HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Disember 2007

Hanya dail 999, bantuan akan tiba
Oleh Norazurra Aziz



KUALA LUMPUR: Jika anda dalam situasi cemas dan perlu bantuan segera ambulans, bomba atau polis, jangan panik. Hanya dial talian 999 dan bantuan yang diperlukan akan tiba.

Menurut Ketua Bahagian Teknologi Maklumat Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi (KTAK) Ahmad Amin Esa, pelan untuk mewujudkan talian kecemasan bersepadu, selaras dan lebih cekap membabitkan empat fasa yang bakal siap sepenuhnya menjelang Jun 2009.

"Pelan tersebut kini dalam proses pengujian dan penerimaan sistem (teknikal)," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata fasa pertama yang siap pada Oktober lalu melibatkan penaiktarafan pusat panggilan sedia ada bagi menampung bilangan panggilan yang semakin meningkat.

Fasa kedua melibatkan pembangunan Pusat Panggilan Agensi bagi Kawasan Tengah iaitu di Selangor dan Kuala Lumpur akan dilaksanakan pada 1 Julai tahun depan, katanya.

"Fasa ketiga yang melibatkan pembangunan Pusat Panggilan Agensi di Kawasan Selatan, Timur dan Utara dijangka siap pada 18 Mac 2009 manakala fasa keempat yang melibatkan pambangunan Pusat Panggilan Agensi di Sabah dan Sarawak pula akan siap pada 2 Jun 2009," katanya.

Ahmad Amin berkata ia turut melibatkan penambahan 50 ejen untuk menjawab panggilan, selain menaik taraf kemampuan `server' sedia ada, meningkatkan agihan panggilan dengan lebih berkesan secara `overflow/auto routing' dan menambah talian masuk ke Pusat Panggilan 999 Telekom Malaysia (TM).

Katanya KTAK juga sedang membangunkan sistem Integrasi Komputer (CTI) untuk kegunaan pusat panggilan hospital berikutan sebelum ini hospital tidak mempunyai sistem pusat panggilan.

"Penambah baik sistem tersebut juga melibatkan memasukkan elemen pemetaan digital bagi mengenal pasti lokasi pemanggil dan mewujudkan sambungan antara semua agensi perkhidmatan serta menyediakan 'Computer Assisted Dispacthing (CAD) yang mana maklumat kejadian dapat dihantar ke Pusat Panggilan agensiagensi secara dalam talian," katanya.

Sementara itu Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supt Rasdi Ramli berkata sistem itu dikendalikan oleh TM dan syarikat tersebut akan menerima semua panggilan ke Pusat Panggilan 999 PDRM di Petaling Jaya dan Sarawak, talian 994 (Bomba), 991 (Pertahanan Awam) dan 112 (telefon selular).

Katanya apabila talian itu dihubungi, petugas di talian 999 akan terus menyambung talian ke pasukan keselamatan atau agensi kerajaan terbabit bagi mengambil maklumat daripada pemanggil berkaitan kecemasan.

"Proses ini hanya akan mengambil masa 10 saat kerana panggilan dan penghantaran maklumat yang telah ditapis akan disambungkan secara automatik ke agensi berkaitan sekaligus mempercepatkan proses untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya jika terdapat laporan jenayah mengenai kejadian pecah rumah, balai polis berdekatan lokasi kejadian akan mengarahkan segera unit kereta peronda polis yang sentiasa melakukan rondaan untuk bergegas ke lokasi tersebut bagi memantau dan sebelum tindakan lanjut diambil.

Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) pula akan sampai ke tempat kejadian dalam tempoh lapan minit bagi kawasan dalam lingkungan jarak lima kilometer.

Tempoh yang singkat untuk ke lokasi kejadian disebabkan oleh tindakan pantas unit `Rapid Motorcycle Vehicle' JBPM yang menggunakan motosikal yang dilengkapi alat memadam kebakaran.

Bagi Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) pula, masa yang diperlukan untuk ke lokasi kejadian adalah antara 10 hingga 15 minit merangkumi kawasan dalam jarak 20 kilometer.

Timbalan Pengarah Pengurusan Bencana dan Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) Kolonel Norhafifi Ismail berkata pihaknya telah mewujudkan satu pasukan gerak pantas motosikal yang akan segera menuju ke tempat kejadian walaupun ketika trafik sesak.

Katanya jabatan itu juga menyediakan kemudahan ambulans dan kemudahan pertolongan kecemasan bagi kecederaan yang tidak serius selain memberi bantuan mencari dan menyelamat apabila berlaku sesuatu bencana.

Mengenai panggilan kecemasan palsu, jurucakap TM berkata antara langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah yang lama berlaku itu ialah meningkatkan kemudahan talian di semua pusat aduan pelanggan untuk menampung permintaan kecemasan sebenar dan melaksanakan program kesedaran pengguna.

"TM telah merekodkan 98.9 peratus panggilan palsu. Hanya kira-kira satu peratus sahaja panggilan kecemasan sebenar," katanya.

Bagi meningkatkan tahap operasi TM dalam mengendalikan talian 999 ini, seramai 138 operator ditugaskan untuk mengendalikan talian itu.

Tiada ulasan: