Komentar akhbar Singapura: Abdullah tegas tapi lambat
TIDAK syak Malaysia kini berdepan dengan bom jangka hubungan kaum. Memanglah menangani protes pembangkang yang menuntut ketulusan dalam proses pilihan raya umum dan gerakan peguam yang menuntut ketulusan kehakiman itu dianggap penting.
Namun gugatan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) jauh lebih mencabar setelah 50 tahun kemerdekaan Malaysia yang seharusnya memancarkan suasana keharmonian kaum.
Kecuali peristiwa 13 Mei 1969, boleh dikatakan rakyat Malaysia menerima peri penting nilai kemajmukan dan perkongsian masa depan.
Tuntutan Hindraf tidak syak berbau perkauman yang amat peka. Dengan pimpinan para peguam, Hindraf mendakwa bahawa kaum Hindu dipinggirkan dan corot dalam semua aspek kemajuan Malaysia.
Malah peminggiran itu disifatkan sebagai penyingkiran kaum yang serupa di Bosnia. Lebih buruk lagi, Hindraf telah berkempen sejauh India dan Barat, termasuk Britain.
Ia juga membuat tuntutan kepada kerajaan British yang pernah menjajah Malaysia dan membawa masuk buruh dari India.
Dinamika kaum India perlu difahami dengan perspektif yang betul. Kongres India Malaysia (MIC) yang dianggap wakil kaum India dalam Barisan Nasional yang memerintah Malaysia telah pun menampilkan pelbagai perangkaan yang menolak tuduhan Hindraf.
Menurut Unit Perancangan Ekonomi Malaysia, darjat miskin tegar masih merantai lebih ramai kaum Bumiputera berbanding dengan India. Kian ramai kaum India dalam perjawatan profesional dan tinggal di bandar - bukan lagi di estet getah seperti yang sering digembar-gemburkan.
Demi memelihara keharmonian, kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk menahan lima aktivis Hindraf.
Menurut kalangan pengamat, tindakan kerajaan Malaysia terhadap anasir seperti Hindraf tampak lambat. Ia seharusnya ditangani awal-awal lagi ketika Hindraf mula menggugat senario kaum di Malaysia. Anehnya, siasatan polis untuk membawa para pemimpinnya ke muka pengadilan tampak tidak cukup ampuh.
Demi kesan jangka panjang yang mantap, yang utama ialah memastikan segala laporan kemajuan kaum terpapar dengan jelas menerusi pelbagai program nasional dan sivik yang dilaksanakan dengan gigih, cekap dan telus demi memelihara keharmonian. Malaysia sudah menunjukkan potensi memelihara perpaduan kaumnya dan rekod ini perlu terus dipelihara.
Rencana ini dipetik dari ruangan komentar akhbar Berita Harian Singapura- Pengarang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan