Eksklusif: "Saya yatim piatu dalam politik" Khir Toyo
Oleh Helme Hanafi
"INI kali pertama Datuk Seri bercakap secara terus-terang macam tadi," kata Dr Karim Mansor, setiausaha politik Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo, setelah pertemuan lebih dua jam itu bersurai. Sebagai orang yang selalu bersama Khir ketika bertemu media, Dr Karim agak 'terkejut' melihat bossnya bercakap terus-terang terutamanya soal-soal peribadi yang jarang disentuhnya sebelum ini.
Pertemuan Khir Toyo dengan editor website dan penulis politik diatur oleh pengendali laman web agendaselangor.com, Roslan Bian.
Dari senarai awal, antara yang dijemput termasuklah Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman. Tetapi kerana sibuk mengejar dateline Harakah, Lutfi sekadar berkirim salam. Begitu juga Sayuti Omar, turut tidak dapat hadir kerana mengerjakan haji di Tanah Suci.
Tinggal saya, Rosli Ismail dari Agendadaily, Nash dari Malaysiakini dan penulis politik tersohor Pak Habib.
Dalam pertemuan tersebut, Khir Toyo banyak menyentuh mengenai rasional tindakan kerajaan Selangor terhadap perkampungan setinggan dan isu perobohan kuil.
Dua isu tersebut menjadi buah mulut orang mengenai kepimpinan Khir Toyo di Selangor.
"Majoriti setuju, baru roboh rumah"
Tanpa selindung kata Khir Toyo, kerajaan negeri hanya akan bertindak merobohkan perkambungan setinggan apabila majoriti penduduknya setuju berpindah.
"Kita susah hendak dapat persetujuan semua pihak, tapi kalau majoriti setuju, kita teruskan dengan agenda pembangunan yang dirancang," kata beliau.
Menurutnya, beliau adakalanya menghadapi dilema dan keadaan yang sebak dalam tindakan nak meroboh dan membersihkan kawasan setinggan.
“Memang ada kisah-kisah sedih seperti melihat ada yang berdegil nak terus tinggal di kawasan itu... duduk dalam khemah dan sebagainya,” katanya.
Katanya, misalnya tindakan meroboh satu kawasan setinggan Kampung Berembang tidak lama dulu melibatkan rumah anak saudaranya sendiri.
“Anak pakcik saya, mereka marah-marah…tapi saya tak ada pilihan. Ini satu tugas yang perlu dilakukan. Lagi pun itu tanah orang. Cuba letakkan diri anda sebagai pemilik tanah itu” katanya.
Berjaya di penempatan baru
Katanya, kebiasaannya majoriti setinggan yang terlibat menerima tawaran kerajaan negeri bagi penempatan baru tetapi ada segelintir yang berdegil.
“Apa nak buat…selalunya apabila parti pembangkang dan orang luar campurtangan ia jadi isu politik ..sedangkan niat kita baik,” katanya.
Di sebalik kecaman terhadap kempen setingan sifar, kata Khir Toyo, beliau berbangga kerana ada anak-anak penduduk setinggan yang berpindah ke penempatan semula yang diatur oleh kerajaan negeri berjaya dalam pelajaran mereka.
"Saya bangga apabila diberitahu 280 anak-anak bekas penduduk setingan yang berpindah ke penempatan baru yang lebih selesa berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan mereka,"
"Ini kerana di penempatan baru mereka boleh menumpukan kepada pelajaran dengan lebih selesa berbanding di kawasan asal."
Menurutnya, selain masalah sosial, kempen menghapuskan setingan juga bertujuan untuk menaik taraf hidup penduduk setempat terutamanya orang-orang Melayu dan India.
Yatim piatu dalam politik
Ditanya mengenai serangan media yang dihadapinya, Khir berkata, beliau merupakan orang baru dalam politik.
"Dalam politiknya saya anak yatim piatu," katanya sambil ketawa. "Saya tiada ada godfather, dan saya orang baru, saya tidak kenal senior editor, mungkin sebab tu la."
Tapi kata, Khir, beliau terbuka dan tidak berdendam dengan sesiapa.
"Yang penting, saya tahu kerja saya," jelasnya.
Dalam pertemuan itu, Khir menjelaskan dengan panjang lebar mengenai dasar-dasar ekonomi yang diterapkan beliau di Selangor.
Antaranya adalah membelanjakan semua wang yang dikutip oleh PBT hasil cukai dari orang ramai.
"Itu wang orang ramai, kita belanjakan untuk faedah mereka, buat jalan, pasang lampu dan lain-lain. Saya punya polisi, banyak mana kutip banyak itu belanja," katanya.
"Untuk simpanan, kita gunakan hasil dari keuntungan anak syarikat kerajaan," katanya.
"Saya guna sabun cuci muka"
Antara yang menarik perhatian adalah penjelasan Khir Toyo mengenai perubahan wajahnya. Soalan tersebut asalnya ditanya oleh Rosli Ismail, menurut Rosli, beberapa orang beritahu beliau, Khir Toyo tidak main golf kerana takut wajahnya cair apabila kena panas.
Dewan besar tersebut riuh rendah dengan gelak ketawa. Khir Toyo, tersenyum sambil berkata, "Tak ada plastic surgery atau apa-apa. Cuma saya pakai sejenis sabun pencuci muka dan saya banyak bersenam,” katanya.
Sambil menunjukkan muka dan bahagian bawah lehernya, Menteri Besar Selangor itu bertanya, “mana ada parut dan kesan-kesan bedah. Kalau plastic surgery mesti ada kesannya.” Katanya yang meminta saya memeriksa sendiri parut di wajahnya.
Kebetulan memang saya yang berada di sebelahnya. Memang tiada parut yang kelihatan, kata Khir, beliau ada mengambil vitamin C dan ubat anti ageing.
“Saya juga gunakan sabun pencuci muka…satu produk yang digunakan oleh isteri saya,” katanya.
Selain itu, menurut beliau, setiap kali lepas solat Subuh beliau bersenam termasuk melakukan pumping, sit up, sebanyak 20 kali setiap satu.
"Saya juga main golf, kalau tak sibuk 18 lubang, tapi kalau sibuk 9 lubang saja," katanya sambil mempelawa untuk menyertai beliau bermain golf.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan