HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Disember 2007

Lebih 20 ditangkap, Mustafa Ali ditahan secara kasar di Parlimen!
Azamin Amin


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Tepat jam 2.00 petang di pintu luar lobi Parlimen, terakhir menyusul lebih 20 yang ditahan sebelumnya ialah Pengarah Pilihan raya PAS Pusat Dato' Mustafa Ali.

Mustafa yang ketika itu sedang memasuki pintu Parlimen, telah ditahan oleh dua anggota polis berpakaian preman dan meminta beliau menyerahkan diri kerana didakwa terlibat dengan pelanggaran satu perintah mahkamah yang melarang mana-mana pihak untuk menghalang penyerahan memorandum Bersih di Parlimen pada 11 pagi tadi.

Bagaimanapun Mustafa yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu menyatakan kehadirannya di Parlimen adalah sebagai tetamu Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaffar dan sekadar memerhati perbahasan yang berlangsung.

"Apa perintah mahkamah terhadap saya? Bacakan dan arahkan 'superior' awak untuk datang bacakan dan saya akan pergi dengan sukarela tetapi bukan dengan secara kasar begini," kata beliau memarahi pegawai polis yang ingin menangkapnya.

Turut hadir segera mempertahankan Mustafa Ali ialah Dato' Kamaruddin Jaffar, Lim Kit Siang, Kunasegaran, Chong Eng dan beberapa ahli Parlimen DAP yang lain.

Namun perbincangan 'hangat' yang berlangsung selama 15 minit itu akhirnya menemui jalan buntu dan lima anggota polis secara kasar memaksa Mustafa untuk ke van polis yang diletakkan berhampiran pintu parlimen.

Turut menyaksikan situasi gawat itu ialah beberapa ahli parlimen BN dan puluhan orang ramai yang berada di kawasan tersebut.

"Don't touch me. Be gentlemen and be nice. Hormati Parlimen ini!" kata Mustafa yang bergelut dengan polis terbabit.

Ketika itu beberapa menteri baru tiba dan turut melalui pintu terbabit namun tidak mengendahkan apa yang berlaku ke atas Mustafa Ali.

Mereka ialah Menteri Pelajaran, Dato' Hishamudin Hussein Onn, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato' Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

Kamaruddin kecewa dengan penangkapan tersebut beranggapan kerajaan BN terpaksa menggunakan pelbagai kaedah untuk mengekang kemaraan aktivis pembangkang termasuk layanan buruk yang diberikan kepada Mustafa Ali selaku bekas Ahli Parlimen Dungun dan juga bekas timbalan menteri semasa PAS bersama BN sekitar 70-an.

"Dia hadir sebagai tetamu saya dan saya punya hak sebagai ahli parlimen untuk membawanya," katanya yang turut membantah dan berbahas dengan beberapa anggota polis terbabit.

Sebelum itu Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi, AJK PAS Pusat Dr Lo' Lo Haji Ghazali; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Dr Mohd Nasir telah ditangkap oleh pihak polis.

Terdahulu, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua bersama pemandunya telah ditangkap dalam jarak 200 meter dari tempat kawalan pihak polis.

Sebelum itu, perintah mahkamah telah dikeluar bagi menghalang empat individu iaitu Naib Presiden PAS,Mohamad Sabu; AJK PAS Pusat,Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; Adnan Saad dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud.

Selain itu Dr Dzulkifli Ahmad dan Pengurus Unit Pengiklanan Harakah, Mokhtar Rozaidi turut ditahan oleh polis.

Manakala dalam perkembangan berkaitan dilaporkan lebih 100 aktivis Bersih sedang berkumpul di hadapan IPK Kuala Lumpur untuk melahirkan sokongan terhadap peserta yang ditahan sebelum ini termasuklah Dr Mariah Mahmood dan Aiman Athirah. - mks.

Tiada ulasan: