HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Disember 2007

Keadaan banjir membimbangkan


KUALA LUMPUR - Sehingga lewat petang ini, 23,323 mangsa banjir di Pahang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan, manakala bandar Mentakab pula lumpuh sepenuhnya apabila ditenggelami air sedalam satu meter.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 3,047 orang berbanding 2,291 orang semalam manakala di Sarawak meningkat kepada 74 orang.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir Johor menurun kepada 7,662 orang berbanding 13,817 orang semalam sementara di Negeri Sembilan, hanya 89 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan.

Sementara keadaan banjir di Pahang menyebabkan bandar Mentakab dan Jerantut terputus hubungan berikutan jalan yang menghubungkan antara kedua-dua bandar itu rosak akibat arus deras.

Banjir di negeri itu juga meragut korban ketiga apabila mayat seorang pemuda yang terjatuh ke sungai berhampiran kilang kelapa sawit Felda Bukit Tajau, Maran pukul 3.40 petang semalam ditemui tiga jam selepas itu.

Mayat mangsa, Mohd. Ridzuan Jaafar, 23, ditemui pada pukul 6.45 petang semalam tidak jauh dari kawasan dia dilaporkan terjatuh.

Penemuan itu menjadikan jumlah mangsa yang mati lemas di semua negeri yang terjejas akibat bencana itu kini meningkat kepada 17 orang.

Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri memberitahu, Kuantan mencatat mangsa banjir tertinggi dipindahkan dengan 5,730 orang diikuti Maran (4,340), Pekan (4,245), Rompin (3460), Bera (2,221), Temerloh (1,672), Jerantut (371) dan Kuala Lipis (104).
Sebanyak 204 pusat pemindahan dibuka hari ini bagi menampung mangsa banjir iaitu 63 di Temerloh, Maran (37), Pekan (30), Rompin (25), Kuantan (16), Bera (14), Jerantut (12) dan Kuala Lipis (7).

Paras air yang semakin naik turut menyebabkan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Kilometer 113.3 dekat Lanchang, ditutup di kedua-dua arah kepada kenderaan ringan.
Ini menyebabkan semua pengguna jalan raya yang hendak ke Kuantan atau Kuala Lumpur terkandas berikutan tiada jalan alternatif yang boleh dilalui.

Antara jalan utama lain yang ditutup kepada semua lalu lintas ialah Jalan Kuantan-Sungai Lembing, Jalan Pekan-Paloh Hinai dekat Pulau Keladi, Pekan dan Jalan Pekan-Rompin di Kilometer 15 dekat Sungai Miang, Pekan.

Di Temerloh, air dari Sungai Pahang terus melimpah walaupun tidak ramai mangsa banjir yang dipindahkan di daerah tersebut. Penduduk daerah itu kini berdepan dengan masalah gangguan bekalan air.

Sementara itu, seramai 666 mangsa banjir di Raub dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas semua pusat pemindahan sementara ditutup pukul 2 petang ini berikutan air semakin surut.

Di Johor, daerah Segamat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,836 orang dipindahkan ke 43 pusat pemindahan, diikuti Muar dengan 1,024 mangsa.

Di daerah Mersing pula, 313 mangsa ditempatkan di empat pusat pemindahan; di Johor Bahru (282 mangsa di satu pusat pemindahan) dan Batu Pahat (207 mangsa di tujuh pusat pemindahan) manakala pusat pemindahan di Kota Tinggi dan Kluang sudah ditutup.

Di Kelantan, Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, jajahan Kota Bharu dan Tanah Merah terjejas teruk apabila masing-masing mencatatkan seramai 911 dan 620 mangsa di 17 pusat pemindahan.

Ini diikuti oleh Kuala Krai seramai 607 orang, Pasir Mas (442 orang), Tumpat (253 orang) dan Machang (214 orang) namun tiada lagi mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di Gua Musang dan Jeli.

Di Sibu, Sarawak, keadaan juga semakin buruk apabila 74 orang di daerah itu dipindah ke pusat pemindahan banjir berbanding 30 orang semalam.

Keseluruhannya keadaan banjir di bahagian tengah Sarawak iaitu Sibu, Kanowit, Selangau, Song dan Julau sejak semalam, tidak banyak menunjukkan perubahan.

Sementara itu, di Kanowit, hampir 500 orang dari 18 kawasan yang sebahagian besarnya penghuni rumah panjang terputus hubungan apabila laluan masuk ke kediaman mereka ditenggelami air sehingga kira-kira 1.5 meter.

Jurucakap Pusat Gerakan Banjir Kanowit berkata, antara yang terlibat termasuk rumah panjang Slunggun, Awin, Mapai, Kampung Cina, Ngadan Libus, Benjamin Aki, Rantau Kemeding, Bangau dan pekan Kanowit.

Di Terengganu, paras air di tiga sungai utama melepasi paras berjaga-jaga, namun tiada kejadian banjir dilaporkan berlaku hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu berkata, jalan-jalan yang ditutup akibat banjir semalam, sudah dibuka semula.

Tiada ulasan: