HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Disember 2007

Brek kitar semula
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


KUALA LUMPUR: Nyawa ribuan pengguna jalan raya terutama pemilik kereta yang pulang berhari raya ke kampung sempena Aidiladha diancam bahaya berikutan pendedahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kuala Lumpur (KPDNHEP) mengenai penemuan beratus-ratus cakera brek tiruan yang dilonggok di pasaran.

Cakera brek itu dihasilkan tanpa melalui pemeriksaan piawaian keselamatan dijual berkali ganda lebih murah daripada produk tulen, dikesan menjadi pilihan utama pengusaha bengkel kereta.

Difahamkan cakera brek maut terbabit yang dihasilkan sindiket tertentu hanya dijual pada harga RM15 sekeping berbanding produk tulen mencecah RM90 sekeping.

Cakera brek tiruan itu, antaranya alat ganti terpakai yang dikitar semula didapati mudah haus menyebabkan kereta yang menggunakannya terdedah kepada kemalangan akibat masalah mengejut pada bahagian berkenaan.

Kegiatan mengedar cakera brek tiruan itu terbongkar selepas sepasukan tiga pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan bersama empat wakil syarikat pengedar yang mempunyai cap dagang produk terbabit, menyerbu sebuah premis, kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Othman Nawang, berkata dalam operasi jam 1.45 petang itu, pegawai KPDNHEP membuat pemeriksaan mengejut terhadap premis terbabit di Jalan Cheras, di sini, yang disyaki mengedar dan menjual cakera brek tiruan.

Dalam serbuan itu, pihak KPDNHEP memeriksa bahagian dalam premis dan stor simpanan yang disyaki menyimpan alat ganti kereta tiruan.

"Hasil pemeriksaan itu, pegawai bertugas berjaya menemui 245 keping cakera brek tiruan yang disembunyikan dalam premis terbabit.

"Siasatan mendapati, pemilik premis yang mengedar alat ganti tiruan itu sengaja memasukkan semua cakera brek tiruan berkenaan ke dalam kotak menyerupai produk tulen yang diimport dari Eropah," katanya.

Menurutnya, tindakan licik itu bagaimanapun berjaya dikenal pasti wakil syarikat pengedar sah berdasarkan perbezaan pada cap dagang dan jenama digunakan.

"Semua cakera brek palsu terbabit yang boleh digunakan untuk pelbagai model kenderaan dianggarkan bernilai lebih RM20,000, kemudian dirampas untuk tujuan pendakwaan mahkamah.

"Pemilik premis terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Perihal Dagangan 1972 yang menjurus kepada perihal dagangan palsu. Jika sabit kesalahan individu yang memilikinya boleh dihukum denda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Othman berkata, siasatan mendapati pemilik premis terbabit tidak pernah serik dengan kegiatan dilakukan berikutan dia pernah ditahan atas kesalahan sama pada tahun lalu.

"Dalam serbuan terdahulu, pemilik premis dikesan menjual komponen alat ganti kereta tiruan model Proton. Dia dihadapkan ke mahkamah dan denda RM20,000," katanya.

Tiada ulasan: