Khir Toyo jumpa pengerusi kuil Jumaat ini.
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo akan mengadakan perjumpaan dengan semua pengerusi kuil di negeri itu pada Jumaat ini bagi membincangkan masalah membabitkan rumah ibadat penganut Hindu.
Pengerusi Majlis Hindu Malaysia Datuk R.Nadarajah berkata perjumpaan di Batu Caves di sini dijangka dihadiri kirakira 800 pengerusi kuil di seluruh Selangor.
"Kami akan menggunakan peluang tersebut untuk membincangkan masalah atau isu berkaitan kuil dan berharap beliau (Dr Khir) dapat membantu kami menyelesaikannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nadarajah berkata sehubungan itu, satu memorandum berkaitan masalah serta isu melibatkan kuil akan diserahkan kepada Dr Mohamad Khir untuk perhatian kerajaan negeri.
Beliau yang juga Pengerusi Sri Mariamman Temple Dhevasthanam turut meminta kerjasama semua pengerusi atau wakil semua kuil sama ada yang berdaftar ataupun tidak untuk menghadiri perjumpaan yang julung kali diadakan itu.
"Kami berharap perjumpaan seumpama ini akan turut diadakan di negeri lain kerana ia peluang yang baik untuk berbincang dan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dengan baik," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan