HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Disember 2007

Mahathir disoal BPR berkaitan 'video VK Lingam'


PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa beliau diinterbiu oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam mengenai klip video yang memaparkan seorang dikatakan peguam bercakap menerusi telefon mengenai pelantikan hakim-hakim.

"BPR menginterbiu saya dan mereka kemukakan soalan dan saya jawab," katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku "The Third World and International Law", di pejabat Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Buku itu ditulis oleh Tunku Sofiah Jewa. Turut hadir pada majlis itu Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Dr Mahathir berkata beliau diinterbiu oleh tiga pegawai BPR selama sejam di pejabat yayasan.
Beliau berkata beliau sedia memberi keterangan jika undang-undang memerlukan beliau berbuat demikian.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata: "Saya tidak tahu sama ada Lingam berkata begitu atau tidak. Saya tidak melihat pita itu. Apa yang saya lihat ialah di TV3, itu saja. Jadi saya tak tahu mengenainya".

Beliau menyatakan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja telah dibentuk untuk menyiasat dakwaan itu.

"Terpulang kepada suruhanjaya untuk melihat sama ada terdapat kebenaran dakwaan itu," kata beliau.

Kerajaan telah melantik bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohamed Noor selaku pengerusi suruhanjaya enam anggota itu bagi menentukan kesahihan klip video itu dan identiti orang yang bercakap, orang yang dilayan bercakap menerusi telefon dalam klip tersebut dan orang-orang yang disebut dalam percakapan itu.

Ditanya mengenai keputusan kerajaan menggunakan Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) terhadap kumpulan yang melakukan aktiviti yang mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara, Dr Mahathir berkata:

"Saya juga gunakan ISA.

"Terpulang kepada kerajaan dan rakyat membuat keputusan, seperti anda tahu kita negara demokratik. Jika anda memilih orangorang yang menyokong ISA, tentu ISA akan wujud di sana.

"Jika anda tak sukakan ISA, anda perlu memilih orang yang tak sukakan ISA. Pilihan pada anda".

Menurut Dr Mahathir, beliau dipilih kerana beliau menyokong ISA.

"Saya dipilih oleh rakyat, jadi saya fikir rakyat menyokong ISA, sebab itu saya laksanakan ISA," kata beliau.

Mengenai dakwaan wujud penghapusan etnik di sini, Dr Mahathir berkata beliau banyak membaca mengenai penghapusan etnik di Bosnia.

"Saya tidak pernah melihat ramai orang India dibunuh di sini. Orang Melayu bunuh orang India dan segalanya...Saya fikir itu tak masuk akal".

Mengenai demonstrasi jalanan, beliau berkata rakyat berhak menimbulkan (isu) tetapi ada cara lain melakukannya.

"Kecuali mereka disekat dari mengemukakan pandangan dengan cara lain.

"Jika mereka tiada pilihan, memang mereka boleh berdemonstrasi. Tetapi jika mereka ada pilihan, mereka mempunyai pemimpin sendiri untuk menjelaskan masalah. Saya fikir itu harus jadi pilihan pertama," kata beliau.

Mengenai buku yang baru dilancarkan, Dr Mahathir berkata, "Bagi beliau buku ini amat penting".

"Kebanyakan pengetahuan yang kita dapat mengenai undangundang antarabangsa dan Dunia Ketiga melalui tulisan orang Eropah dan mereka memang bias."

Beliau berkata beliau belum membaca banyak perkara yang disebut dalam buku itu.

"Sebab itu ia menarik, dan saya fikir ramai orang Asia, Afrika dan American Indian perlu membuat penyelidikan dan menulis buku dari sudut pandangna mereka untuk mewujudkan imbangan lebih baik". BERNAMA

Tiada ulasan: