HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Disember 2007

PAS lebih berjaya daripada Umno dalam misi membantu mangsa banjir
Basiron Abdul Wahab


Banjir luar biasa di Pahang yang mengakhiri tahun 2007 pastinya memadam kesombongan pemimpin Umno/BN yang berada di puncak kuasa. Mereka dengan angkuh mendakwa sudah bersiap sedia menghadapi banjir rupa-rupanya hanyalah kenyatan kosong semata-mata apabila banjir benar-benar melanda. Jentera mereka yang dikatakan hebat itu mendedahkan segala kelemahan dan kegagalan.

Mereka hanya gah di media, menjadikan mereka kelihatan bersama rakyat, ia hanyalah projek propaganda menjelang pilihan raya. Jentera melawan banjir yang gah itu diturunkan maksima hanya apabila ada pemimpin besar datang melawat mangsa banjir tetapi di medan sebenar mereka gagal memberi khidmat, apatah lagi jentera Putera dan Puteri Umno tidak menyerlah. Putera datang hanya untuk sesi penggambaran filem/video seleps itu pergi meninggal rakyat dalam dalam kesusahan tanpa bekalan eletrik dan air bersih.

Namun tanpa laporan media arus perdana, dengan kemampuan terhad, jentera PAS bergerak seperti kebiasa membantu apa yang termampu.

Di sebalik laporan media kurangnya penglibatan NGO membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara (khususnya di Pahang) berbanding di Johor tahun lepas, PAS dan sukarelawannya dari Pasukan Unit Amal yang telah terkenal dengan jolokan Tentera Merah mendahului pihak-pihak lain menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir tanpa mempedulikan latar belakang pegangan politik.

Walaupun PAS sebuah parti politik miskin dengan kemampuan yang terbatas ahlinya bertungkus lumus menghulurkan bantuan sekadar termampu, anggota PAS berkerja tanpa bantuan kewangan dan peralatan daripada pihak berkuasa. Mereka menggunakan apa sahaja yang ada bagi membantu mangsa banjir di mana saja.

Tiga hari selepas jentera PAS bergerak baru jentera Putera Umno datang menghulur bantuan makanan berlambang Putera Umno (Bantuan dari PAS tidak meletakkan apa-apa lambang pun!).

Di Temerloh, Pengarah Operasi Bantuan Banjir PAS Kawasan Temerloh, Syed Hamid mengakui pihaknya telah membelanjakan lebih RM15,000 bagi membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan Temerloh khususnya kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan, Lancang dan Mentakab. Bermula dengan RM0.00, pihaknya merayu sumbangan daripada orang ramai, hasilnya Tabung Mangsa Banjir berjaya mengumpul dana RM15,000 bagi membeli barangan keperluan secara tunai daripada pembekal.

Tambah Syed Hamid, lebih 700 mangsa banjir menerima bantuan daripada Pusat Bantuan Banjir Barisan Alternatif (BA). Banjir kali ini adalah yang terbesar sejak 20 tahun lalu ia itu ahmpir manyamai banjir pada tahun 1988.

"Sumbangan PAS ini diakui pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menghubungi saya mengakui PAS merupakan organisasi yang terkehadapan dalam membantu mangsa banjir," katanya .

Sementara itu PAS Kawasan Maran telah membelanjakan lebih RM10,000 untuk membantu 500 keluarga mangsa banjir di daerah itu.

Ketua Lujnah Kebajikan PAS Kawasan Maran, Jaafar Mat Tam berkata, Chenor menjadi daerah teramai melibatkan perpindahan mangsa banjir. PAS kawasan telah membuka bilik operasinya semenjak 10 Disember yang lalu.

Tambah Jaafar, selain menyalurkan bantuan beras, gula, susu dan tepung kepada mangsa mereka turut membekalkan air bersih. Bekalan air di daerah Maran telah terputus sejak 11 Disember lalu dan keperluan untuk mendapatkan air bersih amat mendesak selain itu penduduk daerah ini turut terputus bekalan eletrik.

Sementara itu Yang DiPertua PAS Kawasan Maran, Tuan Guru Hj Mohd Baki Othman berkata sepanjang hampir 40 tahun mendiami Kampung Lanting, Chenor dan beberapa kali menjadi mangsa banjir, ahli-ahli PAS sering kali dianaktirikan oleh pemimpin Umno tempatan dalam pengagihan bantuan banjir.

"Tidak pernah ketua kampung datang bertanya saya, tidak pernah sebiji beras, sesudu gula mahupun seekor bilis pun saya terima dari mereka sebagai mangsa banjir, mereka mendiskriminasi kami," ujar beliau yang mengendlikan pondok Ar-Redzuan.

Bagi kawasan Felda di Jengka, kawasan Parlimen Kuala Krau, banjir yang melanda pada 10 Disember lalu adalah sangat luar biasa .

Penduduk mendakwa belum pernah dilanda banjir sebegini besar. Seorang anak peneroka Felda Jengka 15, Engku Nurzaman Engku Muhammad 38, berkata sepanjang menetap di Jengka lebih 30 tahun lalu, inilah kali pertama kali banjir melanda seluruh kawasan Jengka 15.

Katanya, pada tahun 1988 pernah berlaku banjir yang menenggelamkan jalan raya yang menghubungkan Jengka 15 dengan 16, tetapi hanya sekitar satu kaki sahaja. Tetapi banjir kali ini menenggelamkan jalan raya sehingga paras leher.

Sementara itu, Pengarah Amal Kawasan Kuala Krau, Ustaz Aris Faizul Ismail berkata walaupun tanpa persedian menghadapi banjir, pihaknya bertindak pantas mengerahkan semua anggota amal menjalankan operasi menyelamat sebaik saja banjir mulai melanda sekitar jam 9 malam.

Operasi Unit Amal yang pertama ialah memindahkan mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan di jalan raya Jengka 15 dan 16 iaitu kawasan yang mula-mula ditenggelami air.

"Kami juga turut membantu mengeluarkan kenderaan yang ditenggelami air di kawasan Matau, Bandar Jengka," ujar beliau.

Pada malam tersebut juga Unit Amal telah mewujudkan Unit Kawalan yang meninjau kawasan-kawasan berpotensi dinaikki air.

Seawal jam 5.30 pagi seorang penyokong Umno yang menghubungi Unit Amal memohon bantuan untuk memindahkan barang-barang dirumahnya yang mula dinaiki air.

Pada hari pertama banjir, Unit Amal bersama Pemuda PAS Majlis Tindakan Pilihan raya Dewan Undangan Negeri (MTD) Jengka telah menyediakan makanan untuk mangsa banjir yang terperangkap dan bantuan makanan itu diteruskan sehingga beberapa hari. Amal juga sedang bertungkus lumus menjalankan operasi pembersihan di rumah-rumah mangsa banjir.
Bagi penduduk Matau, Bandar Jengka, sumbangan yang disampaikan oleh MTD Jengka adalah sumbangan pertama yang diterima semenjak beberapa hari menjadi mangsa banjir.

Seorang lelaki yang bertanggungjawab terhadap kebajikan penduduk Matau, yang hanya mahu dikenali sebagai Sabri berkata pihak berkuasa beberapa kali meminta senarai nama mangsa banjir daripada beliau tetapi selepas diberi, bantuan tidak juga diterima penduduk.

Seorang pemimpin wanita Umno di Matau melahirkan rasa kecewanya kerana pemimpin yang puja selama ini tidak langsung menunjukkan kesungguhan untuk membantu mangsa
Beliau yang di kenali sebagai Mak Cik Odah mengakui selama ini di rumah beliaulah berlangsungnya mesyuarat-mesyuarat Umno, tetapi ternyata parti yang disokongnya gagal membela nasibnya apabila banjir melanda.

Antara punca kegagalan pihak berkuasa khususnya dalam pengagihan bantuan banjir ialah kelemahan Jawatan Kuasa Kemajuan dan Kampung (JKKK) yang diberi tanggungjawab mengendalikan pusat perpindahan.

JKKK yang dikuasai pemimpin Umno rata-rata tidak popular di kalangan masyarakat kerana mereka menjadi pengerusi dan anggota JKKK melalui lantikan politik bukan dipilih penduduk.

Sikap buruk seperti mengutamakan ahli Umno dan kroni jelas kelihatan. Rata-rata kepimpinan JKKK tidak langsung dihormati penduduk.

Sistem pengagihan bantuan yang diberi melalui pusat perpindahan (hanya mereka yang berpindah sahaja mendapat bantuan) lebih menyulitkan keadaan, Ia turut diambil kesempatan rakan anggota JKKK yang berpindah ke pusat perpindahan walaupun kediaman mereka tidak dinaiki air.

Akibatnya bantuan yang disalur kerajaan diterima oleh mereka yang tidak layak manakala mangsa banjir tegar tidak menerima bantuan itu.

Bagi PAS, sistem digunapakai ialah membuat penghantaran terus ke rumah mangsa (ia tidak mampu dilakukan JKKK). Pasukan Amal PAS berjaya menghantar bekalan terus ke rumah mangsa.

Petugas Amal bekerja tanpa upah dan tiada kepentingan peribadi.

Di Chenor, Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan sendiri turun padang menyampaikan bekalan kepada mangsa banjir di kampung Chenor Seberang, Ladang dan Machang Gelap.

Beliau meredah lautan banjir menaiki bot yang sarat dengan bekalan makanan dan air bersih dan melihat serta mendengar masalah mangsa banjir yang tinggal di pusat-pusat perpindahan tanpa bekalan air dan eletrik.

Beliau turut melawat beberapa keluarga mangsa yang berpindah ke dalam ladang kelapa sawit di bawah khemah sementara yang dibina sendiri.

Katanya, kerajaan tidak bersedia untuk menghadapi bencana banjir, apa yang diucap oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) hanyalah retorik semata-mata manakala media mereka memberi fokos kepada negeri Kelantan kononnya banjir di Kelantan lebih buruk berbanding Pahang wal hal keadaan adalah sebaliknya.

"Banjir membukti kegagalan kerajaan BN mengurus bencana dan rakyat boleh menilainya sendiri," ujarnya. - mns

Tiada ulasan: