Lebuh Raya Timur-Barat berlubang-lubang
Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
GERIK – Lebuh Raya Timur-Barat dari Gerik di sini ke Tanah Merah, Kelantan yang mendapat jolokan ‘laluan maut’ sememangnya berbahaya kerana terdapat banyak lubang di laluan itu sehingga menjejaskan pemanduan dan mengakibatkan tayar pancit.
Fenomena itu dikatakan turut menyumbang atau dikaitkan dengan kemalangan maut kerap berlaku di laluan tersebut yang terbaru mengorbankan enam sekeluarga maut kelmarin.
Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh di lebuh raya itu dalam tahun ini sahaja termasuk tiga anggota Rela Kelantan yang terbabit kemalangan antara sebuah dan lori di Kilometer 14.4, 5 Disember lalu.
Berikutan rungutan yang semakin banyak daripada pengguna jalan berkenaan lebih-lebih lagi ekoran berlakunya beberapa kemalangan maut melibatkan korban yang ramai di laluan tersebut, Utusan Malaysia membuat tinjuan di lokasi berkenaan hari ini.
Hasilnya, tinjauan tersebut mengesahkan mereka itu malah kenderaan wartawan sendiri berdepan masalah yang sama iaitu tayar pancit akibat terlanggar lubang.
Tinjauan itu mendapati laluan 221 kilometer sehingga ke Kota Bharu tersebut bukan sahaja berliku dan sempit malah terdapat banyak lubang yang menyebabkan pemandu sukar mengelak daripada melanggarnya.
Sepanjang tinjauan tersebut, ekoran fizikal jalan berlubang-lubang itu, Utusan Malaysia menyaksikan lima kenderaan mengalami masalah kerosakan terutama tayar pancit di laluan tersebut.
Semasa mengganti tayar baru di sebuah kedai di pekan Gerik, terdapat empat kenderaan yang mengalami masalah serupa sedang menukar tayar baru ekoran pancit terlanggar lubang di laluan sama.
Justeru, tidak hairanlah jika laluan itu banyak mengundang nahas kerana pemandu terpaksa memberi tumpuan ‘sepanjang masa’ untuk mengelak daripada terlanggar lubang.
Sedikit kecuaian atau kesilapan, pemandu akan berdepan dengan masalah tayar pancit atau rim bengkok atau patah sama sekali.
Pun begitu, risiko tersebut masih kurang bahayanya kerana yang lebih menakutkan ialah apabila kenderaan gagal dikawal dan akhirnya terbabas atau berlanggar dengan kenderaan lain.
Kemalangan berpunca terlanggar lubang boleh terjadi terutama jika pemandu terkejut lalu hilang kawalan ketika tayar kenderaan memesong ke tengah jalan ekoran hentakan pada batu jalan.
Seorang pengguna, Azhar Ahmad, 38, berkata, keadaan jalan di lebuh raya itu sehingga ke sempadan Kelantan sangat teruk.
“Semasa berhenti di Hentian Perah di lebuh raya itu saya sedar tayar depan saya sudah pancit dan terpaksa diganti baru kerana pecah di sisi,” katanya.
Ekoran itu, dia yang bersama keluarganya dari Perlis menuju Kelantan terpaksa berpatah balik ke arah pekan Gerik untuk menukar tayar baru sebelum meneruskan perjalanan ke Kelantan.
Seorang lagi pengguna, Hussin Hassan, 34, yang berasal dari sini mendakwa, sudah beberapa kali tayar keretanya pancit apabila melalui lebuh raya berkenaan untuk ke Tasik Banding dan Jeli.
Tegasnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) sepatutnya menampal lubang yang ada di jalan tersebut kerana ia berbahaya kepada nyawa pengguna.
“Saya sangat tak puas hati, kami bayar cukai jalan tetapi keadaan jalan teruk sangat dan tidak diselenggara dengan baik.
“Ini menambah kos kepada pengguna kerana terpaksa tukar tayar baru setiap kali melalui lebuh raya tersebut,” katanya.
Sementara itu, seorang mekanik, Kamal Hassan, 27, memberitahu, sekurang-kurangnya lima kenderaan menukar tayar di kedainya setiap hari kerana masalah tayar pancit dan rim bengkok atau patah.
Katanya, semua pelanggan mengalami masalah tersebut setelah melalui Lebuh Raya Timur-Barat di kawasan Gerik.
“Saya rasa mungkin jumlahnya lebih banyak kerana jumlah lima kereta dalam satu hari itu cuma di kedai saja sedangkan di sini ada banyak kedai tayar.
“Dua hari lalu, ada dua kereta BMW masuk ke sini sebab rim bengkok dan sebuah lagi rim pecah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Trafik Daerah Gerik, Cif Inspektor Zamzuri Nawawi yang dihubungi memberitahu, siasatan polis mendapati kemalangan mengorbankan enam sekeluarga kelmarin bukan disebabkan jalan berlubang tetapi kenderaan dipandu laju.
Katanya, walaupun banyak lubang di lebuh raya berkenaan tetapi keadaan jalan di kawasan kemalangan adalah baik dan baru diturap.
“Menurut keterangan ahli keluarga mangsa, kenderaan yang dinaiki enam sekeluarga yang terkorban itu berhenti di satu kawasan membeli burger.
“Kita percaya ia dipandu laju untuk mengejar dua lagi kenderaan yang dinaiki ahli keluarga lain yang sudah meninggalkan mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan