Najib dibidas: Burukkan pembangkang, takutkan rakyat dengan konflik Pakistan.
Azamin Amin
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dibidas kerana cuba menakutkan perasaan rakyat terhadap konflik yang berlaku di Pakistan di samping memburukkan pembangkang yang didakwa mencetuskan kekecohan di negara ini.
Malah media arus perdana juga dilihat setiap hari memaparkan 'sentimen' Pakistan seolah-olah insiden tersebut boleh terjadi dengan penglibatan pembangkang dan akibat terhasilnya demonstrasi jalanan.
Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar berkata sungguhpun kerajaan di negara ini 'menindas' dan melakukan pelbagai 'kezaliman' serta 'menghimpit' nasib hidup rakyat, rakyat di bawah pimpinan pembangkang belum pernah mencetuskan rusuhan sehingga menimbulkan suasana huru-hara dan menyebabkan orang awam atau pemimpin politik terkorban.
"Najib sepatutnya mengambil iktibar bahawa, demokrasi yang teruk dan pincang di Pakistan menyebabkan kebangkitan rakyat untuk menentang kezaliman yang akhirnya mencetuskan suasana huru-hara," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Segalanya berpunca daripada kerajaan yang tidak mahu berubah.Bukannya cuba menakut-nakutkan rakyat dan seolah-olah pembangkang boleh menyebabkan suasana di Pakistan boleh berlaku di sini sedangkan Najib sendiri akui belum ada satu sejarah berlaku begitu dalam negara ini," katanya.
Mahfuz menambah bahawa rakyat dan pembangkang tidak akan turun berdemonstrasi tanpa sebab dan mempunyai 'niat sengaja' untuk cetuskan huru-hara jika ianya tidak mendatang sebarang manfaat dan menjejaskan kehidupan mereka apatah lagi sekiranya melibatkan nyawa orang awam terancam sebaliknya atas sebab-sebab kerajaan yang 'tidak melayan' luahan hati rakyat.
Katanya lagi selagi kerajaan tidak memulihkan demokrasi dan menunai tuntutan rakyat atas segala masalah yang menghimpit seperti pencabulan hak asasi, kesan ekonomi yang meruncing, pendidikan yang tidak seimbang serta proses pilihan raya yang tidak bersih selagi itulah rakyat akan melahirkan perasaan tidak puas hati mereka dengan melakukan pelbagai kaedah bantahan serta turun ke jalan raya melakukan demonstrasi.
"Rakyat di negara ini punyai sifat kesopanan tinggi dan berjiwa lembut, tidak akan sampai melakukan rusuhan sehingga mengakibatkan ramai yang terkorban. Cuma sekadar menyatakan bantahan dan demonstrasi yang dijamin dalam perlembagaan negara.
"Tetapi jika kerajaan tidak mahu berubah, melakukan penipuan dan kezaliman maka kerajaan jangan salahkan rakyat kalau mereka turun berdemonstrasi lagi. Jika berlaku insiden tidak diingini kerajaanlah yang bertanggungjawab bukannya rakyat!"katanya.
Beliau turut berkata 'sentimen' Pakistan ini akan sentiasa 'didendangkan' oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) bersama dengan media pro BN sehingga menjelang pilihan raya supaya rakyat takut khususnya masyarakat bukan Islam untuk memilih pembangkang seterusnya meraih pengaruh dan sokongan rakyat terhadap BN yang semakin goyah survival politik mereka.
"Dengan sentimen perkauman yang dimainkan Umno, jenayah yang makin meningkat, pilihan raya yang kotor, rakyat miskin tertindas, barang naik, sara hidup tinggi, pembaziran dan rasuah berleluasa adalah hasil daripada BN yang memerintah dan rakyat makin tidak puas hati.
"Siapa yang tidak mahu hidup aman dan inginkan kestabilan politik? Seluruh masyarakat termasuk pembangkang mahukan kedua-duanya bahkan itulah yang diperjuangkan selama ini dan oleh itu kita sering menegur,membantah dan memberi amaran kepada kerajaan supaya pulihkan keamanan dan politik negara yang kini terumbang-ambing," katanya.
Mahfuz menambah atas segala rentetan dan kronologi yang berlaku kepada rakyat sepanjang 2007 dan segala salah laku kerajaan selama ini, sewajarnya dijadikan iktibar kepada semua pihak supaya sedar bahawa BN telah gagal dalam mentadibir negara di samping menjadikan satu keazaman setiap individu amnya rakyat Malaysia untuk memberi peluang kepada pembangkang dalam Barisan Alternatif seperti PAS untuk mentadbir negara dan membela nasib rakyat jelata. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan