HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Disember 2007

Bank Pertanian pertimbang lupus hutang mangsa banjir
Oleh Suffian Abu Bakar


MUAR – Bank Pertanian sedang mengkaji kemungkinan untuk melupuskan pinjaman para peminjamnya yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda beberapa negeri pada masa ini.

Pengurus Besarnya, Martini Osman berkata, pihaknya sedia mengkaji perkara itu memandangkan banyak petani kecil yang terlibat dan mengalami kerugian.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bank Pertanian memberitahu, selain melupuskan baki hutang, antara kemudahan lain yang akan diberikan termasuk kemudahan pinjaman semula serta lanjutan tempoh pembayaran.

``Kelonggaran ini bersesuaian dengan klausa perjanjian pinjaman iaitu jika peminjam gagal melunaskan baki pinjaman disebabkan bencana alam.

``Namun, pelupusan baki pinjaman ini perlu dibuat secara permohonan dan kita akan menentukan kesahihannya,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian bantuan untuk mangsa-mangsa banjir sumbangan Bank Pertanian kepada Pengerusi Bencana Banjir Parlimen Pagoh, Tahir Mohd. Taat di Kompleks Seri Pekembar Pagoh dekat sini semalam.

Pada majlis itu, Tahir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Serampang menerima replika cek bernilai RM10,000 daripada Martini sebagai simbolik sumbangan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM5,000 dan barangan keperluan harian bernilai RM5,000.

Sehingga semalam, seramai 348 mangsa banjir yang terdiri daripada 85 buah keluarga di Parlimen Pagoh masih ditempatkan di lima pusat pemindahan iaitu di mukim Bukit Kepong, Bukit Serampang dan Lenga.

Menurut Martini, dalam bencana banjir pada penghujung Disember tahun lalu dan awal Januari tahun ini, sebanyak 11,000 mangsa yang memohon telah diluluskan pinjaman.

Daripada jumlah itu juga, katanya, sebanyak RM20 juta pinjaman diberikan kepada petani di Johor dan RM10.7 juta lagi bantuan diberi menerusi Skim Pinjaman Bantuan Mangsa Banjir.

Untuk daerah Muar pula, katanya, sebanyak RM7 juta pinjaman diberikan kepada petani yang kerugian akibat kerosakan tanaman dan peralatan pertanian.

Bagaimanapun, katanya, untuk banjir di Pantai Timur, Johor dan Kedah, pihaknya tidak menerima permohonan melupuskan pinjaman, sebaliknya hanya permohonan melanjutkan tempoh bayaran diterima.

``Dana yang diberikan menerusi pinjaman itu adalah melalui Bank Negara Malaysia dan Bank Pertanian adalah agen pinjaman itu.

``Setiap permohonan yang dibuat, pegawai bank akan melawat ke lokasi projek untuk memastikan kesahihannya,'' jelasnya.

Sementara itu, menurut Martini, bantuan untuk mangsa banjir yang diberikan hari ini ialah bagi meringankan beban mangsa banjir khususnya di Parlimen Pagoh.

Pihaknya, kata Martini, akan menyampaikan bantuan dalam bentuk yang sama kepada mangsa banjir di Parlimen Pekan di Pahang, hari ini. - Utusan

Tiada ulasan: