"Gerak geri sangat mirip pemimpin dimaksudkan" Guan Eng.
PETALING JAYA: DAP meminta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melakukan siasatan penuh dan memberi penjelasan berhubung kes video lucah yang didakwa melibatkan seorang ahli politik terkemuka tempatan seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, penjelasan daripada Perdana Menteri adalah amat penting bagi mengelakkan kepimpinan Barisan Nasional dipandang remeh dan ‘kotor’.
‘‘Lagipun perkara ini membabitkan seorang ahli politik berprofil tinggi. Jika dakwaan itu salah, tindakan patut diambil ke atas mereka yang mengedarkannya (video lucah) dan seterusnya membersihkan nama ahli politik itu.
‘‘Tetapi jika dakwaan tersebut benar, tindakan tegas patut diambil ke atas ahli politik tersebut,” kata Guan Eng pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, penjelasan daripada Perdana Menteri amat penting untuk membuktikan ketelusan kepimpinan Barisan Nasional.
Menurut Guan Eng, gerak-geri ‘watak’ utama dalam video itu adalah sangat mirip dengan ahli politik yang dimaksudkan.
‘‘Apa yang boleh saya dedahkan di sini ialah ahli politik yang didakwa ‘membintangi’ video lucah tersebut bukan daripada kalangan mana-mana parti pembangkang,” tambahnya.
Menurut laporan akhbar Cina itu, cakera padat digital (DVD) lucah itu mengandungi perlakuan seks disyaki antara seorang ahli politik terkemuka tanah air dengan pasangannya, seorang wanita penjual bunga.
Katanya, dua keping DVD yang dimaksudkan itu dijumpai di hadapan sebuah premis rumah kedai di Muar semalam bersama sekeping kertas yang tertera nama ahli politik yang didakwa.
Laporan tersebut turut menyebut bahawa VCD itu telah disebar secara meluas di Muar dan beberapa daerah di Johor sejak beberapa hari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan