Pakatan Hindraf - Khairy, matlamat halalkan cara?.
Ruhanie Ahmad.
Di akhir posting bahagian satu pada 15 Disember 2007, saya tegaskan, persepsi dan andaian di kalangan segolongan rakyat jelata pada hari ini mengatakan bahawa demonstrasi Hindraf pada 25 November 2005, serta kenyataan Hindraf yang provokatif terhadap Umno, orang Melayu dan umat Islam, adalah satu konspirasi ciptaan Khairy Jamaluddin selaku proksi kepada Abdullah.
Lantas, saya bertanya, adakah ini persepsi yang tepat dan andaian yang betul? Mustahilkah kalau demonstrasi dan kenyayataan Hindraf yang sedang dipolemikkan adalah dirangka dan dilaksanakan untuk mengukuhkan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan goyang dilanda gelombang rakyat mulai 10 November 2007?
Bukankah peristiwa ini menepati strategi "matlamat menghalalkan cara"? Oleh itu, sama-samalah kita rungkai dalam bahagian dua ini, benarkah Khairy yang menggunakan nama Umno untuk mendalangi demonstrasi Hindraf?
Soalan ini sedang menghantui pemikiran banyak pihak, termasuk ahli-ahli Umno. Persoalan ini juga mendorong banyak pihak mula mempolemikkan tindakan Abdullah menggunakan beberapa undang-undang, termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebagai satu tindakan "matlamat menghalalkan cara."
Tindakan ini disifatkan oleh banyak pihak sebagai satu cara untuk memulihkan kredibiliti Abdullah yang tercemar, integritinya yang tercalar dan kepimpinannya yang amat tergugat akibat ledakan gelombang rakyat mulai 10 November 2007.
KonspirasiSetakat ini tidak wujud bukti yang mengaitkan Khairy berkonspirasi dengan Hindraf. Bagaimanapun, tidak ada siapa boleh menafikan kemungkinan konspirasi ini. Lebih-lebih lagi bila wujud ramalan seperti berikut:
“ Menantu Perdana Menteri (PM) dalang perhimpunan Hindraf? Itulah maklumat yang kami terima. Bunyinya pelik, tetapi ada alasan kukuh yang diberikan oleh pemberi maklumat ini.
Dalam sejarah politik Malaysia, hanya apabila terjadi perbalahan di antara kaum, (maka) Umno, MCA dan MIC akan kembali menjadi kuat. Ini telah terbukti selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969. Melayu kembali menyokong Umno dan Cina kembali bersama MCA.
Ini yang ingin dilakukan oleh menantu PM. Beliau tahu bahawa orang Melayu sudah mula hilang keyakinan kepada PM, dan ini amat berbahaya jika berterusan sehingga PRU ke-12. Jika kebencian orang Melayu kepada Abdullah berterusan, bermakna undi mereka akan pergi kepada pembangkang dan Abdullah akan dilihat gagal mempertahankan prestasi PM. Maka mudahlah untuk Datuk Seri Mohd. Najib Razak meyakinkan Abdullah untuk berundur dan memberikan laluan kepadanya untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
Ini yang paling ditakuti oleh menantu PM. Jika Najib naik, peluangnya untuk terus kukuh di dalam Umno sehingga menjadi PM, tidak akan berjaya. Segala usaha yang telah dilakukannya (selama ini), termasuklah menggadaikan sedikit demi sedikit negara kepada Singapura, (jadi) sia-sia.
Pertemuan:
Jadi, beliau pun memulakan taktik jahatnya. Sumber kami mengatakan bahawa beliau (menantu PM) bertemu dengan P. Uthayakumar (Penasihat Undang-Undang Hindraf) beberapa bulan yang lalu dan memulakan perundingan.
Di antara perjanjian mereka ialah, menantu PM akan membiayai kesemua kos yang diperlukan oleh Uthayakumar untuk menganjurkan satu perhimpunan yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan menaikkan kemarahan orang Melayu.
Sebagai balasan, Uthayakumar akan terus disokong dari segi kewangan dan (diberikan) perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan seperti ISA. Sebab itu sehingga hari ini kerajaan tidak menggunakan ISA kepada Uthayakumar walaupun beliau telah memainkan isu yang bahaya dan berpotensi untuk mencetuskan satu rusuhan kaum.
Selepas perhimpunan Hindraf pada 25 November 2007, sekarang giliran menantu PM untuk mengapi-apikan kemarahan kumpulan Melayu pula. Diberitakan bahawa (akan ada) satu pertemuan oleh NGO dan Pertubuhan Melayu di Kampung Baru (Kuala Lumpur) dalam jangka masa terdekat ini. Tujuannya ialah untuk mempertahankan Islam.
Selepas pertemuan, NGO dan pertubuhan yang hadir akan mengeluarkan kenyataan dan slogan yang berbunyi: "Jangan cabar umat Islam di negara ini". Pertemuan yang ditaja oleh menantu PM itu tidak lain tidak bukan berniat untuk menaikkan kemarahan orang Melayu.
Apabila orang Melayu sudah marah, mereka akan kembali memberikan sokongan kepada Abdullah. Ini mencerahkan peluang Abdullah untuk memimpin UMNO (dan kerajaan) sekurang-kurangnya selama satu penggal lagi.
Sebagai seorang rakyat yang cintakan negara, saya tidak faham mengapa kestabilan dan keharmonian negara sanggup digadaikan demi untuk mempertahankan kuasa? Saya berharap agar orang Melayu tidak lagi bodoh dan membiarkan diri mereka diperalatkan oleh segelintir pihak yang hanya gila kepada wang dan kekuasaan. - Anak Jati Rembau, Blog Anti-Khairy, 4 Disember 2007, jam 7:59 pagi “
Lencongan :
Apa yang ditulis oleh Anak Jati Rembau seperti di atas belum lagi membuktikan keterlibatan Khairy mendalangi demonstrasi Hindraf.
Andaian dan persepsi ini nampak semakin jelas bila tulisan di atas mengatakan Uthyakumar akan dilindungi daripada tangkapan di bawah ISA, tetapi Uthayakumar dan empat lagi pemimpin Hindraf telah pun ditahan bawah ISA pada 13 Disember 2007.
Sekali imbas, tindakan menahan Uthyakumar di bawah ISA memang akan membawa makna bahawa dakwaan wujudnya konspirasi Khairy-Hindraf adalah tidak benar.
Tetapi, mustahilkah kalau tangkapan itu dilakukan untuk megaburi keyakinan umum tentang wujudnya konspirasi Khairy-Hindraf kerana konspirasi itu memang sebenar-benarnya wujud?
Jadi, tidakkah penahanan lima pemimpin Hindraf ini boleh disifatkan sebagai tindakan "matlamat menghalalkan cara" di mana matlamatnya di sini adalah menutup sebarang spekulasi mengenai konspirasi Khairy-Hindraf dan caranya adalah menerusi tahanan di bawah ISA?
Hakikat mengaburi keyakinan rakyat menerusi tahanan ISA ini jadi semakin jelas apabila kelima-lima pemimpin Hindraf terbabit hanya ditahan di bawah ISA Seksyen 8 dan bukannya Seksyen 73. Kedua-dua seksyen ini mempunyai prosidur dan implikasi yang amat berbeza ke atas pihak yang ditahan. Hakikat ini akan saya huraikan dalam siri ini bahagian tiga. - kuda-kepang.blogspot
Tiada ulasan:
Catat Ulasan