Haron Din kesal PM tiada rasa bersalah tahan rakyat bawah ISA
Bashir Ishak
ARAU (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din membidas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyatakan tidak rasa bersalah atau sedih untuk menandatangani arahan penahanan terhadap seseorang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dr Haron terkejut dan hairan dengan kenyataan Perdana Menteri itu yang seolah-olah tidakpun rasa bersalah atau rasa berdosa untuk mengeluarkan arahan penahanan di bawah undang-undang kejam ISA.
"Bagaimana dia (Perdana Menteri) boleh berasa tidak bersalah mengeluarkan arahan sedemikian, seolah-olah tidak merasa berdosa berbuat demikian, sedangkan yang ditahan itu tidak diberikan hak untuk membela diri, tidak dibawa ke mahkamah untuk membela diri," katanya.
Sebagai perbandingan, Dr Haron memetik sebuah hadis Nabi tentang orang yang melakukan dosa.
"Bertolak daripada hadis Nabi SAW yang jelas menyebutkan, orang Mukmin yang melakukan dosa kecil maka dirasainya seolah-olah sebuah gunung yang akan menghempap ke atasnya sedangkan seorang faajir yang banyak melakukan dosa merasakan seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidung untuk segera terbang," jelasnya.
Mengulas lanjut, Dr Haron mempersoalkan kewajaran menahan seseorang di bawah ISA sedangkan akibatnya membawa kepada kesusahan dan penderitaan.
"Di manakah keadilan yang dapat ditawarkan kepada mereka, tanpa sebarang pertuduhan dan pembelaan. Apakah Perdana Menteri sudah hilang langsung perasaan bahawa yang ditahan itu akan terseksa, seluruh keluarga menanggung penderitaan dan kesengsaraan," ujarnya.
Katanya lagi, di dalam Al-Quran Allah S.W.T memberi amaran tentang menyeksa atau menyakiti orang lain.
"Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (menyeksa) mukiminin atau mukminat dengan perkataan atau perbuatan yag tidak tepat dengan perbuatan atau kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu menanggung pembohongan dan dosa besar yang nyata," jelasnya memetik ayat 58, Surah Al-Ahzab.
Jelasnya, ayat tersebut secara nyata merujuk kepada kes 'Aziyattun Nas' yang bermaksud tindakan menyakiti atau menyeksa sesiapa sahaja khususnya orang-orang beriman dan dikira berdosa besar di samping Allah mengecap orang-orang ini sebagai pembohong.
"Jadi, di mana wajarnya Perdana Menteri membuat kenyataan sebegini kepada umum sedangkan Al-Quran menyebut tentang pembohongan dan dosa besar. Ini membuktikan suatu kezaliman yang nyata dilakukan," sambungnya lagi.
Dr Haron ditemui selepas meyampaikan amanat sempena pilihanraya umum akan datang kepada jentera pilihanraya PAS di semua peringkat dari seluruh negeri Perlis.
Majlis tersebut berlangsung di Balai Islam MADI, Markas Tarbiyah PAS Perlis di Jejawi Dalam dekat sini./wann
Tiada ulasan:
Catat Ulasan