Ketua Hakim Negara usaha bersihkan kehakiman
PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara yang baru dilantik Datuk Abdul Hamid Mohamad hari ini menegaskan beliau akan berusaha mendisiplinkan anggota-anggota dan kakitangan Badan Kehakiman untuk membersihkan badan itu daripada tuduhan rasuah dan salah laku hakim-hakim serta kakitangan mahkamah.
Hamid, 65, berkata beliau tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku sedemikian, dan meminta kerjasama Majlis Peguam untuk mendisiplinkan anggotanya, semasa beliau berusaha mendisiplinkan anggota dan kakitangan Badan Kehakiman.
"Kita perlu bersihkan rumah kita masing-masing. Kebebasan mahkamah perlu dipertahankan, tetapi, kebebasan mahkamah bukanlah bererti menyebelahi mana mana-mana pihak dalam sesuatu pertikaian," katanya semasa berucap pada majlis pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara dan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
Katanya kebebasan mahkamah bererti memberi keputusan dalam sesuatu kes berdasarkan undang-undang dan keterangan yang dikemukakan di mahkamah tanpa berat sebelah, tanpa dipengaruhi atau ditekan oleh mana-mana pihak.
Bagaimanapun beliau menambah setakat ini, beliau tidak tahu sama ada "khabar angin" berhubung tuduhan rasuah dan salah laku hakim-hakim dan kakitangan mahkamah adalah benar atau tidak, dan beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenainya supaya tampil kehadapan.
Hamid berkata tiada jalan ringkas untuk mengatasi masalah persepsi negatif dalam Badan Kehakiman, cuma satu cara yang berkesan iaitu bagi hakim-hakim dan kakitangan mahkamah menjalankan tugas masing-masing dengan bersungguh-sungguh, jujur dan telus untuk memulihkan persepsi orang ramai.
Hamid yang akan mencapai usia 66 pada bulan April tahun depan berkata kejujuran mengatasi segala-galanya dalam hidup dan kebenaran akan terserlah akhirnya.
"Saya sedar bahawa, jika Allah melanjutkan usia saya sekalipun, tempoh untuk saya memegang jawatan Ketua Hakim Negara ini adalah amat singkat. Tetapi, jika, dengan takdir Allah, saya memegang jawatan ini hanya sehari sahajapun, dalam masa satu hari itu, saya berazam untuk melakukan apa saja dengan jujur, yang saya fikir adalah betul, sehabis baik yang saya boleh lakukan. Sama ada sehabis baik saya itu cukup baik atau tidak terserahlah kepada orang ramai untuk menghakiminya," tambahnya.
Hamid hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Hakim Negara ke-11 menggantikan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersara wajib pada Okt 31 lepas. Tugas beliau sebagai Ketua Hakim Negara berkuatkuasa 1 Nov lepas.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zaki Tun Azmi, 62, yang merupakan anak bekas Ketua Hakim Negara yang kedua, Tun Mohamed Azmi Mohamed, mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan di hadapan hakim mahkamah rayuan Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud di dewan persidangan di Istana Kehakiman hari ini. Pelantikannya ke jawatan itu berkuatkuasa hari ini.
Hamid berkata kebebasan dan kewibawaan seseorang hakim dalam menjalankan tugas datangnya dari dalam diri hakim itu sendiri dan sekiranya mereka menunjukkan sikap yang tegas, jujur dan bersih dalam menjalankan tugas, tidak ada sesiapa yang akan berani cuba mempengaruhi atau "membeli" mereka.
"Tetapi, jika kita sendiri yang terhegeh-hegeh ke sana ke sini meminta ihsan untuk dilantik menjadi hakim atau dinaikkan pangkat dan sebagainya, maka kita sendirilah yang telah mengkompromi kebebasan dan kewibawaan kita.
"Bagi saya, seseorang yang meminta-minta atau melobi untuk dilantik menjadi hakim pun mengkompromi kebebasan mahkamah sebelum dia dilantik menjadi hakim lagi, dan seorang hakim yang meminta-minta atau melobi untuk naik pangkat pun mengkompromi kebebasan mahkamah sebelum dia naik pangkat lagi," katanya.
Hamid berkata sekiranya hakim-hakim secara langsung atau tidak langsung menampakkan bahawa mereka boleh didampingi, maka sebenarnya mereka sendirilah yang mempelawanya.
Katanya tumpuan segera yang perlu diberikan perhatian oleh Badan Kehakiman ialah terhadap faktor kecuaian menulis alasan penghakiman, kecuaian menaipkan nota-nota keterangan, kecuaian menyediakan rekod rayuan bagi rayuan jenayah, kecuaian memaklumkan hakim-hakim bahawa ada rayuan terhadap keputusan mereka yang memerlukan mereka menulis alasan penghakiman dan kecuaian menghantar notis rayuan yang diterima oleh mahkamah yang membuat keputusan kepada mahkamah yang dirayu.
Hamid berkata satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian segera ialah bagaimana untuk mengatasi rayuan interlokutari yang melipatgandakan bilangan rayuan dan kos kepada litigan dan melambatkan penyelesaian muktamad kes-kes.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan memetik cogan kata "buat kerja" sambil memegang kad mengandungi cogan kata "buat kerja", dan beliau kemudiannya mendapat tepukan gemuruh hadirin. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan