HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Disember 2007

Warga asing bolot 20% peluang pekerjaan baru
Oleh: AMRAN AHMAD


KUALA LUMPUR - Kira-kira 20 peratus peluang pekerjaan baru yang diwujudkan tahun ini dibolot dan jatuh ke tangan warga asing, menurut kajian yang dijalankan oleh Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif MIER, Profesor Emeritus Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata, senario itu sangat berbahaya kepada sektor buruh negara terutama selepas era peralihan ekonomi daripada berteraskan buruh kepada teknologi dan kemahiran pada masa ini.

“Keadaan ini juga bertentangan dengan matlamat negara untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan bukannya mencipta peluang pekerjaan kepada orang asing,

“Peralihan ekonomi kepada era teknologi dan kemahiran tinggi juga menyebabkan ekonomi negara tidak mampu menawarkan peluang pekerjaan baru sebanyak dahulu kepada rakyat negara ini terutama golongan di bawah 34 tahun,” kata beliau kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.

Awal bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta majikan agar menghentikan ketagihan mengambil pekerja asing kerana ia memberikan kesan negatif kepada pembangunan negara.

Abdullah berkata, tindakan majikan mengambil pekerja asing sah atau haram menghalang pemindahan teknologi serta membantutkan pertumbuhan ekonomi selain menghalang usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi di kalangan rakyat tempatan.

Populasi remaja antara umur 15 hingga 34 tahun di Malaysia berjumlah 9.75 juta dengan meliputi 42.5 peratus daripada penduduk negara ini dan menyumbang sehingga 60 peratus daripada keperluan sumber manusia tempatan.

Dianggarkan antara 200,000 hingga 300,000 peluang pekerjaan baru berjaya diwujudkan di negara ini tahun ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Ariff berkata, peningkatan penguasaan peluang pekerjaan di negara ini oleh pekerja asing sama ada secara sah atau haram terus berlaku kerana mereka mampu ‘menawarkan’ pakej yang lebih menarik jika dibandingkan dengan orang tempatan.

Selain menerima gaji yang lebih murah berbanding permintaan gaji oleh orang tempatan, kata beliau, pekerja asing juga ‘merestui’ tindakan majikan untuk mengarahkan mereka bekerja lebih masa serta tidak perlu diberikan kemudahan yang banyak dan baik.

Pada masa yang sama, pekerja asing menerima layanan ‘istimewa’ dengan tidak perlu mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), membayar Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta diberikan kelonggaran untuk tidak menubuhkan kesatuan sekerja.

Tiada ulasan: