Jemaah kita kandas -- Alami kesesakan lalu lintas lebih 12 jam di Muzdalifah
Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
KUALA LUMPUR . – Hampir separuh daripada 26,000 jemaah haji negara terkandas lebih 12 jam di Muzdalifah, Mekah selepas mengerjakan wuquf di padang Arafah ekoran masalah pengangkutan dan kesesakan lalu lintas.
Menurut Pengurus Bilik Gerakan Haji di Mekah, Mohd. Shahidan Taib, kesemua jemaah haji tersebut terpaksa menunggu dari pukul 12 malam (5 pagi waktu Malaysia) Selasa sehingga pukul 1 petang (6 petang waktu Malaysia), apabila bas yang dijadualkan membawa mereka ke Mina gagal tiba pada masa yang ditetapkan.
Menurutnya, sejumlah 587 bas perantara disediakan untuk perjalanan ulang-alik membawa jemaah haji Malaysia namun separuh daripadanya terperangkap dalam perjalanan dari Mina untuk mengambil jemaah di Muzdalifah akibat kesesakan teruk itu.
Kata beliau, mengikut jadual perjalanan jemaah haji, perjalanan sejauh tiga kilometer ke Mina dari Muzdalifah biasanya memakan masa lima hingga enam jam.
‘‘Bagaimanapun, pada tahun ini mereka terpaksa menunggu bas hampir 12 jam sebelum dapat keluar dari Muzdalifah. Kesemua jemaah yang terkandas hanya berjaya dibawa ke Mina pada pukul 3 petang (8 malam waktu Malaysia).
“Ini merupakan keadaan yang agak luar biasa berbanding tahun-tahun sebelumnya,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jemaah yang selesai menyempurnakan rukun haji iaitu Wukuf di Arafah, pergi ke Muzdalifah bagi mengutip batu untuk digunakan bagi melontar jamrah di Mina.
Masalah kesesakan bagi perjalanan kedua-dua destinasi itu berlaku setiap tahun tetapi tahun ini kesesakan dilaporkan lebih teruk daripada biasa.
Difahamkan, kesesakan luar biasa berlaku ekoran tindakan sesetengah pihak tidak mematuhi peraturan laluan ulang-alik yang dilaksanakan oleh kerajaan Arab Saudi dari sektor Mina ke Muzdalifah.
Laluan tersebut dikhaskan untuk lebih dua juta jemaah haji bagaimanapun, terdapat pihak luar yang menggunakannya sehingga mengganggu kelancaran pergerakan jemaah haji.
Selain itu, kesesakan teruk juga dikatakan berlaku ekoran beberapa sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara itu.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut mengerjakan haji tahun ini.
Pemimpin negara lain yang turut mengerjakan haji ialah Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.
Menurut Shahidan, kesemua jemaah yang terkandas kini berada di khemah masing-masing di Mina dan dalam keadaan selamat.
Beliau berkata, trip pertama yang bertolak ke Mina berjalan lancar tetapi kesesakan semakin teruk pada trip kedua dan yang seterusnya.
Katanya, pada pukul 9 pagi (2 petang waktu Malaysia) sebanyak 13,000 jemaah haji negara sampai di Mina, manakala selebihnya terpaksa menunggu berjam-jam ketibaan bas pengantara tersebut.
Menurut Shahidan, kesesakan lalu lintas hanya berlaku dari Muzdalifah ke Mina manakala sektor sebelum ini iaitu sektor Arafah ke Muzdalifah berjalan dengan lancar.
‘‘Insiden ini bukan sahaja menimpa jemaah haji negara, tetapi juga jemaah dari negara lain,’’ jelasnya.
Beliau berkata, pihak muasasah membantu menyediakan bas tambahan untuk membantu
membawa mereka yang terkandas ke Mina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan