy atas ketegasan beliau membangkitkan masalah-masalah di peringkat akar yang secara langsung menyentuh kelemahan Umno sebagai tunjang Barisan Nasional.

Paranjothy sebelum ini menerima tekanan hebat daripada Pemuda Umno selepas membuat kenyataan bahawa masalah yang dihadapi oleh masyarakat India di Malaysia hari ini berpunca daripada Umno.

Menurut Khairul, ketegasan Paranjothy amat dialu-alukan agar tidak ada pihak yang merasakan mereka adalah sempurna secara mutlak, satu sikap yang membelenggu Umno pada hari ini.

Paranjothy dalam satu kenyataan Media empat muka surat mendakwa akar masalah yang membelenggu rakyat Malaysia, dan kebanyakannya menyentuh kebimbangan rakyat Malaysia mengenai dasar pecah dan perintah Umno-BN.

Mengenai kenyataan Pemuda Umno, kata Khairul, ia menunjukkan betapa mereka sedang mengamalkan budaya 'tidak boleh dikritik',sehingga jelas terbukti komponen BN yang lain perlu akur dan tunduk kepada mereka.

"AMK melihat, dalam keadaan yang rencam ini, kelihatan bahawa Gerakan akan terus menerus mengikut telunjuk Umno untuk memecat atau setidak-tidaknya menggantung keahlian Paranjothy daripada Gerakan.

"Semangat dan iltizam Paranjothy untuk mengetengah permasalahan rakyat tanpa mengira 'semangat BN' adalah sesuatu yang amat dialu-alukan, selaras dengan budaya politik baru yang perlu dibudayakan di kalangan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media.
KTM Komuter beroperasi hingga awal pagi sempena tahun baru.


KUALA LUMPUR: KTM Berhad melanjutkan perkhidmatan komuternya sehingga awal pagi 1 Jan sempena sambutan tahun baru 2008.

Dalam satu kenyataan hari ini, KTM berkata lanjutan waktu operasi itu melibatkan 13 perkhidmatan tren tambahan, masing-masing bagi laluan Seremban-Rawang dan Sentul-Pelabuhan Klang.

Bagi laluan Seremban-Rawang, tren tambahan pertama dari Seremban bertolak pada pukul 10.50 malam pada 31 Dis dan yang terakhir pada 2.20 pagi 1 Jan manakala yang pertama dari Rawang ialah pada pukul 10.45 malam dan yang terakhir pada 2.50 pagi 1 Jan.

Bagi laluan Sentul-Pelabuhan Klang, tren tambahan pertama bertolak dari Sentul pada 11.05 malam 31 Dis dan yang terakhir pada 3.20 pagi 1 Jan manakala yang pertama dari Pelabuhan Klang ialah pada 10.55 malam 31 Dis dan yang terakhir pada 2.25 pagi.

Pengguna KTM Komuter pada malam itu dinasihatkan membeli tiket perjalanan ulang alik bagi mengelak kesesakan di kaunter jualan. BERNAMA
Jalan di KL ditutup sempena sambutan ambang tahun baru.


KUALA LUMPUR: Beberapa jalan di sekitar Kuala Lumpur akan ditutup kepada semua kenderaan sempena sambutan ambang tahun baru 2008.

Orang ramai yang ingin menyertai acara sambutan yang diadakan di lapan lokasi utama dinasihatkan supaya meletak kenderaan masing-masing di tempat yang telah dikhaskan atau menggunakan kenderaan awam.

Lapan lokasi tersebut iaitu Dataran Merdeka, Menara Berkembar KLCC, Bukit Bintang, Stadium Merdeka, Bangsar/Telawi, Sri Hartamas, Mid Valley dan KL Sentral.

Pemangku Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, ASP Ng Fook Long memberitahu sidang akhbar hari ini, polis menjangkakan aliran lalu lintas akan menjadi sesak apabila hampir 1.5 juta kenderaan akan memasuki ibu kota pada malam ambang tahun baru.

Katanya penutupan jalan dibahagikan kepada dua fasa iaitu penutupan tetap dan penutupan sementara.

Jalan yang terlibat secara penutupan tetap di Dataran Merdeka ialah bermula dari lampu isyarat Jalan Hishamudin, lampu isyarat Jalan Raja dan sepanjang Jalan Raja, bermula dari persimpangan Jalan Raja dan Jalan Tun Perak.

Jalan Raja akan ditutup mulai 30 Dis untuk pembinaan dan persiapan pentas manakala jalan-jalan di sekitarnya akan mula ditutup mulai 6 petang pada 31 Dis.

Pengunjung ke Dataran Merdeka boleh meletakkan kenderaan mereka di Jalan Sultan Sallehudin bagi motosikal, di Padang Merbuk bagi bas dan kereta di Kompleks Dayabumi, Central Market, Parkir Bukit Aman, Tugu Negara, Masjid Negara dan Muzium Kesenian Islam.

Sementara tempat meletak kenderaan bagi orang kenamaan ialah di depan Muzium Sejarah Kuala Lumpur dan Jalan Mahkamah Persekutuan.

Di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), jalan yang terbabit ialah sepanjang Jalan Persiaran Exxon Mobil hingga lampu isyarat Jalan Stonor yang akan ditutup mulai 30 Dis untuk pembinaan dan persiapan pentas sementrara jalan-jalan yang menghala kedua-dua jalan ini iaitu Jalan P.Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Kia Peng dan Jalan Stonor akan ditutup secara berperingkat-peringkat.

Kawasan meletak kereta di KLCC ialah di medan letak kereta Exxon Mobil, kawasan sekitar KLCC dan medan letak kereta KLCC.

Penutupan Jalan Telawi 3 Bangsar Baru pula akan bermula pada 31 Dis mulai pukul 3 petang sehingga 1 pagi. Jalan-jalan di sekitarnya seperti Jalan Maarof, Jalan Telawi 1, 2, 4, 5, 6, 7, 8 dan 9 akan dibuka seperti biasa tetapi akan ditutup sementara waktu jika perlu.

MCA pula akan mengadakan konsert di Stadium Merdeka dan dengan itu jalanjalan sekitar stadium seperti Jalan Hang Jebat, Changkat Stadium dan Jalan Stadium akan dijadikan jalan sehala mengikut situasi.

Ng berkata pengunjung ke Stadium Merdeka boleh meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan seperti di hadapan stadium, Sekolah Menengah Victoria, Jalan Hang Jebat, Jalan Changkat Stadium, Kubur Cina (Jalan Kerayong), UDA Ocean/Plaza Warisan dan Padang Merbok.

Beberapa jalan di sekitar Bukit Bintang juga akan ditutup bermula dari lampu isyarat Jalan Imbi/Jalan Sultan Ismail menghala ke lampu isyarat Jalan Sultan Ismail/Jalan Bukit Bintang, mulai tengah malam 30 Dis bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan pentas.

Jalan-jalan akan dibuka semula pada 1 Jan pukul 5 pagi.

Pengujung boleh meletak kenderaan mereka di Imbi Plaza, Low Yat Plaza, Sungai Wang Plaza, BB Plaza, Pavillion, Berjaya Times Square, Lot 10 dan parkir milik swasta di sekitar Jalan Imbi dan Jalan Bukit Bintang.

Jalanjalan luaran seperti Lebuhraya Seremban menghala ke Jalan Tun Razak, Bulatan Kampung Pandan menghala arah Jalan TUn Razak (menghala Bukit Bintang), susur Jalan Kuching dari arah Mahameru menghala ke Pusat Dagangan Dunia Putra dan susur Bukit Petaling/Jalan Dewan Bahasa ke arah lampu isyarat Jalan Loke Yew/Hang Tuah juga akan ditutup.

Manakala susur Jalan Kuching dari arah Mahameru, susur 'Y' dari kedua-dua arah yang naik ke Jalan Sultan Ismail dan susur ke Bulatan Dato Onn dari semua arah ke Jalan Raja akan ditutup jika perlu.

Ng menasihatkan pengguna jalan raya agar keluar awal dan merancang perjalanan mereka dengan menggunakan jalanjalan alternatif dan mengelakkan dari melalui jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan.

Katanya polis dari cawangan lain seperti narkotik dan jenayah akan turut melakukan operasi masing-masing pada malam sambutan tahun baru.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak mereka yang berbasikal secara beramai-ramai pada setiap malam sambutan tahun baru. BERNAMA
Web Kampus Negara Dan Sensasi Bergabung Tenaga.


PEMBERITAHUAN

Assalamualaikum..
Salam hormat dan salam sejahtera. kepada semua ahli dan pengunjung KN yg dikasihi.

Pihak Kampus Negara (http://kampusnegara.net) dan Sensasi Http://sensasi.freephpnuke.org) telah bergabung tenaga di atas satu laman web iaitu di web Kampus Negara (http://kampusnegara.net).

Diharapkan dengan pergabungan ini dapat mencetuskan satu gelombang suara mahasiswa dan siswazah yang lebih bersepadu dan bertenaga. Kami juga mengharapkan mahasiswa tempatan dan luar negara memberi kerjasama yang baik bagi merealisasikan impian dan matlamat mahasiswa serta kita bersama dalam usaha menjaga dan memelihara kebajikan seluruh mahasiswa samada tempatan mahupun luar negara.

InsyaAllah, Marilah sama-sama kita menyokong suara mahasiswa di atas nama Kampus Negara. sekiranya ada komentar dan cadangan sila maklumkan.

[Himpunan Suara Mahasiswa Malaysia Mendepani Isu Semasa & Dari Kampus ke Lapangan Umat]

* Isu mahasiswa dalam dan luar negara dapat di satukan di dalam satu laman web.
Sekian wassalam.
RM15 Juta Sehari Beli Rokok.


KUALA LUMPUR - Tiga juta rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM15 juta sehari bagi membeli rokok, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon. Beliau berkata, angka yang dibelanjakan itu dijangka terus meningkat berikutan semakin ramai remaja mula merokok.

Mengikut statistik Bahagian Kawalan Penyakit kementerian itu, jumlah perokok di Malaysia diramal meningkat kepada 3.8 juta orang pada tahun 2015 dan lebih empat juta menjelang 2020.

Menurutnya, peningkatan jumlah perokok it menyebabkan lebih 10,000 kes kematian di kalangan perokok direkodkan setiap tahun.

"Mereka yang meninggal dunia menyebabkan keluarga kehilangan punca pendapatan sementara yang berpenyakit kronik seperti strok akan terus melibatkan kos rawatan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Infoline Berhenti Merokok, Kementerian Kesihatan di Klinik Tanglin, di sini hari ini.

Kah Choon berkata, kos yang tinggi untuk rawatan itu bukan sahaja ditanggung oleh keluarga malahan turut melibatkan perbelanjaan kementerian.

"Inilah sebabnya kerajaan sentiasa menumpukan perhatian terhadap tabiat merokok dengan melancarkan pelbagai program untuk kanak-kanak dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan;" jelasnya.

Menurut beliau, tabiat merokok perlu dibendung dari peringkat kanak-kanak kerana statistik mendapati lebih 90 peratus daripada mereka yang ketagih merokok, akan kekal menjadi perokok sepanjang hayat.

Menurut Infoline Berhenti Merokok, beliau berkata, sehingga September lalu, hanya 373 pemanggil menggunakan talian itu.

Daripada jumlah itu, katanya, 238 adalah pemanggil Melayu (63.8%), 109 Cina (29.2%) dan 19 pemanggil India (5.1%) dan selebihnya kaum lain.

"Pada masa akan datang, saya yakin jumlah pemanggil akan bertambah dan menjadi satu perkhidmatan kekal di 300 klinik kerajaan," katanya.

Menyentuh tentang larangan merokok di restoran-restoran, beliau berkata, mengikut statistik, pelanggan tidak akan berkurangan sekiranya sesebuah restoran itu melarang pelanggannya merokok.

Menurutnya, apa yang penting, peniaga perlu menukar cara berfikir bahawa restoran yang melarang perbuatan merokok sebenarnya menggalakkan lebih ramai pelanggan datang bersama anggota keluarga mereka.
16,000 bekas penagih dadah gagal lapor diri
Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY


KUALA LUMPUR – Seramai 16,000 atau 44 peratus daripada 36,000 bekas penagih yang menamatkan tempoh tahanan dan pemulihan di pusat serenti dan penjara, gagal melaporkan diri di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pengarah Keselamatan AADK, Dr. Sabri Zainudin Azinul berkata, situasi itu terjadi disebabkan bekas penagih berkenaan terjerumus semula menagih dadah dan sikap mereka sendiri untuk tidak menjauhkan diri dari najis dadah.

Menurutnya, bekas penagih tersebut sepatutnya melapor di pejabat AADK di kawasan masing-masing setiap minggu atau bulan supaya AADK tahu keadaan semasa mereka.

‘‘Tapi ramai yang ingkar. Walaupun angka ini sebenarnya berkurangan jika dibandingkan tahun lepas tetapi ia perlu diambil perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan perdana Persatuan Pendamai Malaysia di sini hari ini.

Persatuan Pendamai Malaysia ditubuhkan pada 19 September 2004 di Shah Alam, Selangor, memainkan peranan sebagai contoh serta penggerak kepada para penagih dadah untuk memulihkan diri dari menagih dadah.

Pada perhimpunan itu juga, seramai 472 bekas penagih turut dipilih untuk menjadi ejen yang akan memantau serta memberi nasihat kepada remaja di kawasan mereka supaya tidak terjerumus dengan penyalahgunaan dadah.

Sabri berkata, sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk memastikan tiada lagi mangsa baru yang terjerumus dengan najis dadah.

‘‘Kita mahu mereka ambil tanggungjawab. Kita mahu mereka cerita kepada remaja kesengsaraan jika menjadi hamba dadah.

‘‘Ini langkah yang diambil sebagai satu usaha memastikan jumlah penagih yang mencecah lebih 320,000 hari ini berkurangan,” ujarnya.

Khamis, 27 Disember 2007

27,668 calon PMR dapat gred A semua mata pelajaran.


PUTRAJAYA: Seramai 27,668 pelajar atau 5.9 peratus daripada 469,401 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil berbanding 4.5 peratus tahun lepas dan 4.9 peratus pada 2005.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom yang mengumumkan analisis keputusan PMR itu hari ini berkata ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan kebangsaan telah berjaya melahirkan semakin ramai murid cemerlang.

"Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai modal insan kelas pertama melalui pendidikan," katanya.

Alimuddin berkata terdapat 559 calon yang mendapat Gred E iaitu belum menguasai tahap pencapaian minimum semua mata pelajaran berbanding 524 pada 2006 dan 569 pada 2005.

"Angka tersebut jika dibandingkan dengan jumlah calon yang cemerlang adalah sangat kecil," katanya.

Dalam kalangan calon istimewa terdiri pelajar kurang upaya, seramai lima orang daripada 968 calon mendapat Gred A dan 23 orang mendapat Gred E.

Alimuddin berkata bahawa purata penguasaan murid dalam kemahiran berbahasa pada Gred A, b, C dan D ialah 83.1 peratus berbanding 82.3 tahun 2006 dan 83.5 peratus 2005.

"Purata pencapaian murid yang mencapai kemahiran bahasa pada Gred A ialah 21.0 peratus berbanding 19.5 tahun 2006 dan 20.1 peratus pada 2005," katanya.

Alimuddin berkata penguasaan kemahiran berbahasa murid PMR tahun ini adalah stabil berbanding dua tahun sebelumnya.

Bagi kemahiran Matematik, peratusan murid yang mendapat Gred A,b, C dan D meningkat dengan ketara iaitu kepada 87 peratus daripada 82.8 peratus pada 2006. manakala murid yang mendapat Gred E turun kepada 13 peratus berbanding 17.2 tahun 2006.

"Daripada segi kualiti, peratusan murid yang mendapat Gred A juga tinggi iatu 25.5 peratus berbanding 22.3 peratus pada 2006," kata Alimuddin.

Peratusan murid yang menguasai kemahiran saintifik dalam PMR adalah stabil pada 89.1 peratus berbanding 90.2 peratus 2006 manakala yang mencapai gred A adalah 17 peratus berbanding 16 peratus tahun sebelumnya.

Murid yang mendapat gred E adalah 10.9 peratus berbanding 9.8 peratus pada 2006.

Alimuddin berkata ini menunjukkan bahawa pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris bukan sahaja tidak menjejaskan penguasaan murid dalam mata pelajaran Matematik dan Sains dalam peperiksaan PMR, malahan berfaedah kepada mereka.

Mengenai pencapai antara calon bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, Alimuddin berkata walaupun pada keseluruhannya masih terdapat perbezaan tetapi jurangnya semakin rapat terutama bagi mata pelajaran Matematik.

Katanya pada 2007, pencapaian calon bandar ialah 88.2 peratus berbanding 84.5 peratus 2006 manakala pencapaian pelajar luar bandar ialah 84.5 peratus pada 2007 berbanding 79.2 2006.

Bagi mata pelajaran Sains, katanya, data menunjukkan tiada perbezaan ketara antara murid bandar dan luar bandar.

Pada 2007, calon bandar mencapai lulusan 89.4 peratus manakala luar bandar mencatat 88.2 peratus. BERNAMA
Jumlah pemilih berdaftar kini 10.8 juta orang.


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memperakui Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Tahun Ketiga 2007 bagi tempoh 1 Julai hingga 30 September lepas bagi empat bahagian pilihan raya yang telah selesai urusan bantahan melibatkan 11,118 orang pemilih.

Menurut kenyataan SPR hari ini, DPT Suku Tahun Ketiga itu diwartakan hari ini dan jumlah pemilih berdaftar bagi seluruh negara setelah dicantumkan dengan Daftar Pemilih Induk Tahun 2006, DPT Suku Pertama 2007, DPT Suku Kedua 2007, DPT Suku Tahun Ketiga 2007 adalah sebanyak 10,820,650 orang.

"Di dalam DPT tersebut, terdapat 21 bahagian pilihan raya terlibat dengan bantahan yang melibatkan 39,868 pemilih dan empat bahagian pilihan raya telahpun selesai dibuat siasatan awam.

"Ia melibatkan 11,118 orang pemilih iaitu 7,745 pemilih baru dan 3,373 pemilih bertukar alamat. Empat bahagian pilihan raya itu ialah P.037 Marang di negeri Terengganu, P.085 Pekan dan P.091 Rompin di Pahang dan P.093 Sg Besar di Selangor," kata kenyataan itu lagi.

Manakala baki sebanyak 17 bahagian pilihan raya yang terlibat dengan bantahan yang melibatkan 28,750 orang pemilih tidak dapat disahkan kerana masih dalam siasatan awam dan akan dibawa ke Suku Tahun Keempat 2007 untuk tujuan pengesahan.

Bahagianbahagian pilihan raya itu ialah P.019 Tumpat, P.020 Pengkalan Chepa, P.021 Kota Bharu, P.022 Pasir Mas, P.023 Rantau Panjang, P.024 Kubang Kerian, P.025 Bachok, P.026 Ketereh, P.027 Tanah Merah, P.028 Pasir Puteh, P.029 Machang, P.030 Jeli dan P.031 Kuala Krai bagi negeri Kelantan.

Bagi negeri Terengganu pula, bahagian-bahagian pilihan raya yang terlibat ialah P.035 Kuala Nerus, P.036 Kuala Terengganu dan P.039 Dungun manakala di Pahang, hanya satu bahagian pilihan raya iaitu P.090 Bera yang terlibat dengan siasatan awam.

Sebarang pertanyaan berhubung perkara itu bolehlah menghubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-8885 6500 atau manamana pejabat Pilihan Raya Negeri.

Dalam pada itu, SPR memohon kerjasama manamana waris untuk menghantar salinan sijil kematian atau permit mengubur wariswaris mereka yang telah meninggal dunia kepada SPR.

Menurut kenyataan itu lagi, ia sebagai usaha untuk membersihkan daftar pemilih daripada senarai nama pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia dan wariswaris bolehlah menghantar salinan tersebut secara pos atau faks atau datang sendiri ke manamana pejabat Pilihan Raya Negeri atau ke Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

Pemilih berdaftar juga digalakkan menyemak Daftar Pemilih Induk 2006 bagi tujuan membuat pembetulan ke atas apaapa kesilapan pendataan dari segi ejaan nama, nombor kad pengenalan, jantina, nombor rumah pemilih dan sebagainya yang dilakukan oleh SPR secara tidak disengajakan, jika ada.

Sekiranya terdapat sebarang kesilapan pendataan, pemilih boleh membuat pembetulan dengan menghantarkan pembetulan tersebut ke alamat emel: spr@spr.gov.my atau menulis surat atau datang sendiri ke manamana pejabat Pilihan Raya Negeri atau ke Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

Bagi pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin, mereka digalakkan membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di pusat mengundi yang lebih dekat dengan tempat kediaman masing-masing. BERNAMA
Azman dan Suwandi Failkan Saman terhadap pegawai polis dan kerajaan.
Ditulis oleh Wan Kay


Kuala Terengganu - Mangsa tembakan peluru hidup, Insiden 8 September berhampimpiran Hotel Permai Park Inn, Batu Burok, Kuala Terengganu, memfailkan saman kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap kes tersebut.

Mohamad Azman Aziz dan Suwandi Abd Ghani mengambil tindakan undang-undang secara berasingan terhadap anggota polis bernama Wan Abdul Aziz Wan Omar (RF 143706), Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Ketua Polis Negeri Terengganu dan Kerajaan Malaysia.

Azman akan diwakili oleh Tetuan Abdul Haris & Co manakala Wan Mutalib & Co. akan mewakili Suwandi sebagai Peguambela dan Peguamcara, yang akan memfailkan saman mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada jam 9.30 pagi 27 Disember 2007 ini.

Saman tersebut mendakwa bahawa plaintif telah mengalami kecederaan kerana tembakan langsung polis(defendan) yang menggunakan pistol, menembak dengan peluru hidup ditempat kejadian, adalah diluar prosedur penguatkuasaan perundangan dan keselamatan, tanpa mempertimbangkan nyawa orang ramai.

Dengan itu plaintif menuntut;

Yang Pertama, bahawa penangkapan serta penahanannya secara salah, bertentangan dengan undang-undang, mencabuli, menjejaskan serta telah melanggar hak-hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, saman itu juga membuat tuntutan supaya mahkamah membuat satu deklarasi bahawa plaintif yang mula ditahan dalam tahanan polis bermula di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada 8 September 2007, kemudian di Hospital Universiti Sains Malaysia(HUSM) Kubang Kerian (bagi Suwandi) sehingga plaintif dibebaskan dengan ikat jamin dan tindakan menggarikan plaintif di katil hospital, adalah satu kesalahan serta penghinaan terbuka yang bertentangan dengan undang-undang dan tidak berperikemanusiaan.

Tuntutan Ketiga didalam saman itu adalah memohon satu deklarasi lain bahawa serangan dan kepungan yang dibuat oleh sepasukan polis, secara terancang ke atas rumah kediaman di waktu malam hari, dalam usaha dan ‘dalam keadaan tanpa waran’ untuk mengambil Azman dan Suwandi pada awal pagi 9 Disember 2007 lalu, adalah satu kesalahan dan perbuatan biadap di luar kesusilaan, prosedur dan prinsip perundangan serta bertentangan dengan undang-undang.

Plaintif membuat tuntutan Keempat, supaya satu ‘celaan’ dibuat di Mahkamah Tinggi, bahawa kehadiran Peguam Negara, Tan Sri Dato’ Abdul Gani Patail sebagai Pendakwa Raya Malaysia dalam mengemukakan pertuduhan ke atas plaintif pada 9 Disember 2007 lalu di hadapan Hakim Sesyen yang ‘junior’ di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu itu tidak sepatutnya berlaku.

Ini kerana, ianya telah meletakkan plaintif di dalam keadaan ‘prejudis perundangan’ dan satu perbuatan yang melampau, mengagrabitkan kerosakan maruah, reputasi dan pandangan umum ke atas plaintif.

Kelima, bahawa defendan-defendan hendaklah membayar Gantirugi Khas kepada plaintif sebagaimana yang dituntutkan dalam Pernyataan Tuntutan Plaintif.

Keenam, bahawa defendan-defendan hendaklah membayar Gantirugi Am bagi kejutan, kesakitan, kecederaan, penderitaan dan kecacatan sementara dan kekal, hilang keupayaan sementara dan kekal akibat daripada gangguan mental dan kecederaan sarf dan anggota tubuh badan plaintif.

Ketujuh, bahawa defendan-defendan hendaklah membayar pampasan atau Gantirugi Am bagi setiap pelanggaran dan kehilangan maruah, kesengsaraan hidup, tekanan perasaan terhadap pandangan umum ke atas keluarga, tercabarnya hak-hak asasi plaintif sebagai rakyat biasa yang boleh dinikmati plaintif di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang berkenaan.

Kelapan, Gantirugi Teruk (Aggrevated Damages) dan Gantirugi Teladan (Examplary Damages) mengikut pertimbangan dan taksiran yang akan dibuat oleh Mahkamah.

Kesembilan, faedah ke atas setiap kepala pemberian pampas an yang diluluskan kepada plaintif mengikut kadar yang dibenarkan oleh Undang-undang.

Kesepuluh, kos yang ditaksirkan oleh Mahkamah dan mana-mana ‘relif’ yang akan difikirkan sesuai manfaat oleh Mahkamah.

Sehubungan itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu menyeru kepada seluruh lapisan masyarakat prihatin pendokong keadilan untuk turut serta ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 27 Disember ‘07, jam 9.30 pagi bagi memberikan sokongan moral kepada Suwandi dan Azman serta menunjukkan sikap atas bantahan terhadap ketidakadilan penahanan mereka menurut Islam.

Setiausaha Perhubungan Negeri, Tuan Haji Yahaya Ali ketika dihubungi oleh Buletinonline, berkata “marilah kita bersama-sama meluangkan sedikit masa hari ini, bersama-sama menunjukkan sokongan moral dan bantahan kepada ketidakadilan, bagi kita bersama-sama memberikan saham untuk masa depan, iaitu didunia yang penuh dengan keadilan dan kesejahteraan dan diakhirat mendapat keredhaan Allah SWT”

“Kita berharap kita dapat hadir beramai-ramai di perkarangan mahkamah Kuala Terengganu pada jam 9.30 pagi, hari Khamis jam 9.30 pagi, didalam menunjukkan rasa tanggungjawab kita sebagai saudara kepada Suwandi dan Azman yang teraniaya” tambah Hj Yahaya Ali.
Kaum Iban mula tolak BN, tubuh Kelab Penyokong PAS di Sarawak.
Nyza Ayob


KUALA LUMPUR (Hrkh)- Bersesuaian dengan misinya merentasi sempadan kaum, Lajnah Perpaduan Nasional telah menubuhkan Kelab Penyokong PAS Iban di rumah panjang Sungai Mulun, Batang Lupar, Sarawak baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr Mujahid Yusof, penubuhan kelab tersebut sempena lawatan kerja lajnah tersebut selama lima hari ke Sarawak baru-baru ini.

Jelasnya lagi, Kelab Penyokong PAS Iban ditubuhkan hasil usaha gigih PAS Sarawak dengan kerjasama beberapa PAS cawangan di Maludam. Hasil daripada penubuhan tersebut, sebuah jawatankuasa telah dibentuk yang mana ia diketuai oleh Akip ak Kundeng, Timbalan Pengerusi, Surau ak Nyamin dan Setiausaha, Molly ak Bungur.

Menurut Mujahid, dalam majlis yang sederhana di cawangan Hilir, selaku Pengerusi, Akip ak Kundeng berjanji untuk bekerjasama dengan PAS dan akan memastikan lebih ramai kaum Iban akan menyertai Kelab Penyokong PAS.

"Beliau melahirkan keyakinannya terhadap PAS dan kecewa dengan Barisan Nasional yang telah membelakangkan masyarakat Iban dalam arus pembangunan Sarawak. Antara masalah yang dihadapi oleh masyarakat Iban ialah masalah tanah yang sekarang ini diambil alih tanpa pampasan sedangkan masyarakat Iban telah mengusahakan tanah yang terbiar sejak turun temurun.

"Tanah-tanah diambil syarikat gergasi untuk membuka jalan kepada penanaman kelapa sawit dan aktiviti lain yang menyisihkan masyarakat Iban setempat, " katanya kepada Harakahdaily.

Turut berucap dalam majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Sarawak, Ustaz Osman Mustapha yang member jaminan kepada masyarakat Iban setempat bahawa PAS adalah parti untuk semua kaum tanpa mengira keturunan kaum, bangsa atau agama.

Sementara itu, selepas perasmian tersebut, Mujahid turut meninjau keadaan di rumah panjang Mulun dan beramah mesra dengan masyarakat di sana.

Mujahid turut menyuarakan beliau berpuas hati dengan sambutan program PAS for All setakat ini kerana mendapat respon yang baik dari semua lapisan kaum dan agama di negara ini, yang mana penubuhan Kelab Penyokong PAS Iban membuktikan PAS tidak mengabaikan nasib kaum lain di negara ini.

Bagaimanapun Mujahid melahirkan kekecewaanya apabila melihat keadaan di beberapa rumah panjang yang seolah-olah tidak dipedulikan wakil rakyat kawasan berkenaan.
Jelasnya walaupun sudah merdeka jalan dan keperluan infrastruktur di beberapa kawasan rumah panjang Dun Lingga agak daif dan masih seperti tahun 60-an.

"Jalan masuk yang tidak diturap serta bergantung kepada generator untuk menggunakan elektrik, begitu juga kemudahan lain yang sepatutnya disediakan oleh kerajaan yang memerintah.

"Keadaan ini menjadikan masyarakat Iban dilihat sebagai tersisih oleh arus pembangunan yang dibawa oleh BN,"katanya.

Sehubungan itu jelas Mujahid, PAS berjanji untuk memastikan rumah panjang tersebut diberi kemudahan asas sebagai komitmen PAS memastikan masyarakat rumah panjang tidak terpisah dengan kemudahan asas yang sepatutnya disediakan oleh parti pemerintah.

Usaha gigih PAS cawangan Kampung Lingga, katanya telah melahirkan hubungan yang mesra antara PAS dan masyarakat Iban setempat.

Dalam perkembangan lain, satu memorandum telah diserahkan kepada Pesuruhjaya Sarawak untuk memohon kepada Majlis Agama Sarawak satu tanah perkuburan baru di kampung Lingga.

Aduan itu dibuat oleh PAS Lingga yang kesal permohonan kepada wakil rakyat kawasan tersebut tidak dihiraukan walaupun sudah memohon beberapa kali.

Memorandum tersebut menyatakan tanah perkuburan yang sedia ada sudah tidak dapat menampung lagi kerana kedudukannya di tepi sungai kadang-kadang menyukarkan urusan jenazah kerana tidak cukup ruang.

Malahan air juga masuk ke dalam lubang galian kerana terpaksa menanam jenazah di tebing sungai. - mr
Mohamad Sabu, Mustafa Ali akan saman polis.
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali akan memfailkan saman terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Langkah ini berikutan dua insiden berasingan bulan ini yang berkaitan operasi tangkapan pihak polis ke atas mereka.

"Ketika ditangkap di Plaza Tol Tambun, saya diperlakukan seolah-olah mafia," kata Mohamad Sabu kepada wartawan sebaik selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini pagi tadi.

Beliau berkata, polis bertindak memecahkan cermin keretanya menggunakan tukul besi sebesar kepala lutut dan kemudian mengheret beliau keluar ala-mafia seolah-olah dia adalah penjenayah kejam yang sangat dikehendaki.

"Seorang pegawai polis dikenali sebagai Nasir yang menangkap saya langsung tidak menyebutkan sebab tangkapan. Malah tangan saya lebam-lebam dan luka akibat digari di bahagian belakang," katanya mengenai tangkapan 9 Disember itu.

Mohamad Sabu membuat laporan polis disebabkan cara penangkapannya tidak mengikut prosedur undang-undang.

"Sebelum berjaya memberkas saya, Nasir mengugut memecahkan cermin kereta saya. Saya bertegas untuk sampai ke Guar Patani dahulu dan menyerah diri di balai polis Kepala Batas kerana telah wujud perjanjian dan persetujuan sebelum daripada itu," tambahnya.

Beliau berkata Nasir melakukan dua percubaan memecahkan cermin kereta beliau dengan 'cota polis' dan 'spanar T' namun gagal.

Sementara itu, Mustafa menggesa polis menjalankan satu siasatan lengkap ke atas penangkapan beliau yang dipercayai tidak sah (unlawful inprisonment) dan bertentangan undang-undang.

"Saya juga mahu mereka terlibat diambil tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau kesal dengan tindakan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang termasuk mengenakan saman terhadap mereka yang terbabit.

Menceritakan kejadian tangkapannya pada 11 Disember lalu, Mustafa berkata semasa keluar dari pintu bangunan Parlimen, beliau didatangi pegawai polis yang minta diikuti ke kenderaan polis.

"Saya tanya untuk apa dan dia menyatakan ini berkait dengan 'court order' (perintah mahkamah) sambil menunjukkan kepada saya. Saya sempat melihatnya, dan berkata bahawa nama saya tidak tertera di situ, namun dia menyatakan bahawa saya adalah 'suspek' dan apabila ditanya suspek apa?' anggots polis membisu," kata Mustafa.

Kemudian, salah seorang pegawai polis itu menyatakan bahawa Mustafa perlu mengikut arahan tersebut jika tidak mahu pihak polis menggunakan kekerasan.

"Walaupun saya enggan mengikut, mereka mengeluarkan gari tetapi tidak menggunakannya. Tiba-tiba saya mendengar suara berkata,'Dato', kita masuk Parlimen.' Sebaik mendengar kata-kata tersebut seorang pegawai polis menutup pintu masuk Parlimen dengan segera," katanya.

Menurutnya selepas ditahan dua jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, beliau dibebaskan oleh seorang pegawai polis berpangkat tinggi bernama Ismail tanpa sebarang dakwaan.

Turut hadir ketika membuat laporan tersebut Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS, Hanipa Maidin serta beberapa peguam - Khairudin Othman, Ahmad Lutfi Awang dan Mohd Fadzli Ramli.

Hanipa yang mengetuai pengendalian kes kedua-dua pimpinan ini berkata, sebagai tindakan susulan daripada laporan polis yang dikemukakan, pihaknya akan memfailkan tindakan saman ke atas pihak terbabit. - lanh