HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Disember 2007

KENYATAAN AKHBAR SALAHUDDIN AYUB DAN DATO’ MUSTAFA ALI

Antara Batu Burok dan Hindraf - Sikap 'double standard' Gani Patail diselar


Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini bersikap 'double standard' dan terdapat perbezaan yang jelas dengan kes Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) yang berlaku di Kuala Lumpur dengan apa yang berlaku di Kuala Terengganu pada hari ini (30 Disember 2007).

Perbezaan kes yang boleh kita lihat, apa yang berlaku di Kuala Lumpur ialah mereka didakwa kerana mencederakan pasukan polis sedangkan apa yang didakwa kepada Suwandi Ab Ghani dan Muhammad Azman Aziz ialah mereka ditembak dengan peluru hidup oleh anggota polis.

Ini pada saya suatu perbezaan yang sangat ketara yang pada hari ini membuktikan bahawa berlakunya ketidakadilan dalam system kehakiman dalam negara kita.

Saya juga mengecam tindakan pihak warden penjara yang mencederakan dengan memukul Azman dalam tahanan di Penjara Terbuka Marang dan saya mengharapkan bahawa Ketua Pengarah Penjara mengambil tindakan serta merta dan apabila hari ini beliau membuat satu laporan polis

Maka, aduan beliau mestilah disiasat dan tindakan segera mesti diambil.

Saya menyeru kepada pemuda-pemuda khasnya, supaya kita terus bekerja dengan kuat di atas isu ketidakadilan ini.

Saya yakin dan percaya bahawa kalau kita boleh menggerakkan jentera penerangan kita di semua peringkat, saya rasa ini satu pemangkin dan rakyat Terengganu boleh membuat perubahan dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Ini suatu kezaliman dan rakyat nampak pada hari ini mereka tidak diberi jaminan oleh mahkamah dalam kes Suwandi dan Azman yang tidak dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada hari ini.

Salahuddin Ayub
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


II. Jelas Gani Patail menganiaya Suwandi dan Azman


Saya merasa dukacita dengan keputusan Mahkamah Sesyen hari ini yang tidak membenarkan diikat jamin kepada mangsa tembakan peluru hidup dalam insiden Batu Burok pada 8 September lalu, Suwandi Ab Ghani dan Muhammad Azman Aziz dan dalam masa yang sama membenarkan penangguhan perbicaraan daripada pihak Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Pada hari ini, peguam-peguam yang mewakili tertuduh itu yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas telahpun menyatakan mereka bersedia untuk menjalankan perbicaran.

Bagaimanapun, perbicaran tidak diadakan pada hari ini dan kenapakah Peguam Negara hanya pada hari ini memohon penangguhan atas alasan-alasan hendak menjalankan perbicaraan bersama dengan kes yang diadakan di Mahkamah Majistret.

Sepatutnya, semasa pada hari pendakwaan, 9 Disember lalu Peguam Negara sudah boleh membuat permohonan untuk menggabungkan kes itu.

Jadi hari ini kes tidak dapat dijalankan, hanya membuang masa dan tiba-tiba kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

Bagi kita, ini suatu tindakan yang menganiaya kedua-dua tertuduh dan seolah-olah mereka ini telah dihukum walaupun belum dibuktikan bersalah. Malah, lebih mendukacitakan lagi mereka telah menjalani keadaan (penjara) tersebut khususnya Suwandi yang masih lagi tidak pulih sepenuhnya daripada kecederaannya.

Muhammad Azman pula dipukul dalam tahanan dan hari ini keluarga mereka membuat laporan polis. Peguam Negara semasa perbicaraan tadi menyatakan akan mempastikan orang yang membuat tindakan tersebut akan didakwa.

Kita mahu lihat Abdul Gani mengotakan apa yang dikatakan itu.

Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada para peguam yang diketuai oleh Tun Mohd Salleh Abas bersama Dat'’ Wan Abdul Muttalib Embong dan Mohamad Hanipa Maidin serta pasukannya menjalankan tugas dengan cemerlang walaupun keputusan tidak berpihak kepada kita.

Saya berharap kedua-dua keluarga Suwandi dan Muhamamd Azman bersabar dalam menghadapi situasi sekarang. Kita akan terus memberikan pembelaan dalam kes mereka walau berapa lama pun akan mengambil masa termasuk bantuan kebajikan.

Saya juga meminta ahli-ahli dan para penyokong PAS supaya bertenang dalam menangani isu ini. Kita akan tangani isu ini dengan sebaik mungkin dan ini sebahagian daripada ujian yang terpaksa dilalui.


Dato' Mustafa Ali
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. - mr

Tiada ulasan: