HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Disember 2007

RM6 juta baiki kerosakan loji di tiga negeri akibat banjir.



TEMERLOH: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menganggarkan sejumlah RM6 juta diperlukan bagi membaiki dan membaik pulih kerosakan loji, jentera mengepam air dan muka sauk yang terjejas akibat bencana banjir.

Pengarah Eksekutifnya, Lee Koon Yew berkata kos tersebut merupakan anggaran kasar yang dilakukan oleh pihaknya bagi penyelenggaraan di negeri Pahang, Kelantan dan Johor.

Beliau berkata pihaknya menganggarkan RM 3.5 juta diperlukan bagi kos penyelenggaraan di Pahang, RM2 juta di Johor dan RM500,000 di Kelantan.

"Anggaran ini dibuat setelah mengambil kira kerosakan jentera pengepam air yang ditenggelami banjir dan kerjakerja mengorek serta membaiki muka sauh yang diselaputi pasir," katanya kepada pemberita selepas meninjau Loji Kampung Lubuk Kawah di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata pihaknya menganggarkan RM12 juta lagi diperlukan bagi kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf kelengkapan Jabatan Bekalan Air (JBA) di seluruh negara.

Lee berkata sebagai perancangan masa depan, pihaknya akan membuat kajian secara menyeluruh sebelum melaksanakan sesuatu projek bagi mengelakkan kerosakan kelengkapan akibat banjir.

"Langkah ini perlu kerana jika kajian tidak dibuat, ia akan melibatkan kerugian besar apabila dilanda banjir lagi, sekali gus menyulitkan penduduk mendapatkan bekalan air," katanya.

Sementara itu JBA Pahang memberi jaminan bekalan air dalam negeri yang terjejas akibat banjir akan pulih selewat-lewatnya minggu depan.

Pengarahnya, Datuk Ismail Mohd Nor berkata JBA Pahang dengan bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) serta Puncak Niaga Holdings Berhad sedang berusaha membaiki kesemua pam, muka sauk dan loji air untuk memulihkan bekalan air kepada kira-kira 200,000 penduduk yang terjejas.

Katanya antara loji yang terjejas akibat banjir termasuk loji di Sungai Bera; Chenor, Simpang Jengka, Pekan Tajau di Maran dan Lubuk Kawah di Temerloh.

Bagaimanapun, beliau berkata loji di Chenor, Simpang Jengka dan Pekan Tajau sudah beroperasi dan membekalkan air kepada 80,000 penduduk di daerah Maran sejak kelmarin, selepas bekalan air mereka putus sejak dua minggu lepas. BERNAMA

Tiada ulasan: